Penanggal naskhah cinta, bukan seram


SEBELUM ini, nama Ellie Suriati lebih sinonim sebagai seorang pelakon drama, filem dan teater yang cukup berkaliber. Malah, dia adalah antara pelakon yang sering dijadikan rujukan oleh ramai pelakon baharu sekarang.

Kini, pelakon berkenaan telah melangkah setapak lagi dalam mengembangkan kerjayanya sebagai seorang anak seni apabila bakal muncul dalam filem pertama yang diarahkannya sendiri iaitu Penanggal.

Ditemui ketika menjalani penggambaran filem tersebut baru-baru ini di Kuala Kangsar, Perak, Ellie memberitahu, duduk di kerusi pengarah adalah satu angan-angannya sejak mula berkecimpung sebagai seorang pelakon.

“Apabila mula bertapak dalam bidang lakonan pada tahun 1998, saya sudah memasang angan-angan untuk menjadi seorang pengarah suatu hari nanti dan sentiasa berdoa agar ia dapat direalisasikan.

“Namun, selepas 14 tahun barulah apa yang saya angankan itu akhirnya menjadi kenyataan. Lebih istimewa lagi, saya juga turut bertindak sebagai penulis skrip untuk filem ini,” ujarnya.

Menurut Ellie, dia sudah menghasilkan skrip filem tersebut sejak tahun 2008 dan sudah melakukan banyak rombakan serta perbincangan bersama penerbit bagi menghasilkan jalan cerita yang lebih mantap.

Ujarnya, biarpun sudah banyak perubahan yang telah dilakukan, tetapi asas penceritaan yang ditampilkan dalam filem berkenaan masih lagi dikekalkan daripada skrip asal.

Berlatar belakang pada zaman sekitar 1930-an, Penanggal berkisarkan tentang seorang gadis bernama Murni yang telah mewarisi ilmu penanggal secara tidak sengaja daripada Mak Ajeng sehingga dia terpaksa melarikan diri ke sebuah kampung untuk mencari perlindungan.

Antara barisan pelakon yang membintangi filem tersebut adalah Ummi Nazeera sebagai Murni, Azri Iskandar (Syed Yusof), Fasha Sandha (Sharifah Zaharah) dan Zul Ariffin (Syed Umar).

Ketika ditanya tentang pemilihan genre seram sebagai filem sulung arahannya, pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-16 itu menyatakan ia dipilih berdasarkan minat penonton di negara ini yang gemarkan kisah-kisah mistik.

Jelasnya, kisah seram seperti Penanggal ini dilihat sesuatu yang cukup menarik untuk diterokai, namun menegaskan filemnya itu bukanlah sebuah kisah yang benar-benar seram.

“Apa yang boleh saya katakan, Penanggal yang saya hasilkan ini adalah sebuah filem cinta klasik kerana jalan ceritanya lebih menjurus kepada kisah percintaan di sebalik kisah tentang penanggal,” jelasnya.

Mengenai harapannya terhadap filem arahannya itu, Ellie memberitahu dia sememangnya meletakkan harapan yang tinggi agar ia mendapat sambutan yang hangat daripada penonton.

“Penanggal adalah ujian pertama sebagai seorang pengarah dan sudah tentu saya mahukan yang terbaik untuk filem ini. Biarpun telah berdepan dengan ujian yang lebih berat sebelum ini, saya tetap bekerja keras biarpun telah dinasihatkan oleh doktor supaya berehat.

“Bagaimanapun, saya sangat beruntung kerana mendapat kerjasama yang baik daripada semua tenaga produksi serta para pelakon yang telah memberikan komitmen sepenuhnya agar filem ini dapat disiapkan dengan lancar," jelasnya.

Kerjasama dua syarikat

Apa yang menariknya tentang filem ini adalah ia membabitkan kerjasama dua buah syarikat perfileman iaitu Tayangan Unggul Sdn. Bhd. (TUSB) dan Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB).

Penerbit Eksekutif TUSB, Gayatri Su-Lin Pillai berkata, pihaknya memang sudah lama mahu menjalinkan kerjasama iaitu semenjak Ahmad Puah Onah menjadi Pengurus Besar GBSB.

“Sebenarnya kami sedang mencari skrip dan jalan cerita yang sesuai untuk jalinkan kerjasama tersebut. Kemudian Ellie berjumpa dengan saya dan memberitahu dia berhasrat untuk menghasilkan sebuah filem.

“Setelah beberapa perbincangan dibuat, akhirnya saya bersetuju untuk menerbitkan filem ini. Pada masa yang sama pihak kami turut mengundang GBSB dan ternyata mereka juga turut berminat untuk bekerjasama,” jelasnya.

Menurut Gayatri, antara kerjasama yang akan dijalinkan oleh kedua-dua belah pihak adalah seperti pengagihan kos penerbitan yang sama rata serta promosi yang akan dilakukan nanti.

Memulakan penggambaran sejak 10 Disember lalu, antara lokasi yang menjadi pilihan seperti Kuala Kangsar dan Ipoh, Perak, Pulau Penarik (Terengganu) dan Kemensah di Hulu Klang, Selangor dengan kos sebanyak RM 2.1 juta.

sumber

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)