Cinta atau sumpah setia


CINTA Dara pada Aduka atau ikatan pertunangan antaranya dan Taruna? Mana satu pilihan Dara untuk dikorbankan? Persoalan itu dibiarkan tergantung untuk penonton yang akan hadir menyaksikan naskhah filem Semerah Padi yang diangkat ke pentas teater di Istana Budaya bermula 22 Disember ini, jawapan ada di hujung ceritanya.

Dara, watak yang akan dilakonkan oleh Jue Aziz manakala Aduka dan Taruna masing-masing dimainkan oleh pelakon berbakat Khir Rahman dan Fauzi Nawawi.

Semerah Padi, sebuah karya hebat arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pada tahun 1956 yang mengisahkan dua sahabat Aduka (lakonan P. Ramlee) dan Taruna (lakonan Nordin Ahmad) yang mahir dalam ilmu persilatan di kampung Semerah Padi.

Biarpun Dara (lakonan Saadiah) yang merupakan anak kepada penghulu kampung itu sudah ditunangkan bersama Taruna, cinta tetap 'menghalalkan' hubungannya dengan Aduka. Khilaf pada agama dan persahabatan diakhiri dengan hukuman hudud seperti tuntutan dalam Islam.

Pertemuan pada petang Khamis lalu beriring gerimis manja pantas terisi dengan kisah menarik sepanjang proses latihan teater Semerah Padi arahan Rosdeen Suboh itu.

Bersama Khir Rahman, Fauzi Nawawi dan Jue Aziz, kami menyelak lembaran kisah pendukung watak utama - Aduka, Taruna dan Dara.

Interpretasi Khir

Ibarat orang mengantuk disorong bantal, watak Aduka sememangnya sudah didamba oleh sutradara berkaliber, Khir Rahman, 38.

"Saya memang mahukan watak Aduka, bila sudah dapat memang sangat berbesar hati. Namun perlu ingat, tiada siapa dapat gantikan tempat P. Ramlee.

"Sama ada ia boleh jadi lebih baik atau lebih teruk daripada versi asal, saya pilih untuk jadi lebih baik!" kata pemilik nama Khairulizam Abdul Rahman.

Teater Semerah Padi ujar Khir perlu diberi makna dalam setiap pengucapan dialog begitu juga pergerakan bagi menyalut sifat teater itu dengan momen 1950-an.

"Kalau kita teliti, cara gerak dan percakapan dalam filem-filem dahulu lebih dramatik, perilakunya berbeza daripada sekarang. Itu yang istimewanya teater ini, mengubat rindu orang-orang lama," luncur butir bicara sambil menunjukkan beberapa contoh aksi yang dikatakannya dramatik itu.

Menterjemahkan filem ke pentas teater bukan kerja mudah kata Khir. Perlu diberi penelitian atas segala aspek. Risiko untuk penonton membanding bezakan filem dan teater juga tinggi.

"Tapi seelok-eloknya usah membandingkan naskhah filem dan teater sebab masing-masing ada sudut pandangan tersendiri, kadangkala ia menyeronokkan dan tidak mustahil mengecewakan," ulas pendukung watak Aduka.

Aduka bagi Khir adalah seorang yang setia pada kawan karibnya, Taruna. Menerusi teater itu watak Aduka akan 'dipusing' sedikit, setelah menyelamatkan Dara daripada tangan Borek dia terpaksa menjadi 'pak sanggup' semata-mata untuk menjaga maruah Dara yang telah diperkosa.

Pakej Fauzi

Taruna pula taat dan tegas! Kata pemain watak itu, Fauzi Nawawi, 38, dek kerana sifat itu, Dara berpaling perhatian kepada Aduka.

"Watak itu (Taruna) memang sudah sinonim dengan Nordin Ahmad, seorang yang setia pada pemerintah dan taat pada agama.

