Libas angkat sepak takraw


SUDAH lama Libas dikeroncongkan ke sana sini. Ia mengisahkan permainan sepak takraw yang ditulis oleh Martias Mohd. Ali dan diarahkan oleh Jurey Rosli.

Libas mula dihasilkan pada 2009 selepas terperam sejak 2002 ekoran masalah kewangan. Cita-cita dan keinginan Jurey untuk mengangkat sukan tradisional ini direalisasikan oleh syarikat MDAG Sdn. Bhd. yang berminat untuk menjadi penerbit bersama filem tersebut.

Dengan modal RM1.9 juta, Libas mengangkat Rosyam Nor selaku Raja Libas sekali gus menjadikan aktor tersohor tersebut sebagai peneraju utama filem pertama arahan Jurey.

Selain Rosyam Nor, Jurey juga memilih pelakon-pelakon ternama tempatan termasuk Scha Al-Yahya sebagai Ratna, Johan Raja Lawak (Hamadi), Beego (Megat) dan Fadzly Kamarulzaman (Kumok).

Libas mengisahkan Adnan Saladin lakonan Rosyam Nor, seorang pakar libasan dalam permainan sepak takraw (Libas). Dia digelar sebagai Raja Libas Malaysia. Kehebatan libasan Raja Libas sangat digeruni lawan terutamanya pasukan Siam (Thailand).


Dalam satu perlawanan, tekong Malaysia (Dali) parah apabila Libas gagal menampan libasan kuat Ak Nangkhon lalu terkena dadanya. Akibatnya Malaysia tumpas kepada Thailand untuk kali kedua berturut-turut. Jurulatih dan rakan sepasukan, Megat turut menyalahkan Adnan Saladin kerana kekalahan itu sehingga jurulatih sanggup memutuskan pertunangan anaknya, Ratna.

Raja Libas resah apabila diketahui Mr. Wilson menawarkan perlawanan Libas lebih awal daripada selalunya untuk mendapatkan bola warisan yang mempunyai nilai sejarah dan kuasa mistikal. Tawaran lumayan diberikan kepada pasukan Thailand demi mendapatkan bola warisan tersebut yang berada pada Raja Libas.

Raja Libas berfikir siapa yang harus dia ambil sebagai pemain bagi mengekang kehebatan pemain Thailand. Akhirnya Raja Libas dapat menemui pemain baru dan mengumpulkan regu pasukan yang terdiri daripada Megat (pemain lama), Hamadi dan Kumok yang merupakan taruhan Libas untuk menentang Thailand nanti.

Filem ini menjalani penggambaran selama 35 hari di Terengganu dan Kuala Lumpur. Ia mengangkat genre komedi aksi serta menyerap sedikit pengaruh filem Hong Kong lakonan Chow Sin Chee iaitu Shaolin Soccer.

Buat Rosyam, Libas membawa pengertian dan tanggungjawab yang agak besar dalam melakonkan watak utama, Adnan Saladin yang juga dikenali dengan gelaran Raja Libas.


Watak tersebut mengembalikan kesan sentimental dan nostalgia tersendiri terhadap pemain sepak takraw tersohor negara, Adnan Saidin yang pernah mengharumkan nama negara.

Rosyam menghadapi cabaran dalam mengangkat watak tersebut kerana Adnan Saidin merupakan satu nama besar dunia sepak takraw tanah air.

"Saya perlu menunjukkan kepada penonton watak yang saya bawa ini adalah setanding dengan Adnan Saidin dan kalau boleh Libas dapat menaikkan semangat anak muda terhadap sukan sepak takraw," ujarnya yang patah bahu kiri ketika menjalani penggambaran.

Akui Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem ke-21 tersebut, risiko berlakon dalam Libas memang agak tinggi kerana banyak babak dalam filem ini memerlukan Rosyam bergantung kepada tali.

Daya tarikan utama Libas yang akan ditayangkan pada 29 September ini menggunakan hampir 80 peratus teknik janaan komputer (CGI). Ia diperkuatkan lagi dengan olahan skrip yang mengisahkan Adnan Saladin sebagai seorang pakar libas dalam permainan sepak takraw.

sumber

Nabil tunggu naik taraf


SEPERTI bersinarnya laman menantikan anak bulan Syawal, riang hati Nabil jelas terpancar di wajah. Apatah lagi, sejak secara rasminya dia bergelar selebriti, jejaka dari Mambau, Negeri Sembilan itu jarang menonjolkan resah biarpun berdepan pelbagai kontroversi. Cuma kali ini, bezanya Nabil, jiwanya yang sentiasa ceria itu tersalut lagi segala perisa kemanisan.

Dia sedang bahagia, menghitung waktu dan mencatur hari muka. Di hadapannya, bukan sahaja jalan karier yang tidak pernah terhalang oleh gangguan, tetapi bulat hati lelakinya sudah memutuskan dan umum juga sudah tahu, Nabil akan bernikah pada 30 September ini.

Dalam tempoh percintaannya dengan bekas pramugari AirAsia, Nazira Ayub, 23, itu masih diintai banyak mata, Nabil pula segera mahu menamatkan status bujang yang sudah dikeleknya sejak 28 tahun lalu. Terasa cepat benar keputusan itu diambil.

"Macam yang pernah saya kata, saya tidak mahu pisang berbuah dua kali. Sejak mengenali Nazira, perasaan saya lain macam, bukan saya seorang sahaja, bahkan rakan-rakan di sekeliling juga perasan kelainan pada saya.

"Saya fikir, kalau saya tak buat keputusan ini sekarang, saya tak tahu apa lagi yang terjadi kepada saya. Saya takut saya akan hanyut dengan dugaan-dugaan yang akan datang.

"Walaupun saya masih akan ada perangai gila-gila, masih Nabil yang orang kenal, tapi bila sudah ada tanggungjawab nanti, saya boleh kawal diri. Minta-minta saya dimurahkan rezeki, mana tahu dalam masa terdekat lepas kahwin nanti saya akan dapat anak pula, maka lengkaplah hidup saya sebagai lelaki berkeluarga yang bertanggungjawab," berbutir kematangan dalam nada bicara Nabil

sumber

Amal jariah Yuna


ANAK rantau pulang ke desa. Berbekal pengalaman dan ilmu, Yunalis Zarai tetap pulang ke Malaysia bagi meraikan lebaran pada tahun ini. Walaupun jauh beribu kilometer di Amerika Syarikat, membaca status Twitter Yuna kadangkala membuah cemburu tetapi kadangkala terbalut rasa kasihan melihat perjuangannya sendirian di negara orang.

