Aaron enggan gemuk


MENERIMA pelbagai pengiktirafan dalam bidang lakonan, aktor Hong Kong, Aaron Kwok memulakan karier seni sebagai penyanyi. Namun, sedekad ini, Aaron diyakini lebih menyerlah dari segi lakonan.

Daripada seorang bapa bermasalah dalam After This Our Exile, peranan Aaron sebagai pembunuh dalam Murderer juga menyerlah bakatnya. Kini, mengambil sisi lain dalam lakonan, Aaron mencuba watak sebagai badut.

Kelihatan lebih muda dalam filem, Aaron, 44, sendiri mengaku dirinya sudah lama tidak menjayakan watak ceria sebegitu. Ditemui pada sidang media mempromosikan filem terbarunya, City Under Siege di Kuala Lumpur baru-baru ini, Aaron memberitahu: “Sudah sedekad sebenarnya saya tidak menjayakan watak seceria ini. Asyik menerima watak serius sahaja. Jadi penggambaran kali ini memberikan perasaan berbeza.”


Watak Aaron, Sunny merupakan badut yang mengikuti kumpulan sarkas. Menyimpan hasrat untuk menjadi tumpuan utama dalam sarkas seperti ayahnya, Sunny sering dibuli.

Namun, suatu hari dalam perjalanan mencari harta karun di kawasan pergunungan Malaysia, dia terkena bahan kimia beracun yang ditinggalkan oleh askar Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Akibatnya, sel badan Sunny mula berubah dan dia memiliki kuasa adiwira tetapi kelihatan pelik. Cuma bukan Sunny seorang sahaja yang memiliki kuasa luar biasa tetapi juga manusia mutasi yang diketuai oleh Chang.


Menjadi penyelamat kepada ancaman kumpulan Chang, City Under Seige turut dibintangi aktres jelita, Shu Qi. Diarahkan oleh Benny Chan, pengarah itu bersama dua lagi pelakonnya, Zhang Jingchu dan Wu Jing turut berada di Malaysia untuk berkongsi pengalaman.

Bagi Benny yang sudah biasa menghasilkan karya aksi, City Under Seige merupakan taruhan yang jarang dilakukan oleh pengarah Hong Kong. “Ramai sudah melihat karya aksi saya sebelum ini. Jadi kali ini saya mahu memberikan kejutan dengan memasukkan elemen sains fiksyen.

“Diakui ia bukan sebuah filem yang senang untuk dibikin kerana memerlukan bajet besar. Lagipun dalam industri perfileman Cina, genre sebegini kurang dieksplotasi. Jadi ini sebenarnya satu penerokaan serta percubaan berani saya. Sungguhpun memiliki sedikit gabungan elemen daripada filem-filem adiwira Hollywood, sentuhan saya bagaimanapun ditambah dengan cita rasa tempatan,” jelas Benny.

Aaron sebagai peneraju utama yang bukan sahaja menjadi badut diperlukan memakai banyak solekan serta kostum. Malah, dia juga dibuang dalam laut dalam salah satu babak filem. Melihat senarai perkara yang dilakukan untuk filem itu, ia bukan senang bagi Aaron melaksanakannya.


“Memang bukan senang bagi saya menjayakan watak ini tetapi saya terlibat juga kerana mempercayai kredibiliti pengarah. Dia begitu berani untuk memilih genre ini dan mencuba. Jadi tidak kira berapa lama saya terpaksa bertahan untuk sesi solekan, saya rasa ia amat berbaloi.

“Walaupun kulit saya alah dengan solekan sehingga terpaksa masuk hospital, saya menahan. Bayangkan saya memakai kostum tebal dalam cuaca panas dan penggambaran berlangsung lapan hingga 10 jam sehari. Ini adalah antara filem paling sukar yang pernah saya jayakan,” kata Aaron yang juga terpaksa berdepan dengan babak letupan.

Mahu memberikan kesempurnaan dalam menjayakan setiap wataknya, Aaron yang menjadi gemuk dengan memakai kostum bagaimanapun menjadi perbandingan dengan Andy Lau yang pernah menjadi lelaki dalam filem Love On Diet dan Running On Karma.

“Itu semua pendapat peminat dalam forum. Saya tidak kisah bagaimana orang membandingkan watak kami. Sejak kami berdua mula berlakon, memang kami sering menjadi perbandingan.

“Kalau hendak cakap mengenai orang gemuk, banyak filem Hollywood pernah menggunakan resipi sama. Jadi tiada apa yang perlu disamakan atau dibezakan,” ujar Aaron yang tidak mahu dirinya menjadi gemuk dalam kehidupan realiti.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)