Rosyam dikelilingi heroin jelita


DIA pernah digelar hero tua. Realitinya, gelaran itu bukan peruntuh semangat juangnya. Ironi, ia seakan menjadi sumbu yang menyalakan lagi puntung-puntung semangat jiwa lelakinya.

Dia juga layak digelar seniman. Pada usia 43 tahun, tubuh empat kerat yang telah lebih dua dekad berhempas-pulas menerokai daerah seni di bumi Melayu itu masih besar cita-citanya, masih melimpah idea yang mahu disentuhi dan masih banyak nilai yang mahu dipaparkan.

“Apabila karya sama ada lakonan atau terbitan saya mendapat perhatian masyarakat, apa yang paling besar maknanya buat saya ialah impak dan nilai yang dapat diserap oleh penonton.

“Rating juga penting sebab tanpa rating yang tinggi, apa yang cuba saya sampai tidak sampai secara menyeluruh kepada khalayak,” penuh visi aktor dan penerbit handalan bernama Rosyam Nor membuahkan kenyataan.

Seperti apa yang mahu dikongsi bersama khalayak menerusi Isabella, buah tangan terbaru daripada rumah produksi Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. yang kini mengisi tatapan penggemar siri televisyen. Kata Rosyam, kisah cinta yang cuba dipaparkan menerusi siri itu, bukannya cinta remaja atau individu yang belum cukup umur.

“Kisah cinta biarlah logik. Walau sesiapa pun menjadi pelakon atau heroin saya, saya memastikan penonton boleh menerima tarikan kimia yang ada antara kami berdua. Saya mengenali dan menghormati Vanidah Imran begitu juga dengan suaminya, Rashidi Ishak.

“Semasa bekerja, kami harus profesional tapi dalam masa yang sama, emosi yang tertera dalam skrip harus sampai kepada peminat,” ulas hero senior yang tidak sunyi daripada ‘dikelilingi’ heroin jelita itu.

Tergelak diusik dengan jolokan ‘dikelilingi’ heroin jelita itu, kata Rosyam, dia tidak memilih dalam soal siapa heroin yang bakal bergandingan dengannya. Sudah lebih 20 tahun dalam industri, pasti hampir semua pelakon wanita cantik dan berbakat sudah ‘dipimpin’ Rosyam sebagai heroin.

“Jujurnya saya boleh berkerja dengan sesiapa sahaja. Saya masih ingat, Lydiawati menjadi antara heroin filem pada zaman awal kemunculan saya dulu manakala Erma Fatima, Umie Aida dan Nasha Aziz pula antara heroin drama terawal lakonan saya. Bagi saya, cantik dan berbakat sahaja tidak cukup, heroin harus seorang yang karismatik.

“Drama Isabella bersama Vanidah, saya tidak kekok sebab masing-masing tahu dan menghormati status yang sama-sama sudah berkahwin.

“Jika penonton percaya kami bercinta dan terleka sejenak bahawa di belakang tabir kami berdua sudah ada keluarga sendiri, itu sudah satu kejayaan buat saya dan seluruh produksi Isabella,” katanya yang sedang menganyam cinta bersama Fauziah Ghous di lokasi Trilogi Cinta.

Dalam perkembangan terbaru, drama bersiri 40 episod Trilogi Cinta diterbitkan untuk siaran RTM sekitar Disember nanti. Baru menamatkan kerja lokasi telemovie raya, Bicara Dari Tuhan (TV9), dia juga sedang menjalin hubungan dagang dengan sebuah rumah produksi dari Singapura, MCC Production untuk penerbitan DVD drama Cinta Selat Tebrau, lakonannya sendiri bersama Fauziah Ghous serta pelakon-pelakon dari Singapura.

Selain produksi drama, Rosyam juga sibuk menguruskan perjalanan program realiti, Pilih Kasih yang memasuki musim kedua. Selepas tiga sesi uji bakat di Pulau Pinang, Shah Alam, Sabah dan Kuching Sarawak (hari ini), Rosyam yakin pencarian peserta musim ini lebih memberangsangkan berbanding musim lepas.

Berbalik kepada Isabella, drama bersiri yang disiarkan setiap Selasa pukul 9.30 malam di Astro Prima sejak bermula 13 Julai, Rosyam mengalas watak Nazman, lelaki yang menjalani hidup penuh trauma selepas kematian isterinya yang sarat mengandung akibat kemalangan jalan raya. Dia bertemu dan jatuh dengan Isabella, wanita malang yang mengalami tekanan perasaan ekoran satu tragedi.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)