'Pendatang haram' Jack Dzull


KARIER nyanyiannya mula bertapak apabila menerima tawaran daripada Syarikat Ahmad Taufik, Kampung Baru, Kuala Lumpur awal tahun 80an.

Bukan syarikat yang gah dan terkemuka tetapi sebuah syarikat pembekal alat-alat muzik untuk majlis kenduri kahwin.

Namun, Dzulkifli Jalil, 50, anak kelahiran Klang, Selangor tetap tegar dengan keputusannya untuk melibatkan diri secara serius dalam dunia nyanyian.

Dia akhirnya berjaya merealisasikan impian menjadi seorang penyanyi professional pada awal tahun 80-an selain menubuhkan sebuah kumpulan bernama Headlights.

Sebagai vokalis utama dengan menggunakan nama Jack Dzull - nama yang dipilih daripada drama popular tahun 70-an lakonan Telly Savalas, kumpulan itu hanya sempat hadir dengan sebuah album bertajuk Halilintar.

Kecewa dan bergelumang masalah peribadi, Dzull mengambil keputusan berhijrah ke Indonesia pada tahun 1986.

Di rantau orang, Dzull menyanyi di kelab malam dan Tahiti Lounge di Jakarta menjadi medan ujian pertamanya.

Beliau pernah memasuki pertandingan nyanyian pada 1987 terbitan TVRI Senayan ‘Wajah Baru’ dan berjaya meraih tempat kedua.

Undangan nyanyian

Sejak itu, karier nyanyiannya mula berkembang dengan memperoleh undangan nyanyian di Jakarta, Bandung dan Jogjakarta, Indonesia diiringi grup Pamber Brothers sebelum mengambil keputusan pulang ke Malaysia pada 1990.

“Sebenarnya, saya ke Indonesia tanpa memberitahu keluarga. Saya sebenarnya terkilan kerana kurang mendapat tempat dalam industri hiburan tempatan.

“Saya yakin ke Indonesia dengan bantuan seorang rakan di sana,” katanya membuka cerita.

“Saya juga menyertai pertandingan nyanyian dan mendapat tempat kedua. Tetapi saya sebenarnya ke Indonesia tanpa visa yang sah.

“Visa saya hanya terhad untuk tiga bulan tetapi saya menetap di sana hampir lima tahun. Saya juga menyamar menjadi seorang warga Indonesia untuk memasuki pertandingan nyanyian tersebut,” ujarnya yang mula berhadapan masalah selepas dikesan tinggal melebihi tempoh.

“Pihak imigresen Indonesia mula cuba menangkap saya dan mengarahkan saya pulang. Tetapi saya berjaya menyembunyikan diri.



“Semasa itu, hidup semakin sukar sehingga saya pernah diugut dengan pisau diletakkan di leher. Selepas itu saya mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air,” katanya.

Dzull bersyukur kerana pada tahun 1996, dia telah dipilih oleh Omar Taib selaku Pengarah Muzik Istana Budaya sebagai pemuzik Kombo Kompleks Budaya Negara (Istana Budaya) dan membuat persembahan di Britain, Iran dan Pakistan.

“Saya mengumpul modal dan pada tahun 2008 saya menerbitkan sendiri album single berjudul Andai Kekasih yang berkonsepkan keroncong pop dengan gabungan muzik oleh Mohar (Mohram),” katanya.

Kerana ingin menyesuaikan diri dengan trend muzik kini Dzull merakamkan sebuah lagi lagu berjudul Jack Dzull ‘Rahsiaku’ yang berkonsepkan genre ska, diiringi kumpulan Gerhana Ska Cinta.

“Selain menghidupkan lagu-lagu etnik Melayu berkonsepkan keroncong saya memasukkan elemen pop dalam lagu untuk lebih segar dan kontemporari.

“Semoga ramai yang mendapat menerima kemunculan saya kembali kerana dunia hiburan ibarat darah daging saya yang telah diceburi selama lebih 30 tahun,” katanya penuh pengharapan.

credit; MEGAT LUTFI

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)