Pixie Lott suka Big Bang


TIADA riak kepenatan terpancar pada wajah penyanyi yang berasal dari London, England, Pixie Lott ketika ditemui pada sesi temu bual bersama Kosmo! di Hotel Double Tree, Kuala Lumpur, petang Sabtu lalu.

Realitinya, sebelum itu, sudah berpuluh media menemubual dia sejak pukul 11 pagi. Gadis berambut perang itu hanya memberi senyuman meleret.

Ini merupakan kunjungan kali kedua dia ke Malaysia, dan akui Pixie atau nama sebenarnya Victoria Louise Lott, dia amat menyukai Malaysia terutamanya kerana cuaca panas.

“Saya sukakan Malaysia, terutamanya cuaca yang panas kerana saya memang sukakan matahari. Walaupun begitu, saya harus minum banyak air untuk kekal segar dan cantik dalam keadaan cuaca seperti ini,” katanya yang sempat memberi tip kecantikan.

Sungguhpun sudah dua kali berada di Malaysia, Pixie memberitahu, dia tidak sempat untuk menjelajah keindahan Malaysia secara keseluruhan kerana agendanya di sini adalah untuk bekerja.

“Malaysia sebuah negara yang indah, tetapi saya tidak sempat untuk menikmati sepenuhnya keindahan itu kerana setiap kali saya datang ke sini, ia atas urusan kerja.

“Sama seperti pada kali ini, kedatangan saya ke sini kerana kembara promosi album kedua yang berjudul Young Foolish Happy yang dikeluarkan pada tahun lalu.

“Jangka masa yang pendek dan terkejar-kejar dari satu lokasi ke lokasi yang lain menyebabkan masa saya sangat terbatas. Apa pun saya sempat merasai makanan Malaysia yang sangat enak,” tutur gadis berusia 21 tahun itu lagi.

Bercakap mengenai perubahan kehidupannya, Pixie yang mula dikenali pada tahun 2009 menerusi single Mama Do dan Boys and Girls daripada album pertamanya, Turn it Up, menjelaskan kehidupannya kini terlalu sibuk.

“Berbanding dahulu, kehidupan saya kini memang sangat sibuk. Saya sibuk menjelajah dari satu negara ke negara yang lain, tetapi saya tetap Pixie yang sama.

“Walaupun sudah dikenali dan terikat dengan jadual kerja yang padat, saya masih melepak di tempat yang sama dengan rakan-rakan lama saya. Bukan itu sahaja, saya juga tidak pernah berubah menjadi orang yang berbeza, cuma kerjaya yang semakin berkembang,” ceritanya jujur.

Penyanyi yang mula menyanyi pada usia 12 tahun itu juga berbakat dalam bidang lakonan. Buktinya, Pixie pernah terlibat dalam pementasan teater West End berjudul Chitty Chitty Bang Bang dan juga berlakon dalam dua buah filem iaitu Fred: The Movie dan Sadie J.

“Berlakon memang sesuatu yang cukup seronok, tetapi buat masa ini saya ingin memberi fokus kepada bidang nyanyian terlebih dulu.

“Ini kerana jika terlibat dalam filem, saya perlu menghafal skrip, watak dan penggambaran yang juga mengambil masa yang panjang. Saya tidak mahu melakukan sesuatu perkara dengan separuh hati sahaja.

“Andai pada masa depan saya menerima skrip yang cukup menarik dan juga watak yang saya suka, saya tidak akan menolak untuk terlibat dalam dunia lakonan semula,” tambah Pixie.

Pixie yang kini sibuk mengumpul material untuk album terbaharunya mengatakan dia amat menyukai kumpulan Big Bang yang berasal dari Korea Selatan.

G-Dragon dan Top daripada kumpulan Big Bang pernah bekerjasama Pixie dengan lagu yang berjudul Dancing Own My Own. Kata Pixie, dia amat berharap dapat bekerjasama lagi dengan mereka pada masa depan.

“Big Bang merupakan kumpulan K-Pop yang paling saya suka kerana mereka sangat segar dan berbakat. Pertama kali mendengar lagu mereka ketika berada di Jepun, saya terus terpikat. Kemudian apabila dapat bertemu dengan mereka, ternyata mereka semua sangat baik,” luahnya lagi.

Selain sesi promosi album keduanya, Pixie juga memberi persembahan cukup bertenaga pada showcase Young Foolish Happy yang berlangsung di KL Live, Kuala Lumpur pada malam Sabtu lalu.

Menyanyikan barisan lagu popularnya, peminatnya ternyata sudah lama menunggu kehadirannya di Malaysia apabila mereka sama-sama menyanyikan untaian lagu miliknya tanpa dipinta.

sumber

Wardina diganggu lelaki misteri


KUALA LUMPUR – Pengacara televisyen tidak asing lagi, Wardina Saffiyah Fadhlullah, 33, membuat laporan polis di Balai Polis Taman Melawati, Hulu Klang semalam selepas diganggu dengan panggilan lucah daripada seorang lelaki bernama Arif.

Lelaki itu membuat panggilan sebanyak dua kali kepada Wardina sambil mendakwa dia merupakan kakitangan sebuah stesen penyiaran dan mahu menemubualnya.

Menurutnya, lelaki itu membuat panggilan pada pukul 5 pagi dan diikuti pada pukuk 9.15 pagi.

“Saya tidak menjawab panggilan telefon yang pertama. Pada pukul 9.15 pagi, lelaki itu menghubungi saya sekali lagi tetapi apabila saya tanya dia dari stesen mana, dia kata tidak boleh beritahu.

“Selepas itu dia mula mengeluarkan perkataan-perkataan yang saya sendiri malu untuk sebut.

“Saya tidak faham kenapa ada orang yang sanggup melakukan perkara seperti itu,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

sumber

Diganggu peminat fanatik


POPULAR dan terkenal, menjadikan aktres dan penyanyi muda, Liyana Jasmay, 24, sering menjadi buruan penerbit filem dan drama untuk membintangi filem mereka.

