Lambaian Anne


BARU tiga bulan bergandingan dengan Kieran, penyampai radio kecil molek, Putri Andreanna Syigim Mohd Razalli atau lebih mesra disapa Anne, 29, terpaksa mengucapkan selamat tinggal.

Pasangan yang melangsungkan perkahwinan pada 11 Jun lalu ini bakal bermastautin di bandar mewah itu sekurang-kurangnya empat tahun dan dijangka kembali ke tanah air pada 2014.

Dalam gembira, ada rasa sedih merantai jiwa Anne kerana banyak pengorbanan terpaksa dilakukan, termasuk kerjaya dan berjauhan daripada keluarga tercinta. Rasa sayu makin dirasai apabila rancak melakukan persiapan apatah lagi ramai teman, khususnya di Hot FM, turut sedih dengan perpisahan itu.

“Memang sebelum kahwin ada dengar ura-ura suami akan ditukarkan ke Doha tetapi tidak sangka secepat ini. Tiga minggu lalu suami menerima surat pengesahan memaklumkan pertukaran itu dan dia minta saya bersedia.

“Mungkin dari awal tahun perkara ini sudah disebut-sebut jadi saya tidak terkejut, tetapi sedikit terkilan apabila diberitahu dalam masa singkat. Kalau ikutkan, saya berharap biarlah sempat beraya dengan keluarga terlebih dulu tapi apa boleh buat, hajat ini tidak kesampaian.

“Suami perlu diutamakan dan saya terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga, karier dan teman rapat,” katanya yang manis bertudung.

Empat tahun bertugas sebagai penyampai radio Hot FM, anak bongsu daripada dua beradik yang pernah bertugas di konti Red FM ini dengan rela hati melakukan pengorbanan besar biarpun cintanya terhadap karier yang diceburi cukup tebal.

Tanggal 20 Ogos ini berakhirlah tugasnya sebagai teman gandingan Kieran mengendalikan segmen Hot FM Jam yang ke udara dari jam 4 petang hingga 10 malam setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad.

“Kalau ikutkan memang ralat sebab saya sudah lama dalam bidang ini. Tamat saja pengajian, saya terus bekerja. Bila sudah biasa sibuk tidak mengira siang malam, kekok pula bila fikir saya tidak bekerja bila berpindah ke Doha nanti.

"Bila suarakan perkara itu kepada suami, dia cakap sebenarnya banyak perkara yang saya boleh buat termasuk menyambung pengajian, mengintai peluang kerja di sana atau berniaga secara talian (on-line). Kebetulan pula sebelum ini saya aktif menjual pakaian di blog, jadi ia satu idea bernas.

“Dalam masa sama, saya cuba melihat perubahan besar dalam hidup ini daripada sudut positif. Selepas sekian lama bekerja keras, apa salahnya saya berehat untuk beberapa tahun. Dalam tempoh itu, macam-macam yang saya tidak sempat buat sebelum ini boleh saya lakukan,” katanya.

Bercerita mengenai reaksi teman setugas, Anne berkata, Kieran adalah teman pertama tahu dia bakal berhijrah ke Doha. Biarpun terkejut dan merungut terpaksa mencari teman gandingan baru bagi mengendalikan segmen Hot FM Jam, jejaka itu yang bakal menimang cahaya mata kedua September depan tumpang gembira dan melihat perkembangannya sebagai anjakan positif dalam kalendar hidup.

“Tak sangka ‘jodoh’ saya dan Kieran hanya tiga bulan. Terus-terang, saya suka bekerja dengan Kieran kerana dia sangat kreatif dan sentiasa menghasilkan idea spontan yang sangat menarik. Jika berlaku kesilapan, dia yang biasanya jadi penyelamat keadaan. Biarpun serius dan garang, bekerja dengannya buat saya jadi lebih matang.

“Dalam ramai, Tinie paling suka bila mendengar perkhabaran ini. Mungkin kerana pernah menetap di luar negara untuk menyambung pengajian, dia menyifatkan saya bertuah kerana dapat menetap di Doha.

“Teman lain pun tumpang gembira tetapi dalam masa sama sedih kerana terpaksa berpisah. Biasalah, warga kerja di Hot FM rapat bagaikan sebuah keluarga, jadi bila seorang tiada, pasti kehilangan itu sangat dirasai.

“Biarpun ke Doha, saya akan pastikan hubungan dengan teman di Hot FM tidak terputus. Dengan adanya teknologi canggih, jarak bukan penghalang kerana kami masih boleh berhubung untuk berkongsi khabar dan perkembangan terkini,” katanya.

Bakal menyambut Aidilfitri di Doha, Anne tidak ketinggalan berkongsi perasaan sedihnya yang terpaksa berjauhan dengan keluarga di hari mulia itu. Sementelah, dia sangat rapat dengan sanak saudara, sudah semestinya sambutan kali ini tidak semeriah sebelumnya.

“Jadi kemestian setiap kali menyambut raya saya akan berkumpul dengan mereka, tetapi kali ini hanya saya dan suami beraya di Doha. Pasti janggal rasanya biarpun saat itu sepatutnya jadi kenangan terindah kerana ini kali pertama saya beraya sebagai isteri.

“Saya akan pastikan ibu saudara tahu menggunakan segala teknologi komunikasi yang ada supaya memudahkan kami berhubung apabila berjauhan nanti. Setidak-tidaknya di hari raya, kami masih boleh menatap wajah masing-masing di Internet dan bertukar-tukar cerita.

“Saya ada juga merujuk dengan teman yang pernah menetap di Doha. Kata mereka, sambutan raya di sana biasa saja kerana masyarakat di sana lebih mengimarahkan Ramadan. Saya tidak kisah, yang penting pada hari raya nanti saya dan suami dapat berhubung dengan keluarga dan teman,” katanya.

Menyentuh perubahan penampilannya yang kini anggun bertudung, Anne berkata, hasrat berhijrah itu sudah lama ditanam. Bukan atas desakan suami atau kerana mahu berpindah ke Doha, sebaliknya ia lahir tulus dari jiwa.

Tanggal 12 Julai lalu, dia nekad menutup terus rambutnya daripada dilihat bukan muhrim dan terbukti dia kini lebih tenang dalam melayari hidup.

“Semua, keluarga dan kawan menyokong perubahan ini, malah ramai cakap saya nampak lebih tenang sejak bertudung. Kalau dulu saya sedikit kelam-kabut orangnya, kini segala-galanya lebih tersusun dan teratur.

“Hari pertama mengenakan tudung, terasa damai di hati. Sukar untuk saya gambarkan perasaan itu dengan kata-kata, hanya Allah yang lebih mengetahui.

“Ramai juga pendengar Hot FM terkejut dengan perubahan ini. Lima hari selepas pakai tudung, saya dan Kieran mengendalikan segmen Hot FM Jam di luar konti di tapak Pesta Flora di Putrajaya. Ramai tanya adakah saya penyampai radio baru dan bila perhatikan betul-betul, baru mereka perasan saya sudah berubah penampilan.

“Lebih kelakar, ada yang pusing dua tiga kali untuk memastikan orang yang mereka lihat adalah saya. Alhamdulillah, rata-rata suka dengan perubahan ini,” kata Anne.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)