'Labah-labah' dalam lokap


GEROMBOLAN semut, lipas dan serangga kecil berbentuk seperti kala jengking. Hanya itulah antara benda-benda hidup yang menemani Raja Azmi Raja Sulaiman ketika dia terpaksa tidur semalaman di lokap Balai Polis Pandan Indah, Kuala Lumpur pada malam Jumaat lepas.

Penerbit filem kontroversi berusia 51 tahun itu ditahan di lokap tersebut atas dakwaan polis mempunyai waran tangkap ke atasnya daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ekoran Raja Azmi tidak hadir satu perbicaraan pada 21 Julai lalu berhubung satu kes tuntutan jual beli tanah beberapa tahun lalu.

“Ia merupakan suatu pengalaman pedih,” luah Raja Azmi yang dihubungi menerusi panggilan telefon. Kala itu terdengar suara tangisannya menandakan emosi kesedihannya yang amat sangat impak pengalaman hitam ditahan di lokap masih belum reda sepenuhnya.

Memperincikan detik-detik berada dalam lokap itu, figura yang cukup sinonim dengan labah-labah itu menjelaskan dia pada mulanya ditahan di lokap bersama dua wanita lain.

“Selepas 15 minit kemudian, barulah Kak Mi dipindahkan ke lokap individu. Sebaik melangkah masuk, Kak Mi dapat merasakan betapa keadaan di dalamnya sangat sejuk.

“Apatah lagi ketika itu Kak Mi hanya memakai baju penjara berwarna ungu cair. Kain sutera yang sebelum ini disarung oleh Kak Mi dibenarkan terus memakainya, tapi kainnya sangat nipis, sudah pasti tidak dapat menahan kesejukan dalam lokap itu,” ujar isteri bekas jaguh badminton negara, Jalani Sidek,46, itu.

Tambah Raja Azmi: “Apatah lagi ketika itu Kak Mi dengar hujan turun dengan lebatnya di luar lokap, justeru kesejukan daripada hujan yang turun menderu itu masuk ke dalam lokap menerusi jaringan tingkap lokap tersebut.

“Selain sejuk, simennya pula licin, ada satu mangkuk tandas, tapi ruangan tandas diasingkan oleh penghadang batu-bata. Tiada katil, tilam, bantal mahupun selimut.


“Apa yang dapat Kak Mi rasakan semuanya sejuk. Berdiri sejuk, menyandar pun sejuk, apatah lagi duduk.”

Menurut Raja Azmi, sebenarnya lokap yang menempatkan dirinya itu berada di bahagian dalam selepas perlu melalui empat pintu besi.

“Namun, Kak Mi cuba tenangkan fikiran dan kuatkan semangat dan menerima apa yang dialami itu adalah ujian Allah terhadap Kak Mi, apatah lagi di bulan Ramadan yang mulia ini,” luahnya.

Bercerita mengenai pengalamannya berbuka puasa di lokap, Raja Azmi memberitahu: “Dalam 10 minit berada dalam lokap itu, tiba waktu berbuka puasa, Kak Mi diberikan nasi, sup ayam, sayur rebus dan air sirap - semuanya dalam plastik serta sebiji roti bulat.

“Alhamdulillah selepas makan, Kak Mi rasa okey dan bertenaga sikit. Dan Kak Mi bersyukur, Kak Mi boleh dengar dengan jelas suara azan dilaungkan di luar lokap tersebut.

“Selepas habis berbuka Kak Mi solat Maghrib, biarpun tanpa telekung sembahyang, Kak Mi tetap solat dengan menggunakan tuala kecil yang diberikan polis sebagai sejadah. Kiblat Kak Mi tak pasti tetapi Kak Mi solat membelakangi mangkuk tandas tersebut.”

Solat tarawih

Dalam pada itu air mata raja Azmi terus mengalir laju, “Sementara menunggu waktu Isyak, sambil menangis, Kak Mi tidak putus-putus berdoa semoga suami Kak Mi, Abang Jack (Jalani) dapat menjamin keluar Kak Mi daripada lokap pada malam itu juga. Tapi tunggu punya tunggu tiada apa-apa perkembangan. Justeru, selepas terdengar azan Isyak, Kak Mi pun solat sebelum menunaikan solat tarawih,” cerita Raja Azmi.

Tidak sempat menghabiskan solat tarawih, dia tiba-tiba diserang migrain. “Kak Mi memang ada penyakit migrain, kena makan ubat. Sebab itu, Kak Mi pun terus beritahu pegawai lokap itu bahawa Kak Mi mahu menelefon Abang Jack supaya bawa ubat untuk Kak Mi. Sebelum itu, Kak Mi kata, ‘kenal tak saya, saya ni isteri Jalani Sidek’. Pegawai penjara memberitahu dia kenal siapa Kak Mi tapi masalahnya disebabkan emosi Kak Mi ketika itu tak stabil, Kak Mi tidak berapa ingat nombor telefon bimbit Abang Jack. Kak Min bagi beberapa nombor.

“Nasib baik polis dapat menghubungi Abang Jack. Itupun pada pukul 4.15 pagi, lalu dia pun menyuruh adik angkat kami, Roslin Hashim menghantar ubat kepada saya di lokap kerana Roslin yang tahu jalan ke sini, ” tuturnya.

Kata Raja Azmi, ubat itu hanya dihantar pada pukul 4.45 pagi. “Bagi sakit migrain, Kak Mi makan dua jenis ubat- dua biji bagi setiap jenis.”

“Sebelum dapat ubat itu, Kak Mi memang tidak boleh tidur. Sudahlah sejuk di lantai banyak semut dan serangga kecil yang berbentuk seperti kala jengking, serta lipas-lipas berkeliaran dalam mangkuk tandas.

“Namun, akibat keletihan Kak Mi terlelap seketika tetapi macam tidur-tidur ayam sebelum dikejutkan untuk mengambil ubat migrain Kak Mi itu,” katanya.

Sejurus selepas itu, tiba masa untuk bersahur. “Kak Mi diberikan nasi, kari ayam, sup sayur dan teh O panas,” beritahunya.

Tambahnya: “Kemudian Kak Mi diberikan sabun mandi kecil, ubat dan berus gigi serta baju sutera Kak Mi semula untuk hadir ke mahkamah.”

Ketika keluar dari Balai Polis Pandan Indah itu, Raja Azmi tidak menyangka ramai jurugambar dan wartawan sedang menunggu dirinya.

“Ketika foto saya diambil dalam kereta polis untuk ke mahkamah itu, saya kelihatan seperti menutup muka kerana malu, tetapi ia tidak benar. Kak Mi sebenarnya sedang memicit kepala kerana masih diserang migrain,” ujarnya.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)