Keserasian Johan, Fasha


KEMESRAAN jelas kelihatan antara aktor Johan Ariff As’ari, 25, dan aktres popular Fasha Sandha, 27, pada majlis rumah terbuka aktres tersebut yang diadakan di Chinta Salon di Wangsa Maju, baru-baru ini.

Saling mengusik antara satu sama lain, Johan bagaimanapun dilihat tersipu-sipu malu apabila diminta bergambar secara romantis bersama kekasihnya dalam drama Cinta Elysa itu.

Tidak menyembunyikan getaran hatinya apabila bertentang mata dengan Fasha, kata Johan dia sudah lama meminati Fasha dan tidak menyangka dapat berlakon bersama dalam Cinta Elysa yang kini sedang hangat ditayangkan di TV3.

“Jangan salah sangka pula, saya minat Fasha selaku seorang peminat dan dia merupakan aktres idola saya sebelum saya menjadi pelakon sehingga sekarang.

“Sebelum saya jadi pelakon, saya sering dengar daripada rakan-rakan produksi yang dia seorang pelakon yang berdedikasi dan berdisiplin. Tidak sangka pula saya cukup bertuah apabila dapat bergandingan menjadi kekasihnya dalam drama,” tutur Johan dalam tawa.

Menceritakan semula detik-detik pertama kali bertemu Fasha secara langsung, dia menemui idolanya itu dalam sebuah acara di Sabah. Perasaan teruja dan gementar menyelubungi dirinya apabila dia berdiri bersebelahan aktres tersebut.

Kemudian apabila mereka bertemu sekali lagi pada sesi bacaan skrip untuk drama Cinta Elysa, akui Johan dia agak gementar bagaimanapun pengarahnya Along Kamaludin meyakinkannya supaya membuang rasa gementar tersebut.

“Pengarah meyakinkan saya supaya jangan terlalu rasa diri saya di bawah kerana ketika berlakon, semua pelakon sama sahaja dan harus menjalankan tanggungjawab untuk berlakon dengan baik.

“Fasha memang banyak membantu saya, dia banyak memberi tunjuk ajar. Malah, dia yang mengajar saya untuk menangis dengan penuh emosi kerana saya memang susah untuk menangis. Saya hormat dia sebagai senior saya dalam bidang lakonan kerana pengalamannya lebih banyak,” tuturnya yang meminati aktor Johnny Depp.

Johan makin popular

Johan yang merupakan bekas pelajar sekolah pondok di Pesantren As-Syhada, Jambi, Indonesia dalam pengajian hafazan al-Quran itu bersyukur selepas berlakon drama Juvana, rezekinya dalam bidang lakonan kini datang mencurah-curah.

Bahkan tawaran yang datang kebanyakannya daripada syarikat penerbitan drama popular. Sebelum berlakon dalam drama Juvana, Johan terlebih dahulu berlakon dalam sebuah drama berjudul Penunggu Gunung Raya.

“Kiranya Juvana merupakan drama kedua saya. Alhamdulillah, rezeki saya ada dalam bidang ini. Kalau nak ikutkan saya terlalu baharu dalam bidang lakonan, pengalaman saya pun baru setahun sahaja,” katanya yang mendapat sokongan keluarga untuk berlakon.

Bercakap mengenai populariti, tegas Johan dia hanya mencuba dalam bidang lakonan kerana minat dan tidak menyangka namanya pantas meniti di bibir peminat gara-gara watak Botak dalam Juvana.

“Semasa Juvana mula-mula disiarkan saya tidak sangka langsung yang drama ini popular tetapi apabila ia semakin sampai ke penghujungnya, bila saya keluar rumah orang mula panggil saya Botak.

“Saya terkejut apabila orang ingin ambil gambar dengan saya, tetapi saya masih cuba menyesuaikan diri dengan perubahan kehidupan saya perlahan-lahan.

“Apabila peminat menghargai saya bermakna saya berjaya berlakon dengan baik. Jadi, saya berharap mereka akan terus memberi sokongan dan saya akan terus cuba memberi yang terbaik,” luahnya yang telah menghadiri uji bakat sebuah filem seram baru-baru ini.