Namun penyanyi yang kini diangkat sebagai duta produk Canon ini pastinya menyimpan 1001 pengalaman emas bergelar anak rantau.

Bertemu mata dengan penyanyi antarabangsa terkenal seperti Pharrel Williams dan Guy Sebastian, pastinya menjadi salah satu portfolio berharga wanita muda berusia 25 tahun ini.

Terkini, selain kekemasan menyanyi semula lagu popular grup Nirvana yang bertajuk Come As You Are dan mendapat perhatian penulis blog terkenal Perez Hilton, Yuna bakal berlagu di tanah air.

Tanda tarikh 12 September kerana di tarikh itu suara unik Yuna akan berkumandang di Dewan Filharmonik Petronas.

sumber

Nabila nekad cerai


TERASA seperti masih basah dalam ingatan Nabila Huda rancak bercerita tentang keluarga yang dibinanya atas nama cinta. Tiga tahun hidup berkelamin bersama Zaidi Zailani, 30, putik cinta mereka membenihkan puteri comel, Keisha Laila yang kini berusia setahun.

Ketika si anak sedang laju membutirkan panggilan papa dan mama, hubungan suami-isteri aktres berusia 27 tahun itu akhirnya menjengah jua ke Bahagian Perkahwinan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), awal minggu lalu.

Rupa-rupanya Nabila selama ini menyembunyikan kisah hidupnya daripada diselak oleh sesiapa. Jika ada pun, ia sekadar cerita yang mampu dibawa oleh angin, seperti tidak menjejaskan langsung kerukunan antara Nabila dan Zaidi yang dikenalinya bertahun-tahun sebelum bergelar suami isteri pada Disember 2008.

Namun, Nabila yang juga puteri sulung rockers popular Amy Search itu sendiri sudah memberikan penjelasan bahawa kehadirannya ke Jawi adalah untuk membuat permohonan perceraian. Dia bagaimanapun tidak berjaya memfailkan tuntutan perceraian kerana tertinggal surat nikah.

Sepintas lalu, lucu juga apabila Nabila mengunjungi Jawi untuk tujuan memfailkan perceraian tetapi tidak membawa sijil pengesahan perkahwinan.

Atau mungkin, ada hikmahnya di sebalik perkara itu, mungkin Nabila memerlukan ruang untuk berfikir secara lebih matang, lebih masak untuk memutuskan sesuatu yang telah sebati dengan dirinya.

"Saya nekad dengan keputusan saya dan berharap segala-galanya berjalan dengan baik. Mereka (Jawi) minta saya datang semula, tetapi tidak pasti bila ada kelapangan," memetik kata-kata Nabila ketika ditemui wartawan, Isnin lalu.

Nabila bagaimanapun menolak pergolakan dalam rumah tangganya berpunca daripada orang ketiga seperti dakwaan sesetengah pihak. Sebaliknya masalah mereka berdua semakin kompleks sejak sebelum disahkan hamil anak pertamanya, Keisha.

Dalam keadaan sekarang, Nabila juga mengakui sudah tidak gembira jika pulang ke rumah serta sudah tidak mampu hidup sebumbung walaupun mengakui suaminya seorang yang baik hati.

Kemelut perkahwinan Nabila yang baru hendak memasuki tahun ketiga pada 2 Disember nanti itu turut mengheret penjelasan daripada bapanya, Amy dan ibu tirinya, Norish.

Sebagai ibu bapa, tugas mereka sudahpun dilakukan sebaik mungkin.

Amy dan Norish enggan membuka banyak cerita. Apa yang termampu, mereka mengharapkan jika perceraian juga yang dipilih oleh Nabila, biarlah perkara itu diselesaikan dengan cara terbaik.

"Walau apapun yang berlaku antara Nabila dan Zaidi, itu adalah masalah dalaman mereka. Kami sudah memberikan nasihat terbaik dan mendoakan yang terbaik buat mereka," ujar Norish tidak mahu mengulas lebih.

Untuk Nabila dan Zaidi, barangkali cahaya Aidilfitri yang sedang menanti hari bakal membawakan seribu pengharapan.

sumber

Ekspresi raya Remy, Khairy


DUA figura daripada gelanggang berbeza, Remy Ishak dan Khairy Jamaluddin sebenarnya jauh berbeza sejak karier mereka bermula. Seorang pelaku dari gelanggang seni, seorang lagi ahli pencak di gelanggang politik, namun atas satu lintasan persamaan, wajah aktor Melayu jati serta pengemudi pemuda negara itu berjaya diterkam dalam warna dan nada yang bercantum likat.

Larut dan terpisah seketika dari variasi rutin seharian, secara rasminya, mereka bertemu mata dan berjabat salam buat pertama kalinya di sini, di Kampung Budaya 1Malaysia, Menara Kuala Lumpur (KL). Mengambil kira bisik orang, konon-kononnya Remy dan Khairy seakan seiras, sengaja paparan eksklusif ini Sensasi Bintang dihidangkan.

Indahnya, ia bukan sekadar drama tapi silaturahim antara Remy dan Khairy itu cepat terbentuk. Mereka bersembang tentang bola sepak, tentang rutin yang harus ditempuh. Borak-borak kosong orang lelaki.

Spontan kata Khairy, kalau dia bergelar artis, dia bukan jenis yang boleh berdepan bermacam kisah sensasi. Sengaja kami menyatakan bahawa para selebriti hanya dijentik manja dalam sensasi mereka. Terkejut seketika, Khairy menambah dalam jenaka:

"Kalau itu namanya jentik, memang saya tak sanggup jadi artis."

Bersambung cerita tentang iras muka yang bukan kali ini sampai di telinga mereka, Khairy melontar ramah:

"Rasanya sejak setahun lepas lagi, ada orang beritahu kononnya muka saya macam Remy Ishak. Ada juga yang SMS memberitahu perkara yang sama. Kalau kami dikatakan adik-beradik, Remy adalah 'the handsome brother'."

Mengakui ada mengikuti perkembangan dunia hiburan khususnya filem, ujarnya, dia juga salah seorang penonton filem Cun, filem berlatarkan sawah lakonan Remy bersama Maya Karin. Bukan sengaja direka-reka tetapi lelaki berkarisma 35 tahun ini memang mengikuti dunia perfileman. Kali terakhir, dia menonton siri Harry Potter di pawagam bersama isteri tersayang.

Sama juga dengan Remy, jujur ceritanya: "Dua tahun lepas lagi saya dengar ada orang kata muka saya sama dengan Khairy. Saya anggap pertemuan ini satu penghormatan besar sebab beri peluang kepada saya jumpa Khairy. Bagi saya dia mewakili generasi muda dalam politik. Daripada peribadi dan pendiriannya, nampak sifat pejuang dalam dirinya."

