Hala tuju karier Pekin


"DUDUK di bawah mana-mana produksi pun perlu usaha. Sama juga apabila bernaung di bawah Metrowealth (Metrowealth Movies Production), jika tidak berusaha, tiada juga tawaran yang akan diberikan.

Bak kata David Teo, usaha tangga kejayaan," itulah jawapan yang terpacul daripada mulut Mohd. Iznan Ibrahim atau nama komersialnya, Pekin ini apabila diajukan soalan tentang keputusannya untuk bernaung di bawah Metrowealth.

Tutur aktor yang berusia 31 tahun ini, dia menyertai dengan matlamat untuk menonjolkan kelainan dan ingin memberi perspektif baharu terhadap produk syarikat itu sendiri.

Selain itu sebagai aktor yang telah banyak memperoleh pengalaman, dia juga tidak mahu lokek dan ingin berkongsi ilmu bersama pelakon yang lain.

Lebih kurang tiga bulan berada di bawah MetroweaIth, Pekin telah mengorak langkah dengan pantas. Dia telah menerima satu tawaran filem berjudul Kita yang juga merupakan hasil garapan rakan baiknya, Pierre Andre.

"Saya suka dengan jalan ceritanya yang mudah. Ada juga tawaran lain tapi saya tidak gemar dengan skrip yang ditawarkan. Filem ini dengar saja judulnya, ia sangat ringkas dan perjalanan cerita juga menarik.

"Sementelah di bawah pengarahan Pierre, tidak ada masalah kerana kami sudah lama saling mengenali. Jadi senang bekerja dengan orang yang kita kenal kerana Pierre tahu apa yang saya mahukan dan saya juga tahu apa yang Pierre mahukan," jelas Pekin serius tentang pemilihan tawaran yang diberikan kepadanya.

Menceritakan tentang wataknya di dalam Kita, Pekin memegang watak sebagai Kamal yang merupakan seorang pemuda yang pemalu dan sopan. Kamal sangat menyukai rakannya, Ika (Yana Samsuddin) yang juga merupakan jirannya selama tiga tahun. Namun Kamal mendapati sangat sukar untuk meluahkan perasaannya terhadap Ika.

Justeru setiap apa yang dilakukannya, dia akan mencari peluang untuk mendekatkan diri bersama Ika sehingga melakukan banyak perkara romantik untuk Ika.

Namun, Ika tidak pernah perasan akan layanan istimewa Kamal terhadap dirinya. Katanya lagi, Kamal merupakan watak remaja biasa namun akan diolah dengan caranya tersendiri bagi menghidupkan watak tersebut.

Pelakon perlu kreatif

Bicara anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini, jika ingin memberikan hasil lakonan yang berkualiti, seseorang pelakon itu perlu bijak mengkaji dan mencipta karakter melalui watak yang diberi.

"Jadi apabila lakonan disokong oleh karakter yang kuat, maka pelakon tidak perlu terlalu 'berlakon' untuk memperlihatkan watak tersebut untuk dihayati dan difahami oleh penonton.

"Itu yang saya lakukan di dalam Kita. Saya mengambil pendekatan yang realistik dengan tidak mahu terlalu berlakon. Itulah sebenarnya lakonan karakter yang kuat juga perlu disokong oleh emosi yang baik," ujar Pekin.

Tambahnya, sebagai seorang pelakon, kita bukan hanya bersandarkan kepada skrip dan membiarkan produksi memilih semata-mata. Sebaliknya seseorang pelakon itu juga perlu bijak dan kreatif untuk mengolah karakter supaya lakonan menjadi lebih berkualiti.

Mengarah

Sebagai seorang yang berjiwa seni dan sentiasa tegas dengan pendirian diri, Pekin tidak mahu sewenang-wenangnya menaburkan bakat kepada skrip yang dirasakan tidak bagus. Ia jelas terbukti melalui filem terbaharu lakonannya, Bunohan yang dimainkan dengan pelakon-pelakon hebat seperti Zahiril Adzim, Faizal Hussein, Bront Palarae, Wan Hanafi Su dan Sofi Jikan.

Baginya, penggarap Bunohan, Dain Said bijak menampilkan kekuatan karakter yang kreatif untuk setiap watak yang diciptanya dalam filem ini. Tentang kejayaan yang diraih filem tersebut, sememangnya mereka tidak sangka akan diiktiraf sehingga tahap antarabangsa.

Kini merasakan dia lama mengabadikan diri terhadap bidang lakonan, akui Pekin, dia sudah tidak sabar ingin mengarah dan bakal mengusulkan sebuah konsep filem yang mungkin lain daripada apa yang pernah dikeluarkan oleh pihak Metrowealth tidak lama lagi.

sumber

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)