Ragam peminat Lady Gaga


SEOUL, Korea Selatan - Berpuluh-puluh ribu peminat membanjiri Stadium Olimpik di sini untuk menonton konsert penyanyi terkenal, Lady Gaga semalam.

Puluhan lelaki dan wanita muncul dengan pakaian pelik yang pernah dipakai penyanyi itu.

Lady Gaga terkenal sebagai penyanyi yang gemar menggayakan fesyen pelik dan luar biasa.

Sejumlah peminat lelaki turut memakai korset kulit dan sut hitam putih bersama kaca mata hitam manakala puluhan lagi mewarnakan muka mereka.

Seorang peminat wanita sanggup datang dari Jepun untuk menyaksikan konsert penyanyi lagu Poker Face itu.

Mereka turut menunggu di luar stadium dengan duduk dan menggayakan pakaian masing-masing sebelum konsert tersebut berlangsung.

Bagaimanapun, beberapa penganut Kristian yang dilihat berada di luar stadium itu berdoa bagi meminta supaya konsert tersebut dibatalkan.

Kumpulan penganut Kristian itu menganggap Lady Gaga mempromosikan homoseksual dan pornografi.

Lady Gaga dijangka mengadakan 110 konsert pada tahun ini ekoran kejayaan albumnya, Born This Way yang dijual sebanyak enam juta unit di seluruh dunia sejak Mei tahun lalu.

Pihak berkuasa Korea Selatan melarang remaja Korea Selatan bawah 18 tahun menonton konsert penyanyi berkenaan. - Agensi

Winnie K mahu buat suntikan botox


PENYANYI berketurunan Cina yang popular menerusi lagu Kau Ada Di Mana, Winnie K merupakan antara penyanyi tempatan yang pernah mencuba nasib untuk mengembangkan karier nyanyian di Indonesia pada tahun 2008.

Selepas empat tahun berlalu, Winnie yang ditemui semasa majlis Selebriti Sokongan Riben Merah 2012 anjuran Majlis AIDS Malaysia (MAM) yang bertempat di Restoran Ecoba, Petaling Jaya pada minggu lalu memberitahu, kini dia masih berulang-alik ke negara tersebut setelah kehadirannya diterima ramai.

Bagaimanapun, ketika hadir pada majlis tersebut, seolah-olah terdapat perubahan pada penampilan dirinya dengan memiliki tubuh yang semakin kurus serta wajahnya yang kelihatan lebih cantik dan berseri-seri.

Menurut Winnie, meskipun ramai pihak yang memberikan pujian terhadap penampilannya itu, tetapi dia membuat pengakuan untuk melakukan sesuatu pada wajahnya itu.

Kosmo!: Adakah Winnie mengamalkan petua-petua tertentu sehingga kelihatan lebih menarik sekarang?

WINNIE K: Sebenarnya saya tidak melakukan sebarang petua rahsia, sebaliknya saya lebih kerap melakukan senaman dan akan ke gimnasium sebanyak lima kali seminggu. Bagi saya, sebagai seorang artis, penampilan diri sentiasa dijaga dan kita perlulah kelihatan cantik selalu.

Adakah Winnie telah melakukan sesuatu terhadap wajah?

Setakat ini saya tidak pernah melakukan sebarang pembedahan terhadap wajah, sebaliknya saya lebih banyak mengambil makanan tambahan. Namun, saya juga memang bercadang untuk membuat suntikan botox.

Apakah yang membuatkan Winnie mahu mendapatkan suntikan botox?

Selain menyanyi, saya juga sering kali menjadi pengacara dan wajah saya kerap keluar di televisyen. Apabila saya lihat wajah sendiri di kaca televisyen, ia kelihatan agak besar terutama pada bahagian pipi.

Kemudian saya bercadang untuk melakukan suntikan botox pada bahagian tersebut setelah disarankan beberapa orang rakan. Saya rasa itu bukan satu perbuatan yang salah, sekiranya ia mendatangkan kebaikan kepada diri saya sendiri.

Selain suntikan botox, apa lagi yang ingin Winnie lakukan terhadap wajah?

Pada masa terdekat ini mungkin saya akan melakukan pembedahan pada bahagian hidung pula. Namun, ia bukan atas sebab kecantikan. Sebenarnya hidung saya telah mengalami kecederaan apabila terjatuh semasa sedang melakukan latihan sebelum mengacarakan sebuah majlis korporat baru-baru ini.

Selepas kejadian tersebut pada masa-masa tertentu saya akan berhadapan dengan masalah pernafasan. Apabila membuat pemeriksaan doktor menasihatkan saya supaya menjalani pembedahan bagi mengelakkan kecederaan hidung saya bertambah parah.

Bagaimana pula dengan perjalanan karier nyanyian Winnie?

Pada tahun 2012 saya sudah mempunyai perancangan untuk menghasilkan album Melayu kedua selepas Kau Ada Di Mana yang diterbitkan empat tahun lalu. Lagipun sudah ramai peminat yang bertanyakan tentang bila saya akan menghasilkan album baharu.

Buat masa ini saya masih lagi sedang mencari lagu-lagu yang sesuai dan mungkin ada beberapa lagu yang akan diberikan oleh komposer luar. Misalnya, saya berkawan baik dengan gitaris kumpulan Ungu iaitu Onci dan dia ada meluahkan hasrat untuk memberikan lagu ciptaannya kepada saya.

Apakah aktiviti yang Winnie lakukan selain menyanyi?