Kebetulan pula, jarak daerah kelahiran Khairy di Rembau, Negeri Sembilan dan Remy, Masjid Tanah, Melaka secara tidak langsung memesrakan lagi borak lokasi antara mereka.

Dari satu persepsi yang lain, dua nama itu ibarat dipinjamkan seketika sebuah kerusi bersepuhkan cahaya. Ada letaknya nama mereka di hati umum. Khairy laksana ayam yang tangkas di tengah gelanggang, tuturnya bijak berisi misi terhadap perjuangan yang didepani manakala untuk Remy, si pemain muda itu yang sedang beraja di mata banyak penerbit dan pengarah filem. Nasib dalam percaturan dan walau siapapun mereka, baik artis atau ahli politik, masing-masing dambakan restu dan sokongan ramai. Analoginya begitu, ia sekadar kiasan di sebalik kelibat sosok mereka yang disatukan ini.

Ekspresi Lebaran

Seiring langit Ramadan yang kian melabuhkan tirainya, pengertian 1 Syawal yang kebetulan jatuh dalam nafas negara sehari sebelum sambutan Hari Kemerdekaan juga dipinta.

Kata Khairy, hari raya yang akan disambut pada 30 Ogos (Selasa ini) diharap membawa keistimewaan berganda. Ia bakal menjadi tanggal keramat buat Malaysia kerana menyambut Hari Kemerdekaan dalam suasana kemeriahan Aidilfitri.

"Saya cuma berharap masyarakat akan mengambil kesempatan untuk menikmati apa yang kita ada tanpa mengira agama atau bangsa. Jadi, hari raya nanti diharap akan membawa kegembiraan kepada semua, inilah saat keemasan yang jarang berlaku.

"Jadi, sekiranya ada sikit-sikit perasaan tidak puas hati, sambutlah raya ini dalam suasana aman damai," katanya yang menyifatkan patriotik cara generasi merdeka hari ini tidak sama dengan cara generasi terdahulu.


Tambah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu, setiap individu mempunyai jiwa patriotik cuma cara menzahirkan semangat itu tidak sama.

"Secara peribadinya, cukuplah saya zahirkannya dengan kesyukuran kepada Allah, agama dan tanah air, bila kesemua itu bercantum, jiwa patriotik itu indah. Ia tidak boleh dipaksa terutamanya terhadap anak muda, jiwa mereka mudah memberontak.

"Orang sekarang ada macam-macam cara patriotik, boleh tonjolkan dalam karya filem, pameran foto atau lukisan. Semuanya terpulang kepada niat," hurai menantu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi penuh mesej.

Menyambut hari raya dalam gaya pemimpin rakyat dan semenjak terpilih sebagai Ahli Parlimen Rembau, tuntutan bertemu rakyat jadi keutamaan.

"Kalau dulu raya hanya untuk diraikan bersama keluarga sendiri sekarang berbeza sedikit. Malam raya biasanya kami ahli keluarga akan berkumpul di Kuala Lumpur untuk sama-sama berbuka puasa pada malam terakhir Ramadan. Esoknya, saya akan berangkat ke salah sebuah masjid di Rembau untuk solat hari raya sebelum ziarah ke mana-mana rumah penghulu terdekat di situ. Menjelang tengah hari, saya akan pulang semula ke rumah mertua di ibu negara.

"Biasanya saya akan bercuti selepas raya, tahun lepas saya sekeluarga bercuti dalam negara, jadi tahun ini akan ke luar negara pula," kata Khairy.

Disentuh sedikit emosi jantannya, lelaki penuh gaya ini mengaku tidak dapat menahan sebak setiap kali menjelang malam raya.

"Perasaan sebak itu hadir malam raya mengenangkan bapa yang sudah tiada. Tetapi pagi raya esoknya, saya lontarkan kegembiraan dan menyambut Aidilfitri dengan famili seperti biasa," akuinya tanpa segan atau selindung malu.

Emosi Remy

Saat menghitung suasana Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan yang berselisih hari, Remy berlainan pegangan berbanding Khairy. Hero filem seram epik Azazil arahan Khabir Bhatia yang masih dalam pembikinan itu ada hemah tersendiri.

"Bagi sesetengah orang, ia memang bagus tapi dua perayaan itu sepatutnya disambut dengan dua emosi berlainan, memanglah hari raya adalah hari kemenangan manakala hari kemerdekaan pula hari pembebasan, tapi definisinya berbeza. Dalam kes raya tahun ini, kita harus sambut ia seadanya," katanya yang boleh diresap semangat patriotik pada bila-bila masa tanpa perlu menunggu Hari Kemerdekaan.

"Jujurnya setiap kali 31 Ogos, secara automatik saya boleh sebak tapi cara nak menzahirkan jiwa patriotik itu bukan dengan tindakan sebaliknya lebih kepada nilai sentimental dan dalam momen-momen tertentu. Kadang-kadang, bila jalan-jalan dan nampak bendera berkibar pun timbul semangat patriotik. Walaupun tidak naik motosikal sambil kibar bendera, tapi nilai itu ada dalam hati," luah Remy yang akan meneruskan tradisi raya di Masjid Tanah, Melaka bersama keluarga.

Hari-hari terakhir Ramadan begini, akui Remy, hatinya mudah tersentuh bahkan tuturnya:

"Momen paling seronok adalah dalam tempoh dua atau tiga hari sebelum raya. Malam raya sehinggalah menjelang sesi bersalaman pada pagi hari raya. Berkat hari itu terasa lain macam padahal setiap hari kita akan bersalaman."

Penutup cerita, salam mereka 'adik-beradik' bertaut pada petang tiga Ramadan. Bukan hanya di situ, selepas bersua muka, salam bersambung di laman sosial Twitter yang rajin dilawati mereka. Sama kacak rupa dan visi, semoga pengisian pertemuan ini sama-sama dirasai khalayak yang melihat dan membaca.

sumber

Ana Dahlia, Nazri menuju bahagia


HADIR sedondon memakai busana Melayu berwarna biru, jalan beriringan dan duduk bersama dengan keletah cukup mesra sewaktu hadir ke rakaman Melodi Raya 2011 pada minggu lalu, ia tidak dapat menyembunyikan getar cinta antara pelakon Ana Dahlia dengan Chef Nazri.

Walaupun tidak menterjemah ia secara terang-terangan, namun bahasa tubuh dan keintiman mereka telah menjawab segalanya.

Sewaktu ditemu bual, Ana asyik tertawa sementara Nazri yang merupakan anak chef tersohor Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan juga tersenyum lebar.

