Gabungan band lama, baharu


MENGGABUNGKAN empat buah band rock dalam satu pentas adalah hal biasa. Ia selalu dilakukan oleh banyak penganjur lain. Namun bagi empat band yang bersatu di dalam konsert yang diberi nama Loudspeaker, Wings, XPDC, Azlan & The Typewiter dan Faizal Tahir, mereka teruja bergabung sama kerana ia umpama gabungan dua band otai yang cukup disegani bersama dua band baharu yang sedang naik daun.

Vokalis Azlan & The Typewriter, Alan yang ditemui sewaktu sesi temu bual memberitahu dia teruja untuk berkongsi pentas dengan dua band otai tersebut. Menyifatkan ia sebagai satu platform yang bagus buat dia dan rakan band lain, Alan dalam seloroh mengatakan Azlan & The Typewriter sebagai 'budak' atau junior kepada dua band otai sedia ada.

"Ini adalah peluang yang bagus buat kami. Mungkin aliran rock kami tidak seperti Wings dan XPDC, namun saya harap muzik kami akan membantu menyemarakkan konsert tersebut. Sementelah kami berkongsi pentas dengan dua band otai tanah air yang memang sudah banyak pengikut," ujar Alan lagi.

Menurut Alan, mereka akan membuat persembahan selama setengah jam dengan lima buah lagu termasuk sebuah lagu berjudul Rock & Roll milik band legenda Led Zeppelin.

Ditanya timbul atau tidak rasa bimbang kerana berkongsi pentas dengan band otai, Alan mengakui bahawa perasaan itu pernah wujud suatu ketika dahulu. Namun saat mereka sering diberi kepercayaan untuk berkongsi pentas dengan band otai, perasaan gusar atau takut itu hilang secara perlahan-lahan.

"Cuma untuk konsert ini, saya takut tidak mampu menarik perhatian dan suasana yang ada. Sebab itu kami memilih untuk memainkan lagu-lagu yang penonton kenal serta lagu luar yang juga terkenal di kalangan penggemar muzik rock," katanya lagi.

Bagi XPDC saat pertama kali ditanya penganjur Red Garage Group Sdn. Bhd. adakah mereka mahu terbabit dalam konsert anjuran mereka, ia segera dipersetujui. Kata Mael, ini adalah saat yang mereka idamkan - membuat sebuah persembahan berskala besar.

Ia juga kata Mael lagi sebagai satu mercu tanda bahawa selain band seperti Search dan Wings sahaja yang laku dijual penganjur, band seperti XPDC dan yang lain juga mampu dijual dan membawa pulangan kerana mereka mempunyai pengikut tersendiri.

"Sebenarnya di Malaysia, kita ada banyak band rock yang bagus, hanya kadangkala ia terlepas pandang. Justeru apabila kami ditawarkan untuk bergabung dengan tiga lagi band untuk konsert ini, kami tidak menolak. Mungkin ini adalah pintu buat penganjur lain melihat kredibiliti kami," ujar Mael yang mengaku XPDC banyak membuat persembahan tanpa liputan media.

Memberitahu tidak akan menyanyikan lagu baharu, XPDC yang sudah berusia lebih 20 tahun sebaliknya memilih untaian lagu hit mereka seperti C.I.N.T.A dan Hidup Bersama sebagai antara 'peluru' mereka pada konsert tersebut. Mereka juga buat pertama kali akan tampil bersama dua vokalis mereka iaitu Mael dan Ali.


Awie yang mewakili Wings memberitahu mereka tidak suka menolak rezeki. Sentiasa teruja apabila banyak penganjur sudah mula memberi kepercayaan kepada artis tempatan, ujar Awie, Wings akan beraksi selama setengah jam dengan membawa lagu-lagu hit mereka.

Tidak dilupakan adalah untaian lagu balada seperti Sejati atau Taman Rashidah Utama. Sementelah kata Awie, Wings tidak mempunyai lagu baharu untuk diperdendangkan kerana mereka sudah 11 tahun tidak membikin album dan khalayak sendiri sentiasa teruja untuk mendengar lagu lama setiap kali konsert berlangsung.

"Ini adalah konsert gabungan muda-mudi atau otai dan orang muda yang baik untuk kami," katanya yang menyifatkan vokal Alan sebagai unik.

Tambah Awie, selain gembira kerana muzik rock tak pernah mati, sesuatu yang membuat dia teruja adalah apabila konsert berbayar telah kembali hidup. Ia sekali gus memupuk aprisiasi kepada penonton agar menilai muzik atau artis dengan bayaran kerana itu adalah perkara yang sewajarnya dilakukan.

Ditanya apa yang boleh diharap khalayak tentang penampilan mereka pada hari konsert itu kelak, Awie menyatakan, tidak akan ada banyak gimik yang bakal dilakukan, kecuali Wings akan muncul dengan motosikal berkuasa besar.

sumber

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)