Liz bakal kahwini gay?


“IA bakal menjadi perkahwinan terbaik Elizabeth Taylor,” tegas dan penuh berkeyakinan sekali bicara Jacqualine atau Jackie Stallone. Penilik nasib selebriti yang juga ibu kepada pelakon filem aksi tersohor, Sylvester Stallone itu membuat ramalan mengenai primadona Hollywood, Elizabeth Taylor, 78, yang dijangka bakal berkahwin buat kali kesembilan dengan Jason Winters, 49.

Perbezaan umur sebanyak 29 tahun? Tiada masalah di Hollywood, khususnya bagi Liz yang sudah berpengalaman berkahwin sebanyak lapan kali. Malah, Jackie yang dikatakan antara tetamu yang dijemput pada majlis perkahwinan Elizabeth atau Liz dan Jason itu memberitahu BANG Showbiz: “Perkara yang paling luar biasa ialah Liz sudah lama hidup solo! Saya fikir perkahwinan kesembilannya ini merupakan yang paling normal berbanding kesemua perkahwinannya sebelum ini - kerana dia berjaya membebaskan diri daripada kejahilannya (tentang perkahwinan) selama ini.”

Tambah Jackie: “Liz tidak berminat lagi dengan karier lakonannya, dia juga kini tidak gemar berparti apatah lagi berlibur satu bandar. Perkara-perkara yang paling penting dalam hidupnya dulu, kini bukan lagi sebegitu.

“Justeru, masuk akal bagi Liz untuk berkahwin sekarang ini. Dia mahukan sesuatu yang lain daripada 20 tahun lalu, tapi dalam peringkat usianya kini dia sudah bersedia untuk benar-benar melarutkan diri di alam perkahwinan.”

Lain pula ramalan seorang lagi penilik nasib terkenal iaitu Anthony Carr. Anthony menulis menerusi kolumnya dalam akhbar Toronto Sun menegaskan: “Saya dapat merasakan perkahwinan Liz dan Jason nanti akan sama dengan nasib perkahwinan Liza Minnelli dan David Gest.

“Malangnya, saya tidak meramalkan perkahwinan mereka akan berakhir penuh bahagia.

Ia akan berlangsung penuh romantik untuk seketika tetapi ia tidak akan berkekalan. Namun, Liz berada dalam keadaan sihat dan bersedia untuk berkahwin lagi, meskipun media banyak melaporkan tentang tahap kesihatannya yang menurun sejak akhir-akhir ini.”



Berenang dengan jerung

Hubungan Liz dan Jason mulai hangat diperkatakan sejak dua tahun lepas selepas kedua-dua mereka - dengan Liz duduk di atas kerusi roda seringkali muncul bersama pada acara-acara rasmi di sekitar Los Angeles.

Namun, desas-desus perkahwinan mereka mulai tercetus pada April tahun ini apabila Liz dikatakan telah bertunang dengan Jason sebagai persediaan untuk perkahwinan mereka yang bakal berlangsung pada tahun ini juga.

Liz kemudian tampil menafikan gosip tersebut. Gosip sebelum ini bertiup kencang apabila sumber mendedahkan Liz dan Jason yang juga merupakan pengurus Liz dan Janet Jackson itu sedang kemaruk bercinta.

Jason dalam pada itu sebenarnya seorang jutawan dan ketua syarikat pencari dan pengurusan bakat yang berpusat di Los Angeles, Strling Winters Management dan sumber berkata, Jason telah membelikan sebuah kediaman mewah di Hawaii untuk Liz, khusus buat mereka menghabiskan masa berkualiti bersama di sana.

Malah sejak rapat dengan Jason, Liz menjalani kehidupan penuh ceria dan sihat, terutamanya apabila foto pemenang dua kali Oscar itu berenang dengan sekumpulan jerung di perairan pantai Hawaii sekitar September, 2007 berjaya dirakam paparazi.

Namun sumber lain pula mendedahkan cerita yang lebih kontroversi, mendakwa perkahwinan itu adalah sesuatu yang dirancang - versi Hollywood! Ini kerana Jason yang sebelum ini diperkenalkan kepada Liz oleh sahabat Liz dan abang Janet iaitu mendiang Michael Jackson sebenarnya adalah seorang gay! Ia disokong oleh fakta bahawa tiada sebarang maklumat mengenai perkahwinan Jason sebelum ini.

Lebih teruk, Jason juga dikatakan mahu merampas aset bernilai 40 juta pound sterling (RM198 juta) milik Liz daripada empat anaknya.

Spekulasi juga mendakwa Liz mahukan publisiti dan mahu dirinya menjadi bahan berita hangat kerana dia mahu kembali berlakon. Liz dikatakan mahu merebut peluang melakonkan karakter Norma Desmond dalam sebuah filem bajet mega, yang dikatakan merupakan versi filem klasik Sunset Boulevard yang dibikin semula. Aktor Colin Farrell dikatakan bakal melakonkan watak utama lelaki.

Disebabkan Liz mengetahui dia bakal bersaing bagi merebut karakter tersebut dengan nama-nama gah Hollywood termasuk Glenn Close, Meryl Streep dan Barbara Streisand, Liz dikatakan begitu terdesak untuk meraih publisiti hangat yang mampu menjadi faktor penentu siapakah yang bakal melakonkan karakter Norma Desmond yang pernah dilakonkan oleh aktres Gloria Swanson itu.

Sama ada perkahwinan kesembilan Liz bakal menjadi kenyataan atau adakah ia merupakan suatu lagi pakatan publisiti versi Hollywood, perkembangan selanjutnya mengenai diri Liz adalah sesuatu yang menarik untuk diikuti.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)