Sesekali mereka berlaga jawapan yang diberikan, mungkin tidak menduga akan 'ditembak' dengan soalan-soalan tentang hubungan mereka.

Misalnya menjawab soalan tentang adakah Nazri sudah pernah bertemu keluarga Ana, pelakon itu menggeleng, sementara Nazri secara spontan terus memberitahu dia pernah bertemu keluarga Ana.


Pertembungan beberapa jawapan akhirnya membuat pasangan tersebut membuka serba sedikit kisah cinta mereka yang baru ingin bermula.

Akui Ana yang namanya melonjak naik selepas menjadi finalis program realiti televisyen Pilih Kasih, dia dan Nazri kini akrab dan sedang dalam fasa mengenali hati budi masing-masing.

Hubungan mereka juga baru melewati usia enam bulan dan ada banyak keserasian yang perlu dipupuk bersama agar ia menjadi benih cinta yang boleh disemai sehingga mereka bersatu.

"Selain sedang mengenali hati budi masing-masing, kami juga sebenarnya mempunyai minat yang sama. Saya suka memasak, dia pula suka makan, dan kadang-kadang dia memasak, saya pula yang makan," ujar Nazri pula sambil Ana di sebelah mengangguk setuju.

Tambah Nazri lagi, perkenalan mereka terjadi secara tidak sengaja yang dibuka oleh adiknya, Serina. Entah macam mana, hatinya terus terpaut untuk mengenali Ana. Bagi chef muda tersebut, Ana memiliki ciri-ciri keibuan yang sangat tebal selain lembut dan ceria.

Memberitahu Ana adalah wanita kedua yang dibawa bertemu bapanya, sambil ketawa Nazri berkata: "Papa berkenan dengan Ana. Saya lagilah berkenan."

Diusik jika sudah berkenan mengapa perlu menunggu lebih lama, Nazri hanya tersenyum sementara Ana kelihatan malu-malu.

Ia kemudian disambut Ana: "Kami rasa tak salah untuk kami terus berkawan dahulu dan mengenali hati budi masing-masing.

"Jika ada jodoh di bulan baik ini, apa salahnya. Nazri adalah seorang pendengar yang setia dan lelaki yang baik."

Bercerita tentang proses cinta mereka, kata pasangan itu, kesibukan kerja masing-masing membataskan mereka untuk selalu bertemu.

Justeru, mereka menggunakan kecanggihan teknologi masa kini untuk terus saling berhubung dan jika mempunyai masa terluang, mereka akan bertemu untuk keluar makan bersama.

Ditanya tentang kebarangkalian mereka akan saling mengunjungi kediaman keluarga masing-masing sempena Syawal nanti, ujar Ana dan Nazri, ia belum diputuskan lagi. Jika punya kesempatan, Nazri tidak menolak untuk menziarahi Ana di kampungnya di Taiping, Perak.

Sementara itu, Ana memberitahu, dia bakal muncul dengan sebuah komedi berjudul Pusing Raya pada Syawal nanti.

"Sekarang ini saya sedang sibuk dengan penggambaran Periuk Hangus dan selepas Aidilfitri nanti saya akan kembali ke lokasi untuk menjalani penggambaran drama 26 episod berjudul Metro Skuad," katanya yang bersyukur rezeki berlakon masih tidak putus buatnya. - MALIAH SURIP

sumber

Cinta songsang Lambert-Koskinen


CUKUP terkenal sebagai seorang penyanyi yang lahir dari program realiti televisyen American Idol, Adam Lambert baru-baru ini membuat kenyataan bahawa dia kadang kala berhadapan dengan masalah mengenai orientasi seksnya.

Mengaku dirinya gay, bagaimanapun ujar Lambert, ia adalah kenyataan yang paling sukar diterima apabila dia menyedari berminat dengan kaum sejenis pada usia yang masih muda.


Ia kemudian bertambah sukar apabila dia tiba-tiba popular dan kebanyakan media lebih membahas tentang isu orientasi seksnya berbanding kerjayanya.

"Sesekali saya terasa ia (isu gay) agak menarik apabila ramai yang mahu mengambil tahu tentangnya. Mereka seperti teruja dengan orientasi seks saya.


"Kadang-kadang saya berasa lucu apabila ada media dan beberapa pihak yang cuba mensensasikan isu saya, tapi saya faham bahawa ini adalah sebahagian daripada dunia hiburan," ujarnya kepada OK! Weekly.

Ujarnya lagi, dia memahami sebagai seorang selebriti, seluruh kehidupannya akan terdedah, bagaimanapun dia seboleh mungkin mahu menjalani percintaan dengan pasangannya, Sauli Koskinen dengan sederhana dan tidak mendapat publisiti meluas.

"Saya sedang enak dilamun cinta dan itu cukup membahagiakan saya. Dalam masa yang sama, cinta banyak membantu saya melahirkan karya yang lebih baik," katanya kepada tabloid tersebut.



sumber

Kuih Tart penyatu kasih


BUKAN mudah berdepan dengan dua penceraian sebelum ini untuk terbuka hati menerima cinta baharu yang hadir tanpa diduga. Itu luahan hati Noraniza Idris, 43, yang selesa disapa Kak Ani.

Namun, jika jodoh sudah sampai masakan tega dirinya berdalih untuk menolaknya dan mengatakan tidak demi perkara yang menyeru ke arah kebaikan.

Berkongsi momen indah bagaimana tertautnya cinta pasangan dua sejoli itu sejak penghujung tahun lalu, sebuah majlis ringkas diadakan bersama media bertempat di Menara Yayasan Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Cerita Kak Ani, kelembutan hati dan tutur kata Ustaz Jeffri Hudi, 52, mencairkan sukmanya untuk menerima lamaran duda beranak empat yang berasal dari negara jiran, Singapura itu.

"Sebelum ini saya sentiasa bersama dengan lelaki yang agak keras dan tegas orangnya, tapi berbeza dengan Abang Jeff yang lebih penyayang, berlembut dan cara percakapannya sangat diplomasi.

"Selama saya mengenali dia, susah sekali untuk saya melihat dia marah. Biasanya dia hanya akan berdiam diri dan tersenyum apabila berdepan dengan situasi itu," bicaranya yang mengakui wujud keserasian antara sifatnya yang tegas dan ciri kelembutan pada diri Jeffri.

Bagi Jeffri pula, kriteria Kak Ani yang lebih suka berterus-terang menjadi penyemat erat yang membajai pepohon cinta antara mereka berdua.