Bagaimanapun baru-baru ini, Liyana yang baru sahaja melangsungkan pertunangannya dengan seorang ahli perniagaan, Fathuddin Mazlan, 28, pada 29 Mac lalu dikejutkan dengan gangguan daripada peminat fanatiknya.

Menurut Liyana yang mesra disapa dengan nama Nana, gangguan lelaki berusia sekitar 20-an yang merupakan peminat fanatiknya itu telah menakutkannya. Hal itu telah membuat bapanya menghubungi polis dan lelaki itu telah ditangkap di hadapan rumahnya pada pukul 11.40 malam Khamis lalu.

"Saya tidak tahu siapa lelaki itu. Mulanya saya anggap dia merupakan peminat fanatik yang biasa, tetapi apabila dia kerap berlegar-legar di luar rumah saya, bagi saya perkara ini sesuatu yang serius," ujarnya.

Terang Nana lagi, gangguan daripada peminat itu bermula pada November tahun lalu. Dia tidak hanya menunggu di hadapan rumahnya di Hulu Klang, lelaki itu sebaliknya turut memberi bermacam-macam hadiah kepadanya termasuk tuala wanita.

"Lelaki ini memang psiko sebab dia pergi ke restoran milik keluarga saya dan menyamar sebagai sepupu saya. Entah macam mana, dia boleh mendapat alamat rumah dan sejak itu dia mula berlegar-legar depan rumah saya.

"Dia juga memberi pelbagai hadiah, tetapi semuanya dibuang oleh ibu kerana kita tidak tahu apa isi di dalamnya. Kalau peminat fanatik yang biasa, saya kenal mereka, tetapi lelaki ini sangat menakutkan.

"Ada waktunya kalau ibu saya melihat lelaki itu berada di hadapan rumah, ibu akan menghubungi saya dan meminta saya supaya tidak pulang ke rumah," jelasnya.

Bimbang dengan keselamatan anak bongsunya selepas melihat lelaki itu berlegar-legar di hadapan rumahnya dalam keadaan mencurigakan, bapanya telah menghubungi polis dan pihak berkuasa menangkap lelaki itu. Namun, lelaki itu hanya diberikan amaran.

"Saya tidak boleh mendakwanya kerana orang seperti itu mungkin ada masalah mental, jadi tangkapan dibuat untuk memberi amaran sahaja.

"Selepas ini, jika dia melakukan hal yang sama, dia akan ditangkap dan boleh didakwa," tuturnya.

Pengalaman diganggu peminat fanatik ini amat mengajarnya supaya lebih berhati-hati dalam setiap tindakan agar perkara yang sama tidak akan berulang kembali.

"Memang pengalaman ini cukup mengajar saya supaya tidak terlalu mendedahkan perkara peribadi kepada umum. Selepas ini saya akan lebih berhati-hati dalam setiap perkara termasuk tidak memberitahu ke mana saya pergi kepada peminat dalam laman sosial Twitter.

"Perkara yang penting sahaja saya akan kongsi bersama peminat. Segala aktiviti peribadi yang tidak melibatkan kerja, saya akan simpan sendiri," luahnya lagi.

New York

Bintang filem Papadom itu memberitahu dia akan terbang ke New York, Amerika Syarikat pada 2 Julai ini untuk mengikuti kursus jangka pendek di Akademi Filem New York dalam bidang lakonan dan pengarahan.

Nana, hanya akan pulang ke Malaysia pada bulan Disember, sebelum melangsungkan pernikahannya dengan Fathuddin pada 24 Januari 2013 di Masjid Wilayah, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

"Bapa memberi syarat, saya harus pergi belajar terlebih dulu sebelum berkahwin. Tambahan, rancangan untuk ke New York telah lama dibuat. Memang berat hati untuk tinggalkan keluarga dan orang tersayang, tetapi saya harus belajar untuk masa depan," jawabnya.

Meskipun terpisah buat sementara waktu, kata Nana, tunang dan keluarganya akan melawatnya jika mereka mempunyai masa yang terluang.

"Perhubungan jarak jauh bukan satu masalah buat saya. Ya, sedih sedikit, tetapi sekarang pun kami jarang berjumpa walaupun kami tinggal berjiran.

"Saya sibuk dengan kerjaya dan Fathuddin pula bekerja di Sabah. Kami hanya berjumpa dua minggu sekali atau sebulan sekali sahaja," ujar Nana tentang hubungan cintanya.

Sebelum berangkat ke New York, pelbagai kerja harus dilangsaikan oleh si manis ini. Selain persiapan perkahwinan, Nana juga sibuk di set penggambaran filem Tokan dan drama terbitan syarikatnya, berjudul Fiksi Fixie yang ditayangkan di Astro Prima pada hari raya nanti.

Kematangan Liyana

Mungkin di luar, ramai khalayak masih melihatnya seperti remaja lain, tetapi jelas Nana, hakikatnya sejak bertunang, dirinya banyak berubah dan lebih matang.

"Orang mungkin lihat saya macam budak-budak, tetapi orang tidak tahu apabila saya bersama Fathuddin, saya menjadi lain. Saya lebih matang dan sudah bersedia untuk ke alam rumah tangga

"Bagi saya Fathuddin seorang lelaki yang cukup menyenangkan. Bila kami berjumpa, semua masalah saya hilang dan kami memang serasi bersama," tuturnya dalam senyuman.

Disoal sudah bersediakah untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri seperti memasak dan melakukan kerja rumah, Nana pantas menjawab.

Jawabnya sambil tertawa: "Saya memang suka memasak. Kalau tidak percaya tanyalah ibu saya. Memang daripada kecil saya suka tolong ibu di dapur.

"Rasanya soal makan tidak ada masalah kerana Fathuddin suka masakan Barat, begitu juga dengan saya. Masakan yang paling saya suka masak ialah pasta."

Apabila bergelar isteri nanti, beritahu Nana, dia masih akan sibuk dengan dunia lakonan kerana bakal suaminya itu tidak pernah menghalangnya untuk terus aktif bekerja.

