Cinta ringkas Dong Wook, Sun-A


AKTOR Lee Dong Wook nampaknya masih popular dan diminati ramai meskipun sudah dua tahun menyepi daripada dunia lakonan kerana menjalani latihan ketenteraan yang wajib diikuti oleh setiap lelaki Korea Selatan.

Pertemuan dengan figura yang menjadi pujaan ramai selepas kemunculan dalam drama popular My Girl (2005) pada sidang akhbar bersempena promosi drama terbaharu Scent of Woman gandingannya bersama aktres popular Kim Sun-A, di Kuala Lumpur pada minggu lalu membongkar sedikit sebanyak rahsia Dong Wook.

Akuinya, selepas dua tahun berada dalam kem tentera, dia yang menamatkan latihan ketenteraan pada 20 Jun lepas bimbang andai peminat sudah melupakannya impak lambakan aktor baharu yang muncul saban hari.

Disebabkan itu, dia menerima tawaran untuk berlakon dalam drama Scent of Women ketika dia masih berada dalam latihan ketenteraan. Tidak sempat berehat, sebaik sahaja latihannya ketenteraannya tamat, Dong Wook terus berada di set penggambaran drama Scent of Women.

"Saya menerima tawaran berlakon Scent of Woman kerana jalan ceritanya yang menarik dan ia sebuah cerita cinta yang ringkas tetapi terdapat kesedihan dan kegembiraan di dalamnya.

"Bahkan saya yakin drama ini mampu menaikkan nama saya semula. Selain itu, selepas menjalani latihan ketenteraan, saya mahu terlibat dalam sebuah karya yang tidak terlalu berat tetapi dalam masa yang sama memberi impak kepada penonton," ujar Dong Wook.

Sambungnya, apabila mendengar aktres Kim Sun-A bakal mendokong watak kekasihnya dalam Scent of Women, dia terus bersetuju membintangi drama itu kerana dia yakin dengan kemampuan Sun-A.

"Sebenarnya saya sedikit gugup ketika mula-mula berada di set penggambaran kerana sudah dua tahun saya tinggalkan kerjaya sebagai aktor.

"Tetapi kerana Sun-A berada di tangga teratas dalam senarai aktres pilihan saya, saya yakin dengan bantuannya, saya mampu beri lakonan yang terbaik," tuturnya yang telah berlakon 18 buah drama dan empat buah filem.

Dong Wook dedah tubuh

Dalam drama serta filem lakonannya sebelum ini, jarang sekali dapat dilihat Dong Wook menayangkan badan. Bagaimanapun, dalam drama Scent of Women, Dong Wook tanpa segan silu mendedahkan tubuhnya.

Mengetahui dia harus melakukan adegan dedah tubuh dalam banyak babak Scent of Woman, justeru sejak berada dalam kem tentera lagi, Dong Wook telah bersenam untuk memperoleh tubuh yang berotot.

"Semasa masih dalam kem tentera lagi saya berusaha bersenam untuk mendapatkan tubuh seperti sekarang. Malah, ketika penggambaran, saya akan bersenam untuk dua jam setiap hari meskipun keletihan dan penggambaran habis lewat pagi.

"Sebenarnya, saya tidak berapa selesa dengan adegan tayang tubuh tetapi adegan itu diperlukan dan sebagai aktor, saya lakukannya.

"Tambahan, kami melakukan penggambaran di laut dan tepi pantai, bagi mengelakkan warna kulit badan saya tidak sekata, saya lebih selesa buka baju," jawabnya mengenai drama yang menjalani penggambaran di Okinawa, Jepun itu.

Aktor berusia 30 tahun itu yang kini sedang sibuk dengan penggambaran drama Wild Romance mengakui dirinya kini lebih matang berbanding awal kemunculannya dahulu.

"Saya masih ingat ketika berlakon dalam drama My Girl saya berusia 24 tahun. Sejak itu, terlalu banyak perubahan yang berlaku pada diri saya dan ia merupakan pengalaman yang amat berharga buat saya.

"Sebagai seorang aktor, saya mahu diingati sebagai seorang aktor yang bagus dan saya mahu orang mengenali saya kerana bakat lakonan saya," tuturnya yang kini semakin cenderung dalam bidang pengarahan.