"Ani suka berterus-terang, punyai wawasan yang sama seperti saya dan tidak ada masalah untuk mencari satu pendekatan untuk menikmati masa depan yang cerah dan membentuk keluarga mithali bersamanya," kata bilal di sebuah masjid di tanah Temasik itu.

Begitu pun, Jeffri menegaskan dia tidak akan sesekali menyekat haluan kerjaya seni yang telah dibina Kak Ani memandangkan itu kurniaan Allah.

"Kami ingin terus maju ke hadapan dan melupakan semua kisah silam yang menghantui, Insya-Allah saya tidak menghalang perjuangan seni Ani dan menyokong setiap tindakannya memandangkan suara dan bakat adalah kurniaan Allah," ujarnya yang ditemui ketika sidang akhbar Pelancaran Festival Kahwin-Kahwin Masyhur 1Malaysia Negeri Johor di Menara Yayasan Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Detik pertemuan


Mengimbas kembali detik pertemuan sulung antara pasangan yang hadir sedondon menyarung busana hijau pucuk pisang pada majlis yang sama itu, ujar Kak Ani, segala yang berlaku tidak dirancang.

Katanya, lembaran cintanya bermula ketika mengadakan jualan kuih-muih tradisional yang dibikinnya sendiri untuk disalur ke tabung amal anak-anak yatim di Johor.

"Kemudian, sebahagian daripada hasil kutipan itu dibawa ke masjid di Johor untuk diserahkan kepada seorang ustaz yang kebetulannya berkawan rapat dengan Abang Jeff.

"Pada masa itu, dia banyak membantu saya menerangkan prosedur berkaitan penyerahan sumbangan itu yang seterusnya saya serahkan kepada adik saya, Norzi, yang berniaga di Singapura untuk berurusan dengannya berkenaan tabung amal tersebut," katanya yang pertama kali bersua muka dengan Jeffri ketika bulan Ramadan tahun lepas.

Akui Kak Ani, kehadiran Jeffri seolah-olah pelengkap kepada dirinya yang sentiasa sibuk dengan karier dan urusannya di Akademi Tatih Seni yang ditubuhkannya di pada awal tahun ini.

"Sepanjang masa saya bersama dengan laptop dan hampir 90 peratus kehidupan saya adalah untuk karier saya, syukur Alhamdulillah dipertemukan dengan Abang Jeff yang selalu bertanya khabar menerusi SMS (khidmat pesanan ringkas).

"Pada masa yang sama juga saya sering bertanyakan mengenai surah dan amalan yang menjadi pedoman saya sehari-hari untuk diperbetulkan Abang Jeff," ungkapnya menelusuri detak cinta dalam kalbu.

Majlis resepsi mega


Lain pula bagi Jeffri yang tertaut dengan keenakan dan keunikan rasa kuih tart tradisional yang dibikin air tangan Kak Ani.

"Kuih tart adalah lambang cinta saya dengan Ani, setiap kali menjamah kuih tart saya akan ingat Ani. Tambah-tambah apabila Ani menjalankan perniagaan kuih tart tradisionalnya demi tujuan amal," tuturnya yang menduda lebih 13 tahun setelah dikurniakan empat orang anak lelaki berusia 16, 17, 25 dan 26 tahun.

Juga menganggap Kak Ani sebagai wanita berwibawa, Jeffri juga tidak menolak untuk mengadakan majlis resepsi perkahwinannya dengan pelantun lagu Dikir Puteri itu secara mega.

Majlis perkahwinan dan persandingan kedua-dua mempelai itu akan diadakan di Padang A, Plaza Angsana Johor Bahru, Johor dari pukul 12 tengah hari hingga 5 petang 29 September ini sempena Festival Kahwin-Kahwin Masyhur 1Malaysia Negeri Johor 2011.

Festival yang dianjurkan oleh Noraniza Idris Production Ventures Sd. Bhd. itu akan berlangsung selama tiga hari berturut-turut bermula 29 September hingga 2 Oktober.

Kata Jeffri: "Keluarga saya adalah yang bersederhana, saya setuju dengan apa jua yang dilakukan Ani untuk peminatnya termasuk konsep kahwin terbuka ini dan saya sentiasa menganggap anak-anak Ani seperti anak-anak saya sendiri."

sumber

Fida jawab isu peluk dan cinta Mamat


KEBIASAANNYA artis yang menutup aurat jarang dilihat tampil di dalam kaca televisyen melakukan adegan berpelukan mahupun berpegangan tangan. Namun, bagi pendatang baru industri lakonan, Fida atau nama sebenarnya Rafidah Ibrahim dilihat telah memecah norma sopan yang telah dibentuk sejak awal dia memasuki industri ini beberapa tahun lalu.

Fida telah melakukan babak berpelukan bersama aktor Iqram Dinzly di dalam drama bersiri Kasih Alia yang sedang ditayangkan di saluran TV3.

Melihatkan babak tersebut, ramai yang berpendapat mungkin tidak manis bagi seorang wanita muslimah bertudung litup bersetuju untuk melakukan adegan itu. Namun, bagi gadis berumur 27 tahun ini, dia ada alasan tersendiri terhadap persoalan mengapa babak tersebut terjadi.

"Pertama sekali, Fida ingin meminta maaf jika ada peminat yang terasa dengan apa yang berlaku. Sebenarnya, perkara itu terjadi secara spontan. Ketika itu babak kami dihalau dari wad dan ia babak yang sangat sedih.

"Mungkin kerana terlalu menjiwai, Iqram secara tidak sengaja tertarik Fida dan jika dilihat dari mata kasar memang nampak seperti kami berpelukan, namun pada hakikatnya tidak. Tapi bila perkara-perkara sebegini berlaku, Fida sebagai pelakon perlu bersedia menghadapi semua ini," jelas anak kelahiran Kuala Lumpuri itu yang mengatakan semua ini dipelajari dari kesilapan lalu.

Tambah Fida, pengalaman sebelum ini telah memberi kesedaran buat dia untuk menghormati dan mendengar arahan 'cut' dari pengarah. Katanya, sebagai orang baharu yang hanya berbekalkan pengalaman dua tahun dalam industri lakonan, siapalah dirinya untuk mendahului pengarah.

Cerita gadis itu lagi, pernah beberapa kali sebelum ini memberhentikan babak yang dilakonkan kerana dirasakan tidak sesuai dengan dirinya. Namun, insiden itu telah menyebabkan dirinya ditegur beberapa kali dan pernah juga dimarahi.


Menjelaskan apa yang berlaku, cerita Fida sebenarnya dia menggunakan tekniknya tersendiri untuk melakonkan babak tersebut. Apa yang dilihat mungkin tidak sama dengan apa yang berlaku. Jelas Fida, Iqram ketika itu tidak memeluknya erat.

