Rabbani sibuk Ramadan


PADA 13 Ogos ini genap setahun ketua dan vokalis utama kumpulan nasyid Rabbani, Mohd Asri Ibrahim pergi meninggalkan kita semua buat selamanya, namun ingatan terhadapnya sukar dilupakan. Senyuman manis dan budi baiknya pasti menjadi kenangan.

Bukan mudah anggota Rabbani yang lain untuk menerima kenyataan sebuah kehilangan yang sukar dicari ganti, namun mereka terpaksa reda dengan ketentuan Ilahi. Terasa begitu cepat dia pergi dengan meninggalkan banyak kenangan manis buat rakan dan keluarganya yang tercinta.

Salah seorang daripada anggota keluarga itu, Azadan Abdul Aziz berkata, walaupun hampir setahun Asri pergi, namun bayangannya kerap menjelma di ingatan kerana persahabatan mereka bermula sejak masing-masing masih remaja sehingga berkahwin dan beranak pinak.


"Memang sedih, namun kita yang masih hidup ini terpaksa meneruskan perjuangan yang ditinggalkannya. Pun begitu saya bersyukur kerana tanpa Asri, semua pihak masih memberi sokongan kepada Rabbani dan rakan niaga pun terus memberi kepercayaan kepada kami.


"Sepanjang tahun ini sehingga menjelang Ramadan, Rabbani sentiasa menerima undangan membuat persembahan di seluruh negara dan InsyaAllah pada 6 Ogos ini, PRM Global Vision Sdn Bhd, pengeluar produk berasaskan madu lebah dan habbatus sawda akan mengadakan konsert di Kelantan.


"Ini berikutan kejayaan Konsert Mahabbah Gaza yang diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, pada 10 Julai lalu. Sehubungan itu, Pengerusi PRM, Datuk Hashim Ismail sudi menganjurkan konsert sama, tetapi dalam skala yang agak kecil. Konsert itu perlu diteruskan demi membangkitkan semangat umat Islam untuk membantu saudara seagama di Palestin. "Sama ada ia dibuat dalam skala kecil atau besar bukanlah penting sangat, namun niat murni itu perlu diteruskan dan saya yakin konsert itu akan mendapat sambutan," katanya.


Pada Ramadan ini pula, katanya, seperti tahun sebelumnya, Rabbani akan terus berada di Hotel Singgahsana Petaling Jaya untuk menghiburkan orang ramai yang datang berbuka puasa di sana.


Seperti tahun sebelumnya juga, meskipun tanpa Asri, Rabbani meneruskan usaha mereka menganjurkan umrah bersama peminat. Untuk penganjuran pakej umrah kali ini, Rabbani bekerjasama dengan TH Travel & Services Sdn Bhd. "Pakej Awal Umrah Bersama Rabbani itu selama 13 hari (6 hingga 17 Ogos ini). Waktu Asri masih ada, setiap tahun dia akan menyertai pakej itu kerana inilah masanya dia dapat mendekati peminat. "Oleh kerana Asri sudah tiada, pasti pemergian saya kali ini ke Tanah Suci berbeza rasanya. Mesti saya akan terkenangkannya. InsyaAllah saya akan membuat umrah untuknya dan mendoakan rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh," katanya.

Kepada mereka yang berminat untuk menyertai pakej umrah itu, sila hubungi Ahmad Fuad di 016 6457821.

Rabbani dan TH Travel juga akan terus bekerjasama menganjurkan pakej umrah pada Disember ini.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)