"Selepas berkahwin saya tetap akan berlakon, cuma watak perlu disesuaikan dengan status dan usia. Bakal suami saya tidak pernah menghalang kerana sejak mula kami berkawan dia tahu yang saya seorang pelakon dan saya sangat suka dengan apa yang saya lakukan.

"Mungkin selain berlakon, saya akan semakin sibuk di belakang tabir seperti menghasilkan skrip atau mengarah drama dan filem. Itu merupakan cita-cita terbesar saya," luahnya.

sumber

Jac salah pilih lagu


Pentas final program realiti televisyen Mania yang telah berlangsung pada Sabtu lalu menyaksikan pertarungan lima penjuru antara penyanyi yang sudah ada nama iaitu Hazama, Stacy, Jaclyn Victor, Hafiz dan Aril.

Seolah-olah menyaksikan pertarungan antara bekas peserta program realiti Akademi Fantasia iaitu Stacy, Aril, Hafiz dan Hazama, final Mania bagaimanapun boleh dilabelkan sebagai pertandingan antara bintang program realiti apabila dalam barisan finalis berkenaan turut sama ialah Jaclyn yang merupakan juara program realiti Malaysian Idol musim pertama.

Pada akhir pertandingan, keputusan dan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) telah menjulang Hafiz sebagai juara Mania musim pertama dengan habuan hadiah kemenangan wang tunai sebanyak RM500,000.

Ahmad Dhani selaku komposer yang menaungi Hafiz pula memenangi wang berjumlah RM300,000.

Tempat kedua dimenangi oleh penyanyi di bawah bimbingan komposer Datuk M. Nasir iaitu Stacy yang berjaya membawa pulang RM200,000. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Jaclyn Victor dengan wang yang dibawa pulang sebanyak RM100,000.

Namun apa yang menjadi tanda tanya ialah nasib Jaclyn atau lebih mesra disapa Jac yang bernaung di bawah komposer Aubrey Suwito. Ini kerana sepanjang Mania berlangsung, Jac sentiasa menduduki tangga teratas. Tambahan pula ramai yang menjangkakan Jac akan muncul sebagai juara Mania.

Pada pentas final Mania malam itu, Jac menyampaikan dua buah lagu iaitu Arjuna dari kumpulan asal Dewa 19 berduet dengan Tiar Jinbara dan Kenangan Terindah, nyanyian asal grupSamson. Bagi penyanyi bersuara lantang ini, ramai yang mengharapkan Jac menyampaikan lagu bernota tinggi yang sudah sinonim dengan dirinya.

Jac tidak kecewa

Jac mempunyai alasan tersendiri mengenai pemilihan lagu Kenangan Terindah yang mungkin dirasakan kurang kuat untuk menjulang dirinya sebagai juara Mania.

“Jujurnya, sejak awal pertandingan, saya dapat rasakan diri ini tidak akan menang. Bukan kerana saya tidak yakin, namun bagi saya ia adalah perkara biasa apabila tiba peringkat akhir. Sudah pasti peminat akan mengundi atau menyokong hingga ke saat akhir.

sumber

Buka, tutup fail cerai Adi Putra


BAGAI angin bertiup kencang, isu perceraian Adi Putra atau nama sebenarnya, Mohamed Hadi Putra Halim, 31, dan isteri, Zuhaidah Yusof, 37, terus menghiasi dada akhbar dan tidak kurang juga di kaca televisyen. Adi telah membuka fail penceraian terhadap isterinya itu di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 11 Mei lalu dan selepas 10 hari, Adi sebaliknya menutup semula fail tersebut.

Tidak ingin memberi ruang orang ramai membuat spekulasi salah tentang status mereka, Adi dan isteri telah mengatur satu sidang akhbar di Chatz Brasserie, Hotel Park Royal, Kuala Lumpur bagi merungkai segala persoalan.

Kosmo!: Kenapa anda mengambil keputusan bercerai, adakah atas sebab yang serius?

Adi: Ya. Ia berkait tentang persefahaman yang mana memang serius dalam hubungan suami isteri. Bohong jika orang kata saya dan isteri tidak memperbaiki perhubungan ini. Namun di sini saya mahu tekankan, keputusan memfailkan penceraian tidak bererti bercerai. Ramai yang keliru. Tapi ia juga bermakna akan kemungkinan perlu (bagi saya dan isteri) menghadiri perundingan dan harus mengambil iktibar dari situ. Dalam fail perceraian tersebut, saya meletakkan tidak persefahaman (sebagai alasan untuk kami bercerai), supaya mungkin kami berdua diberi tempoh dalam sembilan hari untuk memikir panjang. Jika kita sudah rujuk kepada mahkamah syariah maknanya kita perlu fokus. Maknanya ini realiti yang kita akan hadapi. Setelah sembilan hari, menggerakkan hati saya dan isteri untuk saya menutup fail (kes) perceraian tersebut.

Bila waktu Adi betul-betul nekad membuat keputusan untuk memfailkan perceraian?

Keputusan dibuat setelah saya pulang dari umrah 8 Mei lalu. Kami pergi bersama-sama ke mahkamah secara baik dan buka fail dan tutup fail juga secara baik. Selepas pulang dari umrah kami membuat keputusan itu.

Adakah anda sudah lafazkan talak?

Ada spekulasi yang mengatakan saya dan isteri sudah bercerai. Tidak sama sekali. Saya buka fail perceraian yang bermaksud mungkin akan rujuk kepada perceraian mahupun merujuk kepada konsultan.

Semasa pergi ke mahkamah, apa perasaan Adi?

Perasaan saya ketika itu merasakan perkahwinan kami ini telah sampai ke penghujungnya.

Apa yang membuatkan anda menukar keputusan tersebut?