Sebenarnya saya mendapat tawaran untuk menjadi pengacara di majlis-majlis korporat. Pada bulan lalu saya telah ke China setelah ditawarkan menjadi hos untuk sebuah program televisyen di sana

sumber

Berani Punya Budak tampilkan kelainan


KEBANYAKAN filem genre aksi yang turut diselitkan dengan elemen komedi dilihat mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan dalam kalangan penonton di negara ini.

Merujuk kepada penerimaan genre filem sedemikian yang diterima ramai, syarikat penerbitan dari Malaysia yang bekerjasama dengan syarikat dari Thailand iaitu Film Frame Production telah menerbitkan filem berjudul, Berani Punya Budak.

Bagaimanapun, filem tersebut sebenarnya merupakan adaptasi daripada filem berjudul Brave yang telah dihasilkan pada tahun 2007 dan cuma ditayangkan di Thailand.

Afdlin Shauki selaku pengarah Berani Punya Budak berkata, pihaknya berhasrat untuk menayangkan filem berkenaan di Malaysia pada tahun 2009, tetapi masalah cetak rompak yang berlaku menyebabkan hasrat tersebut terpaksa dibatalkan.

“Pada tahun 2010 saya telah merombak semula 30 peratus skrip asal filem Brave untuk menghasilkan filem ini. Rombakan yang dibuat bersesuaian dengan cita rasa dan budaya masyarakat di negara ini.

“Selain mengekalkan pelakon-pelakon asal seperti Awie, Sharifah Sofia, Supaksorn Chaimongkol, Pairote Boongerd dan saya sendiri, terdapat beberapa orang pelakon baharu yang turut serta iaitu Johan, Nabil, Adlin Aman Ramlie dan Riezman Khuzaimi,” ujarnya pada majlis tayangan perdana filem itu yang diadakan baru-baru ini.

Berani Punya Budak mengisahkan mengenai Mike B (Pairote) dalam misi menyelamatkan abang iparnya, Tong (Afdlin Shauki) yang telah ditangkap satu kumpulan Mafia.

Dia terpaksa menceroboh sebuah syarikat kad kredit antarabangsa Bank Wealthy dan menawan penolong presiden syarikat itu, Lita (Supaksorn) untuk mendapatkan data maklumat pelanggan. Namun, usahanya sia-sia apabila kumpulan Mafia itu bertindak ingin membunuh Pairote dan Tong setelah mendapat data yang dicuri.

Menurut Afdlin, filem Brave sebenarnya lebih serius dan tidak memaparkan sebarang unsur komedi.

Bagaimanapun, setelah perubahan dilakukan dia mengambil keputusan untuk menerbitkannya dalam bentuk aksi komedi.

“Filem ini masih lagi memaparkan banyak aksi terutamanya yang membabitkan pergaduhan, tetapi elemen komedi yang diterapkan menerusi dialognya yang sangat kelakar setelah dialih suara ke bahasa Melayu.

“Kalau dalam filem Brave semua dialog menggunakan bahasa Thai, untuk filem ini pula 100 peratus menggunakan bahasa Melayu dan itulah kelainan yang cuba ditampilkan dalam filem ini,” ujarnya.

Menurut Afdlin, sekiranya Berani Punya Budak meraih sambutan yang sangat baik daripada penonton, dia sudah mempunyai perancangan untuk menghasilkan sekuel filem tersebut.

Salah seorang pelakon, Awie yang ditemui pada majlis berkenaan berkata, dalam filem tersebut dia memegang watak sebagai John yang juga merupakan seorang pembunuh upahan.

Menurut Awie, watak John yang dibawakannya itu tidak banyak berdialog, seorang pengikut yang sangat taat dan setia serta mengikut segala arahan yang diberikan oleh ketuanya.

“Sebenarnya saya terbabit dalam babak-babak pergaduhan dan sebab itu dialog saya tidak terlalu banyak. Secara jujur saya sangat berpuas hati setelah melihat hasil filem arahan Afdlin ini.

“Paling menarik saya juga telah melakukan stunt sendiri dan banyak dibantu oleh rakan pelakon lain seperti Pairote. Namun, kalau diberi masa dua atau tiga bulan untuk membuat latihan, saya percaya dapat melakukan aksi stunt dengan lebih baik lagi,” ujarnya.

sumber

Gambar Nasha Aziz Semasa Tingkatan 3


Kalau anda sudah berkerja atau agak berumur, masih ingat lagi tak agaknya macam mana rupa dan gaya anda masa umur 15 tahun.

Mesti banyak beza kan.

Masa akan mengubah bukan sahaja kearifan kita, malah rupa paras kita akan turut berubah.

Ambik contoh Nasha Aziz.

Gambar kat atas tu gambar masa dia kat tingkatan 3. Bukan tak cun, tapi biasa ajelah…cam budak tingkatan 3 yang biasa kita jumpa.

Tapi sekarang….sendiri mau ingatlah….memang jauh beza.

Dan harus diingat, perubahan juga boleh datang dalam bentuk sama ada kita ingat kepada tuhan kita atau kita terus lalai.

sumber: mynewshub.my

Terlantar di hospital beri pengajaran buat Cat Farish


Hampir seminggu terlantar di hospital, Februari lalu ternyata memberi pengajaran kepada penyanyi dan pelakon, Cat Farish agar lebih menghargai kesihatan diri.