Rahsia diet Sun-A

Peminat Kim Sun-A di Malaysia pasti masih ingat dengan watak Kim Sam Soon seorang wanita yang suka berterus terang dan lucu dalam drama My Lovely Sam Soon (2005). Ketika drama itu menjadi popular, Sun-A dikritik bukan kerana lakonannya tetapi kerana fizikalnya yang agak gempal dan berisi, tidak seperti selebriti yang lain.

Kini, Sun-A pada usia 36 tahun sebaliknya memiliki tubuh badan yang langsing cukup berbeza daripada awal kemunculannya dahulu.

Ujarnya: "Saya bersenam untuk mendapatkan tubuh badan seperti ini. Tetapi tubuh badan saya sekarang terlalu kurus untuk disesuaikan dengan watak saya dalam Scent of Women kerana dalam drama itu saya ialah seorang pesakit kanser yang memiliki jangka hayat yang pendek."

Drama 16 episod arahan Park Hyung Ki yang kini hangat ditayangkan di Astro ONE HD setiap hari Rabu dan Khamis pada pukul 9.05 malam itu mengisahkan tentang seorang wanita bernama Lee Yeon Jae (lakonan Sun-A) yang disahkan oleh doktor menghidap penyakit kanser dan memiliki jangka hayat selama enam bulan sahaja.

Disebabkan penyakitnya itu, Yeon Jae meletakkan jawatannya di agensi pelancongan untuk menjalani kehidupan sepenuhnya dengan pergi melancong sendirian.

Ketika melancong, dia bertemu dengan Kang Ji Wook (Dong Wook), anak lelaki tunggal kepada pemilik sebuah syarikat pelancongan. Selain Sun-A dan Dong Wook, pelakon lain yang terlibat dalam drama itu ialah Uhm Ki Joon dan Seo Hyo Rim.

Tambah Sun-A: "Peminat di luar sana jangan ikut diet saya kerana ia sesuatu yang tidak menyihatkan. Bagi mendapatkan tubuh kurus dan wajah orang sakit, saya tidak makan dan tidak tidur dengan cukup dan hasilnya, saya jadi kurus.

"Kini, saya dalam proses untuk menambahkan berat badan. Saya tidak kisah jika tubuh sedikit berisi asalkan saya berada dalam keadaan yang sihat," ujarnya.

Bercerita lanjut mengenai Scent of Women, terdapat adegan intim yang dilakonkan bersama Dong Wook. Katanya, meskipun jurang usia antara mereka begitu ketara tetapi adegan itu dilakukannya dengan baik.

"Tidak sukar untuk lakonkan adegan intim kerana ketika pengarah sebut action!, kami akan larut dalam watak masing-masing. Bila pengarah kata cut!, kami kembali menjadi normal," bicaranya yang telah berlakon dalam 11 buah drama dan 12 buah filem.

Sun-A menjelaskan, meskipun penggambaran Scent of Women sudah tamat beberapa bulan lepas, bagaimanapun disebabkan dia terlalu menjiwai, sukar buat Sun-A untuk mengikis karakter lakonannya daripada kehidupan realiti.

"Setiap kali mendapat skrip, saya akan mula berimaginasi watak yang akan saya lakonkan. Jadi, apabila tamat penggambaran drama atau filem, sukar untuk saya membuang emosi watak tersebut dan ia akan hilang sendiri dalam satu tempoh masa.

"Watak-watak yang saya lakonkan juga banyak membimbang saya untuk menilai semula kehidupan saya hari ini. Saya bersyukur kerana menjadi seorang aktres dan diterima ramai sehingga ke hari ini," ungkapnya yang masih bujang.

Kekerapan Sun-A melakonkan watak seorang wanita berusia yang jatuh cinta dengan lelaki lebih muda daripadanya menimbulkan persoalan adakah di dunia realiti dia juga selesa dengan lelaki lebih muda?

Jawabnya: "Saya tidak kisah jika bertemu dengan lelaki lebih muda kerana pada saya umur itu sekadar angka. Apa yang penting adalah hati dan kasih sayang yang dirasakan terhadap seseorang."

Sumber

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)