Kami sudah diberi tempoh sembilan hari untuk kami fikirkan semula tentang keputusan untuk bercerai. Kami gunakannya bagi memperbaiki hubungan kami dan akhirnya kami mampu mendapat apa yang dimahukan dalam hidup. Kehidupan seperti mana yang kita pilih. Perkara itu kami telah bincangkan dan saya rasa saya boleh menyifatkan ia sebagai satu hidayah yang mana saya tidak dapat mengulas panjang kerana ia di luar jangkauan saya.

Apakah persefahaman yang dicapai itu? Adakah mungkin ada campur tangan pihak lain seperti keluarga atau rakan-rakan? Adakah Adi sentiasa memberi peluang terhadap perkahwinan ini?

Keluarga kami tidak terlibat kerana perkara ini adalah urusan kami berdua, suami isteri. Ya, memang saya sentiasa memberi peluang. Kita boleh merasa kerana kita tinggal bersama dan punya naluri.

sumber

Bisa Lily Poison


NAMA sebenarnya panjang berjela. Nicole Elikolani Valiente Prescovia Scherzinger yang merupakan gadis kacukan Hawaii-Rusia-Filipina hadir mengisi langit populariti Hollywood pada tahun 2001 dengan menganggotai kumpulan Eden's Crush yang lahir menerusi program realiti televisyen, Popstar.

Sisi yang silih berganti, sebaik Eden's Crush muncul dengan single, Get Over Yourself (Goodbye) yang berjaya meraih kedudukan dalam kedudukan Top 10 pada carta Billboard Top 100, dia terus dilamar untuk menjadi vokalis The Black Eyed Peas.

Namun disebabkan ketika itu dia masih mengikat kontrak bersama Eden's Crush, posisi tersebut terpaksa dilepaskan sebelum diserahkan kepada Fergie.

Kerjayanya sebagai vokalis Eden's Crush kemudian berkecai apabila dia mengundur diri dan hanya bergerak solo menggunakan nama pentas Nicole Kea sebelum menganggotai kumpulan Pussycat Dolls pada tahun 2003.

Namun, dia lebih selesa bergerak solo apabila secara rasmi menarik diri daripada kumpulan itu pada tahun 2008.

Tuah badan apabila bakatnya turut dilihat serasi menghiasi kaca televisyen, layar perak dan dunia peragaan.

Kini figura yang dikenali dengan nama komersialnya, Nicole Scherzinger melebarkan pengaruh apabila meraih kepercayaan penerbit filem arus perdana di Hollywood bagi mempamerkan aksi antagonis dalam filem Men in Black 3 yang menjengah pawagam seluruh negara pada hari ini.

Bantuan Led Zeppelin

Bukan mudah tugas Nicole kerana untuk mendalami wataknya sebagai Lily Poison dalam Men in Black 3, dia perlu mendapatkan khidmat nasihat daripada pengarah filem itu, Led Zeppelin.

Katanya bagi merealisasikan watak tersebut, dia menjadikan muzik berat sebagai sumber inspirasi.

"Saya mendengar muzik-muzik gelap selain mendapat tunjuk ajar daripada Led Zeppelin. Akhirnya saya peroleh hala tuju yang diinginkan kerana muzik merupakan sumber inspirasi utama saya.

"Saya banyak belajar daripada jurulatih lakonan dan dia memberikan tip yang gila-gila demi mendalami karakter Lily Poison, anda pasti tidak mahu mendengarnya," katanya bersulam tawa kepada media antarabangsa ketika hadir pada tayangan perdana Men in Black 3 di Los Angeles baru-baru ini.

Nicole turut mengharapkan filem lakonan sulungnya itu menjadi batu asas paling ideal dalam mencorakkan kariernya ke hadapan.

Namun, dia mengakui berdepan sedikit rasa gementar apabila dirinya sentiasa menjadi fokus kamera setiap kali beraksi.

"Sangat menakutkan apabila berada di set penggambaran, lebih senang sebenarnya untuk membuat persembahan di hadapan audiens kerana kita boleh merasai tenaga orang ramai.

"Namun apabila hanya ada anda dan kamera di hadapan dan semuanya hanya memfokuskan anda, terasa sangat canggung.

"Saya membesar dengan pentas teater dan banyak beraksi di atas pentas, ini kali pertama saya melihat diri sendiri di layar besar dan diharapkan semuanya berjalan lancar," ujarnya.

Dalam Men in Black 3 yang kembali menampilkan dua pelakon utamanya iaitu Will Smith (sebagai Ejen J) dan Tommy Lee Jones (Ejen K) menerusi kisah mengenai Ejen J yang kembali pada era 1960-an untuk membantu Ejen K ketika muda (lakonan Josh Brolin) dari[pada serangan makhluk asing itu, Nicole mengakui Will banyak memberikan dorongan buat dirinya apabila berkaitan dengan lakonan.

"Tidak ada satu babak pun menggandingkan saya dengan Will tapi dia menjadi kawan rapat saya dan dia merupakan salah seorang jejaka yang bijaksana yang saya kenali serta banyak memberikan motivasi," puji Nicole.

Salah pakai

Sebagai selebriti gred A, fesyen pemakaian Nicole khususnya dalam khalayak ramai sering menarik perhatian umum.

Kadangkala pakaian yang digayakan mungkin tidak sesuai dengan tempat dan majlis. Hal yang sedemikian terjadi kepada penyanyi lagu Don't Hold Your Breath itu.

Sewaktu Nicole menghadiri tayangan perdana Men in Black 3 di The Odeon Leicester Square, London, England pada 16 Mei lalu dia hampir dilabelkan dengan istilah mangsa fesyen akibat tersalah memakai dres berbelah di paha ketika melangkah pada acara karpet merah majlis tersebut.

Akibatnya, dres berwarna hitam tanpa tali bahu rekaan Cengiz Abazoglu Haute Couture hampir mendedahkan bahagian atas pahanya ketika ditiup angin dan penyanyi itu terpaksa memegang bahagian sisi kiri dan kanan busananya itu bagi mengelakkan kejadian memalukan berlaku.