Mengalami pendarahan di hidung dengan teruk, Cat terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selama dua hari sebelum dipindahkan ke wad biasa.

Menurut ahli kumpulan The Fabulous Cats ini, doktor memaklumkan kepadanya bahawa dia mengalami tekanan darah tinggi akibat tekanan melampau.

“Sebelum ini saya terlalu kuat bekerja sehinggakan otak masih bergerak walaupun saya sedang tidur.

“Itulah punca sebenar saya dimasukkan ke hospital selain turut mengalami masalah saluran pemakanan yang sempit,” katanya ketika ditemui di pelancaran program Jom Ke Panggung terbitan produksi miliknya, Fantasy Film, baru-baru ini.

Menceritakan detik terlantar sakit sehingga terpaksa bernafas melalui mulut, menurut Cat, ketika itu dia hanya terbayangkan nasib isteri dan anak-anaknya.

“Ada kalanya saya menangis apabila terkenangkan apa yang akan berlaku kepada mereka sekiranya saya tiada.

“Syukur Alhamdulillah, saya sudah semakin sembuh dan mula menjalani kehidupan yang sihat atas nasihat doktor,” katanya.

Kesan daripada peristiwa tersebut, kata bekas anggota Ruffedge ini, dia mula menitikberatkan soal kesihatan terutamanya bab pemakanan.

“Sewaktu di wad, saya mula sedar akan kepentingan bersenam dan mengamalkan pemakanan yang sihat.

“Kini, saya sudah berpantang ketika makan seperti mengambil daging putih dan tidak mengikut nafsu seperti dulu lagi,” katanya.

Bukan sekadar kesihatan diri, malah kata Cat, dia juga sudah mengurangkan beban kerja dengan memberi kepercayaan kepada stafnya untuk menguruskan beberapa perkara.

“Sebelum ini, hampir lapan tahun saya bekerja sendiri kerana tidak percayakan orang lain gara-gara pernah ditikam daripada belakang.

“Kesannya, saya tertekan kerana perlu membahagikan fokus kepada terlalu banyak benda seperti nyanyian, lakonan dan produksi.

“Mahu tidak mahu, saya terpaksa belajar memberi kepercayaan kepada pekerja supaya dapat mengurangkan beban kerja saya,” katanya.

The Fabulous Cats belum berkubur

Berkaitan karier seninya bersama The Fabulous Cats, Cat berkata, kumpulan itu masih wujud walaupun tiada single terbaru.

“Barisan terbaru kumpulan ini selain saya ialah Zizie, Dj Krate dan Afiq (Akademi Fantasia 5) yang menggantikan ahli sebelum ini iaitu Adib.

“The Fabulous Cats belum berkubur cuma kami masih menunggu masa sesuai untuk buat kemunculan semula,” katanya.

Cat turut mengulas mengenai pembabitan Wangi yang baru saja tamat kontrak sebagai vokalis kumpulan berkenaan.

“Wangi ada menyatakan keinginannya untuk terus bersama kami, tetapi masih belum ada kata putus lagi.

“Lagipun, sekarang dia sibuk dengan projek solo, maka kami memberi ruang kepadanya untuk mempromosikan singlenya terlebih dahulu,” katanya.

Fokus pada produksi

Beralih kepada perkembangan terbarunya, Cat kini lebih selesa menumpukan perhatian kepada kerja-kerja produksi.

“Saya belajar daripada selebriti lain seperti Datuk Siti Nurhaliza dan KRU yang semakin berjaya apabila terlibat dengan bidang produksi.

“Kehadiran saya bukanlah untuk bersaing tetapi lebih kepada memeriahkan dan mengembangkan lagi industri ini,” katanya.

Antara projek terbaru Fantasy Film ialah menerbitkan sebuah program yang memberi info berkaitan dunia perfileman tanah air dan antarabangsa iaitu Jom ke Panggung yang bersiaran setiap Selasa, jam 9.30 malam di TV2.

sumber

Masih berahsia nama anak


Jika sebelum ini, pasangan Hollywood sering membikin tanda tanya mengenai nama anak mereka, kini perkara itu turut diikuti oleh pasangan terkenal Bollywood, Aishwarya Rai dan Abhishek Bachchan.

Biarpun bayi yang dilahirkan telah berusia beberapa bulan, namun nama anak sulung pasangan mereka ini masih belum didedahkan.

Terbaru, sumber mengatakan pasangan ini sepakat untuk menamakan anak mereka sebagai Aaradhya tetapi nama tersebut masih belum mencapai kata sepakat seluruh ahli keluarga.

Sewaktu ditanya media, Amitabh Bachchan bijak ‘mengalih’ soalan tatkala ditanya mengenai hal itu.

“Kami akan beritahu mengenai hal ini pada lain masa, bukannya sekarang,” kata Amitabh semasa ditemui di Festival Filem Vidhu Vinod Chopra di Mumbai.

Walaupun Beti B kini dipanggil Aaradhya, namun masih tiada sebarang pengesahan atau penafian daripada keluarga Bachchan.

Khabarnya, nama tersebut masih lagi dirahsiakan atas beberapa sebab.

sumber

Siti: Tak wajar pertikai anugerah Aaron Aziz


JOHOR BAHRU - Penghibur nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin menyelar kenyataan rasa tidak puas hati Zed Zaidi dalam akaun twitternya berhubung kejayaan Aaron Aziz merangkul gelaran Anugerah Bintang Paling Popular 2011, kelmarin.

