Bisa Lily Poison


NAMA sebenarnya panjang berjela. Nicole Elikolani Valiente Prescovia Scherzinger yang merupakan gadis kacukan Hawaii-Rusia-Filipina hadir mengisi langit populariti Hollywood pada tahun 2001 dengan menganggotai kumpulan Eden's Crush yang lahir menerusi program realiti televisyen, Popstar.

Sisi yang silih berganti, sebaik Eden's Crush muncul dengan single, Get Over Yourself (Goodbye) yang berjaya meraih kedudukan dalam kedudukan Top 10 pada carta Billboard Top 100, dia terus dilamar untuk menjadi vokalis The Black Eyed Peas.

Namun disebabkan ketika itu dia masih mengikat kontrak bersama Eden's Crush, posisi tersebut terpaksa dilepaskan sebelum diserahkan kepada Fergie.

Kerjayanya sebagai vokalis Eden's Crush kemudian berkecai apabila dia mengundur diri dan hanya bergerak solo menggunakan nama pentas Nicole Kea sebelum menganggotai kumpulan Pussycat Dolls pada tahun 2003.

Namun, dia lebih selesa bergerak solo apabila secara rasmi menarik diri daripada kumpulan itu pada tahun 2008.

Tuah badan apabila bakatnya turut dilihat serasi menghiasi kaca televisyen, layar perak dan dunia peragaan.

Kini figura yang dikenali dengan nama komersialnya, Nicole Scherzinger melebarkan pengaruh apabila meraih kepercayaan penerbit filem arus perdana di Hollywood bagi mempamerkan aksi antagonis dalam filem Men in Black 3 yang menjengah pawagam seluruh negara pada hari ini.

Bantuan Led Zeppelin

Bukan mudah tugas Nicole kerana untuk mendalami wataknya sebagai Lily Poison dalam Men in Black 3, dia perlu mendapatkan khidmat nasihat daripada pengarah filem itu, Led Zeppelin.

Katanya bagi merealisasikan watak tersebut, dia menjadikan muzik berat sebagai sumber inspirasi.

"Saya mendengar muzik-muzik gelap selain mendapat tunjuk ajar daripada Led Zeppelin. Akhirnya saya peroleh hala tuju yang diinginkan kerana muzik merupakan sumber inspirasi utama saya.

"Saya banyak belajar daripada jurulatih lakonan dan dia memberikan tip yang gila-gila demi mendalami karakter Lily Poison, anda pasti tidak mahu mendengarnya," katanya bersulam tawa kepada media antarabangsa ketika hadir pada tayangan perdana Men in Black 3 di Los Angeles baru-baru ini.

Nicole turut mengharapkan filem lakonan sulungnya itu menjadi batu asas paling ideal dalam mencorakkan kariernya ke hadapan.

Namun, dia mengakui berdepan sedikit rasa gementar apabila dirinya sentiasa menjadi fokus kamera setiap kali beraksi.

"Sangat menakutkan apabila berada di set penggambaran, lebih senang sebenarnya untuk membuat persembahan di hadapan audiens kerana kita boleh merasai tenaga orang ramai.

"Namun apabila hanya ada anda dan kamera di hadapan dan semuanya hanya memfokuskan anda, terasa sangat canggung.

"Saya membesar dengan pentas teater dan banyak beraksi di atas pentas, ini kali pertama saya melihat diri sendiri di layar besar dan diharapkan semuanya berjalan lancar," ujarnya.

Dalam Men in Black 3 yang kembali menampilkan dua pelakon utamanya iaitu Will Smith (sebagai Ejen J) dan Tommy Lee Jones (Ejen K) menerusi kisah mengenai Ejen J yang kembali pada era 1960-an untuk membantu Ejen K ketika muda (lakonan Josh Brolin) dari[pada serangan makhluk asing itu, Nicole mengakui Will banyak memberikan dorongan buat dirinya apabila berkaitan dengan lakonan.

"Tidak ada satu babak pun menggandingkan saya dengan Will tapi dia menjadi kawan rapat saya dan dia merupakan salah seorang jejaka yang bijaksana yang saya kenali serta banyak memberikan motivasi," puji Nicole.

Salah pakai

Sebagai selebriti gred A, fesyen pemakaian Nicole khususnya dalam khalayak ramai sering menarik perhatian umum.

Kadangkala pakaian yang digayakan mungkin tidak sesuai dengan tempat dan majlis. Hal yang sedemikian terjadi kepada penyanyi lagu Don't Hold Your Breath itu.

Sewaktu Nicole menghadiri tayangan perdana Men in Black 3 di The Odeon Leicester Square, London, England pada 16 Mei lalu dia hampir dilabelkan dengan istilah mangsa fesyen akibat tersalah memakai dres berbelah di paha ketika melangkah pada acara karpet merah majlis tersebut.

Akibatnya, dres berwarna hitam tanpa tali bahu rekaan Cengiz Abazoglu Haute Couture hampir mendedahkan bahagian atas pahanya ketika ditiup angin dan penyanyi itu terpaksa memegang bahagian sisi kiri dan kanan busananya itu bagi mengelakkan kejadian memalukan berlaku.

Dres dramatik seumpama itu pernah digayakan oleh aktres Angelina Jolie ketika majlis Academy Awards 2012 pada Februari lalu hasil rekaan Atelier Versace menggunakan material baldu.

Bagaimanapun, penampilan Nicole pada majlis itu bersama teman lelakinya yang merupakan seorang pelumba kereta formula satu, Lewis Hamilton tetap mencuri tumpuan.

Kekasih

Sebelum ini, pasangan itu dikhabarkan telah berpisah pada penghujung tahun 2011 namun hal itu dinafikan oleh Nicole dan mendedahkan kepada media bahawa dia masih menyayangi teman lelakinya itu.

"Saya masih sayangkan dia dan sukar untuk saya bercerita mengenai hal ini pada masa sekarang. Kami masih bersama," luahnya.

Malah, sebelum sambutan Hari Valentine pada bulan Februari lalu, pasangan itu dikatakan kembali bersama dan perasaan cinta sesama mereka semakin kukuh.

Penyanyi itu menambah dia masih bersama kekasihnya itu yang pertama kali bertemu pada tahun 2007.

"Saya percaya pada cinta seperti gadis-gadis lain dan kita akan sentiasa mencari teman hidup yang serasi sehingga bertemu. Buat masa sekarang kami belum ada perancangan untuk berkahwin dalam tempoh terdekat," ujarnya.

sumber

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)