Konsert bersiri Sheila Majid


DI laut fikirannya, tidak pernah surut impian untuk merealisasikan konsert berskala gergasi sempena merayakan tahun ke-25 penglibatannya dalam belantika seni. Biar harus menantikan sedikit waktu sebelum ia jadi nyata, penghibur tersohor negara, Datuk Sheila Majid dengan segudang harapan yakin angan-angannya mampu dilaksanakan tidak lama lagi.

Tidak mudah kecoh dengan soal penajaan daripada syarikat korporat kurang menyebelahi, artis berprofil tinggi itu bagaimanapun menganggap setiap yang berlaku punya hikmah tersendiri. Sebagai manusia biasa, Sheila pasrah jika takdirnya menjayakan konsert besar-besaran terilham bermula awal tahun lalu belum bertandang di depan mata. Optimis, akuinya.

Umum mengetahui, anak bongsu daripada lapan beradik itu berhasrat membuat konsert di Stadium Negara, Kuala Lumpur. Malah, dia sudah memilih tarikh untuk acara berkenaan iaitu 27 November depan. Relevannya, ia menjadi angka keramat Sheila beraksi di Konsert Legenda di tempat yang sama pada tahun 1991.

Sudah terbiasa mengamal sikap bersabar, wanita genit berusia 45 tahun itu menerima perkhabaran lain yang amat membahagiakan. Gembiranya tidak terluah apabila ditawarkan kesempatan menghibur di Dewan Filharmonik Petronas selama dua malam berturut-turut pada 1 dan 2 Oktober ini. Lihat, agenda seni Sheila diatur cukup indah walau emosinya sebelum ini terpercik untuk membikin konsert.

Bukan berputus harap atau penat memukul canang hal konsert yang terkadang sukar terjelang. Anak jati Kuala Lumpur itu sebaliknya beranggapan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas yang berlokasi dalam perut Menara Berkembar Petronas sebagai usaha alternatif bagi menjayakan persembahan khas didedikasikan buat tatapan peminat.


“Alhamdulillah, sebelum ini saya selalu ada keinginan untuk buat persembahan sambil diiringi pemuzik orkestra di Dewan Filharmonik Petronas. Agaknya sebab belum dapat menjayakan konsert sempena 25 tahun berada dalam industri, Allah terlebih dahulu memperkenankan doa saya untuk menghibur di dewan cukup berprestij ini.

“Saya anggap ini sebagai rahmat yang tidak terhingga daripada-Nya. Sudah pasti saya sangat terharu dapat beraksi dengan alunan orkestra penuh dalam Dewan Filharmonik Petronas yang merupakan sebuah lokasi menarik didatangkan sistem audio hebat,” jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran album Sinaran Raya di Pavilion, Kuala Lumpur minggu lalu.

Digabungkan pesona dan karismanya di atas pentas gah tersebut ditambah penyatuan bunyi-bunyian mengasyikkan daripada himpunan pemuzik orkestra, persembahan di Dewan Filharmonik Petronas bakal memperlihat sisi lain dengan konsert dijalankan di Pusat Konvensyen Jakarta, Senayan, Indonesia yang akan diadakan 23 September ini.

“Saya berlatih untuk konsert di Dewan Filharmonik Petronas bermula minggu depan di samping ada beberapa pemuzik dari negara seberang yang saya bawa sekali. Mereka merupakan pasukan sama terlibat dengan konsert saya di Jakarta. Selepas itu, saya akan menyambut Hari Raya Aidilfitri selama dua hari dan sambung semula latihan.

“Tempoh menjayakan konsert di Jakarta dan selang seminggu seterusnya menyanyi di Dewan Filharmonik Petronas bagaimanapun tidak membimbangkan saya. Rasa bersyukur sangat kerana sudah bersedia untuk menghiburkan peminat di Indonesia. Sekarang, tumpuan saya hanya konsert 23 September ini.


“Selepas semua selesai, baru saya akan memfokuskan semula untuk persembahan di Dewan Filharmonik Petronas. Saya akan mendendangkan sebanyak 21 buah lagi pada konsert di Jakarta dan 20 di Kuala Lumpur pada 1 dan 2 September ini,” jelasnya yang bakal berangkat ke Perth, Australia, November ini bagi mengadakan persembahan.

Dalam waktu sama, kerinduan pemilik nama berdaftar Shaheila Abdul Majid untuk bertamu di rumah jiran, di Kota Singa nampaknya tiada lagi mencengkam apabila dia bakal mengadakan konsert di Esplanade Theatre, Singapura 18 Disember ini. Ujarnya: “Ini menjadi satu lagi penghargaan kepada saya. Tidak sabar untuk menghiburkan peminat di sana.”

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)