Selaku anak seni dan penyanyi tersohor dan berpengalaman dalam dunia seni, Siti Nurhaliza menyifatkan tindakan pelakon utama Sembilu 2005 itu adalah tidak wajar.

“Setahu saya, anugerah ini boleh disertai oleh mana-mana artis yang menyumbang kepada peningkatan industri seni tanah air tanpa mengira kerakyatan.

"Anugerah ini juga adalah hasil daripada undian peminat-peminat. Dari bermula pemilihan ‘lima terbaik’ sehinggalah keputusan pemenang dibuat.

“Soal kerakyatan tidak perlu jadi isu, kalau kita menitikberatkan sangat pun, sampai bila kita harus berbuat sedemikian kerana dunia seni muzik ini adalah universal,” kata beliau, yang turut menerima Anugera Sri Perak pada majlis itu, kepada pemberita selepas majlis Minggu Setiausaha 2012 bertemakan ‘Afternoon of Elegance’ di Pusat konvensyen Persada Johor di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Kira-kira 1,500 tetamu yang terdiri di kalangan pekerja berjawatan setiausaha terhibur dengan aksi persembahan dan nyanyian memukau diva nombor satu tanah air itu.

Antara lagu yang dipersembahkan oleh penyanyi tersohor itu adalah Cindai, Medley Balada menghimpunkan tajuk Purnama Merindu, Kau Kekasihku, Percayalah dan Bukan Cinta Biasa menerima tepukan gemuruh semua tetamu.

Siti berkata, semua karyawan di negara ini diharapkan supaya saling bergabung dan bersaing secara sihat dalam industri seni dan hiburan tanah air sekali gus mempertingkatkan kualiti masing-masing.

"Jika ada artis dari luar negara yang berjaya, jadikan ia sebagai pendorong untuk kita. Artis negara ini perlulah menjadi pesaing yang sihat dengan mempertingkatkan kualiti sendiri,” katanya.

Media melaporkan kenyataan Zed Zaidi dalam akaun Twitternya yang tidak berpuas hati dengan kejayaan artis kelahiran Singapura, Aaron Aziz selepas merangkul anugerah ABPBH 2011 di Genting Highlands, kelmarin.

Luahan berkenaan menimbulkan kontroversi berikutan kenyataannya yang lebih bangga jika artis tempatan merangkul artis berprestij berkenaan dan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana menggalakkan artis luar merosakkan industri seni tanah air.

sumber

Adney kekasih Saleha


JIKA sesetengah artis wanita popular mengambil langkah berdiam diri atau mengelak apabila disoal mengenai kekasih, tetapi tidak bagi pelakon wanita yang popular menerusi watak Nora Elena, Siti Saleha, 22.

Adik kepada penyanyi Sam (Bunkface) itu mengakui dia kini sedang intim dengan seseorang. Jejaka tersebut juga dikenali ramai. Dia yang dimaksudkan ialah penjaga gol negeri Sabah bernama Syed Adney Syed Hussein yang juga merupakan adik kepada pelakon Sharifah Sofea.

Saleha turut memberitahu Adney merupakan bekas kekasihnya sebelum ini dan hubungan mereka putus di tengah jalan kerana salah faham. Masih sayang antara satu sama lain, hubungan mereka kembali bertaut dan kini sedang menuju ke arah satu hubungan yang lebih serius dan matang.

Ikuti perbualan Kosmo! bersama pelakon itu mengenai kekasih hatinya ketika ditemui di set penggambaran filem KL Zombie yang berlangsung di Nilai, Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Kosmo!: Boleh berkongsi dengan kami tentang kekasih anda? Khabarnya ada gosip yang mendakwa anda bercinta dengan penjaga gol Kelantan?

SALEHA: Dia seorang penjaga gol Sabah. Kenapa pula penjaga gol Kelantan yang disebut. Dia juga merupakan adik kepada pelakon Sharifah Sofea.

Sejak bila kalian bercinta sedangkan sebelum ini anda menjalinkan hubungan dengan seorang jejaka Inggeris bernama Robin Coenraad berikutan beberapa kali anda berdua muncul bersama dalam beberapa acara hiburan sebelum ini?

Oh itu dulu. Saya dengan dia sudah lama putus. Putus dengan dia sebab dia tak faham kerjaya saya sebagai artis. Misalnya, kalau tengok saya berlakon dengan artis lelaki dia akan cemburu.

Sudah berapa lama anda dan juga penjaga gol Sabah iaitu Syed Adney bercinta?

Sudah dua tahun dan dia merupakan bekas kekasih saya tetapi tak perlulah saya terangkan lebih lanjut.

Anda begitu terbuka bila bercerita tentang kekasih. Tidak takut pada pandangan peminat dan masyarakat?

Apa salahnya bercerita tentang kekasih, tetapi biar ada hadnya. Saya juga tahu had untuk saya bercerita tentang kekasih.

Apakah yang membukakan hati anda untuk menerima Syed Adney semula sedangkan anda berdua pernah berpisah sebelum ini?

Saya dan keluarga dia baik terutama sekali dengan kakak dia, Sharifah Sofea. Saya selalu datang ke rumah mereka jika ada majlis. Ibu dia juga saya sudah anggap seperti ibu saya sendiri. Bila terserempak dengan dia, perasaan sayang antara satu sama lain masih ada. Disebabkan itu, kami bersama semula. Walaupun jarang berjumpa sebab masing-masing sibuk tetapi dia sangat memahami.

