Dr Rozmey bikin keliru


SKIM Wajib Tayang (SWT) tidak mampu memajukan industri filem tempatan. Begitulah dakwaan produser baru, dR Movies Production Sdn Bhd, Datuk Dr Che Rozmey Che Din.

Kenyataan dikeluarkan pengasas produk pelangsingan badan itu menimbulkan rasa kurang senang kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) hingga menghantar kenyataan kepada media mengulas perkara itu. Dalam kenyataannya, Finas mengatakan SWT diperkenalkan pada 1990 dan dijadikan peraturan pada 2005 bagi membantu penerbit filem Melayu mendapat kutipan maksimum melalui penetapan tarikh dan pawagam. Tempoh Wajib Tayang adalah 14 hari dan ada peruntukan di mana sekiranya sambutan penonton kurang daripada ditetapkan (15%), pertukaran pawagam dan penarikan daripada tayangan boleh dilakukan. Semua filem yang berjaya mencapai 'box office' ditayangkan melalui SWT seperti Adnan Sempit mencatat kutipan RM7.66 juta, Niyang Rapik (RM3.72 juta), V3 : Samseng Jalanan (RM3.88 juta), Evolusi KL Drift 2 (RM5.67 juta) dan Lagenda Budak Setan (RM4.28 juta). Difahamkan, Dr Rozmey membuat kenyataan itu kerana permohonannya untuk menayangkan filem sulungnya, 2 Alam berhadapan masalah kerana terikat dengan SWT. Pada asalnya, filem itu disasarkan untuk tayangan 27 Mei lalu, tetapi berhadapan masalah kerana belum mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) sebagaimana syarat setiap filem yang ingin ditayangkan kepada umum di negara ini.

Selepas filem itu diluluskan LPF, Dr Rozmey memohon tarikh baru untuk tayangan 30 September dan sekali lagi berhadapan masalah kerana tarikh diminta bertepatan hari Sabtu. Kebiasaannya, pawagam memulakan tayangan filem baru pada Khamis.

Urus Setia Skim Wajib Tayang memberikan tarikh 4 November atau 18 November selepas filem Cuti-cuti Cinta diluluskan untuk tayangan 21 Oktober. Tarikh itu disyorkan bagi mengelak pertembungan tayangan filem tempatan dan Finas mencadangkan permohonan bagi 18 November untuk dipertimbangkan.

Bagaimanapun, Ahad lalu, Dr Rozmey membuat kenyataan 2 Alam akan ditayangkan pada 18 November di 500 skrin di seluruh negara. Hakikatnya, SWT bermesyuarat baru-baru ini untuk meluluskan tayangan untuk Oktober manakala filem yang akan ditayangkan pada November hanya akan diputuskan dalam mesyuarat minggu depan.

Difahamkan juga, empat produser membuat permohonan untuk mendapatkan tarikh 18 November termasuk 2 Alam dan siapa yang mendapat tarikh itu akan diputuskan nanti. Kenyataan Dr Rozmey juga mengelirukan apabila mengatakan tiga filem Melayu lain turut ditayangkan pada tarikh sama. Hakikatnya, belum ada dalam sejarah filem Melayu empat filem ditayangkan pada hari sama, tetapi pada November dan Disember, satu filem ditayangkan dalam tempoh seminggu berbanding bulan lain tempoh dua minggu.

Polemik dicetuskan Dr Rozmey ini membuatkan kalangan produser yang sekian lama menceburi industri ini tersenyum sesama sendiri. Presiden Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Ahmad Puad Onah menyifatkan Dr Rozmey sebenarnya tidak faham dengan senario yang berlaku hingga membuat kenyataan mengelirukan.

Katanya, SWT sudah sejak beberapa tahun lalu untuk memberi peluang kepada filem Melayu mendapat tarikh tayangan. "Negara kita mengamalkan dasar ekonomi terbuka yang memberi laluan seluas-luasnya kepada filem luar untuk ditayangkan di negara ini, asalkan mendapat kelulusan LPF.

"Di sini, kita lihat persaingannya cukup sengit dan kalau filem Melayu tidak diberi skim ini, mungkin hanya ditayangkan di pawagam untuk tempoh dua hari saja kerana hakikatnya, pemilik panggung lebih berminat memberi laluan kepada filem baru setiap minggu lebih-lebih lagi filem Hollywood yang diyakini boleh menarik penonton. "Bagaimana produser kecil yang mengeluarkan modal RM1 juta terpaksa bersaing dengan filem Hollywood yang dihasilkan dengan bajet RM100 juta? Itulah sebabnya pengeluar filem Melayu melalui PFM, memperjuangkan perkara ini dan ia masih relevan buat masa ini dan tiada istilah menimbulkan masalah kepada produser.

"Apa yang penting, apabila filem siap, hantar kepada LPF kemudian memohon tarikh tayangan diinginkan," katanya ketika dihubungi, semalam. Katanya, sebagai produser baru tidak seharusnya memberi kenyataan mengatakan skim ini tidak mampu memajukan industri filem tempatan. "Dia sebenarnya tidak faham masalah yang berlaku kepada produser filem Melayu kerana baru masuk dalam industri. Sebenarnya kita ada peraturan, sebagai pemain baru dalam industri, ikutlah dan jangan buat suka hati.

"Sebelum ini ada juga produser meminta tarikh diinginkan kerana komitmen kepada penaja, tetapi seharusnya produser berbincang dengan penaja mengenai peraturan diperlukan. Saya yakin dengan perbincangan mereka akan faham.


"Mungkin ada produser yang mempunyai modal besar mahu simpan filem mereka menunggu tarikh diinginkan, tetapi bagaimana dengan produser kecil yang perlu tayangkan filemnya untuk mendapatkan semula modal dilaburkan," katanya.


Mengenai 2 Alam bakal ditayangkan di 500 skrin di seluruh tanah air, Ahmad Puad hanya mampu ketawa kerana itu adalah jumlah semua skrin di negara kita. "Bagi produser yang ada wang, mereka memang boleh membayar semua skrin di seluruh tanah air, tetapi apakah pihak pemamer bersedia berbuat demikian? Maknanya, pada tarikh itu tiada filem lain ditayangkan hanya 2 Alam saja.


"Saya yakin pemamer tidak sanggup buat begitu kerana memikirkan perniagaan jangka panjang kerana selama ini berurusan dengan pengedar dan bukannya mengikut kepentingan satu filem saja. Tambahan pula ketika itu banyak filem Hollywood akan masuk sempena Krismas," katanya.


Mengikut SWT, dua filem akan ditayangkan pada Aidilfitri (9 September) iaitu 4 Madu dan Senario Asam Garam diikuti Magika pada 23 September manakala pada Oktober, Jangan Pandang Belakang Congkak 2 (7 Oktober) dan Cuti-cuti Cinta (21 Oktober).

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)