Hijrah Farahdiya


MENGAMBIL cuti lebih sebulan baru-baru ini, Farahdiya Mohd. Amin menolak banyak tawaran lakonan. Bukan ingin berehat tetapi Farahdiya yang lebih selesa dengan panggilan Farah itu tidak mahu dirinya menjayakan satu lagi watak antagonis.

Bagi aktres berusia 26 tahun itu, dia mahu menunggu watak yang boleh mencabar dirinya. Penantian itu mendatangkan hasil apabila Farah diberi amanah untuk memainkan peranan sebagai wanita bertudung bernama Saadatul Saadiah.

Pertama kali bertudung dalam drama Chinta, Farah akan digandingkan bersama Adi Putra dan Fasha Sandha. “Walaupun mendapat tawaran lakonan, saya memilih untuk menunggu. Rasanya saya telah membuat keputusan yang berbaloi.

“Kali ini saya bukan sahaja bertudung dalam drama tetapi juga memainkan watak baik. Saya seorang wanita yang berpendidikan tinggi dan merupakan seorang peguam dari latar belakang keluarga baik,” kata Farah ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama pelakon Hotel Mania.

Sudah biasa mendengar penonton memuji lakonannya sebagai wanita jahat, Farah ingin membuktikan kepada audiens bahawa dia juga mampu menjayakan peranan baik. Maka, ketika Farah mendapat tawaran itu, dia melonjak kegembiraan.

“Ketika mendapat tawaran itu, saya seperti tidak percaya sehingga saya melompat-lompat kegembiraan. Bukannya saya langsung tidak pernah menjayakan watak baik. Tapi yang ini agak berlainan. Diharap selepas ini lebih ramai penerbit dan pengarah akan menawarkan watak sedemikian,” tambah Farah.

Tidak kisah memakai tudung atau berpakaian seksi semasa berlakon, Farah menyatakan solekan turut memainkan peranan dalam membantu dia kelihatan baik atau jahat. Selain daripada itu, pembacaan skrip juga menjadi faktor penting dalam menjiwai watak.

“Kalau watak jahat, saya tidak perlu melakukan kajian. Sekarang, saya perlu membaca skrip dan memahami siapa itu Saadatul. Rasanya ia bukan sesuatu yang mudah tetapi saya akan berikan yang terbaik,” jelasnya yang masih belum mendapat skrip penuh.

Farah akan beraya di Kuala Lumpur tahun ini. Bercuti selama seminggu, dia akan menggunakan masa ini untuk membeli-belah di Kuala Lumpur dan mungkin Singapura.

“Selalunya raya saya dan keluarga akan pulang ke Johor Bahru. Tapi bermula tahun lalu, kami beraya di Kuala Lumpur. Jadi cuti ini, saya hanya akan berehat dan membeli-belah. Seronok membeli-belah semasa hari raya kerana tidak ramai orang,” jelasnya lagi.

Tak takut Julfekar


Sudah diketahui umum bahawa hati Farah sudah dimiliki, dia bagaimanapun belum terdesak untuk mendirikan rumah tangga. Tidak menolak jodoh atau menetapkan usia untuk berkahwin, Farah meminati lelaki Melayu berkulit sawo matang.

Jarang sekali berbual mengenai perkahwinan, Farah kini sedang sibuk dengan rakaman album terbarunya. Baginya, lakonan dan nyanyian mempunyai kepentingan sama kepada dirinya. Jadi dia tidak boleh memilih untuk meninggalkan salah satu bidang itu.

Nyanyian merupakan minatnya sejak kecil. Cuma kebelakangan ini dia dilihat lebih aktif berlakon. Ditambah dengan album keduanya, Yang Ku Puja (2006) tidak mendapat promosi yang sepatutnya, ramai yang beranggapan Farah sudah kurang menyanyi.

Mendapat panggilan daripada komposer, Julfekar Ahmad Shah untuk menerbitkan album bersama, Farah kini sudah merakamkan sebuah lagu. “Selepas perbincangan selama sebulan, saya dan Julfekar membuat keputusan untuk menerbitkan lagu.

“Kami memilih lagu bersama tetapi secara kebetulan semua lagu yang dipilih merupakan lagu dia. Jadi saya tidak kisah kerana untuk menerima tawaran daripada Julfekar sendiri sudah cukup bagus,” katanya.

Bekerjasama dengan Julfekar membuatkan ramai yang tertanya-tanya sama ada Farah tidak bimbang memandangkan apa yang berlaku kepada penyanyi lain sebelum ini.


“Saya tidak mahu menilai dengan apa yang berlaku. Saya telus dan niat kami berdua adalah untuk menghasilkan album. Jangan disebabkan orang lain, niat saya disekat. Lagipun sebelum saya membuat sebarang keputusan, saya akan merujuk kepada ayah saya dahulu. Diharap tidak ada masalah yang timbul kerana kami berdua sudah berbincang,” ujar Farah.

Belum menandatangani kontrak dengan Julfekar, album sebanyak lima buah lagu itu dijangka siap selepas sambutan hari raya nanti.

“Sekarang lima lagu sahaja sudah cukup untuk dijadikan album penuh. Menariknya, kali ini saya akan menyampaikan lagu pop rock. Selebihnya merupakan lagu balada,” tambahnya.



credit:KOSMO

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)