Gali potensi diri


ASMAWI ANI, lima tahun lalu adalah seorang anak Felda yang tiba-tiba menjadi fenomena sebaik menyertai program realiti televisyen, Akademi Fantasia. Menurut banyak orang, lelaki yang kini berusia 29 tahun itu punya aura dan persona tersendiri.

Fenomena Mawi yang tampil dengan imej lelaki tinggi ilmu agama itu terus berlarutan untuk beberapa tahun berikutnya.

Sehingga dua tahun kebelakangan ini, fenomena itu dikatakan mulai surut.

Pertemuan dengan suami kepada Nora'Asikin Rahmat atau dikenal mesra sebagai Ekin itu baru-baru ini sebenarnya memperlihat sisi lebih dalam selain isu populariti Mawi yang merudum. Diakui, lima tahun membesar dalam daerah seni, sasaran hidup Mawi kini sudah berubah. Bual bicaranya juga tidak yang itu-itu saja. Dia tidak lagi teragak-agak atau hanya menjawab sepatah dua tentang karier seninya.

Sebaliknya, Mawi tampak lebih bersemangat. Lebih tahu hala tuju dan punya banyak visi baru. Dia kini tidak lagi memberatkan isu wajib popular. Tetapi lebih menekankan tentang perjalanan yang sedang diteroka dan pencapaian yang bakal diraih pada fasa peralihan kerjayanya kini.

Mawi kini bukan sahaja mahu dikenali sebagai penyanyi, tapi juga pelakon, pengarah, penerbit sekali gus seorang ahli perniagaan. Bagi banyak orang, mimpi Mawi itu cukup besar, tetapi mimpi tersebut sudah mula ditunaikan olehnya dan dia berpuas hati malah lebih teruja untuk terus fokus dalam semua bidang yang diceburi kini.

“Banyak perkara yang telah saya kutip sepanjang tempoh lima tahun menjadi artis. Baik atau buruk, saya terima semua seadanya. Saya akui, jika dua tahun pertama dahulu saya lebih senang mengikut panduan orang yang lebih arif dalam bidang seni dan hanya tahu tentang dunia nyanyian. Saya hanya ikut apa yang telah pihak syarikat tetapkan untuk saya. Tetapi perkara itu terjadi sebaliknya hampir dua tahun kebelakangan ini.

“Kebelakangan ini saya sudah mula menggali potensi diri dan mencari ruang untuk tidak terus statik hanya sebagai penyanyi. Sebaliknya saya mengutip setiap pengalaman, cantumkan ia dan jadikan sasaran untuk cabang kerjaya baru. Sebab itu saya melangkah satu tahap ke satu tahap.

“Jika dulu saya hanya tahu menyanyi kemudian saya belajar untuk tulis lirik sendiri. Saya naik ke tahap seterusnya apabila mencabar diri menjadi pelakon pula dan hari ini perlahan-lahan, bersama syarikat saya NW Entertainment, saya menghasilkan beberapa drama atau program televisyen dengan satu daripadanya merupakan arahan serta skrip penuh saya,” katanya penuh teruja.

Menurut Mawi, fasa perjalanan yang diteroka kini adalah satu hal yang tidak pernah dimimpikan olehnya terjadi. Sama seperti pertama kali dia bergelar penyanyi satu masa dahulu. Tetapi sekali sudah terjebak, dia juga tidak mahu berpatah balik. Justeru untuk kekal dalam industri, apa yang dilakukannya kini adalah hal yang terbaik.

Tampak begitu teruja untuk berkongsi cerita perkembangan lima tahunnya sebagai anak seni, saya membiarkan Mawi terus berbicara. Hari itu, pada pertemuan kami, dia sibuk bercerita tentang drama sempena raya arahan dan terbitannya yang diberi judul Pak Nil Ibu Kirim Salam.

Kata Mawi, drama yang bakal ditayangkan di saluran Astro itu mempunyai keistimewaan sendiri apabila ia menampilkan 33 pelakon yang muncul secara cameo sekali gus.

“Ini drama pertama yang skripnya saya tulis dan saya ambil keputusan untuk mengarah sendiri dengan bantuan penolong pengarah yang banyak menolong saya dari segi shot penggambaran. Sementara, saya pula terus fokus kepada jalan ceritanya. Walaupun berdebar, tapi saya sukakan pengalaman baru ini.

“Pak Nil Ibu Kirim Salam ini saya tulis berdasarkan kisah benar tentang peminat setia saya iaitu remaja autism yang pernah lari dari Klang, Selangor dan datang ke rumah keluarga saya di Kulai, Johor beberapa tahun lalu.

