Zaiton Sameon sedar diri


20 tahun dulu, nama penyanyi Zaiton Sameon berada di puncak namun, kemalangan ngeri yang meragut nyawa anak tunggalnya Azirwan Abu Bakar (ketika itu berusia 13 tahun) pada 21 Februari 1990 di Batang Kali, Selangor secara tiba-tiba menggelapkan dunia Zaiton.

Kesan daripada kemalangan itu, Zaiton sakit untuk tempoh yang lama dan menyebabkan kerjaya nyanyian merudum. Kini, pada usia 53 tahun Zaiton masih gagah menyanyi. Pantang ada yang meminta dia menyanyikan lagu popularnya Menaruh Harapan, pasti permintaan itu akan ditunaikan.

Bertemu dengan Zaiton pada majlis Semarak Ramadan Bersama Karyawan baru-baru ini dapat dilihat jelas, semangat dan hidupnya hanyalah pada dunia nyanyian. Mengerti sekarang bukan lagi zaman kegemilangannya, Zaiton hadir dalam dunia seni hanya kerana minat.

"Saya tahu sekarang bukan lagi zaman saya, saya terima kenyataan itu. Penyanyi baru pun semakin ramai, mana mungkin saya bersaing dengan mereka. Kehadiran saya dalam bidang seni sekarang ini hanya kerana minat dan cinta saya pada nyanyian itu sahaja," katanya.

Tambahnya yang masih mengambil tawaran nyanyian untuk majlis makan malam dan perkahwinan, hatinya terguris kerana merasakan dirinya seolah-olah disisihkan oleh industri seni itu sendiri.

Impiannya kini hanya satu iaitu ingin menghasilkan sebuah album baru. Namun, untuk merealisasikan hasratnya itu bukan mudah kerana ia memerlukan modal yang besar.

"Saya terkejut kerana setiap kali saya buat persembahan ramai peminat bertanyakan bila saya mahu buat album baru. Ikut hati memang sudah lama saya buat. Nak buat album tetapi saya tidak ada duit macam mana? Jadi saya harus tunggu penaja yang sudi menaja album saya. Kalau album ini jadi saya ingin konsepnya sama seperti album saya dulu,"ucapnya yang mengatakan Aishah antara penyanyi kegemarannya.


Bercerita tentang filem Zaiton-Ceritaku yang diadaptasi daripada kisah hidupnya, dia sendiri tidak sabar untuk melihat hasilnya kerana wajah Mislina Mustapha, pelakon yang memegang watak sebagai Zaiton dalam filem itu sangat mirip dengan dirinya.

"Wajah hampir sama dengan saya tetapi saya masih tidak tahu hasilnya bagaimana. Selepas saya tengok filem itu baru saya boleh beritahu berapa peratus jalan ceritanya mirip dengan kisah kehidupan saya," katanya yang kini menetap di rumah ibu angkatnya di Johor Bahru dan jika ada persembahan di Kuala Lumpur, Zaiton akan menumpang di rumah rakannya di Beranang, Selangor. - HARYATI KARIM


Credit:KOSMO

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)