Tunggu masa sesuai


SELEPAS hampir dua tahun dilihat berpacaran, berteka-teki mengenai status hubungan mereka, akhirnya Norman Hakim mengesahkan mahu memperisterikan Memey atau Suhaiza Suhaimi dan kini sedang menetapkan tarikh yang sesuai untuk diijabkabulkan.

Sememangnya kalau boleh mereka mahu melangsungkan pernikahan dalam masa terdekat ini tetapi tergendala hanya disebabkan kesibukan. Mereka sudah menyatakan kepada keluarga pada Jun lalu mengenai hasrat untuk bernikah dan keluarga kedua belah pihak juga hampir bertemu untuk berbincang lanjut. Bagaimanapun sebaik melihat kembali jadual kerja mereka, hasrat itu terpaksa ditangguhkan dulu. Norman, 34 kini sibuk dengan penggambaran drama episod dan telefilem, begitu juga dengan Memey, 22 yang sedang menjalani penggambaran drama Bola Cinta. Sekiranya nekad untuk berkahwin, bermakna keputusan mereka itu akan menyebabkan penggambaran tergendala dan menyusahkan produksi yang terpaksa menangguhkan seketika penggambaran hanya disebabkan mereka.

“Alasan kami mungkin kedengaran membosankan tetapi kami terpaksa membuat keputusan untuk menangguhkan perkahwinan ini kerana dicengkam dengan jadual penggambaran yang padat. Selain saya sendiri yang sibuk dengan perniagaan.

“Kami memilih tarikh 24 Julai tanpa sebarang sebab. Bagaimanapun apabila kami periksa kembali jadual lakonan, tarikh itu tidak bersesuaian kerana kami masing-masing sibuk. Jika kami berkahwin, kami akan menyusahkan ramai orang. Bagi tidak mahu menyusahkan orang lain, kami terpaksa menunda niat murni untuk berkahwin ke satu tarikh lain,” jelasnya.

Menurut Norman, seboleh-bolehnya dia memang mempercepatkan urusan pernikahan itu kerana tidak mahu hubungannya dengan Memey sebagai ‘main-main’.
“Saya memang serius ingin berkahwin dengan Memey,” katanya yang tidak menolak melalui episod pasang surut di dalam perhubungan.

Norman mengakui banyak dugaan berlaku hingga timbul spekulasi mengatakan hubungannya dengan Memey sudah berakhir.

“Sebelum bulan Jun, macam-macam dugaan yang menimpa. Ada kalanya Memey merajuk. Saya faham keadaan Memey, mungkin dia tak pernah melalui situasi untuk berkahwin menyebabkan emosinya sering terganggu,” kata Norman yang bakal muncul di dalam drama 8 Bulan di TV3, setiap Ahad, bermula minggu ini jam 10.30 malam.

Ternyata bukan mudah mengambil keputusan untuk menempuh alam perkahwinan buat kali kedua. Sebelum mencapai kata putus untuk bernikah lagi, Norman bertanya kepada dirinya apakah sudah bersedia untuk kembali memikul tanggungjawab sebagai suami.

Akuinya, dia seorang yang mementingkan keluarga. Norman tidak berselindung dia dihambat kesunyian sepanjang menduda. Katanya, sangkaannya apabila menjalani hidup secara solo, hidupnya lebih mudah kerana bebas melakukan apa yang dimahukan tetapi hidup berseorangan hanya membuatkan hidupnya terasa kosong.

Sekalipun bakal berkahwin dengan Memey, tanggungjawabnya sebagai ayah kepada tiga cahaya mata Mohamed Danish, 7; Marissa Dania, 5 dan Maria Danisha, 2, serta bekas isteri, Abby Abadi tidak diabaikan.

Meskipun tinggal berasingan, Norman tidak pernah mengabaikan anak-anaknya sehingga sekarang. Beberapa hari sekali dia menjenguk mereka dan hampir setiap bulan, dia dan bekas isteri akan keluar bersama-sama untuk membeli keperluan dapur.

“Alhamdulillah Memey memahami. Dia tahu jiwa, hati dan perasaan saya pada keluarga macam mana. Saya ada beritahu dia yang saya masih sayangkan keluarga saya. Saya masih menjalankan tanggungjawab sama seperti dulu. Segala bil dan perbelanjaan rumah serta sekolah anak-anak, masih di bawah tanggungan saya,” kata Norman yang pernah cuba berbaik dengan Abby tetapi bekas isterinya itu menolak.

Malah, Memey juga tidak pernah menghalang dia daripada berbaik dengan bekas isterinya. Perkara itu juga pernah dibincangkan dan ternyata Memey seorang wanita yang cukup terbuka.

credit:www.bharian.com.my

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)