"Apa yang boleh Fida lakukan ialah Fida gunakan teknik sendiri. Jika perasan, Fida meletakkan tangan kiri di bahagian hadapan badan dan Iqram hanya meletakkan tangannya ke bahu Fida. Fida terkejut sebenarnya dengan tindakan Iqram namun Fida tidak boleh berbuat apa-apa.

"Perkara tersebut berlaku secara tidak sengaja dan sebagai pelakon baharu, Fida perlu ikut apa yang dimahukan pengarah, namun perkara tersebut berlaku dengan cepat kerana apabila kita melakonkan sesuatu babak terutamanya yang bermain dengan emosi, kadangkala ia terlepas," jelas Fida mengenai babak yang menjadi kontroversi itu.

Apa yang pasti, jika pernah mengenali dan berjumpa dengan juara Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene ini, dia agak terbuka jika dibanding dengan aktres muda muslimah yang lain. Fida tidak kisah untuk bersalaman dan bergambar rapat bersama lelaki.


Menjawab persoalan tersebut, Fida yang ditemui pada majlis rakaman Melodi Raya terbitan TV3 baru-baru ini menjelaskan, pada pendapat dirinya, apabila seseorang menghulurkan tangan untuk bersalaman, jika kita menolak ia ibarat mengaibkan lelaki itu di hadapan orang ramai yang terlihat.

"Memang perkara seperti itu tidak patut berlaku, namun bagi pendapat Fida, banyak lagi perkara lain yang kita perlu ikut dan rasanya ini bukanlah perkara besar.

"Ini kerana, banyak lagi perkara berat yang kita perlu dititikberatkan. Cuma, jika perkara sebegini berlaku, janganlah kita terlalu ingin menjaga maruah dan tatasusila sehingga mengaibkan orang lain," ujar Fida jujur mengakui perkara yang dilakukannya.

Serius dengan Mamat

Cerita cinta Fida dan Mamat dari Kumpulan Sepah bukanlah perkara baharu yang perlu disorokkan lagi. Walaupun begitu, kisah percintaan mereka masih kabur dan tidak begitu jelas memandangkan kedua-duanya tidak memberikan jawapan yang pasti sebelum ini dan hanya gambar dan khabar angin yang tersiar dalam laman web.

Namun, baru-baru ini, Mamat sendiri pernah mengeluarkan kenyataan dia mahu merisik Fida untuk dijadikan isteri. Namun, bagi Fida, seperti perjalanan kariernya yang masih baharu, begitu juga perhubungannya bersama Mamat.

Ujarnya, tempoh enam bulan merupakan tempoh yang masih segar dalam sesebuah perhubungan dan mereka berdua telah mengambil kata sepakat untuk mengenali hati budi masing-masing terlebih dahulu.

"Saya akui dia lelaki yang paling rapat dengan saya setakat ini. Tapi kami ingin kenal dengan lebih dekat lagi. Fida tertarik dengan kejujuran yang ditunjukkan oleh Mamat.

"Oleh itu, Fida beri peluang kepada dirinya dan diri Fida sendiri ruang untuk mengenali diri masing-masing. Sebelum ini juga, Fida tidak pernah dikaitkan dengan sesiapa," tutur Fida sambil tersenyum manis saat berbicara mengenai kisah cintanya.

Katanya dia tertarik dengan Mamat kerana walaupun perangainya yang mungkin gila-gila, namun dia punyai satu bahagian lain yang menampilkan ciri-ciri kemelayuan.

Diambil sebagai contoh, semasa membuat promosi filem terbaharu mereka, Fida tertarik dengan tandatangan yang diturunkan oleh Mamat yang dtulis dalam tulisan jawi. Pertama kali terlihat seorang artis berbuat begitu, hatinya terus terpaut meminati jejaka tinggi lampai itu.

sumber

Alleycats kembali ke IB


AURA dan semangat Datuk David Arumugam untuk menyanyikan lagu kepada peminat masih kuat biarpun usianya sudah menjangkau 61 tahun. Peminat-peminatnya juga masih menaruh harapan besar agar vokalis kumpulan Alleycats itu tidak mengundurkan diri dan setia menyanyikan lagu-lagu malar segar mereka.

Biarpun sudah 40 tahun berada dalam dunia seni, aura Alleycats masih utuh. Lagu-lagu hit mereka masih menjadi siulan sehingga kini.

Untuk itu satu konsert Alleycats bakal diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 16 hingga 18 September ini. Ia juga merupakan konsert kedua Alleycats di Istana Budaya selepas konsert pada tahun 2008 yang lalu.

Terkenal dengan fesyen rambut afro dari dulu hingga kini, David yang juga merupakan pengasas kumpulan Alleycats itu tidak dapat menyorokkan perasaan terujanya saat dipelawa mengadakan konsert di Istana Budaya.

“Memang gembira bila dapat buat konsert semula di Istana Budaya. Malah, konsert Alleycats kali ini turut disuntik kelainan apabila ia diiringi dengan pemuzik Orkestra Tradisional Malaysia di bawah pimpinan Eddie Marzuki,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Konsert Sampaikan Salam Alleycats di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Mengenai pemilihan lagu untuk konsert itu nanti, David dan pengganti mendiang Datuk Loganathan Arumugam, Glen akan menyanyikan koleksi lagu-lagu popular Alleycats dan juga lagu-lagu popular yang lain.

Abang kepada Loga itu juga akan menyampaikan lagu Cina dan India sempena konsert sambutan Hari Malaysia yang berkonsepkan 1Malaysia itu.

“Berapa banyak lagu yang akan saya sampaikan nanti masih lagi belum tahu. Cuma konsert itu nanti akan berlangsung selama sejam setengah atau dua jam,” katanya mengenai konsert anjuran Aktif Mestika Sdn. Bhd. itu.

Ditanya sama ada dia sudah boleh menyesuaikan diri menyanyi tanpa Loga yang meninggal dunia akibat barah paru-paru pada tahun 2007 lalu, pelantun lagu Hingga Akhir Nanti itu mengakui terpaksa mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri tanpa Loga di atas pentas.

“Walaupun sudah empat tahun berlalu, saya masih perlu menyesuaikan diri berada di atas pentas tanpa Loga. Saya tidak putus asa dan masih meneruskan nyanyian tanpa Loga,” katanya yang juga terpaksa menyanyikan lagu berpandukan lirik kerana tidak mahu melakukan kesilapan.

Malah, katanya, usianya kini menghalangnya untuk menghafal lirik lagu-lagu yang banyak dan pelbagai.

