Mahu terus mengembara


SEJAK lebih dua bulan lalu, kelibat aktres Maya Karin tidak dilihat dalam banyak acara hiburan. Dia juga tidak muncul di media massa. Perkembangan tentang dirinya hanya dapat diketahui melalui Twitter miliknya. Maya Karin, sejak dua bulan lalu telah kembali menikmati kecintaan lamanya, mengembara.

Menariknya, kembara Maya kali ini adalah destinasi yang tidak dijangka umum. Dia yang diketahui sebagai seorang wanita yang gemarkan cabaran dan mencintai alam sekitar memilih Brazil, Venezuela, Colombia dan Peru sebagai destinasi terkini kembaranya. Destinasi-destinasi itu diketahui sebagai kawasan hitam untuk diteroka.

Aktres itu senyum lebar saat dirinya sebagai seorang wanita lasak yang berani untuk masuk ke empayar yang terkenal sebagai wilayah dadah itu. Dia kemudian menjelaskan momokan tentang 'kehitaman' destinasi yang disinggahi tidaklah seteruk mana.

Katanya yang mengaku berasa bebas dan lebih bersemangat sebaik kembali daripada mengembara: "Memang satu dunia tahu Colombia misalnya sangat terkenal dengan kisah dadah dan gangster.

"Tetapi apabila saya sampai ke sana, ia tidaklah seburuk yang disangka. Saya kira mungkin 10 tahun lalu, ia memang satu wilayah hitam. Namun seiring masa beredar, Colombia boleh dikatakan agak selamat untuk dilawati." katanya yang bagaimanapun tidak menggalakkan wanita mengembara ke negara seperti itu seorang diri.

Mengutip sejuta pengalaman baru seperti perjalanan di dalam hutan selama empat hari untuk sampai ke Machu Picchu, Peru serta memerlukan masa selama hampir dua hari dengan menaiki pesawat, bas dan kemudian berjalan kaki masuk ke hutan untuk melihat keajaiban air terjun tertinggi di dunia, Air Terjun Angel's Falls di Venezuela, semua itu tidak mungkin diperoleh jika dia tidak bersetuju untuk menerima pelawaan adiknya, Armin.

Namun ada kisah di sebalik kembaranya itu. Selain menerima pelawaan Armin, 29, untuk menikmati keindahan dan mengenali budaya negara luar, Maya sendiri secara jujur mahu lari daripada suhu 'panas' yang menerjah dirinya lewat kebelakangan ini.

Dia mahu mengembalikan suhu seorang Maya Karin kepada suhu yang seimbang, tidak mahu lagi terus diterpa dengan gosip-gosip terutama yang berkaitan isu peribadi.

"Antara salah satu sebab saya mengembara juga adalah kerana saya rimas dengan gosip yang terlalu banyak menerpa sejak kebelakangan ini.

"Saya mahu meredakan semua gosip tersebut dan mahu khalayak kembali memberi tumpuan kepada kerjaya saya," ujarnya jujur.

Tambah Maya, lagi pula dia sendiri sudah lama tidak mengembara melihat dunia luar.


Melaksanakan mimpi

Memberitahu sudah enam tahun tidak mempunyai waktu untuk diri sendiri menjalani aktiviti kegemarannya ini, tahun lalu dia menanam azam agar niat mengembara harus dilaksanakan tahun ini.

Sementelah, jadual kerjanya tidak terlalu padat, lantas ini menjadi masa terbaik untuk dia melaksanakan mimpinya itu.

Namun yang menariknya, perancangan untuk menerima pelawaan Amir hanya dibuat dalam masa empat hari selepas dia tamat menjalani penggambaran filem terbaharunya, Lagenda Budak Setan.

Lebih menarik, agenda asal mahu mengembara selama dua minggu sahaja bertukar kepada dua bulan sebaik dia menjejakkan kaki ke Brazil.

"Perancangan untuk mengembara telah saya fikirkan sejak setahun lalu selepas saya hanya pergi mengembara ke negara-negara Asia seperti Bali dan Thailand.

"Kebetulan adik saya mengajak saya mengikut dia mengembara ke Brazil kerana dia mahu mempelajari bahasa Portugis jadi selepas melihat jadual saya agak tidak sibuk, saya bersetuju.

"Maka saya hanya melakukan persiapan dalam masa empat hari iaitu mencari tiket penerbangan dan mengetahui serba sedikit tentang geografi, budaya dan bahasa tentang negara yang ingin saya lawati.

"Namun sebaik sampai di Brazil, saya yang pada mulanya hanya ingin bercuti selama dua minggu telah memanjangkan cuti menjadi dua bulan!," ceritanya sambil ketawa.

Ujar aktres berkaliber ini lagi, jika dia tidak mengembara sekarang, dia tidak tahu bila masanya lagi dia akan dapat meneruskan kelangsungan cintanya terhadap aktiviti riadah tersebut.

"Sementara saya mempunyai waktu, kemampuan dan paling penting tidak terikat dengan sebarang komitmen, saya tidak mahu melepaskan peluang meneruskan kecintaan saya terhadap dunia ini," beritahu Maya yang mengaku hanya merindui masakan Melayu seperti Nasi Kandar berbanding merindui teman-teman di Malaysia sepanjang dia mengembara

Ramadan dan Aidilfitri

Mengalih topik mengenai agenda seninya, Maya memberitahu sehingga akhir tahun dia tidak mempunyai sebarang komitmen di lokasi.

Dua buah filem terbaharunya iaitu Lagenda Budak Setan dan Ombak Rindu hanya menanti untuk ditayangkan pada tahun hadapan.

Sebaliknya dia kini kembali memberi fokus terhadap bidang nyanyian dengan single pertamanya, Terbang, sedang digiat menjalani promosi. Sementara selebihnya, dia mempunyai banyak masa untuk diri sendiri - satu hal yang sudah lama tidak dapat diberi perhatian kerana terlalu sibuk dengan kerja.

Disoal tidakkah bimbang jika ada yang mula terlupa mengenai dirinya, dalam senyum Maya menjawab: "Secara jujur, saya senang dengan suasana yang agak tenang sekarang.

"Saya selesa dengan perjalanan suku tahun kedua karier saya ini dan saya tidak keberatan jika cerita saya tidak banyak di media massa. Paling penting, saya kini makin bersemangat untuk terus mengembara ke destinasi yang lain pula."

Sementara itu, menyentuh tentang bulan Ramadan yang baru bermula, ia disambut Maya sama seperti tahun-tahun sebelum ini. Tiada yang terlalu berlebihan, sebaliknya selain mempertingkatkan ibadat, dia memilih untuk menghabiskan masa lebih banyak dengan keluarganya.

Ini kerana, sepanjang Ramadan, Maya tidak terikat dengan sebarang komitmen. Dia masih lagi dalam tempoh 'bulan madu' sehingga selepas Aidilfitri nanti.

"Jadi saya akan habiskan banyak masa bersama emak saya. Selain berada di Kuala Lumpur, mungkin saya akan pulang ke Pulau Pinang untuk berpuasa bersama sanak saudara di sana. Selebihnya, saya akan memenuhi undangan majlis berbuka puasa yang memerlukan saya hadir," ujarnya yang tidak suka bermewah makanan kala berbuka puasa.

sumber

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)