Elyana lupakan kontroversi


PENYANYI yang seorang ini memang cukup unik dan punya identiti tersendiri. Tentunya ramai yang mengenali Elyana sebagai seorang penyanyi yang gemar berkaki ayam ketika beraksi di pentas.

Erneelya Elyana Emrizal memulakan karier nyanyian sejak berusia 14 tahun sekitar tahun 2001, Elyana merupakan antara penyanyi remaja yang cukup popular dan mendapat tempat di hati peminat menerusi beberapa buah lagu seperti Niat dan Tak Tercapai Akalmu.

Namun, karier seninya tidak hanya terhad kepada bidang nyanyian apabila turut membuat kemunculan dalam bidang lakonan setelah muncul dalam beberapa buah drama dan filem.

Meskipun sudah bergelar seorang isteri kepada Khairul Anuar Hussin dan kini bergelar ibu kepada cahaya mata yang dinamakan Cinta Sumayyah sejak bulan Ogos lalu, ia langsung tidak menghalangnya untuk kembali aktif semula dalam dunia seni.

"Tidak semestinya sudah memiliki seorang anak saya perlu mengehadkan pembabitan saya dalam bidang seni. Kini sudah tiba masanya untuk saya kembali aktif semula menyanyi dan berlakon.

"Lagipun anak saya sekarang sudah mencecah usia lima bulan, jadi tiada masalah untuk saya meninggalkannya buat seketika. Suami juga tidak pernah menghalang kalau saya ingin meneruskan kerjaya dalam bidang seni," ujarnya ketika ditemui semasa penggambaran drama bersiri Menantu 3 Rasa baru-baru ini.

Menariknya, biarpun dia dan suami mempunyai kerjaya masing-masing, Elyana memberitahu mereka telah mengambil keputusan untuk tidak menghantar Cinta Sumayyah ke rumah pengasuh.

Jelasnya, keputusan yang dibuat itu bukanlah disebabkan terpengaruh dengan kisah-kisah kejadian di rumah pengasuh yang kerap tersebar di media, sebaliknya dia lebih gemar membesarkan anaknya sendiri


"Sebagai seorang pemilik sebuah restoran Jepun di Bangsar, suami saya tidak mempunyai waktu kerja yang fleksibel. Jadi, kalau saya ada membuat persembahan atau penggambaran dia yang akan menjaga anak kami.

"Sekiranya saya dan suami mempunyai sebarang urusan atau kerja pada masa yang serentak, saya hanya perlu menghantar anak untuk dijaga oleh ibu yang tinggal berdekatan dengan rumah kami," ujarnya yang masih menetap di Shah Alam, Selangor.

Ditanya mengenai perjalanan karier seninya, Elyana meluahkan dia memang mempunyai keinginan untuk melahirkan sebuah album baharu setelah kali terakhir melakukannya pada tahun 2007 menerusi album berjudul Jadi Diriku.

"Buat masa ini semua lagu untuk rakaman album baharu sudah pun ada, cuma saya masih belum berkesempatan untuk membuat rakaman di studio memandangkan baru sahaja lepas melahirkan anak.

"Untuk album baharu ini, saya juga masih lagi mengekalkan elemen Pop Rock seperti sebelumnya dan saya memang sangat berharap agar ia dapat disiapkan dalam tahun ini," ujar nya yang sudah bernaung di bawah syarikat rakaman FMC sejak berusia 15 tahun.

Bukan anak emas

Bercerita mengenai kontroversi yang pernah melanda dirinya apabila tidak hadir pada majlis pelancaran single baharu, Elyana seperti cuba untuk tidak mengulas lanjut mengenainya.

Menurut Elyana, dia mahu melupakan segala yang telah berlaku sebelum ini memandangkan perkara tersebut sudah lama berlalu dan mengakui kesilapannya kerana tidak hadir pada acara berkenaan.

"Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak terhadap masalah yang timbul dahulu kerana saya menganggap ia adalah berpunca daripada masalah komunikasi. Kalau boleh biarlah isu ini tidak lagi dibangkitkan dan saya percaya semua orang sudah melupakannya.

"Segala yang terjadi itu saya anggap sebagai satu pengajaran berguna buat diri saya dalam bidang nyanyian dan bertekad kejadian yang sebegitu tidak akan berulang lagi selepas ini," ujarnya.

Pada masa yang sama, penyanyi berkenaan turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menganggap bahawa dia adalah merupakan anak emas kepada syarikat rakaman di bawah naungannya iaitu FMC.

"Selepas kejadian yang berlaku itu memang ramai yang membuat tanggapan sendiri sehingga melabelkan saya sebegitu. Biarlah apa orang hendak kata, tetapi sehingga kini saya memang selesa bekerjasama dengan FMC Music.


"Sudah hampir 12 tahun kami bekerjasama serta melahirkan empat buah album setakat ini. Malah, saya sebenarnya rasa cukup beruntung kerana memiliki seorang bos yang baik dan mampu memenuhi kehendak saya sebagai penyanyi," ujarnya. lagi

Dua watak

Setelah beberapa bulan berehat daripada sebarang aktiviti seni, Elyana telah kembali bergiat aktif semula dalam dunia lakonan dengan membintangi drama bersiri berjudul Menantu 3 Rasa.

Sudah memulakan penggambaran sejak bulan Januari lalu di beberapa buah lokasi seperti Shah Alam dan Hulu Langat, dia berhadapan dengan tugas yang mencabar apabila membawakan dua watak dalam drama berkenaan.

"Menerusi drama ini saya membawakan dua watak iaitu sebagai Anis dan Nisa. Saya merasakan ia memang cukup mencabar kerana kedua-dua watak tersebut memiliki karakter yang berlainan.

"Anis merupakan gadis yang berasal dari kampung, manakala Nisa pula seorang model yang agak urban. Jadi, semasa menjalani penggambaran saya perlu sering bertukar karakter setiap masa agar lakonan yang ditampilkan lebih baik," jelasnya mengenai watak yang dibawakannya itu.

Menurut pelakon yang pernah popular menerusi drama bersiri Renjis dan Dunia Baru itu lagi, kini dia juga sedang menanti tawaran untuk kembali muncul di layar perak semula.

"Walaupun sekarang ini saya sudah memiliki seorang cahaya mata, saya akan tetap bersedia untuk menerima apa sahaja tawaran berlakon filem asalkan mendapat watak atau cerita yang bersesuian," ujarnya.

sumber

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)