Waheeda sudah setahun berniqab


IMPIAN untuk berniqab, tidak dinafikan telah lama wujud dalam kotak fikir penyanyi terkenal dengan lagu Wassini, Waheeda, 31. Malah, angan-angan itu pernah dilontar kepada ahli keluarga sebelum bergelar isteri orang lagi. Cuma, pada waktu tersebut, dia harus menangguhkan terlebih dahulu niatnya sebelum merealisasikan penghijrahan besar.

Sebaik sahaja jodohnya ditakdirkan dengan penyanyi nasyid dan penceramah bebas, Akhil Hayy, 41, di Masjid Jamek Ar-Rahimah, Kuala Kubu Baru, Selangor pada 6 Ogos 2009, Waheeda yang terus mengambil keputusan meninggalkan gelanggang seni terus menyarung niqab.

Sebelum ini, timbul sedikit kekecohan apabila gambar Waheeda berniqab tersebar di Internet. Ada yang percaya, ada juga menidakkan. Begitupun, Waheeda lebih selesa berdiam diri dan tidak memberi sebarang penjelasan berhubung penghijrahan dilakukan. Berlalu begitu sahaja kisah tersebut, kini ia muncul dan diperkata kembali.

Itu semua selepas kemunculan pertama Nor Wahidah Abdul Wahab bersama suami pada majlis pelancaran Program Raya Di Astro, Macam-Macam Ada di Bora Asmara, Sungai Penchala, Kuala Lumpur baru-baru. Mengaku sedikit malu kerana lama tidak menjadi tumpuan ramai, Waheeda bagaimanapun tetap mesra melayan pihak media yang menyapa dirinya.

Mula berkongsi cerita, kata Waheeda dia mula memakai niqab dua hari selepas mengadakan majlis persandingan di sebelah keluarga Akhil di Gopeng, Perak. Paling pasti, ia dilakukan atas kemahuan sendiri untuk berubah sambil mengikut sunah seperti dibuat oleh isteri para Nabi.

"Ibu bapa saya sebelum ini menasihati agar tidak melakukan perubahan secara drastik apatah lagi tiada mana-mana ahli keluarga rapat yang memakai niqab. Begitupun, sebaik saja sah bergelar isteri Akhil, saya berbincang dengan suami yang sudah menjadi ketua keluarga.

"Alhamdulillah, seperti biasa, suami menyokong kemahuan saya. Terus-terang, suami tidak pernah memaksa saya. Kini, selepas setahun berniqab, saya menjadi lebih tenang. Berpurdah sebaliknya tidak menghalang saya untuk terus menggayakan pakaian mengikut fesyen semasa," jelasnya yang bergelar ibu segera kepada Siti Numaisarah, 13, dan Muhd. Sharif Hidayatullah, 12.

Pada waktu sama, Waheeda turut menyangkal dakwaan dia cuba melarikan diri daripada khalayak dengan mengubah penampilan baru. Akuinya, dia masih menjalani kehidupan seperti biasa. Bezanya, dia sekarang tidak lagi bergiat dalam bidang seni kerana tiada lebih membahagiakan apabila dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap keluarga.

"Sebelum ini saya pernah buat kenyataan bahawa sebaik saja menjadi isteri, saya akan bersara dari bidang glamor ini. Hari ini saya datang pada majlis Astro sebab menuruti permintaan suami yang mahukan saya menemaninya," jelas Waheeda yang mula menjinakkan diri sebagai usahawan menjual pakaian muslimah menerusi laman web http://arum-abaya.blogspot.com/.

Ramadan yang menjengah ini, jelas Waheeda, dia cukup teruja kerana dapat bersahur dengan suami dan dua anak Akhil. Momen indah menyediakan hidangan untuk sahur dan berbuka puasa begitu dinantikan oleh wanita terkenal dengan sikap peramah ini.

"Kalau bercakap tentang sambutan Hari Raya Aidilfitri, saya akan menziarah keluarga di Johor Bahru, Johor. Dua hari kemudian, barulah saya akan berkunjung je Gopeng untuk berhari raya bersama famili sebelah Akhil pula," kata Waheeda.

Sebelum beredar, Akhil yang setia di sisi isterinya pula mencelah: "Saya bersyukur kerana kehidupan kami berjalan lancar selepas bernikah. Bagai menjadi kebiasaan, dalam rumah tangga pasti ada turun dan naiknya. Justeru, kematangan diri paling penting untuk memastikan keharmonian perhubungan ini."

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)