Maya pencinta sejarah


SEMALAM, sehari sebelum Malaysia mencapai puncak kemerdekaan ke-53 tahun hari ini, Maya Karin rancak bercerita tentang jiwanya yang begitu mencintai sejarah, tentang kemerdekaan tanah bertuah Malaysia serta melampiaskan mimpi jika dia menjadi Perdana Menteri Wanita Malaysia pertama.

Dia teruja kerana tahun ini Malaysia sekali lagi akan menyambut ulang tahun dengan cara tersendiri. Bagi Maya, banyak revolusi yang telah terjadi sepanjang mencapai usia 53 tahun.

Diminta menyenaraikan lima perkara tentang Malaysia yang selalu dibanggakan, Maya memulakan ia dengan piramid klise.

“Saya tahu bunyinya memang sangat klise, berbilang bangsa. Tapi hal yang klise inilah yang telah menjadikan Malaysia begitu unik dan tidak diperoleh di negara lain. Yang kedua kerana makanan yang pelbagai, juga kerana kita mempunyai rakyat berbilang bangsa,” katanya.

Maya kemudian menyenaraikan antara hal yang dibanggakan dan dianggap telah merdeka pada masa kini adalah alam sekitar dan warisan Malaysia.

Sebagai aktivis yang memperjuangkan alam sekitar, Maya akui, kesedaran sivik masyarakat terhadap alam sekitar berbanding lima tahun lalu telah menunjukkan progres yang amat membanggakan. Ia sekali gus lambang kemerdekaan minda dan warisan yang Malaysia perolehi kini mampu dipelihara.

“Saya juga boleh katakan sikap masyarakat Malaysia, jika dibandingkan dengan masyarakat luar negara, kita boleh berbangga kerana tertib, sopan dan kemerdekaannya,” kata Maya sebelum memberitahu hanya ada satu sahaja hal yang dianggap belum merdeka baginya.

Katanya serius: “Industri hiburan. Hanya industri hiburan kita saja yang belum boleh dibanggakan dan dianggap merdeka. Ini kerana saya rasakan kadang-kadang banyak hal dalam industri menjadi remeh dan terlalu longgar misalnya daripada segi undang-undang dan hak perlindungan pekerja hiburan.


“Satu lagi yang membuat saya rasa industri hiburan tidak merdeka pada tahun ini adalah kerana terlalu banyak percanggahan dan pertelagahan yang berlaku sesama anak seni sejak awal tahun. Ia telah menjadi cermin yang kurang baik untuk industri kita,” katanya panjang lebar.

Bagi Maya, memahami dan mendalami erti merdeka itu amat besar maknanya. Kerana itu dia begitu mencintai sejarah. Lahir dalam sebuah keluarga yang mempunyai darah Eropah yang begitu megagungkan sejarah bangsa dan negara mereka, Maya terikut larut mencintai sejarah Malaya yang merupakan sebahagian daripada darah dagingnya sendiri.

Malah tanpa sedar, dia sendiri banyak terlibat dalam beberapa naskhah yang mengangkat isu sejarah seperti filem Hati Malaya : 1957, teater Natrah dan terbaru, Tamingsari.

“Saya sangat cintakan sejarah. Sayangnya tidak ramai yang bersikap sedemikian di negara kita sedangkan sejarah amat penting untuk perkembangan sesebuah legasi dan masyarakat.

“Kebetulan, saya boleh tumpahkan cinta dan sayang saya pada sejarah negara dengan membabitkan diri dalam naskhah-naskhah tentang negara dan saya tidak melepaskan peluang itu,” ujar pelakon yang kini sibuk mengendalikan program Nona.

Perdana Menteri Wanita

Mengajak Maya bermimpi jika takhta pemimpin negara menjadi miliknya, apa yang akan digubal dan mahu dilaksanakan kepada Malaysia, Maya ketawa besar. Pantas dia menyenaraikan beberapa perkara yang perlu dilaksanakan.

Perkara pertama yang akan digubal adalah akta pelupusan penggunaan beg plastik dan memulihara alam sekitar agar mampu berdiri setanding dengan negara luar seperti Jerman dan Denmark. “Sesiapa yang menggunakan plastik beg akan didenda penjara 20 tahun,” kata Maya sambil ketawa besar.

Dia juga mahu menguruskan kesesakan lalu lintas dengan sebaik mungkin dan menaik taraf sistem pengangkutan awam.

Malaysia kata Maya harus berfikir maju 10 tahun dalam pelaksanaan pengurusan kesesakan lalu lintas kerana setiap hari populasi rakyat bertambah. Sementara untuk pengangkutan awam, ia harus lebih sistematik dan maju.

Juga yang paling penting, dia mahu silaturrahim antara semua kaum tetap erat. Itu penting supaya Malaysia kekal harmoni dan terus terpelihara daripada sebarang anasir yang boleh memporak-perandakan negara tercinta ini.

Hal ini dikutip Maya apabila lewat kebelakangan ini terlalu banyak isu yang dipropagandakan sehingga boleh menimbulkan huru-hara dan menyinggung sensitiviti. Itu yang dibimbangkan Maya tentang masa depan Malaysia.

“20 tahun dahulu, apabila jiran beragama Islam duduk semeja untuk minum kopi dengan orang Cina misalnya, ia tidak menjadi satu isu atau propaganda. Itu dilihat sebagai semangat perkauman.

“Berbeza dengan suasana sekarang yang telah banyak dipropagandakan. Kalau ada rakan Melayu duduk makan bersama kawan Cina di sebuah kopitiam atau sebagainya, ia boleh menjadi satu isu, termasuk isu berkaitan agama. Itu yang membimbangkan saya.

“Kerana seharusnya untuk sebuah negara yang telah berpuluh tahun hidup dalam suasana berbilang bangsa, isu perkauman tidak elok ditimbulkan.

“Sepatutnya setiap individu harus mempunyai rasa hormat terhadap individu lain supaya kita terus hidup dalam keharmonian,” ujarnya yang tidak mahu Malaysia roboh dengan tiada semangat hormat menghormati.

credit:KOSMO

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)