Rekod rating Tanah Kubur


SEBAGAI salah sebuah saluran yang khusus untuk rancangan yang berbentuk keislaman, Astro Oasis menerusi saluran 106 sememangnya banyak menyiarkan pelbagai rancangan yang menarik untuk tatapan penonton.

Salah satu rancangan yang telah berjaya menambat hati para penonton adalah drama bersiri Tanah Kubur yang memaparkan kisah mengenai pengalaman seorang penggali kubur yang telah disiarkan selama dua musim.

Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, sejak mula disiarkan pada tahun lalu ternyata drama berkenaan adalah antara rancangan yang paling banyak mendapat sambutan penonton.

"Pihak kami mulanya memang tidak menjangkakan drama berbentuk keagamaan sebegini akan menarik minat penonton, tetapi dengan rating sebanyak 4.5 juta penonton tentunya ia adalah drama yang paling tinggi ditonton di saluran ini.

"Menerusi pemerhatian yang dibuat kami mendapati antara golongan yang menjadi penonton setia drama Tanah Kubur ini terdiri daripada suri rumah, pelajar dan pesara," ujarnya dalam satu acara pertemuan dengan pihak media baru-baru ini.

Menurut Izelan, berdasarkan penerimaan penonton Astro Oasis bakal menyiarkan drama berkenaan untuk musim ketiga bermula pada 24 Februari ini pada pukul 7.30 malam sebanyak 13 episod.

Ujarnya, untuk musim yang terbaharu ini pengolahan, jalan cerita dan sinematografi akan lebih dipertingkatkan lagi bagi memberi kesan kepada penghayatan penonton untuk setiap mesej yang ingin disampaikan.

"Astro Oasis sentiasa komited dalam menyiarkan rancangan-rancangan yang berbentuk dakwah dengan setiap pengajaran yang ingin dikongsi dan disampaikan adalah menerusi cara yang santai untuk menarik minat para penonton," ujarnya.

Sementara itu, pengarah Tanah Kubur, Rashid Sibir memberitahu untuk musim terbaharu ini dia masih mengekalkan konsep penceritaan yang sama iaitu setiap episod akan memaparkan kisah-kisah yang berlainan.

Jelasnya, setiap kisah yang dipaparkan adalah realiti yang berlaku kepada masyarakat sekarang seperti mempersiakan anak-anak yatim, menipu dalam perniagaan, bermain nombor ekor, kehidupan gigolo dan isu murtad.

"Mengenai pengolahan setiap kisah yang dipaparkan, saya juga banyak merujuk kepada hadis-hadis dan buku-buku agama sebagai panduan dan sehingga kini tiada masalah yang timbul terhadap jalan cerita drama ini.

"Bagi saya apa yang lebih penting adalah pengajaran yang mahu disampaikan iaitu pembalasan yang diterima oleh seseorang individu yang meninggal dunia terutama ketika jenazah hendak dikebumikan," ujarnya.

Sepanjang menjalani penggambaran selama 40 hari di beberapa lokasi seperti Hulu Langat, Kuang dan Paya Jaras, Selangor, Rashid mengakui dia dan kru produksi turut berdepan dengan beberapa halangan.

Antaranya, mereka telah dihalang untuk meneruskan penggambaran di sebuah kawasan tanah perkuburan oleh seorang penduduk kampung sehingga menyebabkan mereka terpaksa berpindah ke lokasi lain.

"Bagaimanapun, kami tetap mendapat kerjasama yang baik daripada orang ramai semasa menjalani penggambaran. Ada juga yang menyatakan mereka sangat sukakan drama ini terutamanya kisah-kisah yang dipaparkan sangat dekat dengan masyarakat," ujarnya.

Melihatkan kepada sambutan hangat terhadap drama berkenaan, Rashid tidak menolak kemungkinan bahawa Tanah Kubur akan diangkat ke layar perak dan perkara tersebut sudah ada dalam perancangannya.

Tok Adi

Bagi mereka yang sering mengikuti drama bersiri Tanah Kubur selama dua musim pastinya sudah cukup sinonim dengan watak Tok Adi yang dibawakan oleh seorang pelakon hebat iaitu Nasir Bilal Khan.

Ditemui pada acara yang sama, Nasir menyatakan sudah lama dia ingin berlakon dalam drama-drama yang berbentuk keagamaan dan gembira kerana drama lakonannya itu mendapat sambutan baik.

"Sebelum ini saya pernah juga memegang watak sebagai penggali kubur, namun watak saya dalam drama ini sebagai Tok Adi lebih memberi impak kepada penonton dah tidak kisah membawakan watak sebegini.

"Dalam usaha untuk menghayati watak Tok Adi yang saya bawakan ini, saya banyak bergaul dengan penggali kubur sebenar dan mendengar sendiri cerita tentang pengalaman yang dilalui mengenai pekerjaan mereka itu," ujarnya dalam usaha memantapkan watak yang dibawakannya itu.

Menurut Nasir, pada masa ini juga dia telah mengambil keputusan untuk lebih selektif untuk memilih sebarang tawaran lakonan yang diterima dan akan menolak sekiranya watak atau cerita yang kurang sesuai buat dirinya.

"Saya akui ada menyenarai hitam beberapa orang pengarah sekarang ini kerana agak mustahil untuk kami bekerjasama memandangkan pemikiran yang berbeza serta pendirian saya lebih terarah kepada drama yang berunsur positif dan memberikan pengajaran," jelasnya

sumber

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)