Apek keliru, Anye berhati-hati


LUARANNYA, Saiful Apek, 41, terlihat ceria. Sisi humor dan sebarang perlakuannya yang menggeletek hati juga masih kekal dalam diri tanpa ada sedikit perubahan.

Dia sedar, menghibur jiwa-jiwa berada di sekelilingnya sejak 16 tahun lalu, itu sudah menjadi tanggungjawab harus dilunaskan sementelah dia dianugerah bakat sebagai pelawak.

Namun dalam kegembiraan itu, ada kecamuk rasa meribut di ruang hati pemilik nama berdaftar Mohd. Saiful Azam Mohamed Yusoff. Jelas sekali, dia bingung, terkilan dan tertanya status diri selepas beritanya ditahan reman oleh pihak berkuasa kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah bertebaran pada Jun lalu.

Hampir dua bulan Saiful Apek dilepaskan dan kini berada dalam jaminan polis sementara menanti siasatan dijalankan, dia keliru dengan kedudukannya sama ada digam oleh stesen-stesen televisyen dan radio atau sebaliknya.

Lantaran itu, ada beberapa perancangan bermain di laut fikirnya terbatas dan dibiarkan berlalu begitu sahaja.

“Selepas insiden tempoh hari, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim. Saya harap beliau dapat menjelaskan situasi ini.

“Sejujurnya, saya rasa terkontang-kanting berdepan dengan perkara ini sampaikan tidak tahu hendak berbuat apa-apa.

“Saya tidak menyalahkan para penerbit yang menjauhi. Barangkali, mereka bimbang hendak menawarkan peluang kepada saya kerana beranggapan Saiful Apek digantung gara-gara masih berada dalam pengawasan.

“Cuma, saya tidak nampak diri ini digam kerana wajah saya masih ada dalam medium berkenaan selepas kejadian malang ini.

“Malah, saya juga pernah bertanya hal sama kepada Kementerian Dalam Negeri. Jawapan diterima mengelirukan. Difahamkan, mereka sedang memikirkan isu ini kerana ia melibatkan indvidu berprofil tinggi. Entahlah, saya sendiri kabur,” tegasnya ketika ditemui pada rakaman raya Line Clear Motion Pictures di Shah Alam, Selangor hujung minggu lalu.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu turut menjeruk rasa apabila tiada mana-mana persatuan karyawan seni tampil ke depan untuk menghulurkan bantuan tatkala dirinya dirundung musibah. Layanan kurang adil dan saksama ditunjukkan oleh penghuni industri membuatkan Saiful Apek kecewa.

“Kalau merujuk kembali zaman Kesultanan Melayu Melaka, Hang Tuah yang dijatuhi hukuman bunuh atas kesalahan memfitnah bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh Bendahara. Justeru, saya mempersoalkan kepada diri sepanjang tempoh ini –

di mana Bendahara yang ingin datang menghulurkan pertolongan?

“Setakat ini, hanya wakil Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez cuba menawarkan bantuan kepada saya untuk menyelesaikan kekusutan dihadapi. Dalam waktu sama, terfikir juga, ke mana pula perginya orang yang sebangsa dalam keadaan saya ditimpa kesusahan sehinggakan sukar meneruskan kerja seperti biasa?

“Tidak dinafikan, ada ramai individu yang mengambil berat terhadap saya. Saya boleh nampak siapa yang mahu membantu dan amat menghargainya. Tetapi, malang sekali kerana apa kuasa mereka hendak bawa hal ini kepada pihak tertentu?” soal Saiful Apek yang mengakui masih trauma berada dalam kediamannya sendiri selepas menjalani momen gelap itu.

Tidak hanya mempertikaikan sikap mengambil mudah segelintir sahabat seperjuangannya, Saiful Apek dengan nada merendah diri sempat meluah rasa kepada pihak media yang duduk di depannya. “Saya naik dan mengecap populariti sepanjang waktu ini kerana peminat. Oleh itu, saya ingin bangun semula semata-mata sebab mereka.

“Apa yang saya hidangkan menjadi makanan kepada orang ramai. Mereka tergelak mendengar lawak atau menonton lakonan saya, ia dianggap sebagai santapan buat jiwa masing-masing.”

Pada waktu sama, Apek sempat memanjatkan kesyukuran kerana dia dalam proses membuat perbincangan untuk melibatkan diri dalam filem, Cicakman 3 dijadualkan menjalani penggambaran pada tahun depan.

Lebih mengujakan, dia turut meneruskan perjalanan program Gitu -Gitu Apek, Hua... Hua... Hua... di Astro dan Gitu-Gitu Rock Era untuk Radio Era.

Dua filem melibatkan Saiful Apek iaitu Magika bakal ditayangkan tidak lama lagi, manakala Raya Tak Jadi pula bertandang di pawagam berhampiran pada Hari Raya Aidilfitri 2011 bergandingan dengan Yassin dan Johan Raja Lawak.

Sepatutnya sudah memulakan kerja amal, Saiful Apek bagaimanapun sedang menunggu lampu hijau daripada Agensi Antidadah Kebangsaan dan Kementerian Dalam Negeri untuk terlibat dalam kempen menyedarkan orang awam agar menjauhi najis dadah.

Dia tidak sabar lagi untuk memberi kefahaman lebih jelas berhubung perkara berkenaan.

“Agak ralat apabila saya tidak dapat maklum balas daripada pihak-pihak ini. Ini yang menguatkan naluri bahawa saya sepertinya tidak diberi perhatian.

“Kalau boleh, saya hendak memulakan kerja kebajikan ini secepat mungkin. Sampai bila agaknya saya harus kena menanti,” luah Saiful Apek dalam nada perlahan sambil menyembunyikan kekesalannya.

Sementara itu, bulan Ramadan membuatkan bapa kepada dua hero – Mohd. Riyadh Aslam, 15, dan Mohd. Radzin Aiman, 12, mempersiapkan diri untuk melibatkan diri dalam bisnes.

Bukan perkara baru bergelar usahawan, Saiful Apek sebaliknya pernah berniaga dan membuka gerai sepanjang bulan puasa sebelum ini.

Dilahirkan pada 12 Mei 1969, selain berehat pada bulan ini, Saiful Apek sedang membuat perancangan sama ada untuk membuka perniagaan kecil-kecilan di sekitar Putrajaya atau Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Biarpun belum mengenal pasti apa yang ingin dijual, dia sebaliknya cukup teruja untuk bertemu dengan peminat.



“Macam sebelum ini, saya pernah jual kuih raya. Sudah pasti saya tidak sabar untuk menjalankan perniagaan ditambah saya akan menghabiskan banyak waktu berada di bazar Ramadan ini.

“Selain itu, Insya-Allah, saya akan melibatkan diri pada majlis berbuka puasa dengan anak-anak yatim atau orang-orang tua dalam waktu terdekat.

“Tidak ketinggalan, saya juga akan turun padang mempromosi filem terbaru, 4 Madu arahan Profesor Madya A. Razak Mohaideen yang bakal ditayangkan pada Hari Raya Aidilfitri ini,” tutur Apek yang bergandingan dalam filem tersebut dengan Rozita Che Wan, Fasha Sandha, Rosnah Mat Aris, Ayu Raudhah, Sazzy Falak, Almy Nadia, Marsha Milan Londoh dan Bienda.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)