Mahu bawa isteri buat haji


SEMALAM, tepat pukul 3 petang, pelakon popular, Fahrin Ahmad melangkah kaki keluar dari negara tercinta ini menuju ke rumah Allah bagi mengerjakan umrah. Gagah membawa sekeping tubuh yang penuh nekad tanpa ditemani sesiapa, jejaka berusia 31 tahun itu mengunjungi ke Tanah Suci selama dua minggu dan kepulangannya pada hari raya ketiga nanti.

Bukan sengaja menjauh apatah lagi mahu meleraikan segenap kekusutan yang bersarang di jiwa, aktor terkenal dengan sikap peramah itu bagaimanapun mengambil kata putus untuk menyambut akhir Ramadan dan merayakan Hari Raya Aidilfitri di kota Mekah. Tiada sebarang niat lain. Dia sebenarnya sudah lama menanam impian tersebut. Cuma, baru sekarang dapat direalisasikan.

Biarpun portfolio Fahrin sebelum ini berbekam variasi kisah kontroversi, dia semahunya ingin menanggalkan daki bersisa yang terpalit.

Jika diizinkan Allah, anak kelahiran Skudai, Johor itu menginginkan keharmonian yang pernah sedikit tergugat itu mampu kembali mendatang dengan udara baru. Atau barangkali lebih melancarkan setiap sedutan nafasnya selepas ini.

“Saya ke sana kerana hendak cari ketenangan terbaik. Pada waktu sama, saya ingin berdoa sebanyak mungkin bagi kesejahteraan diri, keluarga dan rakan-rakan.

Malah, kegembiraan saya ini mencapai tahap kemuncak apabila kondisi kesihatan ibu saya beransur pulih selepas dia mengalami sakit tulang belakang dan berada di wad hampir sembilan bulan lamanya.

“Kalau berada di sana, perasaan setiap manusia terlahir dalam situasi yang berbeza. Setiap orang ada masalah sendiri. Cuma niat mereka kena betul.

“Kita hendak menunaikan ibadat dan bukan mahu menjadikan ia sebagai tempat merujuk masalah semata-mata. Begitupun, kita digalakkan untuk berdoa kepada Yang Maha Esa tambahan pula jika sedang menjalani apa jua bentuk ujian.


“Pada pendapat saya, kalau ada orang ingin melancong ke luar negara sebab hendak bawa diri, lebih baik mereka mengerjakan umrah lebih-lebih lagi 10 Ramadan akhir sentiasa disebutkan Allah mendengar setiap doa hamba-hamba-Nya,” luah Fahrin ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama 50 rakan laman sosial, Facebook miliknya dan 10 pelajar Tahfiz Al-Hidayah di Villa Ukhwah, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur minggu lalu.

Kunjungan Fahrin ke Tanah Suci merupakan kali keempat sepanjang hayatnya bermula 2007. Setahun kemudian, dia melawat lagi ke rumah Allah pada bulan puasa.

Bagaimanapun, dia tidak sempat menyambut 10 hari terakhir Ramadan di situ. Justeru, aliran darahnya mengalir laju untuk kembali menjalankan ibadat pada hari-hari sebelum tertutupnya pintu Ramadan 1431 dan memunculkan bayangan Syawal.

Hari Raya Aidilfitri buat kali pertama dia meraikannya ‘sebatang kara’, jelas Fahrin, dia sebaliknya belum mampu menebak sebenar situasi di Mekah pada waktu berkenaan. Tidak mampu berselindung, hatinya sendiri bergelora dan penuh tanda-tanya, menantikan kenyataan bakal bermain di depan matanya. Apa yang pasti, dia menyerahkan segala-galanya terhadap kuasa Sang Pencipta.

“Terus terang, saya hanya tahu perasaan ini ketika berada di sana pada hari raya nanti. Tidak boleh mahu digambarkan sekarang. Biar apa jua akan terjadi, saya redha.


“Ini kerana sudah lama saya memasang angan-angan hendak menyambut Ramadan dan Syawal di sana tambahan pula masih bujang,” jelasnya yang awal-awal lagi sudah memohon keizinan daripada keluarga tercinta.

Dalam diam, Fahrin pernah membayangkan angan-angan untuk mengerjakan haji dengan isterinya. Cuma, buat masa ini, belum ada sebarang petanda yang menampakkan sosok atau barangkali kelibat wanita pujaan hatinya itu hadir dalam waktu terdekat. Biar harus menantikan sedikit waktu atau berkemungkinan lebih lama, dia bagaimanapun tetap akur dengan segala takdirnya.

“Biar apa jua yang berlaku, cari jodoh menjadi tanggungjawab saya. Buat masa ini, hendak cakap saya tutup pintu hati, memang tidaklah. Tetapi, mahu cakap terlalu buka perasaan ini juga bukan. Saya akui tidak menolak untuk berkawan dengan sesiapa sekarang. Cuma, selepas ini, saya mahu tempoh percintaan kami lebih pendek dan matang sehingga kekal dunia dan akhirat,” santun tutur Fahrin.

Jurucakap produk pertama penjagaan kulit khusus untuk lelaki, Garnier Men sejak tahun lalu ini menjelaskan, dia lebih banyak berehat di rumah selepas penat bekerja beberapa bulan lalu. Sebelah malamnya pula usai waktu berbuka puasa, terisi dengan menunaikan sembahyang tarawih di masjid sementelah bulan ini punya keistimewaan berbanding bulan lain.

“Saya hanya mengambil satu tawaran, Pengantin Untuk Dijual yang bakal bersiaran 10 Oktober ini di saluran Astro Box Office. Sudah lebih seminggu saya menjalani penggambaran drama bersiri ini bersama Aqasha, Rita Rudaini, Kuza dan ramai lagi.

Membawakan watak sebagai Danial, saya berdepan konflik sehingga berdendam dengan Firdaus (Aqasha).

“Tidak ketinggalan, saya cukup merindukan tugas mengacara. Ada menerima pelawaan sebelum ini. Tetapi, saya kena menolak sebab terikat dengan jadual lakonan tanpa henti. Selepas raya, saya mahu mempertimbangkan semula tawaran bergelar hos,” akui Fahrin yang sempat beberapa kali menghadiri undangan berbuka puasa dengan anak-anak yatim dan warga tua di ibu negara.


credit;http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0830&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)