Ashraf tak meragui Bunga


SEJAK berhijrah untuk berlakon di negara jiran, Indonesia, sudah lama pihak media Malaysia tidak berjumpa dan menemu bual pelakon kacak Ashraf Sinclair. Apatah lagi sejak berlakon sinetron Indonesia, masanya begitu suntuk untuk meluangkan masa di tanah air sendiri.

Kebetulan pula, pada Sabtu lalu, Ashraf telah mengendalikan sebuah ceramah, Acting Save My Life di bawah anjuran syarikat SinclairFalak bersama Sazzy, Aishah Sinclair dan Bob.

Para remaja yang hadir ke bengkel tersebut dilihat begitu seronok dengan ceramah dan aktiviti yang dilakukan. Ternyata Ashraf bijak mengendalikan ceramah dan pandai mengambil hati peserta.

Mengambil peluang yang ada untuk menemubual pelakon berusia 31 tahun itu, Ashraf sempat meluangkan masa untuk menceritakan tentang kehidupan barunya di Indonesia bersama isterinya, Bunga Citra Lestari yang kini sedang mengandung tujuh bulan.

Bagaimanapun, kehidupan Ashraf dan Bunga ketika ini sedikit tidak tenang memandangkan Bunga sedang hangat diperkatakan kononnya turut terlibat sebagai salah seorang pasangan Ariel Peterpan dalam koleksi video lucahnya.

Seperti dapat mengagak soalan yang ingin diajukan, Ashraf tersenyum dengan soalan-soalan media dan menjawab dengan tenang. Katanya, tiada apa yang perlu dirisaukannya kerana dia percaya Bunga tidak ada kaitan langsung dengan video lucah tersebut.

"Kami sememangnya tahu tentang sejarah lama masing-masing. Tak mungkin Bunga terbabit kerana Ariel juga merupakan teman rapat saya.

"Bunga tidak ada kaitan dengan Ariel dan mereka sekadar berjumpa kerana kerja dan pernah berduet bersama. Saya rasa, mungkin orang menganggap Bunga mempunyai kaitan dengan video tersebut kerana mereka berdua pernah digosip bercinta.


"Lagipun saya tidak pernah meragui Bunga. Malah, sehingga kini tiada bukti-bukti yang jelas dan tiada sebab untuk kami takut mengenai isu tersebut," tegas Ashraf.

Tambahnya, selepas isu berkaitan isterinya itu tersebar luas, Ashraf dan Bunga terkejut sebelum berbincang cara untuk menangani masalah itu.

Malah dia faham, sebagai selebriti, kontroversi merupakan salah satu rencah kehidupan yang perlu dilalui walaupun pahit untuk ditelan.

"Kami ambil hal ini secara positif dan menganggap kontroversi tersebut adalah satu berita gembira buat kami kerana kisah kami sentiasa diberitakan.

"Lagipun kami tidak perlu melatah jika tidak bersalah. Kalau nak diikutkan, kontroversi yang tercetus di Hollywood atau Bollywood lebih dahsyat.

"Dalam pada itu, melalui kontroversi juga membuatkan industri hiburan di Indonesia boleh sukses," ujarnya.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)