Aura Takeshi Kaneshiro


MEMPUNYAI latar belakang yang cemerlang dalam industri seni, pelakon kacak Takeshi Kaneshiro turut menerima perhatian daripada syarikat jenama terkemuka.

Disebabkan mempunyai aura dan penampilan versatil, dia sudah mempunyai pengaruh tersendiri untuk bergelar jurucakap. Tidak terhad pada jenama fesyen, bahkan syarikat penerbangan, pemotoran dan makanan.

Bagaimanapun, kejayaan Takeshi dalam bidang peragaan terbukti apabila dia diumumkan sebagai wajah baru label dari Itali, Emporio Armani dua tahun lalu.

Lebih membanggakan, pelantikan jejaka kelahiran Jepun itu menjadikan dia satu-satunya model Asia yang dipilih label itu bagi musim luruh dan sejuk.

Meskipun sudah berusia 37 tahun, Takeshi masih lagi berperwatakan lebih muda daripada usia sebenar. Rahsia yang sering diberitahu oleh Takeshi ialah gaya hidup ceria dan disenangi, membolehkan dia kelihatan sentiasa muda.

"Saya suka membuat lawak dengan sesiapa sahaja di sekeliling kerana ia akan membuatkan anda tidak terlalu tertekan memikirkan soal kerja.

"Tetapi jangan terkejut kerana saya akan menjadi pendiam terutama ketika menghayati tugas yang diamanahkan, baik dalam lakonan mahupun peragaan," akuinya yang berzodiak Libra.


Kejayaan yang dimilikinya kini tidak diraih dengan mudah. Sejak kecil lagi, Takeshi sudah berdikari untuk mempunyai pendapatan sendiri. Dia memulakan kerjaya pertama dengan bekerja di Restoran Shabu-Shabu ketika berusia 14 tahun.

Beralih kepada penampilan pula, Takeshi mempunyai perunding imej dan jurusolek peribadi iaitu Eito Furukaba yang telah bekerjasama dengannya selama 10 tahun.

Takeshi yang mempunyai gaya hidup ringkas jarang berkunjung ke gim kerana sibuk dengan tugasan harian. Namun, jika ada waktu terluang dia akan melakukan senaman ringkas di rumah.

"Kehidupan saya sama macam orang lain. Malah, saya juga merokok ketika di bangku sekolah tetapi berhenti selepas memasuki dunia hiburan.

"Bagaimanapun, tabiat itu tidak boleh dihentikan sepenuhnya. Saya kembali merokok selepas membintangi Fallen Angels," jelasnya.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)