Hubungan profesional

Walaupun baru sahaja berkenalan sejak berlakon bersama, kata Fasha, dia mengakui keserasian yang wujud antaranya dan Johan.

Bagaimanapun hubungannya itu hanya terbatas atas landasan profesional selaku seorang pelakon sahaja.

“Dia baik dan saya kenal keluarganya juga tetapi sebagai rakan sebab kami berlakon bersama. Sebagai pelakon baharu, bagi saya dia sangat berbakat dan seorang pelakon yang rajin bertanya untuk memperbaiki mutu lakonannya.

“Saya selaku senior cuba berkongsi segala ilmu yang saya ada kepadanya. Dia juga sedar yang dia pelakon baharu, jadi bila berjumpa ketika sesi bacaan skrip, saya lihat dia sangat gugup.

“Bila ditanya mengapa gugup, dia kata tidak percaya dapat berlakon dengan saya. Dia mempunyai masa depan yang cerah kerana mempunyai minat dan sifat ingin belajar yang tinggi,” kata Fasha.

Jejai di rumah terbuka

Dalam rumah terbuka Fasha, dia menjemput seramai 150 orang tetamu yang terdiri daripada keluarga, teman, peminat, pelanggan salonnya dan anak-anak yatim dari Rumah Perlindungan Anak-Anak Yatim Raudharul Jannah tetapi jumlah tetamu yang hadir mencecah 300 orang.

Bagaimanapun dalam ramai-ramai tetamu yang hadir, mata tertumpu pada seorang tetamu yang hadir iaitu Rizal Ashram (Jejai) yang sebelum ini dikatakan sudah putus cinta dengan Fasha.

Adakah kehadiran Jejai menandakan hubungan mereka telah pulih semula? Ketika disoal mengenai kehadiran Jejai pada Fasha, dia hanya menjawab: “Saya enggan mengulas lanjut mengenai perkara ini. Sekarang saya hanya beri tumpuan kepada kerjaya dan salon sahaja.”

Nampaknya rezeki Fasha semakin mencurah-curah, malah Fasha juga mengakui tahun ini rezekinya melebihi daripada tahun-tahun sebelumnya, terutama selepas dia membuka salon yang diberi nama Chinta Salon pada tujuh bulan lalu.

“Syukur, rezeki lakonan dan salon mencurah-curah. Kalau saya tahu berniaga menguntungkan seperti ini sudah lama saya buka salon.

“Tetapi bukan mudah kerana perniagaan memerlukan modal yang besar. Andai saya sudah tidak berlakon suatu hari nanti, salon ini yang akan menjadi sumber rezeki saya,” luahnya yang kini mempunyai tiga orang kakitangan di salonnya.

Impian Fasha untuk salonnya adalah untuk membuka cawangan di Johor Bharu dan juga Kangar, Perlis atas permintaan yang tinggi di dua negeri itu.

“Itu hanya angan-angan saya, harap-harap akan menjadi kenyataan suatu hari ini. Saya memilih Johor Bharu kerana ia negeri kelahiran saya dan permintaannya sangat tinggi begitu juga dengan Perlis,” katanya yang menguruskan sendiri perjalanan salonnya itu.

Anugerah Skrin 2011

Jika tahun lepas nama Fasha tercalon dalam drama Bagaikan Sumayyah, tahun ini namanya sekali lagi tercalon dalam drama berjudul Berkalung Noda arahan M. Hitler Zami.

Meskipun drama itu merupakan sebuah drama yang bagus, tetapi ia terpaksa bersaing dengan drama-drama lain yang tidak kurang hebatnya, justeru, Fasha tidak meletakkan harapan yang tinggi dan menyerahkan nasibnya pada pihak juri.

“Kalau menang, Alhamdulillah, kalau tidak menang tidak apa kerana saya telah memberi yang terbaik. Bagi saya drama Berkalang Noda sebuah drama yang bagus dan agak berat untuk saya kerana ia mengenai isteri curang,” katanya yang akan muncul dalam drama berjudul Bawaku ke Syurga.

sumber

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)