Jennifer Aniston diselar O'Reilly


NEW YORK - Gara-gara komennya tentang isu ibu tunggal, aktres Jennifer Aniston telah dilabelkan sebagai 'pembawa kemusnahan dalam masyarakat' oleh pengkritik politik terkenal, Bill O'Reilly.

O'Reilly,61, yang juga merupakan hos program temu bual di Fox News Channel, The O'Reilly Factor mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai reaksi terhadap kenyataan Aniston tentang fungsi golongan lelaki kepada kaum wanita.

Aniston,41, membuat kenyataan itu ketika mempromosi filem terbaru lakonannya, The Switch yang berkisar tentang teknologi permanian beradas di Los Angeles pada minggu lepas.

"Wanita hari ini semakin sedar bahawa mereka tidak lagi perlu berkahwin dan mereka tidak perlukan lelaki untuk mendapatkan anak," ujar Aniston.

O'Reilly yang telah mengadakan persidangan meja bulat bagi membincangkan tentang kenyataan Aniston itu memberitahu akhbar New York Daily: "Aniston telah melemparkan mesej kepada kanak-kanak bahawa kita semua tidak memerlukan lelaki dan bapa."

Tambahnya: "Itu (kenyataan Aniston) suatu kemusnahan kepada masyarakat kita. Dia menidakkan peranan seorang bapa."

O'Reilly juga mencabar Aniston untuk muncul dalam program kelolaannya itu untuk menjelaskan tentang kenyataan itu.

"Jika dia mahu menjelaskan tentang kenyataannya itu, dia boleh masuk ke sini (program The O'Reilly Factor)," tegasnya.

Aniston dalam kenyataan balasnya menerusi People.com pula berkata: "Menjadi ibu bapa adalah pekerjaan yang paling rumit di dunia ini. Sudah tentu, ramai wanita ingin bertemu dengan lelaki idaman mereka, tetapi bagi wanita yang belum bertemu lelaki seperti Bill O'Reilly, saya berbangga kerana sains telah mewujudkan pilihan."

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)