Hubungan anda berdua semakin serius. Sudah ada sebarang perancangan di masa hadapan?

Buat masa ini kami belum fikir lagi tentang masa depan. Umur saya juga masih muda baharu 22 tahun.

Menyentuh mengenai filem KL Zombie, boleh anda cerita mengenai watak anda dan gandingan anda bersama pelawak terkenal Zizan?

Dalam filem arahan M.J Woo ini, saya memegang watak Nora, seorang gadis yang menceburi perniagaan Skim Jualan Langsung (MLM). Satu peristiwa telah berlaku hingga menyebabkan dia terheret sama dalam serangan zombie di ibu kota Kuala Lumpur. Ini kali kedua saya bekerjasama dengan Zizan Raja Lawak. Sebelum ini kami pernah berlakon bersama dalam Cintaku 120 KM/J.

Begitu sibuk dengan kerjaya lakonan bagaimana pula perancangan anda untuk menyambung pelajaran?

Buat masa ini saya terpaksa menangguhkan pelajaran seketika. InsyaAllah tahun depan saya akan sambung pengajian di United Kingdom. Mungkin dalam bidang perniagaan.

Tidak sayang untuk meninggalkan dunia lakonan seketika dan juga kekasih hati apabila mengambil keputusan menyambung pengajian tahun depan?

Itu adalah pengorbanan yang perlu saya lalui. Saya dan dia memang jarang berjumpa. Kami hanya berhubung melalui Skype dan pelbagai teknologi komunikasi lain. Saya juga tiada masalah kalau tidak berjumpa dengannya. Asalkan masing-masing tahu menjaga hubungan.

Nama : Syed Adney Syed Hussein

Tarikh Lahir : 29 November 1986

Tempat Lahir : Liverpool, England

Tinggi : 189 m

Sukan : Bola Sepak

Posisi : Penjaga Gol

Pasukan :-
Selangor (2006 - 2007)
UPB My-Team (2007 - 2009)
Kelantan (2010)

sumber

Hala tuju karier Pekin


"DUDUK di bawah mana-mana produksi pun perlu usaha. Sama juga apabila bernaung di bawah Metrowealth (Metrowealth Movies Production), jika tidak berusaha, tiada juga tawaran yang akan diberikan.

Bak kata David Teo, usaha tangga kejayaan," itulah jawapan yang terpacul daripada mulut Mohd. Iznan Ibrahim atau nama komersialnya, Pekin ini apabila diajukan soalan tentang keputusannya untuk bernaung di bawah Metrowealth.

Tutur aktor yang berusia 31 tahun ini, dia menyertai dengan matlamat untuk menonjolkan kelainan dan ingin memberi perspektif baharu terhadap produk syarikat itu sendiri.

Selain itu sebagai aktor yang telah banyak memperoleh pengalaman, dia juga tidak mahu lokek dan ingin berkongsi ilmu bersama pelakon yang lain.

Lebih kurang tiga bulan berada di bawah MetroweaIth, Pekin telah mengorak langkah dengan pantas. Dia telah menerima satu tawaran filem berjudul Kita yang juga merupakan hasil garapan rakan baiknya, Pierre Andre.

"Saya suka dengan jalan ceritanya yang mudah. Ada juga tawaran lain tapi saya tidak gemar dengan skrip yang ditawarkan. Filem ini dengar saja judulnya, ia sangat ringkas dan perjalanan cerita juga menarik.

"Sementelah di bawah pengarahan Pierre, tidak ada masalah kerana kami sudah lama saling mengenali. Jadi senang bekerja dengan orang yang kita kenal kerana Pierre tahu apa yang saya mahukan dan saya juga tahu apa yang Pierre mahukan," jelas Pekin serius tentang pemilihan tawaran yang diberikan kepadanya.

Menceritakan tentang wataknya di dalam Kita, Pekin memegang watak sebagai Kamal yang merupakan seorang pemuda yang pemalu dan sopan. Kamal sangat menyukai rakannya, Ika (Yana Samsuddin) yang juga merupakan jirannya selama tiga tahun. Namun Kamal mendapati sangat sukar untuk meluahkan perasaannya terhadap Ika.

Justeru setiap apa yang dilakukannya, dia akan mencari peluang untuk mendekatkan diri bersama Ika sehingga melakukan banyak perkara romantik untuk Ika.

Namun, Ika tidak pernah perasan akan layanan istimewa Kamal terhadap dirinya. Katanya lagi, Kamal merupakan watak remaja biasa namun akan diolah dengan caranya tersendiri bagi menghidupkan watak tersebut.

Pelakon perlu kreatif

Bicara anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini, jika ingin memberikan hasil lakonan yang berkualiti, seseorang pelakon itu perlu bijak mengkaji dan mencipta karakter melalui watak yang diberi.

"Jadi apabila lakonan disokong oleh karakter yang kuat, maka pelakon tidak perlu terlalu 'berlakon' untuk memperlihatkan watak tersebut untuk dihayati dan difahami oleh penonton.

"Itu yang saya lakukan di dalam Kita. Saya mengambil pendekatan yang realistik dengan tidak mahu terlalu berlakon. Itulah sebenarnya lakonan karakter yang kuat juga perlu disokong oleh emosi yang baik," ujar Pekin.

Tambahnya, sebagai seorang pelakon, kita bukan hanya bersandarkan kepada skrip dan membiarkan produksi memilih semata-mata. Sebaliknya seseorang pelakon itu juga perlu bijak dan kreatif untuk mengolah karakter supaya lakonan menjadi lebih berkualiti.