Dres dramatik seumpama itu pernah digayakan oleh aktres Angelina Jolie ketika majlis Academy Awards 2012 pada Februari lalu hasil rekaan Atelier Versace menggunakan material baldu.

Bagaimanapun, penampilan Nicole pada majlis itu bersama teman lelakinya yang merupakan seorang pelumba kereta formula satu, Lewis Hamilton tetap mencuri tumpuan.

Kekasih

Sebelum ini, pasangan itu dikhabarkan telah berpisah pada penghujung tahun 2011 namun hal itu dinafikan oleh Nicole dan mendedahkan kepada media bahawa dia masih menyayangi teman lelakinya itu.

"Saya masih sayangkan dia dan sukar untuk saya bercerita mengenai hal ini pada masa sekarang. Kami masih bersama," luahnya.

Malah, sebelum sambutan Hari Valentine pada bulan Februari lalu, pasangan itu dikatakan kembali bersama dan perasaan cinta sesama mereka semakin kukuh.

Penyanyi itu menambah dia masih bersama kekasihnya itu yang pertama kali bertemu pada tahun 2007.

"Saya percaya pada cinta seperti gadis-gadis lain dan kita akan sentiasa mencari teman hidup yang serasi sehingga bertemu. Buat masa sekarang kami belum ada perancangan untuk berkahwin dalam tempoh terdekat," ujarnya.

sumber

Lopez dilayan bagai permaisuri


JENNIFER LOPEZ telah dilayan bagai seorang permaisuri oleh kekasihnya, Casper Smart. Bintang jelita latin yang juga juri program realiti TV American Idol itu menjalinkan hubungan dengan penari pengiringnya itu sejak enam bulan lalu.

Smart bagaimanapun bijak menawan hati Lopez. Satu sumber memberitahu majalah People: "Casper melayan Jennifer seperti seorang permaisuri. Dia memberi seluruh perhatian hanya untuk Jennifer."

Dalam pada itu, Lopez yang merupakan ibu kepada anak kembar berusia empat tahun, Max dan Emme hasil perkahwinan dengan bekas suaminya, Marc Anthony baru-baru ini mengakui dia berasa dirahmati jika dikurniakan anak lagi di masa depan.

Katanya: "Jika berpeluang melahirkan anak lagi di masa depan, saya akan berasa dirahmati. Namun sekarang ini saya hanya mahu memberi tumpuan kepada Max dan Emme."

Lopez juga mengakui dia mungkin mengambil anak angkat selepas melalui pengalaman berlakon dalam filem terbaharunya, What To Expect When You're Expecting.

"Filem tentang pengambilan anak angkat itu membuatkan saya terbuka hati pula untuk mengambil anak angkat," akuinya lagi.

sumber

Enggan bicara isu kesihatan


BARANGKALI tahun 2012 merupakan tahun cerah Zizan Razak atau nama sebenarnya Mohd. Razizan Abd. Razak, 28. Mana tidaknya, tidak cukup menggondol pelbagai anugerah dan trofi, Zizan tidak lekang dihujani tawaran daripada semua sisi.

Sesungguhnya kuasa populariti memainkan peranan sendiri walau tidak terhegeh-hegeh mencari atau memburu peluang. Adapun begitu, nilai sesebuah populariti yang merencanakan kepadatan waktu untuk diri sendiri mampu mengundang padah untuk diri sendiri.

Buktinya, pada 30 April lalu Zizan dikejarkan ke Pusat Perubatan Pantai, Bangsar, Kuala Lumpur pada pukul 2.30 pagi hari Ahad kerana dilaporkan mengalami keradangan otot.

Ketika itu, Zizan dikatakan dalam perjalanan menuju ke Ipoh, Perak bagi menjayakan rancangan Melodi yang bersiaran secara langsung di TV3 pada pukul 12.30 tengah hari, hari yang sama.

Adakah kerana terlalu penat dan terbeban dengan tugasan sebagai anak seni apabila diri laris menjadi rebutan ramai pihak? Jawab Zizan, tawaran yang singgah adalah rezeki baginya yang masih menganggap dirinya masih hijau dalam industri.

"Banyak yang sudah dipilih-pilih dan saya bukan jenis yang suka ambil semua tawaran yang datang tanpa usul periksa, kadang-kadang kerja yang saya terima itu ditawarkan sejak tahun lepas lagi.

"Mahu tak mahu kena buat sebab sudah berjanji. Saya menilai semua tawaran atau kerja yang sedang saya lakukan adalah rezeki dari Allah dan tiada masalah bagi saya," ujarnya secara diplomatik.

Tambahnya, kini kesihatannya beransur baik dan sudah boleh melakukan kerja seperti sedia kala cuma perlu dibataskan beban tugasnya.

"Insya-Allah saya akan mengambil cuti tidak lama lagi untuk berehat seketika dan akan kembali menjalankan tugas-tugas yang terbengkalai," ujarnya yang enggan membicarakan lebih lanjut akan hal kesihatannya.

Dia kini yang kelihatan lebih sensitif terutama isu yang berkaitan kondisi tubuh badannya sebenarnya enggan menimbulkan perasaan risau dalam kalangan peminatnya.

Malah, dia turut merasa bersalah kerana tidak dapat memberikan persembahan terbaik dalam kerjayanya seperti sediakala.

Zizan yang baru keluar daripada wad seminggu lalu sudah memulakan kembali sesi penggambaran filem Tokan yang tertangguh lebih seminggu ketika dia ditahan di wad.

Selain Tokan, kebanyakan tawaran yang diterimanya sebelum ini tanpa melalui perjanjian terpaksa ditolak buat masa sekarang atas nasihat doktor yang menyuruhnya berehat sekurang-kurangnya dua bulan.

Kejang belakang

Kesihatan Zizan mula merudum ketika dia menjalani penggambaran filem KL Zombie yang dikatakan terlampau lasak serta sentiasa dikelilingi debu dan sejak itu dia dilaporkan mulai batuk.