Konsert Sampaikan Salam Alleycats itu nanti akan terbahagi kepada tiga segmen. Segmen pertama, David akan menyampaikan lagu-lagu 1Malaysia. Segmen kedua pula bagi mengenang mendiang Loga iaitu Tribute To Loga. Segmen itu nanti turut mengundang anak perempuan Loga, Priyadashini, 24, untuk menyampaikan lagu-lagu bapanya. Bagi segmen ketiga pula, David akan menyanyikan lagu-lagu malar segar Alleycats

Menurut Priyadashini, dia berasa teruja kerana diberi peluang menyanyikan lagu-lagu mendiang bapanya. Namun, dalam masa yang sama dia juga merasa gementar untuk beraksi di atas pentas Istana Budaya itu nanti.

“Saya akan menyanyikan lagu-lagu mendiang ayah saya seperti Berjuta Batu dan Jika Kau Bercinta Lagi mengikut gaya saya sendiri,” katanya yang merahsiakan penampilannya di atas pentas Istana Budaya nanti.

Tiket-tiket berharga RM65, RM85, RM125, RM165, RM205, RM245, RM305 dan RM450 boleh didapati secara dalam talian di www.ticket2u atau hadir ke kaunter tiket di Istana Budaya. Diskaun sebanyak 10 peratus akan diberikan kepada pembeli yang awal.

sumber

Kontroversi suami Miriam


SUDAH nasib badan menjadi suami artis terkenal, Real Ding terpaksa menerima hakikat itu apabila kunjungannya ke sebuah hospital baru-baru ini telah menyebabkan timbul kontroversi.

Suami bintang tersohor Hong Kong, Miriam Yeung itu telah menjadi bahan spekulasi media di Hong Kong apabila sebuah majalah telah membuat spekulasi terhadap kunjungannya ke sebuah hospital swasta baru-baru ini.

Apa yang menimbulkan kontroversi adalah spekulasi itu mendakwa Real pergi ke hospital itu untuk membuat analisis terhadap spermanya.

Majalah itu juga mendakwa Miriam dan Real yang sudah berkahwin sejak tahun 2009 sukar mendapat zuriat.

Impaknya, ketika menghadiri sebuah acara hiburan di Hong Kong, Miriam terperanjat besar apabila mendapat tahu tentang apa yang ditulis oleh majalah tersebut.

"Dia tidak memberitahu saya apa-apa tentang kontroversi yang timbul itu, mungkin kerana dia tidak mahu mengganggu jadual seni saya," ujarnya.

Tambah Miriam, dia memang mengetahui suaminya itu ke hospital tersebut tetapi untuk membuat pemeriksaan kesihatan yang biasa.


"Tiada apa yang mahu disembunyikan dan saya tidak rasa kami malu dengan hal itu. Suami saya sememangnya mencadangkan kami berdua pergi ke hospital itu untuk melakukan pemeriksaan kesihatan tetapi saya tidak dapat pergi kerana ada kerja.

"Nasib baik saya tidak pergi sama, kalau tidak macam-macam lagi spekulasi yang direka oleh media," ujarnya.

Miriam mempersoalkan bagaimana majalah itu mendapat maklumat suaminya mengunjungi hospital tersebut. Katanya: "Pemeriksaan tubuh adalah sesuatu yang sangat peribadi dan ia sepatutnya menjadi maklumat sulit dan hanya diketahui oleh pihak hospital sahaja. Pihak hospital itu tidak profesional dalam hal ini kerana mendedahkan maklumat sulit tentang suami saya."

Ditanya tentang dakwaan majalah itu bahawa dia dan Real sukar mendapat zuriat, ujar Miriam: "Macam mana media tahu tentang perkara itu. Itu hal peribadi kami. Kami sebenarnya yang belum bercadang untuk mendapat zuriat lagi.

"Kami merancang untuk menyelesaikan segala urusan kerja (seni) saya dan menjelang Tahun Baru Cina 2012 saya akan berehat dari dunia seni buat sementara."

Miriam, 37, dan Real, 32, berkahwin secara senyap-senyap di Las Vegas pada 2009 sebelum mengumumkan perkahwinan mereka secara rasmi pada majlis resepsi mereka yang berlangsung pada 20 Disember tahun lepas.

sumber

Beckham resah jauh dari keluarga




DAVID BECKHAM mendapati dirinya berada dalam keresahan jika berada berjauhan daripada isterinya, Victoria Beckham dan empat orang anaknya. Malah dia mengakui melalui saat-saat yang sukar tanpa mereka.

Bintang bola sepak tersohor itu baru-baru ini terpaksa terbang ke New Jersey, Amerika Syarikat dan meninggalkan keluarganya di London untuk perlawanan bola sepak antara MLS All Stars yang disertainya untuk berhadapan dengan kelab bola sepak lamanya, Manchester United.

"Saya asyik mengira masa bila saya dapat kembali ke pangkuan Victoria dan anak-anak kami kerana saya berasa sangat bersalah meninggalkan Victoria yang baru dua minggu melahirkan anak keempat kami. Harper Seven," luah Beckham kepada UsMagazine.

Selain Harper Seven, Beckham mempunyai tiga anak lelaki terdiri daripada Brooklyn, 12 tahun, Romeo, 8, dan Cruz, 6.

Katanya lagi: "Saya cukup bertuah kerana beristerikan Victoria dan apabila terpaksa meninggalkan dia dan anak-anak biarpun buat seketika membuatkan saya berada dalam keresahan dan kesukaran. Saya tidak sabar untuk kembali kepada Victoria dan anak-anak."

Beckham yang melabelkan Harper Seven sebagai 'sangat hebat' itu juga mengakui dia begitu gembira kerana tiga anak lelakinya itu boleh menerima kehadiran anggota baharu dalam keluarga mereka itu.

Ujarnya: "Anak-anak lelaki saya cukup gembira dengan kelahiran Harper Seven. Mereka asyik ingin berada di sampingnya, jadi saya harap biarlah keadaan itu berkekalan 20 tahun lagi."

sumber

Mahu terus mengembara


SEJAK lebih dua bulan lalu, kelibat aktres Maya Karin tidak dilihat dalam banyak acara hiburan. Dia juga tidak muncul di media massa. Perkembangan tentang dirinya hanya dapat diketahui melalui Twitter miliknya. Maya Karin, sejak dua bulan lalu telah kembali menikmati kecintaan lamanya, mengembara.

Menariknya, kembara Maya kali ini adalah destinasi yang tidak dijangka umum. Dia yang diketahui sebagai seorang wanita yang gemarkan cabaran dan mencintai alam sekitar memilih Brazil, Venezuela, Colombia dan Peru sebagai destinasi terkini kembaranya. Destinasi-destinasi itu diketahui sebagai kawasan hitam untuk diteroka.

