Ady tak mahu anak angkat


SUDAH enam tahun pelakon bertubuh sasa, Ady Putra atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim, 31, mendirikan rumah tangga dengan Aida Yusof. Namun sehingga kini mereka belum dikurniakan rezeki anak selepas Aida mengalami keguguran sebanyak empat kali.

Paling mengecewakan pasangan itu apabila isterinya disahkan mengandung kembar tiga tahun lepas, namun kandungannya tidak kuat dan dia sekali lagi mengalami keguguran.

Ramai yang mencadangkan supaya Ady mengambil anak angkat. Mungkin berkat mengambil anak angkat, mereka akan dikurniakan anak kandung selepas itu tetapi Ady menolak. Kenapa Ady menolak untuk mengambil anak angkat?

Ikuti perbualan Kosmo! bersama Ady ketika ditemui selepas persembahan Minggu Setiausaha bersama penyanyi Zahid AF dan Ady Putra yang berlangsung di Hotel Seri Pasific, Kuala Lumpur.

Isteri anda sudah mengalami keguguran sebanyak empat kali. Apakah puncanya isteri anda mengalami keguguran?

Doktor beritahu dia ada penyakit Endometriosis (tisu daripada selaput dalam rahim yang juga disebut endometrium telah tumbuh di luar rahim). Disebabkan itu, kandungannya sukar lekat dengan kuat.

Adakah anda merujuk kepada pakar sakit puan mengenai masalah tersebut?

Kami telah berjumpa dengan beberapa pakar sakit puan. Tetapi setakat ini, ia belum menunjukkan sebarang hasil. Malah, saya juga ada cuba perubatan daripada Arab.

Bagaimana pula dengan perubatan tradisional?

Saya sudah mencuba semuanya, termasuk berubat secara tradisional. Bukan itu sahaja, saya juga ada bawa dia berjumpa pakar bidan dan bawa dia pergi mengurut. Apabila kita bercakap soal anak, ia bukan semudah seperti kita nak buat sebuah kereta. Mungkin belum rezeki untuk kami dapat anak.

Tidak teringin untuk mengambil anak angkat sahaja?

Ramai yang mencadangkan supaya kami mengambil anak angkat. Kata mereka, mungkin berkat saya ambil anak angkat selepas itu saya dikurniakan anak sendiri. Tetapi saya tanya pada diri sendiri mampukah saya menjadi seorang ayah yang bertanggungjawab sebab dia bukan darah daging sendiri. Saya juga takut tidak dapat berlaku adil pada anak angkat itu. Kalau boleh, saya mahu zuriat daripada darah daging sendiri kerana ia boleh menyambung keturunan.

Apakah usaha lain yang dilakukan anda untuk memperoleh anak?

Saya sudah buat solat hajat malah saya dan isteri juga sudah mengerjakan umrah. Kalau Tuhan masih belum mengurniakan anak kepada kita, maka kita tunggu sajalah. Mungkin Dia sudah rancang dan hanya Dia sahaja yang tahu.

Maaf bertanya, disebabkan tiada rezeki anak, tidakkah berlaku sebarang perselisihan faham antara anda dan isteri?

Alhamdulillah, tiada sebarang pertikaian antara saya dan isteri. Tapi, saya tak tahulah perasaan dia macam mana. Cuma, apa yang boleh dilakukan, saya sentiasa tunjukkan kasih sayang saya padanya. Saya tak dapat bayangkan macam mana kalau saya berada di tempat dia. Mungkin saya tak kuat dan tak dapat terima kenyataan. Dia memang seorang yang tabah.

Menyaksikan anda menyanyi pada Minggu Setiausaha di Hotel Seri Pasific baru-baru ini, adakah anda ingin menjadi penyanyi selepas ini?

Saya tak pernah terfikir untuk jadi penyanyi. Saya lebih suka berlakon. Lagu yang saya nyanyikan sewaktu Minggu Setiausaha di Seri Pasific itu sekadar lagu untuk runut bunyi filem Aku Terima Nikahnya dan drama Tentang Dia.

Tidak teringin untuk hasilkan single atau album?

Saya pernah buat album sekitar tahun 2007 yang mana ia memuatkan 10 buah lagu. Buat masa ini saya tak terfikir nak buat single atau album lagi. Cukuplah sekadar menyanyi untuk runut bunyi album atau filem.

Beralih pada soalan lain, apakah projek terbaharu anda?

Sebanyak empat buah filem saya akan keluar pada tahun ini, iaitu filem Langgar, Aku Terima Nikahnya, Hanyut dan KL Gangster 2. Saya juga telah dilantik sebagai ikon Rempit United dan juga ikon umrah haji untuk Triways Hujjaj International Services Sdn. Bhd.

sumber

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)