Terlantar di hospital beri pengajaran buat Cat Farish


Hampir seminggu terlantar di hospital, Februari lalu ternyata memberi pengajaran kepada penyanyi dan pelakon, Cat Farish agar lebih menghargai kesihatan diri.

Mengalami pendarahan di hidung dengan teruk, Cat terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selama dua hari sebelum dipindahkan ke wad biasa.

Menurut ahli kumpulan The Fabulous Cats ini, doktor memaklumkan kepadanya bahawa dia mengalami tekanan darah tinggi akibat tekanan melampau.

“Sebelum ini saya terlalu kuat bekerja sehinggakan otak masih bergerak walaupun saya sedang tidur.

“Itulah punca sebenar saya dimasukkan ke hospital selain turut mengalami masalah saluran pemakanan yang sempit,” katanya ketika ditemui di pelancaran program Jom Ke Panggung terbitan produksi miliknya, Fantasy Film, baru-baru ini.

Menceritakan detik terlantar sakit sehingga terpaksa bernafas melalui mulut, menurut Cat, ketika itu dia hanya terbayangkan nasib isteri dan anak-anaknya.

“Ada kalanya saya menangis apabila terkenangkan apa yang akan berlaku kepada mereka sekiranya saya tiada.

“Syukur Alhamdulillah, saya sudah semakin sembuh dan mula menjalani kehidupan yang sihat atas nasihat doktor,” katanya.

Kesan daripada peristiwa tersebut, kata bekas anggota Ruffedge ini, dia mula menitikberatkan soal kesihatan terutamanya bab pemakanan.

“Sewaktu di wad, saya mula sedar akan kepentingan bersenam dan mengamalkan pemakanan yang sihat.

“Kini, saya sudah berpantang ketika makan seperti mengambil daging putih dan tidak mengikut nafsu seperti dulu lagi,” katanya.

Bukan sekadar kesihatan diri, malah kata Cat, dia juga sudah mengurangkan beban kerja dengan memberi kepercayaan kepada stafnya untuk menguruskan beberapa perkara.

“Sebelum ini, hampir lapan tahun saya bekerja sendiri kerana tidak percayakan orang lain gara-gara pernah ditikam daripada belakang.

“Kesannya, saya tertekan kerana perlu membahagikan fokus kepada terlalu banyak benda seperti nyanyian, lakonan dan produksi.

“Mahu tidak mahu, saya terpaksa belajar memberi kepercayaan kepada pekerja supaya dapat mengurangkan beban kerja saya,” katanya.

The Fabulous Cats belum berkubur

Berkaitan karier seninya bersama The Fabulous Cats, Cat berkata, kumpulan itu masih wujud walaupun tiada single terbaru.

“Barisan terbaru kumpulan ini selain saya ialah Zizie, Dj Krate dan Afiq (Akademi Fantasia 5) yang menggantikan ahli sebelum ini iaitu Adib.

“The Fabulous Cats belum berkubur cuma kami masih menunggu masa sesuai untuk buat kemunculan semula,” katanya.

Cat turut mengulas mengenai pembabitan Wangi yang baru saja tamat kontrak sebagai vokalis kumpulan berkenaan.

“Wangi ada menyatakan keinginannya untuk terus bersama kami, tetapi masih belum ada kata putus lagi.

“Lagipun, sekarang dia sibuk dengan projek solo, maka kami memberi ruang kepadanya untuk mempromosikan singlenya terlebih dahulu,” katanya.

Fokus pada produksi

Beralih kepada perkembangan terbarunya, Cat kini lebih selesa menumpukan perhatian kepada kerja-kerja produksi.

“Saya belajar daripada selebriti lain seperti Datuk Siti Nurhaliza dan KRU yang semakin berjaya apabila terlibat dengan bidang produksi.

“Kehadiran saya bukanlah untuk bersaing tetapi lebih kepada memeriahkan dan mengembangkan lagi industri ini,” katanya.

Antara projek terbaru Fantasy Film ialah menerbitkan sebuah program yang memberi info berkaitan dunia perfileman tanah air dan antarabangsa iaitu Jom ke Panggung yang bersiaran setiap Selasa, jam 9.30 malam di TV2.

sumber

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)