Wakaka Crew layak menang


TAKHTA juara Showdown 2010 yang melabuhkan tirai penutupnya malam Rabu lepas menjadi milik mutlak Wakaka Crew walaupun mungkin ada yang mendakwa ia sepatutnya menjadi milik saingan terdekat Wakaka Crew iaitu Giller Battle Crew.

Bukan sekadar memberikan aksi hebat yang memukau penonton dan para juri, Wakaka Crew yang dianggotai oleh Muhamad Haslam Abd. Rahman (Alam), Abdul Azim Md. Aris, Muhammad Hairi Md. Rani, Mohd Nasiruddin Zainal Abidin, Muhamad Norizwan Anas, Muhamad Ezhan Asman dan Mohamad Fitri Ibrahim itu sentiasa konsisten dalam persembahan mereka. Sepanjang tempoh Showdown 2010 berlangsung, mereka hanya pernah sekali masuk ke dalam kumpulan terendah iaitu pada minggu Top 4.

Namun begitu, Wakaka Crew sendiri tidak menyangka mereka akan menang. Menurut ketua kumpulan itu, Alam: "Sampai sebelum waktu pengumuman juara Showdown 2010 dibuat pun saya masih tidak yakin Wakaka Crew akan menang kerana ketiga-tiga kumpulan yang masuk final sangat hebat. Sebenarnya ada beberapa skil lagi yang belum kami keluarkan ketika berentap bersama Giller Battle Crew itu.

"Namun syukur, rezeki berpihak kepada kami. Giller Battle adalah kumpulan yang hebat yang mana kami tidak boleh ambil ringan."

Menurutnya lagi, Wakaka Crew tidak menafikan yang mereka cukup gerun dengan Giller Battle Crew dalam sesi battle.

"Giller Battle Crew juga mempunyai cara mereka tersendiri yang boleh membuat orang membuka mata. Walau bagaimanapun kami hadapi mereka dengan setiap kru kami memainkan peranan masing-masing," jelasnya.


Kata Alam, mereka memang cuba untuk membuat tarian yang berkonsepkan akrobatik seperti lompat, terjunan dan banyak lagi. "Tidak sangka pula aksi akrobatik itu boleh diterima oleh penonton. "Saya takut juga terjun menggunakan tali ala flying fox dengan membawa bendera dalam salah satu persembahan," tuturnya.

Menang kerana Alam?

Sebelum memasuki Showdown 2010, Wakaka Crew rupa-rupanya telah mempunyai sebuah studio di Kompleks Belia dan Sukan, Puchong, Kuala Lumpur.

Menurut Alam, studio yang diamanatkan kepada mereka itu akan digunakan untuk memberi pendidikan kepada sesiapa sahaja yang ingin belajar tarian jalanan. Sebagai juara Showdown, Wakaka Crew turut meraih hadiah wang tunai berjumlah RM50,000.

"Sebahagian daripada RM50,000 yang dimenangi itu akan digunakan untuk melengkapkan fasiliti di studio itu. Kalau boleh kami mahu jadikan studio itu lengkap dan selesa untuk digunakan. Kami ingin menarik kepada sesiapa sahaja yang ingin belajar tarian dan aks-aksi agar datang ke studio kami," beritahunya.

Dalam pada itu, Alam juga menyangkal sesetengah pendapat yang mengatakan dirinya menjadi punca kemenangan kumpulan itu kerana semua kru dalam Wakaka Crew mempunyai kepentingan masing-masing.

"Mungkin ada pihak yang menganggap sedemikian kerana Alam pernah menjuarai program realiti tarian, So You Think You Can Dance musim pertama sebelum ini. Kalau tidak kerana setiap seorang daripada ahli Wakaka Crew memainkan peranan tidak mungkin kami sampai ke tahap ini," jelasnya.

Pada malam final Showdown yang berlangsung di KL Live, Kuala Lumpur Rabu lepas itu turut dihangatkan dengan kehadiran dua juri undangan seperti Pengurus Artis terkenal, Baoundeng Edruce dan Bboy Choco selain dua juri tetap, Joe Flizzow dan Maple Loo.

Kumpulan Floor Fever yang mendapat undian terendah telah disingkirkan pada peringkat pertama sekali gus melayakkan Wakaka Crew dan Giller Batlle Crew untuk berentap dalam sesi 'battle' bagi merebut gelaran juara.

Program yang dihoskan oleh penyampai radio Fly.FM, Hafiz Hatim itu turut menunjukkan setiap kumpulan diperingkat akhir bertungkus-lumus memberikan persembahan yang terbaik dari yang terbaik.

Menurut juri tetap Showdown 2010, Joe Flizzow, perbezaan antara Wakaka Crew dengan kumpulan lain termasuk Giller Battle Crew dan Floor Fever ialah dari aspek konsisten.

Katanya, bagaimanapun ketiga-tiga finalis Showdown 2010 tersebut sememangnya layak bersaing kerana masing-masing mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

"Wakaka Crew layak menjadi juara kerana mereka sentiasa konsisten dengan aksi yang ditunjukkan," tegas Joe.

credit:KOSMO

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)