“Daripada kisah itu, saya angkat ia menjadi satu jalan cerita yang penuh dengan pengajaran, keinsafan dan banyak isu yang saya bangkitkan di dalamnya. Karakter remaja autism ini dimainkan oleh Along dan banyak pelakon lain termasuk Aznil Nawawi sendiri berlakon serta Linda Onn, Didie Alias, Almy Nadia, Hamid Gurkha, Zamani, Kaza, Soya dan ramai lagi yang sudi terbabit dalam drama sulung arahan saya ini,” katanya yang sengaja memilih judul Pak Nil dan menggunakan populariti selebriti tersohor tersebut kerana kredibiliti Aznil yang cukup digemari oleh semua lapisan masyarakat.

Tambah Mawi yang kini juga sibuk dalam rangka promosi filem terbarunya, Magika, walau terkenal sebagai penyanyi, realitinya dia merupakan seorang penggemar filem atau drama.

Karya Bollywood dan Hollywood selalu menjadi rujukannya dan katanya, penceritaan berbentuk realiti yang bersahaja selalu akan membuat dia tidak berganjak daripada depan kaca televisyen.

Pada masa yang sama, biar sedang ghairah menjadi pengarah dan menerbit drama atau program, kerjaya nyanyian masih lagi menjadi periuk nasi bagi Mawi. Jadual persembahan masih penuh. Malah album terbarunya, Idola sudah sedia menyusul pada bulan September kelak.

Katanya ringkas: “Nyanyian masih dunia saya malah masih banyak undangan yang tidak dihebahkan di media. Album Idola juga akan muncul nanti. Insya-Allah, dalam masa terdekat, saya juga akan keluar dengan single terbaru, Menanti Hikmahnya yang mempunyai elemen balada stail Korea.”

Hikmah merudum

Menyentuh isu populariti, kata Mawi, ia bukan lagi keutamaan baginya sekarang. Popular itu penting, namun terlebih popular dengan pelbagai isu kontroversi, itu yang tidak diperlukan dalam kerjayanya lagi. Cukup kalau lewat kebelakangan ini, dia muncul di media cetak misalnya dengan kisah kerjaya yang berkembang positif.

“Saya tak nafikan, saya masih memerlukan aura popular untuk kekal dalam industri. Saya juga ada keinginan untuk melihat wajah dan cerita saya di kaca televisyen atau akhbar dan majalah sekurang-kurangnya seminggu sekali.

“Namun itu bukan lagi keutamaan bagi saya sekarang. Keutamaan bagi saya sekarang adalah mengekalkan kedudukan saya dengan reputasi yang baik. Sebab itu pada masa ini saya berusaha keras untuk melalui satu transformasi baru dalam kerjaya dengan mencuba pelbagai peluang dan cabang yang ada,” luahnya jujur.

Tambah Mawi lagi, di sebalik orang berkata tentang popularitinya yang merudum, sebenarnya ia terselit sejuta hikmah dalam perjalanan kehidupannya. Kata Mawi, kehidupannya kini lebih tersusun berbanding dahulu.

Dia kini juga mempunyai masa untuk mengusahakan sebuah tapak makanan yang turut diusahakan oleh peniaga lain di Johor Bahru yang baru beroperasi selama dua bulan. Merahsiakan tapak makanan tersebut miliknya, kata Mawi ini bukti dia tidak mahu menggunakan populariti sebagai pancing untuk orang datang menikmati hidangan di tempatnya.

Sebaliknya dia percaya, menu makanan yang lazat dan layanan yang baik akan mengikat pengunjung ke tapak tersebut. “Lagipun saya tak mahu orang datang ke situ kerana populariti atau sebab orang suka saya. Nanti kalau orang sudah tak suka saya, mereka tak akan datang,” katanya yang akan berangkat ke Syria selama seminggu bermula Ramadan pertama untuk menjalani penggambaran program Mawi Di Bumi Ambia.

Malah, dia dan Ekin kini menjalani sebuah pelayaran rumah tangga yang cukup bahagia.

“Kehidupan saya hari ini lebih teratur. Saya punya banyak masa untuk diri sendiri dan keluarga. Tidak lagi menjadi hamba kerja seperti satu masa dulu. Saya kira, ini perkara positif di sebalik apa yang orang kata tentang suhu populariti saya. Yang penting saya kini mempunyai sebuah kehidupan yang bahagia,” katanya penuh makna.

Ditanya bila saatnya khalayak boleh menyaksikan dia menjadi seorang bapa, jawab Mawi: “Saya memang nak sangat jadi bapa. Tapi rezeki saya belum tiba. Insya-Allah ada nanti.”

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)