Hajat Latiff tunai umrah tak kesampaian


PERGINYA seorang lagi seniman yang berbakat besar dalam bidang nyanyian dan lakonan, Latiff Ibrahim memang memberi kesan bukan sahaja terhadap keluarganya malah rakan-rakan artis dan peminat.

Tanggal 20 Februari 2012 merupakan tarikh Abdul Latiff Ibrahim menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 6.10 petang di samping isteri tersayang, kedua-dua anaknya serta sanak saudara yang telah berkumpul di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur kerana malam sebelumnya Latiff telah disahkan kritikal.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Masriah Mahadan, 57, serta dua orang anak iaitu Mohd. Hazriq, 35, dan Haznally, 34. Jenazah beliau kemudian dibawa pulang ke kediamannya sebelum dikebumikan semalam di Tanah Perkuburan Islam AU4, Taman Keramat, Kuala Lumpur.

Latiff yang pernah popular menerusi lagu hit Mengenang Dikau Kembali dan Nora itu telah dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) sehari sebelum meninggal setelah seminggu berada di wad biasa akibat sakit jantung dan komplikasi penyakit lain seperti kencing manis dan masalah paru-paru berair.

Menurut balu Latiff, Masriah berkata, dia puas menjaga arwah kerana sepanjang suaminya tidak sihat, dia memang sentiasa berada di sisi arwah. Namun, dia sedikit terkilan kerana arwah sememangnya begitu teruja untuk ke tanah suci Mekah menunaikan umrah.

“Kami sepatutnya menunaikan umrah bersama keluarga pada 13 Mac depan namun ia tidak kesampaian. Apabila ditanya, dia memang begitu teruja untuk ke Mekah. Tambahan pula, tiga hari lagi arwah bakal menyambut hari kelahirannya yang ke-60 pada 23 Februari ini.

“Saya tidak sangka kerana semuanya berlalu dengan pantas dan tidak percaya dia sudah tinggalkan saya. Sebelum itu saya masih berharap untuk dia sihat semula kerana dia memang begitu teruja namun, Allah lebih menyayanginya,” tutur Masriah yang telah mendirikan rumah tangga bersama Latiff selama 38 tahun.

Antara rakan artis yang dilihat hadir di kediaman penyanyi dan pelakon itu di AU3, Taman Keramat untuk memberikan penghormatan terakhir termasuklah Datuk Sharifah Aini, Hail Amir, Ramli Sarip, Azlina Aziz, Halil Chik dan ramai lagi.

Sementara itu, menurut adik Allahyarham, Datuk Khadijah Ibrahim, Latiff memang dikenali dengan sifat penyayang dan gemar membuat lawak oleh semua kaum keluarga serta sahabat handai yang lain. Tambahnya lagi, dia bukan sahaja kehilangan seorang abang, tetapi juga seorang sahabat karib kerana apabila mengadakan persembahan, mereka pasti akan bersama.

“Selain menyanyi, arwah juga seorang yang kuat makan. Kali terakhir kami makan bersama ialah di Restoran Johnny's, Jusco Keramat, awal bulan ini,” imbau dua orang sahabat karibnya pula, Halil Chik dan Azlina Aziz.

Latiff merupakan seorang penyanyi dan pelakon yang telah membintangi lebih 15 buah filem termasuk Hapuslah Air Matamu, Dendang Perantau, Sumber Ilhamku, Bintang Pujaan dan Senja Merah. Filem terakhirnya merupakan filem arahan Profesor A. Razak Mohaideen yang berjudul 4 Madu pada tahun 2010.

sumber

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)