Ana Dahlia, Nazri menuju bahagia


HADIR sedondon memakai busana Melayu berwarna biru, jalan beriringan dan duduk bersama dengan keletah cukup mesra sewaktu hadir ke rakaman Melodi Raya 2011 pada minggu lalu, ia tidak dapat menyembunyikan getar cinta antara pelakon Ana Dahlia dengan Chef Nazri.

Walaupun tidak menterjemah ia secara terang-terangan, namun bahasa tubuh dan keintiman mereka telah menjawab segalanya.

Sewaktu ditemu bual, Ana asyik tertawa sementara Nazri yang merupakan anak chef tersohor Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan juga tersenyum lebar.

Sesekali mereka berlaga jawapan yang diberikan, mungkin tidak menduga akan 'ditembak' dengan soalan-soalan tentang hubungan mereka.

Misalnya menjawab soalan tentang adakah Nazri sudah pernah bertemu keluarga Ana, pelakon itu menggeleng, sementara Nazri secara spontan terus memberitahu dia pernah bertemu keluarga Ana.


Pertembungan beberapa jawapan akhirnya membuat pasangan tersebut membuka serba sedikit kisah cinta mereka yang baru ingin bermula.

Akui Ana yang namanya melonjak naik selepas menjadi finalis program realiti televisyen Pilih Kasih, dia dan Nazri kini akrab dan sedang dalam fasa mengenali hati budi masing-masing.

Hubungan mereka juga baru melewati usia enam bulan dan ada banyak keserasian yang perlu dipupuk bersama agar ia menjadi benih cinta yang boleh disemai sehingga mereka bersatu.

"Selain sedang mengenali hati budi masing-masing, kami juga sebenarnya mempunyai minat yang sama. Saya suka memasak, dia pula suka makan, dan kadang-kadang dia memasak, saya pula yang makan," ujar Nazri pula sambil Ana di sebelah mengangguk setuju.

Tambah Nazri lagi, perkenalan mereka terjadi secara tidak sengaja yang dibuka oleh adiknya, Serina. Entah macam mana, hatinya terus terpaut untuk mengenali Ana. Bagi chef muda tersebut, Ana memiliki ciri-ciri keibuan yang sangat tebal selain lembut dan ceria.

Memberitahu Ana adalah wanita kedua yang dibawa bertemu bapanya, sambil ketawa Nazri berkata: "Papa berkenan dengan Ana. Saya lagilah berkenan."

Diusik jika sudah berkenan mengapa perlu menunggu lebih lama, Nazri hanya tersenyum sementara Ana kelihatan malu-malu.

Ia kemudian disambut Ana: "Kami rasa tak salah untuk kami terus berkawan dahulu dan mengenali hati budi masing-masing.

"Jika ada jodoh di bulan baik ini, apa salahnya. Nazri adalah seorang pendengar yang setia dan lelaki yang baik."

Bercerita tentang proses cinta mereka, kata pasangan itu, kesibukan kerja masing-masing membataskan mereka untuk selalu bertemu.

Justeru, mereka menggunakan kecanggihan teknologi masa kini untuk terus saling berhubung dan jika mempunyai masa terluang, mereka akan bertemu untuk keluar makan bersama.

Ditanya tentang kebarangkalian mereka akan saling mengunjungi kediaman keluarga masing-masing sempena Syawal nanti, ujar Ana dan Nazri, ia belum diputuskan lagi. Jika punya kesempatan, Nazri tidak menolak untuk menziarahi Ana di kampungnya di Taiping, Perak.

Sementara itu, Ana memberitahu, dia bakal muncul dengan sebuah komedi berjudul Pusing Raya pada Syawal nanti.

"Sekarang ini saya sedang sibuk dengan penggambaran Periuk Hangus dan selepas Aidilfitri nanti saya akan kembali ke lokasi untuk menjalani penggambaran drama 26 episod berjudul Metro Skuad," katanya yang bersyukur rezeki berlakon masih tidak putus buatnya. - MALIAH SURIP

sumber

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)