Popular kerana Bieber


SIAPA yang tidak kenal jika disebut nama, Yuna mahupun Ana Raffali yang kini merupakan dua nama besar yang sedang meniti arus popular dunia seni hiburan tanah air. Jika diimbas semula, dua wanita ini hanyalah gadis biasa yang meminati bidang muzik dan nyanyian serta memuat naik video persembahan yang dirakam ke dalam laman sosial YouTube untuk menerima komentar rakan-rakan.

Namun, kini mengikut peredaran zaman moden yang berteknologi, melalui laman web sosial sahaja, kita sudah boleh melihat pelbagai bakat terpendam terutamanya bidang nyanyian.

Seorang remaja perempuan yang berusia 15 tahun ketika itu juga tidak ketinggalan mencuba perkara yang sama dengan memuat naik video pertama yang menampilkan dirinya menyampaikan lagu sang idola, Justin Bieber yang berjudul Baby.

Najwa Latif, 16, atau nama sebenarnya, Imratul Najwa Abdul Latif tidak sangka video yang dimuat naik untuk tatapan ayah dan kakaknya melihat perkembangan diri dalam bermain gitar turut sama ditonton oleh orang lain.

"Saya muat naik video dalam YouTube adalah untuk ayah yang telah berpindah ke Kota Tinggi, Johor dan kakak saya yang berada di Shah Alam, Selangor untuk melihat perkembangan prestasi saya bermain gitar dan dalam masa yang sama dapat menilai saya.

"Oleh kerana mungkin saya kerap muat naik video ke dalam YouTube, pihak NAR Records nampak persembahan saya dan menghantar e-mel kepada kakak saya untuk memanggil saya menghadiri uji bakat.

"Selepas berbincang selama dua minggu bersama keluarga, saya setuju menerima tawaran NAR untuk menjadi artis di bawah naungan mereka," tutur Najwa yang menandatangani kontrak selama dua tahun dengan syarikat rakaman yang pernah dinaungi penyanyi hebat seperti Siti Sarah dan grup Exist.

Bagi pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Temenggong Ibrahim, Batu Pahat, Johor ini, perasaan seronok kerana dapat menimba pengalaman baharu melalui persembahan promosi yang diadakan membuatkan dirinya teruja ingin 'menjelajah' kehidupan sebagai anak seni.

Katanya, mungkin dahulu semasa tidak dikenali, apabila bersiar-siar tiada siapa yang menegur, namun kini, setelah terjebak di dalam dunia hiburan, ke mana sahaja yang dituju pasti ada yang menegur termasuk ada yang ingin bergambar sama.

Selain itu, menangkis persoalan khabar liar tentang dirinya tidak pernah mengaku bahawa hasil penulisan lirik dicipta oleh kakaknya, jawab anak ketiga dari empat beradik ini, dia tidak pernah menafikan sumbangan besar kakaknya dalam penghasilan lagu yang didendangkan. Dia mengaku bahawa kakaknya iaitu Iqhwatul Syafika adalah penyumbang bersama dalam karya dendangannya.

"Saya memang sering bekerjasama dengan kakak saya Syafika untuk menghasilkan lagu. Ini kerana, apabila saya mendengar lagu, justeru saya akan mendapat kord-kord mudah melodi lagu. Oleh kerana kakak masih belajar di UiTM, Shah Alam dan saya di Johor, kami sering berkomunikasi melalui telefon.

"Saya akan memperdengarkan melodi tersebut kepadanya dan mungkin selepas beberapa minit kakak akan menelefon kembali untuk memperdengarkan pula kepada saya lirik kasar yang dihasilkannya," jelasnya tentang lagu-lagu hasil ciptaan mereka itu hasil dari pemerhatian orang dan keadaan yang berlaku di sekeliling mereka.

Kunci mulut

Sebaik bergelar artis atau selebriti serta punyai peminat, maka kehidupan peribadi akan dikorek dan digembar-gemburkan. Itulah harga yang perlu diterima jika seseorang yang ingin 'hidup' dalam dunia seni.

CUBA bergaya. Sebagai artis baharu Najwa juga kini mula bergaya mengikut situasi majlis.

Bagi peminat fanatik Justin Bieber ini, setelah lima bulan bergelar artis, kehidupannya masih tidak punya banyak perbezaan. Mungkin bagi gadis yang gemar mengukir senyuman ini, bilangan rakan bertambah dan kerana masih bersekolah, guru juga banyak menasihati empunya diri supaya tidak mengabaikan pelajaran.

"Alhamdulillah, bukan sahaja keluarga, malah guru dan rakan juga menyokong dan tidak lupa memberikan nasihat. Dalam penyusunan jadual pula, pihak NAR Records membantu saya di mana mereka memberi kebebasan kepada aktiviti seni saya hanya pada hujung minggu mahupun cuti sekolah.

"Waktu sekolah memang tidak diganggu namun jika ada perkara yang tidak dapat dielakkan, maka NAR akan keluarkan surat kepada pihak sekolah meminta pelepasan. Tapi, saya ada masuk kelas tuisyen. Jadi jika ada pelajaran yang tertinggal, saya akan ulang semula semasa kelas tuisyen," cerita Najwa tentang pembahagian masa dirinya antara karier dan pelajaran.

Sementara itu, wujud juga cerita tidak menarik tentang hubungan kekeluargaan gadis manis ini bersama ayahnya. Najwa didakwa telah membuang bapanya disebabkan pertengkaran yang mungkin berpunca dari dirinya sendiri.

Tidak menunjukkan kegugupan mahupun rasa tidak selesa, Najwa memberikan alasan sopan dengan berkata hal yang melibatkan keluarga adalah terlalu peribadi untuk dikongsi dengan masyarakat.

"Jadi saya tidak mahu beri komen mengenai perkara ini dan saya lebih suka memilih untuk mendiamkan diri," jawabnya ringkas ketika ditanya.

sumber

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)