Selepas majlis Anugerah Bintang Popular di Genting Highlands, Pahang, Zizan kembali ke set penggambaran filem itu dan melunaskan baki wataknya. Pada waktu yang sama dia berulang-alik ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

Namun, keadaan bertambah buruk apabila dia mulai sesak-sesak nafas, batuk berkahak serta tidak boleh tidur.

Ketika dalam perjalanan ke tapak Melodi di Ipoh, Perak, dia mengadu kejang otot di bahagian belakangnya dan setelah dikejarkan ke pusat perubatan terbabit doktor mengesahkan keadaannya masih stabil dan tidak berbahaya.

Buat masa sekarang, Zizan hanya akan menghadiri majlis-majlis ringan dan tidak akan berlakon filem atau telefilem sekitar bulan Mei dan Jun.

Cuma disebabkan syarat perjanjian dalam kontrak bersama Melodi dan Super Spontan, Zizan akan terus bersama dalam kedua-dua program itu.

Sepanjang tempoh rehatnya, Zizan perlu mengawal pemakanannya dan tidak dibenarkan memakan masakan laut, makanan bergoreng dan perlu mengambil ubat-ubatan khas dua kali sehari.

Dalam pada itu, dia perlu menjalani pemeriksaan darah secara berkala selain berjumpa dengan doktor seperti mana yang ditetapkan.

Zizan terkenal dengan sikapnya yang sukar mengatakan tidak sekiranya mendapat tawaran sama ada berlakon, mengacara mahupun melawak.

Tokan

Zizan yang ditemui ketika penggambaran filem Tokan di Jonker Street, Melaka baru-baru ini terkejut apabila dia ditawarkan watak Mat Lobe dalam karya arahan Ghaz Abu Bakar itu.

"Jarang ada penerbit atau pengarah yang mahukan saya melakonkan watak berbeza daripada realiti diri sebenar, saya sudah melakukan sebaik mungkin dan bertuah kerana digandingkan bersama pelakon-pelakon hebat.

"Insya-Allah saya akan mencari ruang untuk diri saya sendiri cuma saya risau akan penerimaan penonton mengenai peranan dan mesej filem ini," katanya yang diberikan watak serius dan mencabar keupayaannya sebagai seorang yang dianggap kelakar.

Pelakon filem KL Gangster itu bagaimanapun menilai filem Tokan sebagai sebuah filem komedi gelap yang tidak splastik namun masih mengekalkan humor dari sesetengah sudut.

Zizan melakonkan watak Mat Lobe iaitu seorang pengedar dadah daripada keluarga kelas atasan dan bercita-cita menjadi tokan ternama di Malaysia.

Selain Zizan, Tokan turut dibintangi oleh Johan As'ari, Liyana Jasmay, Sofi Jikan, Wan Hanafi Su dan Pekin.

sumber

Isteri Jimmy Shanley Akui Hamil Anak Luar Nikah


Pengacara Jimmy Shanley memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam bahawa isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy mengaku mengandung anak luar nikah dan mengugut mahu menggugurkannya jika kandungan itu benar anak Jimmy.

Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Shanley Norjahan Shah Saleh, 31, berkata, Nursuhaila membuat pengakuan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pada petang 24 Januari 2011 selepas dia menegur isterinya itu, yang didapati masih berjudi.

Jimmy memberi keterangan dalam perbicaraan tuntutan nusyuz dan kembali taat yang difailkan terhadap Nursuhaila pada 3 dan 27 Januari tahun lalu.

Menjawab soalan peguam syarie Mohd Noor Aizan Mohd Idrus, Jimmy berkata, pengakuan Nursuhaila itu adalah salah satu sebab mengapa dia mendakwa isterinya nusyuz.

"SMS isteri berbunyi; Kalau I mengandung pun confirm anak you ke? Ni Mr Jimmy, I dah buanglah anak you tu kalau I mengandung.

"Saya balas SMS dan bertanya anak siapa awak mengandung? Dia jawab; Anak haram. Mampus pi lah anak siapapun. Ada aku kisah," kata Jimmy yang membacakan SMS Nursuhaila di hadapan Hakim Syarie, Saharusin Selamat.

Jimmy antara lain memberitahu sudah banyak kali memberikan nasihat kepada Nursuhaila berhubung perkahwinan mereka.

Malah katanya, Nursuhaila pernah bertindak keluar rumah dan hilang selama 16 hari sebagai protes dengan teguran bapa sendiri mengenai rumah tangga mereka.

Dia juga memberitahu ada menghantar SMS merayu isterinya berubah dan meminta ampun kepada ibu bapa.

Pasangan tersebut diijabkabulkan pada 1 Oktober 2010 di rumah keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh dengan hantaran sebanyak RM31,186 bersempena dengan tarikh lahir Nursuhaila yang jatuh pada 31 Januari 1986.

Sumber: Sinar Harian

Ady tak mahu anak angkat


SUDAH enam tahun pelakon bertubuh sasa, Ady Putra atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim, 31, mendirikan rumah tangga dengan Aida Yusof. Namun sehingga kini mereka belum dikurniakan rezeki anak selepas Aida mengalami keguguran sebanyak empat kali.

Paling mengecewakan pasangan itu apabila isterinya disahkan mengandung kembar tiga tahun lepas, namun kandungannya tidak kuat dan dia sekali lagi mengalami keguguran.

Ramai yang mencadangkan supaya Ady mengambil anak angkat. Mungkin berkat mengambil anak angkat, mereka akan dikurniakan anak kandung selepas itu tetapi Ady menolak. Kenapa Ady menolak untuk mengambil anak angkat?

Ikuti perbualan Kosmo! bersama Ady ketika ditemui selepas persembahan Minggu Setiausaha bersama penyanyi Zahid AF dan Ady Putra yang berlangsung di Hotel Seri Pasific, Kuala Lumpur.

Isteri anda sudah mengalami keguguran sebanyak empat kali. Apakah puncanya isteri anda mengalami keguguran?

