Elfira Loy nafi berlagak


UMURNYA baru mencecah 18 tahun, namun masa depan Nurul Elfira Loy atau Elfira Loy dalam bidang seni tanah air dilihat semakin cerah.

Bersandarkan raut wajah manis serta keningnya yang terukir rapi, tawaran berlakon yang menanti gadis berjiwa kental ini datang mencurah-curah hari demi hari.

Namun sebagai seorang anak seni, dia tidak dapat lari daripada asam garam dunia glamor yang penuh ranjau ini. Terbaru, dia ditohmah sudah mula berlagak!

Bukan setakat itu, gadis kecil molek ini turut dikatakan gemar menunjuk-nunjuk barangan berjenama yang dimilikinya sehinggakan ada yang mengatakan dia alergi dengan barangan tidak berjenama.

Tidak mudah melenting, Elfira membalas kembali dakwaan tersebut. Katanya, jika benar sekalipun dakwaan tersebut, ia adalah untuk kepuasan diri dan yang paling penting, datang daripada hasil titik peluhnya sendiri.

Ikuti temu bual dengan heroin telefilem popular, Biar Mimpi Sampai ke Bintang yang sedang mengemas rumah ketika dihubungi Kosmo! pagi semalam.

Timbul satu perkhabaran yang mengatakan anda sudah mula pandai berlagak. Benarkah kenyataan ini?

ELFIRA: Saya sebenarnya sedikit hairan bagaimana perkara sebegini boleh timbul sedangkan setahu saya, sifat suka menggedik dan berlagak tidak pernah wujud dalam diri saya. Mereka yang mengenali saya semuanya mengetahui bahawa saya bukanlah jenis yang terlalu terbuka dengan orang yang tidak dikenali. Bagaimanapun, jika saya sudah percaya dan selesa dengan seseorang itu, barulah saya menjadi peramah. Jadi, dari mana datangnya sifat berlagak itu pula?

Bagaimana pula dengan dakwaan yang mengatakan sifat anda yang gedik?

Bagaimana orang boleh melabel saya sebagai gedik? Bila pula mereka melihat saya berperangai sedemikian? Jujur saya cakapkan, saya jarang keluar bersosial di tempat-tempat awam tanpa kehadiran ibu saya. Jadi, jika saya jarang berada di khalayak ramai, bagaimana pula mereka boleh melihat saya gedik? Saya sendiri tidak faham kenapa isu ini dibangkitkan.

Berdasarkan apa yang ditulis dalam sebuah akhbar, anda dikatakan gemar menunjuk-nunjuk barangan berjenama yang anda miliki. Adakah benar dakwaan tersebut?

Pada saya, kita tidak perlu untuk bercerita mengenai barangan tersebut kerana jika betul ia berjenama, orang lain pasti akan perasan sendiri. Lagipun tiada sebab untuk saya menghebah-hebahkan perkara tersebut kecuali ditanya mengenainya. Kalau ada orang bertanya, mestilah kita perlu menjawabnya. Namun untuk pengetahuan semua, saya tidak terlalu memilih sama ada sesuatu barangan itu berjenama atau tidak, yang penting saya selesa memakainya.

Jadi benarlah Elfira memang gemar membeli barangan berjenama?

Memang tidak dinafikan kadangkala saya ada membeli barangan yang berjenama seperti kasut dan beg tangan. Namun semua itu dibeli untuk kepuasan diri saya sendiri. Barangan tersebut lazimnya berkualiti tinggi serta tahan lama. Oleh itu, ia juga boleh dianggap sebagai satu pelaburan jangka panjang. Kasut yang dibeli pada tahun ini mungkin boleh digunakan untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Pada usia yang masih muda, adakah sukar untuk mengawal kehendak untuk membeli barangan berjenama?

Saya sudah mula bekerja sejak berusia 12 tahun jadi saya tahu bertapa susahnya untuk mencari duit sendiri. Oleh sebab itu, saya sentiasa mengawal perbelanjaan dan tidak terlalu mengikut nafsu. Jika saya benar-benar inginkan sesuatu, saya akan berusaha mengumpul duit untuk mendapatkannya terutamanya jika barangan tersebut mahal dan berjenama. Saya tidak dapat melihat di mana silapnya kerana saya berbelanja dengan menggunakan hasil titik peluh saya sendiri.

Bagaimana anda mengawal perbelanjaan?

Ke mana-mana saya pergi, ibu saya sentiasa berada di sisi. Ibu yang banyak membantu menguruskan pendapatan saya. Setiap kali mendapat bayaran, saya dan ibu akan membahagi-bahagikan wang tersebut mengikut keperluan. Ada yang digunakan untuk membeli kelengkapan untuk berlakon, pembelajaran dan kegunaan seharian. Untuk berseronok pula, saya lebih gemar menghabiskan wang untuk keluarga.

Rezeki anda dalam bidang lakonan dilihat semakin melimpah-ruah, jadi apakah perkembangan terbaharu dalam kerjaya anda?

Alhamdulillah, saya semakin mendapat kepercayaan untuk melakonkan watak-watak yang lebih besar berbanding watak kanak-kanak sebelum ini. InsyaAllah dalam bulan Oktober nanti, drama terbaharu saya, Dalam Hati Ada Taman akan ditayangkan. Selain itu, saya juga akan terlibat dengan dua produksi filem yang bakal memulakan penggambaran pada hujung tahun ini.

sumber

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)