Aktres itu senyum lebar saat dirinya sebagai seorang wanita lasak yang berani untuk masuk ke empayar yang terkenal sebagai wilayah dadah itu. Dia kemudian menjelaskan momokan tentang 'kehitaman' destinasi yang disinggahi tidaklah seteruk mana.

Katanya yang mengaku berasa bebas dan lebih bersemangat sebaik kembali daripada mengembara: "Memang satu dunia tahu Colombia misalnya sangat terkenal dengan kisah dadah dan gangster.

"Tetapi apabila saya sampai ke sana, ia tidaklah seburuk yang disangka. Saya kira mungkin 10 tahun lalu, ia memang satu wilayah hitam. Namun seiring masa beredar, Colombia boleh dikatakan agak selamat untuk dilawati." katanya yang bagaimanapun tidak menggalakkan wanita mengembara ke negara seperti itu seorang diri.

Mengutip sejuta pengalaman baru seperti perjalanan di dalam hutan selama empat hari untuk sampai ke Machu Picchu, Peru serta memerlukan masa selama hampir dua hari dengan menaiki pesawat, bas dan kemudian berjalan kaki masuk ke hutan untuk melihat keajaiban air terjun tertinggi di dunia, Air Terjun Angel's Falls di Venezuela, semua itu tidak mungkin diperoleh jika dia tidak bersetuju untuk menerima pelawaan adiknya, Armin.

Namun ada kisah di sebalik kembaranya itu. Selain menerima pelawaan Armin, 29, untuk menikmati keindahan dan mengenali budaya negara luar, Maya sendiri secara jujur mahu lari daripada suhu 'panas' yang menerjah dirinya lewat kebelakangan ini.

Dia mahu mengembalikan suhu seorang Maya Karin kepada suhu yang seimbang, tidak mahu lagi terus diterpa dengan gosip-gosip terutama yang berkaitan isu peribadi.

"Antara salah satu sebab saya mengembara juga adalah kerana saya rimas dengan gosip yang terlalu banyak menerpa sejak kebelakangan ini.

"Saya mahu meredakan semua gosip tersebut dan mahu khalayak kembali memberi tumpuan kepada kerjaya saya," ujarnya jujur.

Tambah Maya, lagi pula dia sendiri sudah lama tidak mengembara melihat dunia luar.


Melaksanakan mimpi

Memberitahu sudah enam tahun tidak mempunyai waktu untuk diri sendiri menjalani aktiviti kegemarannya ini, tahun lalu dia menanam azam agar niat mengembara harus dilaksanakan tahun ini.

Sementelah, jadual kerjanya tidak terlalu padat, lantas ini menjadi masa terbaik untuk dia melaksanakan mimpinya itu.

Namun yang menariknya, perancangan untuk menerima pelawaan Amir hanya dibuat dalam masa empat hari selepas dia tamat menjalani penggambaran filem terbaharunya, Lagenda Budak Setan.

Lebih menarik, agenda asal mahu mengembara selama dua minggu sahaja bertukar kepada dua bulan sebaik dia menjejakkan kaki ke Brazil.

"Perancangan untuk mengembara telah saya fikirkan sejak setahun lalu selepas saya hanya pergi mengembara ke negara-negara Asia seperti Bali dan Thailand.

"Kebetulan adik saya mengajak saya mengikut dia mengembara ke Brazil kerana dia mahu mempelajari bahasa Portugis jadi selepas melihat jadual saya agak tidak sibuk, saya bersetuju.

"Maka saya hanya melakukan persiapan dalam masa empat hari iaitu mencari tiket penerbangan dan mengetahui serba sedikit tentang geografi, budaya dan bahasa tentang negara yang ingin saya lawati.

"Namun sebaik sampai di Brazil, saya yang pada mulanya hanya ingin bercuti selama dua minggu telah memanjangkan cuti menjadi dua bulan!," ceritanya sambil ketawa.

Ujar aktres berkaliber ini lagi, jika dia tidak mengembara sekarang, dia tidak tahu bila masanya lagi dia akan dapat meneruskan kelangsungan cintanya terhadap aktiviti riadah tersebut.

"Sementara saya mempunyai waktu, kemampuan dan paling penting tidak terikat dengan sebarang komitmen, saya tidak mahu melepaskan peluang meneruskan kecintaan saya terhadap dunia ini," beritahu Maya yang mengaku hanya merindui masakan Melayu seperti Nasi Kandar berbanding merindui teman-teman di Malaysia sepanjang dia mengembara

Ramadan dan Aidilfitri

Mengalih topik mengenai agenda seninya, Maya memberitahu sehingga akhir tahun dia tidak mempunyai sebarang komitmen di lokasi.

Dua buah filem terbaharunya iaitu Lagenda Budak Setan dan Ombak Rindu hanya menanti untuk ditayangkan pada tahun hadapan.

Sebaliknya dia kini kembali memberi fokus terhadap bidang nyanyian dengan single pertamanya, Terbang, sedang digiat menjalani promosi. Sementara selebihnya, dia mempunyai banyak masa untuk diri sendiri - satu hal yang sudah lama tidak dapat diberi perhatian kerana terlalu sibuk dengan kerja.

Disoal tidakkah bimbang jika ada yang mula terlupa mengenai dirinya, dalam senyum Maya menjawab: "Secara jujur, saya senang dengan suasana yang agak tenang sekarang.

"Saya selesa dengan perjalanan suku tahun kedua karier saya ini dan saya tidak keberatan jika cerita saya tidak banyak di media massa. Paling penting, saya kini makin bersemangat untuk terus mengembara ke destinasi yang lain pula."

Sementara itu, menyentuh tentang bulan Ramadan yang baru bermula, ia disambut Maya sama seperti tahun-tahun sebelum ini. Tiada yang terlalu berlebihan, sebaliknya selain mempertingkatkan ibadat, dia memilih untuk menghabiskan masa lebih banyak dengan keluarganya.

Ini kerana, sepanjang Ramadan, Maya tidak terikat dengan sebarang komitmen. Dia masih lagi dalam tempoh 'bulan madu' sehingga selepas Aidilfitri nanti.

"Jadi saya akan habiskan banyak masa bersama emak saya. Selain berada di Kuala Lumpur, mungkin saya akan pulang ke Pulau Pinang untuk berpuasa bersama sanak saudara di sana. Selebihnya, saya akan memenuhi undangan majlis berbuka puasa yang memerlukan saya hadir," ujarnya yang tidak suka bermewah makanan kala berbuka puasa.

sumber

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)