Doktor beritahu dia ada penyakit Endometriosis (tisu daripada selaput dalam rahim yang juga disebut endometrium telah tumbuh di luar rahim). Disebabkan itu, kandungannya sukar lekat dengan kuat.

Adakah anda merujuk kepada pakar sakit puan mengenai masalah tersebut?

Kami telah berjumpa dengan beberapa pakar sakit puan. Tetapi setakat ini, ia belum menunjukkan sebarang hasil. Malah, saya juga ada cuba perubatan daripada Arab.

Bagaimana pula dengan perubatan tradisional?

Saya sudah mencuba semuanya, termasuk berubat secara tradisional. Bukan itu sahaja, saya juga ada bawa dia berjumpa pakar bidan dan bawa dia pergi mengurut. Apabila kita bercakap soal anak, ia bukan semudah seperti kita nak buat sebuah kereta. Mungkin belum rezeki untuk kami dapat anak.

Tidak teringin untuk mengambil anak angkat sahaja?

Ramai yang mencadangkan supaya kami mengambil anak angkat. Kata mereka, mungkin berkat saya ambil anak angkat selepas itu saya dikurniakan anak sendiri. Tetapi saya tanya pada diri sendiri mampukah saya menjadi seorang ayah yang bertanggungjawab sebab dia bukan darah daging sendiri. Saya juga takut tidak dapat berlaku adil pada anak angkat itu. Kalau boleh, saya mahu zuriat daripada darah daging sendiri kerana ia boleh menyambung keturunan.

Apakah usaha lain yang dilakukan anda untuk memperoleh anak?

Saya sudah buat solat hajat malah saya dan isteri juga sudah mengerjakan umrah. Kalau Tuhan masih belum mengurniakan anak kepada kita, maka kita tunggu sajalah. Mungkin Dia sudah rancang dan hanya Dia sahaja yang tahu.

Maaf bertanya, disebabkan tiada rezeki anak, tidakkah berlaku sebarang perselisihan faham antara anda dan isteri?

Alhamdulillah, tiada sebarang pertikaian antara saya dan isteri. Tapi, saya tak tahulah perasaan dia macam mana. Cuma, apa yang boleh dilakukan, saya sentiasa tunjukkan kasih sayang saya padanya. Saya tak dapat bayangkan macam mana kalau saya berada di tempat dia. Mungkin saya tak kuat dan tak dapat terima kenyataan. Dia memang seorang yang tabah.

Menyaksikan anda menyanyi pada Minggu Setiausaha di Hotel Seri Pasific baru-baru ini, adakah anda ingin menjadi penyanyi selepas ini?

Saya tak pernah terfikir untuk jadi penyanyi. Saya lebih suka berlakon. Lagu yang saya nyanyikan sewaktu Minggu Setiausaha di Seri Pasific itu sekadar lagu untuk runut bunyi filem Aku Terima Nikahnya dan drama Tentang Dia.

Tidak teringin untuk hasilkan single atau album?

Saya pernah buat album sekitar tahun 2007 yang mana ia memuatkan 10 buah lagu. Buat masa ini saya tak terfikir nak buat single atau album lagi. Cukuplah sekadar menyanyi untuk runut bunyi album atau filem.

Beralih pada soalan lain, apakah projek terbaharu anda?

Sebanyak empat buah filem saya akan keluar pada tahun ini, iaitu filem Langgar, Aku Terima Nikahnya, Hanyut dan KL Gangster 2. Saya juga telah dilantik sebagai ikon Rempit United dan juga ikon umrah haji untuk Triways Hujjaj International Services Sdn. Bhd.

sumber

Kualiti Ziana Zain


TANGGAL 2 Mei lalu, genap 44 tahun usia penyanyi, pelakon dan model terkenal Ziana Zain. Bagi meraikan ulang tahun kelahiran Ziana, satu sambutan ringkas telah diadakan bersama peminatnya di Red Box, The Gardens, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Bertemu dengan ibu kepada empat orang anak iaitu Muhammad Aiman, 12, Muhammad Ammar, 9, serta pasangan kembar Muhammad Ariel Armin dan Siti Nour Kaseh Armin Zaharin, 1 tahun 5 bulan, yang kekal jelita itu, ternyata Ziana seorang yang cukup merendah diri berbeza dengan nama besarnya, malah dia cukup suka tertawa.

Bercerita perihal kerjayanya, Ziana antara anak seni yang cukup sukses dan kekal bertahan selepas 21 tahun aktif dalam dunia seni sejak muncul dengan album pertama berjudul Madah Berhelah pada tahun 1991.

Namanya terus harum, malah menjadi semakin mahal dan terus dipuja sehingga sekarang. Rahsianya, mungkin kerana vokalnya yang berbeza dan tidak mempunyai klon yang serupa dengan dirinya.

Tertawa dengan pujian yang diberikan, Ziana mengatakan suara yang dimiliki adalah kurniaan Allah. Vokal setiap penyanyi berbeza-beza dan dia bersyukur kerana vokal serta lagunya diterima peminat.

"Saya sangat bertuah dan bersyukur kerana disayangi peminat sejak muncul dengan album pertama sampai saya sudah ada empat orang anak," tuturnya.

Ditanya bagaimana Ziana menjaga vokalnya, tegasnya, dia mengelak untuk meminum air sejuk dan minuman bergas.

"Pernah ketika mula-mula jadi penyanyi, saya langsung tidak sentuh air sejuk dan bergas kerana bimbang boleh mengganggu kualiti vokal.

"Namun, sekarang suara saya sudah lasak, sesekali minum air sejuk dan bergas apa salahnya. Rugi pula kalau tidak merasa minum air sejuk," katanya yang telah muncul dengan tujuh buah album studio.

Bukan setakat vokal, jelas penyanyi yang pernah bergelar gadis kilang serta pramugari itu lagi, untuk mengekalkan reputasi dan juga kejayaan, dia menjadi dirinya sendiri setiap masa.

"Saya menjadi diri saya yang sebenar iaitu Siti Roziana pada setiap masa, tidak kiralah di rumah, di pentas persembahan dan juga ketika bersama peminat.

