Ada saya kisah! - Chef Wan


SEMENJAK dilantik menjadi salah seorang juri untuk rancangan Maharaja Lawak Mega, ternyata nama Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan, 50, kerap menjadi sebutan ramai.

Ternyata kelantangannya ketika memberikan komen dan kritikan kepada peserta yang bertanding dalam rancangan tersebut mendapat pelbagai reaksi terutamanya daripada peminat Maharaja Lawak Mega dan peserta sendiri.

Menariknya, laman sosial Facebook miliknya iaitu Chef Wan Fan Club yang telah berjaya mengumpul 80,000 ahli itu telah menjadi medium utama oleh segelintir pihak yang meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kelantangan chef yang sudah mencipta nama di seluruh dunia itu.

Setelah tidak tahan lagi melihatkan kerenah yang ditunjukkan oleh pihak yang menggunakan laman Facebooknya untuk mencaci dan menghina dirinya, Chef Wan telah membuat keputusan nekad untuk terus menutup akaun Facebooknya itu.

Namun selepas kenyataan medianya yang mahu menutup akuan facebook miliknya itu ‘panas’ menjadi tajuk berita di akhbar, Chef Wan tiba-tiba menukar fikiran tidak jadi melakukannya.

Apa sudah jadi? Kenapa pendirian Chef Wan tidak tetap? Apakah motif pakar masakan selebriti terkenal ini?

Ikuti apa alasan yang dikemukakan bapa kepada Serina dan Mohd. Nazri atau Chef Riz ini dalam temu bual terkini bersama Kosmo!, semalam.

Kosmo!: Sebelum ini apa yang membuatkan Chef Wan mahu menutup terus fanpage Facebook Chef Wan Fan Club?

CHEF WAN: Mulanya saya memang saya nak tutup sebab rasa kecewa dengan segelintir pihak yang saya anggap suka menjaga tepi kain orang.

Mereka masuk dalam akaun fanpage Facebook saya dengan membuat andaian yang bukan-bukan dan saya anggap mereka ini tak ubah seperti langau.

Kemudian semasa berlangsungnya Maharaja Lawak Mega, saya lihat keadaan ini bertambah teruk apabila fanpage saya ini dijadikan medan untuk bertelagah sehingga ada yang menjadi batu api dan suka melaga-lagakan sesama sendiri termasuk menghina dan memaki hamun saya.

Kenapa pula Chef Wan tiba-tiba menarik semula keputusan yang dibuat?

Semua ini adalah disebabkan permintaan para peminat sendiri yang berharap supaya saya tidak menutup akaun Facebook tersebut.

Malah, ada yang memberi pandangan kalau saya terus dengan keputusan yang dibuat sebelum ini, bermakna saya sudah kalah dengan mereka yang tidak suka dan membenci saya.

Jadi, akhirnya saya buat keputusan untuk tidak menutup fanpage saya itu kerana merasakan saya tidak perlu tunduk atau mengalah kepada beberapa langau yang suka membuat kacau.

Kalau mereka berterusan memaki hamun dan menghina saya akan terus padam komen yang diberikan atau sekat daripada masuk dalam fanpage saya itu.

Bagaimana kalau ada yang anggap Chef Wan seperti cakap tidak serupa bikin atau sengaja mencari publisiti murahan?

Cuma satu yang ingin saya katakan, ada saya kisah apa yang orang nak cakap!

Lagipun fanpage itu adalah akaun Facebook peribadi saya, jadi saya ada hak untuk buat apa sahaja sama ada nak tutup atau pun tidak. Kini, saya telah buat keputusan untuk tidak menutupnya sampai bila-bila.

Apa komen Chef Wan tentang salah seorang peserta Maharaja Lawak Mega, Adlin Aman Ramli yang mengisytiharkan ‘perang’ terhadap Chef Wan menerusi akaun Facebooknya?

Bagi saya itu adalah satu tindakan yang memang tidak bijak sama sekali. Ia jelas menunjukkan yang dirinya langsung tidak boleh menerima kritikan orang lain. Kenapa dia perlu menyalahkan juri seperti saya, sedangkan dia juga pernah menjadi juri dahulu.

Tentang pengisytiharan perang yang diperkatakannya itu, rasanya langkah terbaik yang boleh dilakukan adalah dengan tidak mempedulikan langsung perkara tersebut.

Adakah Chef Wan bersetuju sekiranya ditawarkan untuk menjadi juri dalam mana-mana rancangan selepas ini?

Entahlah, saya sendiri pun belum terfikir untuk terima atau tolak sekiranya ada tawaran yang diberikan kepada saya. Mungkin saya akan pertimbangkan terlebih dahulu.

Bagaimana Chef Wan menilai rancangan Maharaja Lawak Mega ini secara keseluruhannya?

Gagal! Saya berkata demikian setelah melihat persembahan yang ditampilkan oleh majoriti peserta yang bertanding dalam Maharaja Lawak Mega sepanjang 10 minggu rata-ratanya sangat mengecewakan.

Apa yang membuatkan saya lebih hairan, kebanyakan peserta yang memilih berlakon menjadi perempuan akan berjaya dan disukai penonton termasuklah kumpulan Osbon dan Boboi. Namun, saya akui Osbon memang layak menang kerana mereka telah persembahkan apa yang penonton mahukan.

sumber

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)