Mengarah

Sebagai seorang yang berjiwa seni dan sentiasa tegas dengan pendirian diri, Pekin tidak mahu sewenang-wenangnya menaburkan bakat kepada skrip yang dirasakan tidak bagus. Ia jelas terbukti melalui filem terbaharu lakonannya, Bunohan yang dimainkan dengan pelakon-pelakon hebat seperti Zahiril Adzim, Faizal Hussein, Bront Palarae, Wan Hanafi Su dan Sofi Jikan.

Baginya, penggarap Bunohan, Dain Said bijak menampilkan kekuatan karakter yang kreatif untuk setiap watak yang diciptanya dalam filem ini. Tentang kejayaan yang diraih filem tersebut, sememangnya mereka tidak sangka akan diiktiraf sehingga tahap antarabangsa.

Kini merasakan dia lama mengabadikan diri terhadap bidang lakonan, akui Pekin, dia sudah tidak sabar ingin mengarah dan bakal mengusulkan sebuah konsep filem yang mungkin lain daripada apa yang pernah dikeluarkan oleh pihak Metrowealth tidak lama lagi.

sumber

Diana Danielle ligat di pentas nyanyian


Artis kacukan Melayu-Inggeris Diana Danielle sememangnya dikenali sebagai pelakon, namun Diana juga sempat bergelar seorang penyanyi apabila dia muncul dengan lagu single berjudul Tak Pernah Ada.

Selain itu, kekasih kepada aktor Farid Kamil ini juga pernah berkolaborasi bersama Mawi menerusi lagu Penyembuh Rindu dan lagu Radio duet bersama Imran Ajmain serta pelawak terkenal, Nabil.

Disebabkan bakat yang ada pada Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson, 20, dia menjadi pilihan pihak penganjur, Dirich Vision Sdn. Bhd. untuk menjayakan persembahan sempena Festival Pengantin Malaysia ke-11 yang akan berlangsung pada 6 hingga 8 April ini di Dewan Tun Razak 2, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Selain Diana, festival yang bermula pukul 10 pagi hingga 9 malam itu turut mengundang penyanyi lain seperti Alif Satar, Ila Damia dan Altimet. Diana dan Alif dijangka menghiburkan bakal pengantin pada hari Sabtu iaitu 7 April, pada pukul 2 petang.

Penyanyi rap Altimet dan Ila Damia pula akan berkongsi pentas menghiburkan ribuan pengunjung pada keesokannya (Ahad), pada pukul 3 petang.

Diana berkata, inilah kali pertama dia menerima undangan Festival Pengantin Malaysia dengan kunjungan lebih 15,000 orang pengunjung setiap kali diadakan sekitar Lembah Klang.

“Mungkin saya lebih dikenali sebagai pelakon, tetapi saya juga meminati bidang nyanyian. Saya sudah memiliki dua lagu single, Penyembuh Rindu dan Radio. Menerusi dua lagu berkenaan, saya kerap menerima undangan pentas nyanyian.

“Saya juga pernah diundang sebagai artis pembuka tirai konsert peniup saksofon antarabangsa, Kenny G, tahun lalu. Alhamdulillah, rezeki nyanyian semakin terbuka luas,” ujarnya.

Diana mengakui cukup terharu apabila diundang sebagai salah seorang penyanyi pada Festival Pengantin Malaysia. Undangan itu sebagai bukti bakat nyanyian diakui oleh pihak penganjur.

“Saya terharu diundang ke festival pengantin. Bagi saya, festival pengantin ini memudahkan bakal pengantin membuat pilihan dalam merancang majlis bersejarah mereka.

“Festival khas untuk mempelai itu juga akan menampilkan pakar dalam bidang perkahwinan bersatu di bawah bumbung yang sama untuk menyediakan perkhidmatan kepada bakal pengantin, sekali gus memudahkan mereka untuk merancang persediaan majlis yang bakal berlangsung secara gemilang kelak.

“Apa yang menarik, mereka boleh mendapat tawaran harga yang istimewa sepanjang festival pengantin ini berlangsung, yang tidak boleh dinikmati pada hari-hari biasa. Ini adalah peluang keemasan untuk mereka merancang perkahwinan mereka serta boleh berjimat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Dirich Vision Sdn Bhd, Nor Sharlina Abdul Rashid, berkata Festival Pengantin Malaysia, salah satu platform untuk usahawan yang terbabit dalam industri perkahwinan untuk menyertainya.

Dalam festival berkenaan, pihak penganjur menyediakan ruang pameran yang lengkap bagi pengusaha mempamerkan hasil reka cipta secara terus kepada bakal pengantin.

“Antara perkhidmatan disediakan ialah andaman pengantin, perancang perkahwinan, fotografi dan videografi, kad kahwin, cenderamata, perhiasan, aksesori, dewan majlis perkahwinan, ejen perancang industri perkahwinan, pusat penjagaan kecantikan dan perkhidmatan katering.

“Selain itu, penganjuran festival ini dapat dijadikan platform untuk usahawan tempatan mengembangkan lagi perniagaan mereka, yang mana pengusaha butik perkahwinan dapat memberikan khidmat nasihat di gerai pameran masing-masing, sekali gus menambah bilangan pelanggan.

