Masih terbawa skil Mus


TIDAK banyak yang mampu dikongsikan. Tidak luas juga pemikiran yang dilontarkan. Sebaliknya, sepatah pertanyaan yang diajukan, sepotong ayat dibalas jadi jawapan.

Selepas bergelar protege kepada rockers popular, Mus May untuk sebuah pertandingan realiti TV, Ayim atau nama sebenarnya Haimie Napsun tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Baginya, perjalanan yang selama ini dinanti-nantikan sudah bertemu titik mula.

Tidak sampai ke tangga finalis, juara jauh sekali, tetapi itu juga bukan satu halangan. Sebaliknya anak kelahiran Sabah ini optimis untuk mengeluarkan single pertama, Selalu Dengan Mu yang diterbitkan sendiri oleh bekas mentornya Mus.

Bercerita lanjut mengenai persediaan menjadi penyanyi, jejaka berusia 19 tahun ini tidak dapat mengelak daripada bayangan Mus.

Belajar menyanyi, membuat persembahan dan terdidik dengan penampilan Mus May sepanjang berada dalam Mentor, akui Ayim, paling sukar dikikis adalah skil nyanyian.

"Dari segi penampilan dan gaya persembahan, saya berusaha dan cuba untuk menjadi diri sendiri tetapi sejak masuk program berkenaan, Abang Mus yang ajar saya bagaimana untuk menjadi penyanyi rock, jadi dari segi teknik vokal, mungkin susah untuk dikikis seratus-peratus.

"Saya akan perbaiki perkara itu, tapi mungkin akan ambil sedikit masa," katanya meminati jalur heavy metal rock sejak di bangku sekolah.

Sedar akan kemampuan dan kesesuaian dengan karakter sendiri, kata Ayim, dia tidak mampu untuk membawa jalur dan imej rock sebegitu ke atas dirinya. Jadi, modern rock dirasakan lebih kena dengan personalitinya.

Sebelum melihat potensi diri boleh menyanyi, Ayim awalnya meminati instrumen gitar sebagai medium meluah rasa.

Mencipta lagu dan lirik menjadi hobi sementelah Ayim bercita-cita meneruskan pengajian muzik di Akademi Seni Warisan dan Budaya Kebangsaan (Aswara).

"Saya meminati gitaris kumpulan Metalasia, Rizt. Bagi saya, dia ada keunikan tersendiri ketika memetik gitar. Kalau gitaris dari luar pula, saya suka tengok Steve Vai dan Yngwie Malmsteen. Mereka antara idola saya.

"Jadi, apabila dapat peluang bekerjasama dengan salah seorang idola saya, Rizt untuk single pertama saya ini, saya sangat bersyukur. Dapatlah saya belajar sedikit ilmu daripadanya," beritahu Ayim yang menjalani proses rakaman singlenya di Sinar Studio milik Mus.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)