"Apabila kita menjadi diri sendiri dan merasakan pekerjaan saya iaitu menyanyi, berlakon dan model sebagai satu tanggungjawab, saya akan melakukan sebaik mungkin dalam semua perkara.

"Tidak perlu meniru atau menjadi orang lain semata-mata mahu dihargai. Paling penting, saya harus jujur dengan orang yang menyayangi saya, iaitu jujur terhadap keluarga dan peminat," luahnya lagi.

Selepas 10 atau 15 tahun akan datang, andai kata Ziana tidak lagi bergerak aktif di pentas nyanyian, beritahunya, dia mahu meninggalkan nama, imej yang bersih serta lagu malar segar buat peminat.

"Saya mahu lagu-lagu saya menjadi motivasi buat orang yang mendengarnya dan juga meninggalkan imej serta semua perkara terbaik yang peminat boleh ingati apabila saya sudah tidak bergelar anak seni lagi nanti," katanya dalam nada serius.

Sambutan ulang tahun

Ziana memang cukup mesra bersama peminatnya. Hal itu dapat dilihat sewaktu sambutan ulang tahunnya, baru-baru ini. Dia memberitahu, hampir saban tahun jika dia tidak bercuti daripada mengandung atau berpantang, pasti ada sahaja sambutan ulang tahun dirancang oleh peminat setianya.

"Jika tiada peminat, tiadalah Ziana Zain hari ini. Jadi, apa salahnya saya meluangkan masa sehari bersama peminat yang tidak putus-putus menyokong saya daripada dahulu sehingga ke hari ini.

"Boleh dikatakan, saya rapat dengan peminat kerana bukan sekali dua perjumpaan seperti ini diadakan, tetapi sudah banyak kali. Memang saya seronok kerana rasa diri dihargai, begitu juga peminat yang merasakan diri mereka dihargai oleh saya," katanya yang berusaha untuk memenuhi undangan setiap peminatnya.

Apabila disoal adakah dia turut meraikan ulang tahun bersama keluarga, Ziana tersenyum lebar. Katanya, sambutan hari ulang tahun bukan satu tradisi dalam keluarganya, tetapi memadai dengan ucapan tanda kasih sayang terutamanya daripada suami tercinta, Armin Zaharin.

"Saya amat pentingkan kad ucapan. Tahun ini saya menerima tiga kad ucapan daripada suami. Bagi saya kad ucapan lebih romantis dan mempunyai nilai nostalgia yang tinggi," katanya yang mempunyai sekotak koleksi kad ucapan daripada suami.

Ditanya antara perkataan daripada suami yang menyentuh hatinya, sambil menitiskan air mata, Ziana memberitahu: "Saya selalu menyakiti hati awak dan membuatkan awak menangis, tetapi awak tetap setia berada di sisi saya. Terima kasih kerana menyayangi saya sebagai suami serta menjadi isteri yang terbaik buat saya."

Ulas Ziana, kad ucapan merupakan barang paling penting berbanding material lain. Ini kerana, dia berpendapat, kad ucapan mampu menghangatkan hubungan kerana ia boleh dibaca berulang kali untuk mengingati saat-saat indah.

"Bukan semua orang boleh meluahkan ucapan sayang di bibir, sebaliknya mereka akan menjadi ikhlas apabila menulis di atas kad," katanya yang turut menerima kad hari lahir daripada dua anaknya iaitu Aiman dan Ammar.

Awet muda

Tampil dengan busana berwarna kuning rekaan Zery Zamry yang merupakan warna tema majlis sambutan hari ulang tahunnya, Ziana kelihatan cukup anggun dan lebih muda daripada usia sebenarnya.

Apabila disoal apa rahsianya mengekalkan awet muda, Ziana memberitahu dia mengikut petua orang tua seperti berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW setiap pagi dan melakukan senaman muka.

"Orang tua kita banyak petua yang baik untuk diamalkan, selain itu saya juga mengambil vitamin untuk mengekalkan kecergasan tubuh. Saya juga banyak mengambil jus buah-buahan setiap hari," katanya yang memberitahu hati yang gembira merupakan kunci kepada awet muda.

Tidak berselindung, Ziana juga mengakui mengambil kolagen dan juga vitamin C untuk mengekalkan kecantikan wajah serta tubuh.

"Sebenarnya sudah lama saya ambil kolagen dan vitamin C dan nampak perubahan yang ketara. Bagaimanapun dengan lambakan produk kolagen serta vitamin C hari ini, saya risau ada pengguna yang tersalah pilih produk.

"Sebelum saya mengambil sesuatu produk, saya akan kaji dan bertanyakan kemusykilan kepada doktor yang bertauliah. Bagi saya tidak ada salahnya mengambil kolagen dan vitamin C untuk kesihatan," ujarnya yang mengambil produk tersebut dalam bentuk serbuk.

Disebabkan terlalu ramai peminat yang sering bertanya tentang rahsia kecantikannya, Ziana mengambil keputusan untuk mengeluarkan produk kesihatan atas jenamanya sendiri, selewat-lewatnya pada hujung tahun ini.

"Apabila ramai yang bertanya tentang rahsia kecantikan, saya terfikir untuk mengeluarkan produk kesihatan sendiri. Bagi saya, produk yang bakal dikeluarkan ini merupakan salah satu cara saya berkongsi rahsia dengan peminat.

"Sebelum menjual produk kesihatan, saya telah mencubanya sendiri untuk tiga bulan dan melihat hasilnya yang memuaskan baru saya yakin untuk menjualnya. Harganya tidak mahal dan boleh dibeli oleh pelbagai lapisan masyarakat," ulas Ziana mengenai perancangan menjual produk jenama sendirinya itu.

sumber

Neelofa








sumber

Bob Kuman yang telah kembali ke rahmatullah


Dalam kenangan... Al-fatihah buat Bob Kuman yang telah kembali ke rahmatullah pada 4.38 petang tadi.

sumber

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)