"Tidak jauh beza watak asal dengan ciri-cirinya dalam teater, cuma perbualan tak akan sama sebab dia legenda, kalau nak tiru memang tidak mampu, apa yang boleh ikut cara saya sendiri," ucap Fauzi yang sudah siap berpakaian pendekar ketika sesi temu ramah berlangsung.

Berkobar-kobar dan menyala-nyala api semangatnya menyarung pakaian yang mula memperkenalkan seorang Fauzi Nawawi 15 tahun dulu.

"Seni silat mungkin menjadi kelebihan pada saya untuk memainkan peranan Taruna, saya akan pamerkan sesuatu yang selama ini tidak berpeluang untuk beraksi dalam drama atau filem.

"Akhirnya dapat juga saya kembali bersilat setelah lama tinggalkan dunia pendekar," ujar Fauzi akan pakej sempurna yang dimilikinya.

Boleh berlakon, menyanyi dan menari merupakan kredit eksklusif yang dimiliki suami kepada pelakon jelita, Lisdawati. Namun, mempunyai kemahiran dalam seni mempertahankan diri menolaknya sedikit ke hadapan.


"Untuk menjadi anak seni bagi saya perlu ada pakej lengkap, perlu tahu semua bidang. Berlakon, menyanyi dan menari serta kredit jika tahu seni mempertahankan diri," katanya yang pada asal terkeliru mengenai naskhah Semerah Padi ini sama ada ia sebuah teater atau bangsawan.

Janji Fauzi, kualiti dan hasil terbaik akan dihadiahkan khusus untuk peminatnya. Katanya:"Kejujuran dan keikhlasan dalam berkarya itu penting, orang yang menonton akan menilainya sendiri."

Jue dirogol

Inti cerita daripada filem Semerah Padi dibentang untuk menjadi landasan dan kompas buat naskhah baharu iaitu sebuah teater memecut laju.

Perlu diingat, tidak semestinya segala yang tersurat di filem diterjemahkan ke pentas. Umpama babak Dara yang dirogol ketika diculik oleh kumpulan penjahat yang diketuai oleh Borek (lakonan Opie Zami) yang hakikatnya berlainan susur galur cerita asal filem.

Kata empunya nama Zuliana Abdul Aziz, 28, babak dia dirogol oleh watak Borek paling mencabar baginya.

"Jue suka babak ini, sumpah! Susahnya sebab cipta aksi sendiri, Jue sendiri yang minta dipukul dan diterajang melalui perbincangan dengan Opie.

"Itu kepuasan bagi Jue, mungkin setiap pelakon ada lain-lain penerimaan, tapi bila kita sendiri puas penonton juga akan dapat rasa. Memang semua akan terkejut, babak itu sangat zalim!" cerita Jue yang turut cedera sepanjang sesi latihan yang masih berlangsung.

Ditanya adakah Jue sendiri akan menyanyi, menari dan berlakon pada waktu yang sama? Jawabnya: "Jue akan menari, tapi kalau menyanyi nanti orang akan dengar Jue buat versi rock dalam teater Melayu."

Dara dalam kisah Semerah Padi adalah anak kepada penghulu yang akur pada arahan orang tuanya untuk dijodohkan dengan Taruna biarpun dalam hati kuat membentak.

Bergolak setiap kali berjumpa Aduka yang akan sentiasa bersama Taruna, terumbang-ambing dipukul perasaan sayang dan bersalah. Dara berdepan dua sisi berbeza saat bertemu dengan Taruna mahupun Aduka.

"Jue mainkan dua karakter berbeza, dengan Aduka lain, lebih relaks, berterus-terang dan degil.

"Tapi kalau dengan Taruna, Jue tak sanggup pandang mukanya sebab dia terlalu baik dan dia Jue sanjungi," singkap figura berambut panjang mengurai itu.

Mana satu pilihan Jue atau Dara akan terjawab dalam pementasan teater Semerah Padi yang akan bermula pada 22 Disember ini di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Maklumat lanjut layari www.istanabudaya.gov.my dan www.ticket2u.biz atau hubungi 03-41478600.

sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=1206&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)