Bagi keterangan lanjut, mereka yang berminat boleh layari laman sosial Facebook Festival Pengantin Malaysia.

sumber

Siti tidak curigai Datuk K


BUKAN kali pertama, namun sudah dua kali gosip ini bertiup kencang. Gosip yang mengaitkan suami kepada penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza iaitu Datuk Khalid Muhammad Jiwa atau Datuk K dengan aktres jelita, Rozita Che Wan.

Gosip yang mendakwa Datuk K menjalin hubungan sulit bersama Rozita kembali bersemarak setelah beberapa lama sunyi kerana tidak ada bukti kukuh.

Namun pada 17 Mac lalu, muncul gosip dalam blog-blog hiburan mendakwa anak bongsu Rozita iaitu Aniq Ezra Azuar Effendy,14, lari dari rumah sebelum ditemui beberapa jam kemudian di rumah rakannya di Subang Jaya tidak jauh dari rumah.

Insiden itu pada mulanya dikatakan ekoran Rozita sudah berkahwin dengan seorang Datuk. Spekulasi timbul kembali mendakwa Datuk yang dimaksudkan itu ialah Datuk K!

Isu itu selesai kerana semasa memberi keterangan kepada pihak polis, Aniq Ezra dikatakan mengakui lari kerana merajuk dan berkecil hati dengan sikap Rozita yang dilihat terlalu melebih-lebihkan abangnya iaitu Ammar Effendi, 15.

Biarpun begitu, apa yang jelas sekali lagi Rozita dan Datuk K dikaitkan, biarpun tiada bukti kukuh menunjukkan yang gosip yang disebarkan beberapa blog hiburan tersebut benar.

Pada masa yang sama ketika diminta mengulas gosip terbaharunya itu, Rozita menafikan sekeras-kerasnya fitnah tersebut dan berhasrat untuk menyaman pihak yang mengaibkan dirinya itu.

Namun apa pula yang bermain di benak perasaan Siti selaku isteri kepada Datuk K?

Kosmo! sempat meminta penjelasan dan menyelami perasaan Siti sendiri setelah dilanda gosip yang sama sebanyak dua kali.

Peluang menemu bual figura jelita ini terbuka sewaktu dia hadir dalam sidang akhbar di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya pada Isnin lalu sempena pengumuman majlis Hari Ibu Bersama Datuk Siti Nurhaliza 2012.

Kosmo!: Apa komen Siti apabila gosip Datuk K dan Rozita heboh diperkata sekali lagi. Kali ini lagi teruk kerana mereka didakwa telah berkahwin

Siti: Kalau boleh Siti tidak mahu komen kerana jika ditulis, lagi orang akan bercakap. Siti pernah memberitahu rakan-rakan wartawan, Siti malas nak komen kerana akan besar lagi isu ini. Cuma Siti mahu cakap di sini, apa-apa pun fikir dulu sebelum kita buat gosip seperti ini.

Siti sudah tiada reaksi yang mahu diberikan. Siti pun langsung tidak bertanyakan tentang hal itu kepada suami kerana Siti tahu memang tiada apa-apa pun yang betul tentang cerita itu. Jadi tiada langsung sepatah perkataan menyebut tentang ini kerana kita tahu kenyataannya bagaimana. Siti tiada perasaan marah sedikit pun terhadap Rozita. Ini kerana bagi Siti cerita ini memang tidak betul dan sengaja diada-adakan.

Apa perasaan Siti ketika ini?

Biarlah mereka (penyebar gosip menerusi blog di Internet). Sekarang Siti seperti tiada perasaan terhadap perkara ini. Geram memanglah geram tetapi jika kita selalu layan orang begini, memang kita juga yang sakit hati dan pening kepala. Jika orang yang betul-betul tidak kuat dan terbawa-bawa emosi, mungkin mereka akan lakukan sebegitu. Namun bagi Siti, tiada apa pun. Siti percaya kepada suami.

Tapi Siti ada tak pergi berjumpa dengan Rozita atau sebaliknya?

Tidak sama sekali dan tiada sebab untuk kami berbuat begitu. (ketawa)

Adakah ia mengganggu hubungan Siti bersama Rozita sendiri?

Andai Siti dan Rozita bersua pada majlis Anugerah Bintang Popular (yang bakal berlangsung pada Ahad ini), kami akan bertegur sapa seperti biasa. Tiada sebab untuk Siti mahu memusuhi Rozita atau mengelak daripada berhadapan dengan dia. Tiada sebab langsung. Ini kerana Siti tahu memang ini semua (hubungan sulit Datuk K-Rozita) tidak berlaku.

Rozita ingin ambil langkah untuk saman individu tersebut, justeru adakah Siti juga akan mengambil tindakan yang sama?

Ada juga saya dan suami terfikir. Jika betul kami jumpa individu tersebut, memang akan kami lakukan. Namun orang yang di alam maya (penulis gosip blog) ini agak sukar untuk dicari siapakah sebenarnya mereka. Siti rasa kesabaran Siti dan suami hanya Allah sahaja yang tahu. Suami pun kecewa dan mengalami tekanan kerana rakan-rakannya sering bertanya tentang hal ini. Ia sehingga membuatkan fikiran dia benar-benar terganggu. Siti kenal suami Siti, insya-Allah dan rasanya tiada langsung perkara sebegini berlaku, apa lagi untuk mencurigai suami Siti.

Andai kata penyebar gosip itu sekali lagi menghebohkan tentang perkara itu di masa hadapan, adakah Siti akan ambil tindakan?

