Nabil serik cakap lepas


SEORANG jejaka dengan status pelawak sedang mengalami evolusi. Daripada petak hanya bertanda tukang bikin ketawa, dia berubah ke tapak-tapak lain bagi mengisi portfolio seorang Nabil.

Ahmad Nabil Ahmad baru berusia 26 tahun. Kalau dihitung hari-hari dalam perjalanan seninya, dia baru setahun jagung atau lebih tepat, tahun kedua.

Dalam jangka masa itu, dia sudah berdepan dengan pelbagai gosip daripada yang seremeh-remeh hinggalah perkara yang menggugat nama dan wang ringgitnya.

Dahulu kes terpeluk teman wanita di depan khalayak menjadi hebohan tetapi reda selepas juara Raja Lawak musim kedua itu memohon maaf.

Kemudian, dia berhadapan isu saman RM2 juta namun Nabil juga tidak lokek memohon maaf atas kekhilafan menutur pendapat mengenai filem lakonannya, Lu Fikirlah Sendiri de Movie.

Berada dalam bulan mulia, Ramadan membawa berita paling gembira buat Nabil. Saman bernilai jutaan ringgit itu ditarik balik oleh pihak SDAF Pictures, 6 Ogos lalu.

Nabil menyifatkan episod saman itu sebagai satu pengajaran dan pembelajaran. Dia menarik nafas penuh lega kerana berjaya keluar daripada kes tersebut yang jalan penyelesaiannya dirintis sendiri oleh pihak produksi.

"Saya banyak belajar daripada peristiwa itu terutama perlu teliti dengan kontrak sebelum menandatanganinya. Saya mesti merujuk orang yang lebih arif dalam kerjaya seni ini dahulu.

"Paling penting, saya juga belajar tentang apa yang boleh dan tidak boleh dituturkan. Insiden itu membuatkan saya lebih komited.

"Saya beri 110 peratus komitmen terhadap kerja," ujarnya yang akan memasuki set program Oh Yeah bersama Afdlin Shauki sepanjang bulan Ramadan.

Nama Afdlin Shauki antara yang tidak lekang daripada mulut Nabil sebagai individu yang banyak memberinya tunjuk ajar bahkan diibaratkan idola oleh Nabil.

Berita gembira itu dilengkapkan lagi dengan pujian melambung terhadap keserasian watak C'Tan dalam jiwa Nabil.

Dia berjaya meresap dalam produksi Teater Muzikal Cuci 2 tanpa nampak berlebihan atau dipaksa-paksa.

Namanya menjadi sebutan utama usai setiap kali persembahan itu dilakukan dalam 14 kali pementasannya.

"Abang-abang saya iaitu Hans Isaac, Afdlin Shauki dan Awie banyak memberi tunjuk ajar. Mereka juga beritahu saya tentang etika berkomunikasi.

"Memang ada masa kita boleh menjadi jujur dan cakap lepas tetapi perlu kena dengan masa dan cara.

"Terlalu mengikut orang juga tidak elok untuk kerjaya," luahnya yang kian arif tentang betul dan salah dalam membuat keputusan sebagai anak seni.



Pelawak

Walaupun bergelar pelawak, bukan setiap masa dia membawakan karakter tersebut. Luah Nabil, dia punya visi dan misi tersendiri.

"Saya pernah bersembang dengan pelawak lama seperti A.R Badul. Katanya, pelawak kini lebih dihormati. Selepas perbualan tersebut, saya berpendapat pelawak harus bijak membawa diri hingga mereka dihormati.

"Contoh terdekat ialah Afdlin dan Harith Iskandar, lihat bagaimana mereka disegani dan dihormati dengan bergelar pelawak dan penghibur," ujarnya serius menunjukkan satu sisi lain dirinya.

"Itu antara sebab saya beria-ria mahu menyertai Teater Muzikal Cuci 2. Saya mahu duduk dalam kumpulan itu dan mlihat gaya hidup mereka, bagaimana mereka membawa diri mereka," luahnya yang bakal muncul dengan dua buah single, Lu Pikirlah Sendiri dan 'Ambik Baliklah' yang ditulis oleh Ajai dan nyanyian bersama Daly Ahli Fikir.

Nabil sempat melucu dengan mengatakan Awie sahaja yang mendapat jeritan penonton ketika menyanyi di pentas Cuci 2.

"Bila Awie buka mulut sahaja, semua penonton Cuci menjerit. Masa saya tidak ada pula," katanya sambil ketawa besar.

Jujurnya dia sendiri menulis lirik untuk lagu-lagunya. Kata Nabil, tujuannya bergelar penyanyi adalah untuk menambah cabang kerjaya seninya. Dia juga tidak berselindung tentang niatnya yang mahu mendapat keuntungan daripada hasil nyanyiannya kelak.

"Kalau nak kata saya rembat semua kerja semasa sedang laku ini, tidak juga terutama dalam menerima tawaran berlakon filem. Saya lebih berhati-hati.

"Sewaktu Cuci sedang dipentaskan, saya mendapat tiga tawaran filem tapi saya perlu fikirkan dahulu," tutur jejaka yang meletakkan sifat berhati-hati di depan kerjayanya.

"Bercakap jujur itu kadangkala sukar. Tetapi saya sudah tahu di mana saya boleh meletakkan sifat itu apabila berkata-kata dan di mana saya tidak perlu bercakap panjang," profesionalisme Nabil bersuara.

"Saya juga angkat topi pada Saiful Apek kerana dia telah mengangkat status pelawak ketika memenangi anugerah Bintang Paling Popular dahulu.

"Kemenangannya telah meletakkan pelawak di tempat yang tinggi. Saya sendiri mahu meletakkan pelawak sama taraf dengan pelakon dan penyanyi supaya tidak dipandang enteng," katanya.

Nabil ternyata simpati dengan insiden yang menimpa Apek.

"Melihat apa yang terjadi ke atas Apek, saya sentiasa mengingatkan diri dengan kata-kata 'cegah sebelum parah'.

"Bagi saya Apek banyak berbakti kepada perjalanan dunia seni kita," tuturnya lagi.

Nabil, pada setiap saat dia membuatkan khalayak di sekelingnya tertawa, tetapi dia juga sedang mengingatkan dirinya agar tidak terlanjur kata-kata lagi.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)