Prinsip Zack


DERUAN ombak menjadi teman perasaan lelaki kacak ini meluah rasa dan melepaskan rajuknya. Zachery Francis tidak teragak-agak menzahirkan apa yang dipendamnya ketika disapa SELEBRITI di Pulau Lang Tengah, Terengganu baru-baru ini.

Bagaimanapun, segala tuduhan itu tidak menjentik jiwanya untuk melenting, sebaliknya Zack optimis seraya melemparkan senyuman. Katanya, ini adalah satu harga yang perlu dibayar atas lesen menjadi selebriti.

“Saya tidak terkejut mendengar dakwaan seperti itu kerana sebelum ini pun bermacam-macam lagi tuduhan yang datang menghimpit, terutama ketika masih popular bersama X-Factor.

“Mungkin ini rencah menjadi anak seni dan saya menyifatkan segala spekulasi seperti itu adalah cabaran untuk saya terus menguatkan keyakinan diri.

“Yang penting, keluarga, kekasih, teman dan peminat percaya dan mengenali siapa diri saya,” kata anak keempat daripada lapan beradik ini.

Mengakui hubungannya dengan gadis luar dari gelanggang seni yang hanya mahu dikenali sebagai Sarah, jejaka berusia 33 tahun ini berpegang pada prinsip setia dan jujur dalam percintaan.

“Sudah lapan tahun saya menjalin hubungan dengan Sarah dan kami sentiasa bersama sejak itu. Sarah benar-benar memahami dan sentiasa menjadi peminat utama kerjaya saya. Mana mungkin cerita seperti itu boleh timbul sedangkan saya bukan jenis yang gemar bersosial,” katanya.

Usia pembabitannya bukan baru semalam, namun kini perjuangan pelakon siri Sembilu sebelum ini menjengah tahun ke-10. Jelas, nama dan wajahnya masih kekal bersandar pada gelaran selebriti meskipun tanpa publisiti meluas.

Mungkin ada peminat atau pembaca yang lupa saat lampau jejaka yang murah dengan senyuman ini. Zack pernah menjadi anggota X-Factor pada 1999. Kurang daripada aspek vokal dan pesona sebagai penyanyi, X- Factor terkubur ditenggelami pesaing lain selepas melahirkan album kedua.

Sempat Zack mencelah, rezeki itu datang tepat pada waktunya tatkala dia tergapai-gapai mencari tebing untuk berpaut. Tiba-tiba X-Factor terpaksa mengucapkan selamat tinggal, sedangkan jejaka pendiam ini terlebih dulu membungkus bagasi pakaian dan berhijrah ke Kuala Lumpur bagi menggapai impiannya menjadi penyanyi besar.

“Saya tidak pernah menjangka dunia lakonan adalah lapangan yang akan saya ceburi. Siapa sangka, dulu saya pemalu dan sering mengelak untuk menonjolkan diri, namun kini selesa di depan lensa kamera bagi mempamerkan sisi lakonan. Watak Romeo dalam filem Diari Romeo pada 2003 adalah percubaan pertama saya menjadi anak wayang.

“Awalnya saya menganggap peluang itu bagai persinggahan sementara mencari peluang dalam nyanyian. Namun siapa mampu menduga rezeki hari esok, saya masih gagal melihat tanda noktah tawaran dalam lakonan.

“Malah saya kian ligat di pentas lakonan hingga tiada masa untuk memikirkan soal album atau lagu lagi.

“Saya gembira dengan penerimaan peminat terhadap lakonan saya. Setidak-tidaknya nama dan bakat saya tidak lenyap begitu saja kerana memang sejak awal lagi saya impikan untuk terus berada dalam dunia seni,” katanya.

Selepas Sembilu, wajahnya menghiasi satu lagi drama bersiri terbitan Skop Productions berjudul Si Capik yang kini memasuki musim ketiga.

“Tiada ungkapan untuk menggambarkan rasa terima kasih, terutama kepada Datuk Yusof Haslam yang banyak memberi peluang dan meletak kepercayaan pada saya untuk terus melakonkan watak dalam drama bersiri terbitannya.

“Malah dalam pada sibuk di lokasi Si Capik, saya berlari ke set drama dan telefilem lain juga kerana tidak mahu ketinggalan dalam mengejar mana yang termampu selagi bakat saya masih diingini.

“Justeru, saya akan sentiasa memperbaiki lakonan serta mengasah bakat yang ada bagi menampilkan sesuatu yang jauh lebih baik buat peminat.
“Bagaimanapun, saya menyimpan hasrat untuk menerbitkan album solo jika diberi kesempatan satu hari nanti. Saya mencipta beberapa lagu untuk dimuatkan dalam album itu nanti.

“Setakat ini saya enggan memberi sebarang kata putus, biar waktu yang menentukan,” katanya yang turut berlakon di dalam siri Duyung Aridinata.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)