Biarlah, kita akan berdoa dan berserah kepada Allah supaya orang yang buat fitnah itu akan diampuni dosa oleh Allah dan kembali ke pangkal jalan. Itu Siti rasa jalan terbaik kerana Siti rasa dia pun tahu, fitnah itu lebih keji daripada membunuh.

sumber

Aaron mangsa fitnah internet


KELMARIN hari yang cukup kecoh buat aktor popular Aaron Aziz, 36, apabila sebuah portal hiburan menyiarkan kad pengenalan Singapura yang didakwa miliknya.

Apa yang mengecewakan hero filem Ombak Rindu dan KL Gangster itu, nama yang tertera pada kad pengenalan rekaan sendiri itu tertera nama Mat Haron Mustapha Mat Aziz Mustafa yang didakwa merupakan nama sebenar Aaron.

Sejak kad pengenalan itu tersebar di Internet, Aaron didakwa menipu para peminatnya dengan menggunakan nama glamor Aaron Aziz.

Persoalannya apakah nama sebenar Aaron?

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Aaron yang kini sedang menjalani penggambaran drama 80 episod berjudul Adam & Hawa terbitan Global Station bagi menghurai persoalan tersebut.

Kosmo!: Sejak bila Aaron tahu kad pengenalan yang menggunakan gambar dan nama Mat Haron Mustapha itu tersebar di Internet?

Aaron: Saya mula dapat tahu pada pukul 4 pagi pada 2 April lalu. Ketika itu isteri saya sedang melayari Internet. Saya memang sangat terkejut sebab gambar yang digunakan adalah wajah saya tetapi nama yang digunakan sememangnya bukan nama saya.

Apa yang bermain pada fikiran Aaron saat pertama kali melihat kad pengenalan tersebut?

Saya fikir apa tujuan orang yang buat kad pengenalan palsu ini. Mulanya saya ingat dia guna kad pengenalan tersebut untuk buat pinjaman bank, tetapi bila lihat nama yang tertera bukan nama saya, saya rasa lega. Kedua, saya rasa memang orang yang buat kad pengenalan itu tiada kerja dan sengaja cari kerja.

Jadi apa nama sebenar Aaron?

Saya rasa ramai sudah tahu nama sebenar saya ialah Aaron Mustapha Aziz bukannya Mat Haron Mustapha Mat Aziz Mustafa. Saya sekarang dalam proses untuk dapatkan status penduduk tetap di Malaysia, jika tidak percaya, boleh periksa dengan jabatan yang berkaitan tentang nama asli saya ini.

Aaron dituduh menipu peminat apabila kad pengenalan rekaan itu tersebar di Internet, komen?

Saya sedar ramai yang ingat nama Aaron Aziz adalah nama glamor, tetapi itu memang nama sebenar saya. Kalau saya dilahirkan dengan nama lain, saya tetap akan gunakan nama sebenar walaupun apa sahaja bunyi nama itu. Saya tidak menipu peminat dengan nama saya.

Bagi Aaron adakah nama yang komersial dan sedap bunyinya penting buat seorang artis?

Mungkin setiap artis ada sebab tertentu jika mereka menggunakan nama komersial dan bukannya nama sebenar. Apa yang saya lihat mereka mahu privasi diri terjaga. Jika ramai tahu mungkin orang akan guna untuk perkara yang tidak baik seperti membuat pinjaman bank tanpa pengetahuan artis itu. Artis yang sengaja guna nama komersial, bagi saya tidak salah. Ia terpulang kepada diri sendiri jika mereka lebih selesa dan yakin menggunakan nama lain.

Selain nama, dengar cerita Aaron mendapat kontrak bernilai RM11.5 juta setahun untuk menjadi duta sebuah produk minuman. Benarkah?

Tidak benar sama sekali. Saya sekarang menjadi duta produk minuman Drive M7, mana boleh dalam masa yang sama saya menjadi duta produk minuman yang lain. Jika ada, Alhamdulillah, tetapi memang saya tidak pernah menandatangani mana-mana produk minuman yang lain selain Drive M7

sumber

Leeteuk dedah nombor telefon


KETUA band Super Junior, Leeteuk mendedahkan dia akan terus menggunakan nombor telefon yang sama meskipun nombor telefon peribadinya itu telah didedahkan kepada pengetahuan umum pada 1 April lalu.

Tarikh 1 April sangat sinonim dengan hari membuat kejutan kepada orang lain atau dipanggil April Fool's Day.

Pada 3 April lalu, melalui akaun laman sosial Twitter miliknya, Leeteuk menulis: "Saya akan terbang ke Perancis untuk konsert pertama Super Junior di sana. Kami berjanji akan memberi persembahan yang terbaik.

"Saya juga akan terus menggunakan nombor telefon yang sama dan ia akan menjadi nombor telefon utama untuk saya berkomunikasi. Saya akan beritahu anda semua (peminat) jika saya tidak lagi menggunakan nombor telefon itu."

Pada 1 April lalu, Leeteuk telah meletakkan nombor telefon peribadinya di akaun Twitter miliknya sebagai salah satu cara menyambut April Fool's Day.

Kemudian salah seorang ahli Super Junior, Heechul turut mengesahkan itu adalah nombor peribadi Leeteuk dengan meletakkan gambar telefonnya yang tertera mesej dan panggilan yang dibuat oleh Leeteuk menggunakan nombor peribadinya itu di Twitter.


sumber

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)