Shuib tak sewel


TIDAK dinafikan terdapat sebilangan orang yang berasal dari kampung akan mengalami kejutan budaya apabila berpindah atau berkunjung ke kota-kota besar seperti Kuala Lumpur.

Itulah yang cuba dipaparkan menerusi Man Sewel Datang KL, sebuah filem yang mengisahkan kisah seorang pemuda kampung yang berpeluang datang ke Kuala Lumpur setelah diajak oleh rakannya.

Filem sulung terbitan Work Move Production Sdn. Bhd. turut menampilkan pelawak terkenal iaitu Shuib (Sepahtu) sebagai teraju utama untuk membawakan watak sebagai Man Sewel.

Pengarahnya, Abdul Rahman Adam yang ditemui sewaktu prebiu filem tersebut berkata, dia mengambil risiko dengan mengetengahkan elemen komedi lama dalam filem ketiga arahannya itu.

“Boleh dikatakan kebanyakan adegan yang dipaparkan juga agak klise. Misalnya, pemuda yang tidak mahu dijodohkan dengan gadis pilihan ibunya atau pemuda kampung yang gemar ke tempat-tempat hiburan apabila datang ke bandar.

“Namun, saya percaya filem ini mempunyai kekuatan tersendiri dengan garapan cerita yang menarik serta diperkuatkan lagi dengan adegan-adegan komedi yang mampu mencuit hati penonton,” ujar pengarah berusia 72 tahun itu.

Man Sewel Datang KL mengisahkan tentang Osman atau Man Sewel yang datang ke Kuala Lumpur dan tinggal bersama Salim (Razali Hussain) yang merupakan rakan sekampungnya.

Bagaimanapun, Salim banyak mempengaruhi Man Sewel sepanjang melalui kehidupan di ibu kota. Malah, pemuda kampung tersebut juga sanggup menghabiskan wang setelah berkenalan dengan seorang bekas model iaitu Nadia (Julia Ziegler).

Selain menampilkan Shuib, Razali Hussain dan Julia Ziegler, filem tersebut turut dijayakan beberapa pelakon lain seperti Rosnah Mat Aris, Zaibo, Rafidah Ibrahim dan Siti Sarah Raisuddin.

Mengenai pemilihan Shuib sebagai teraju utama, Abdul Rahman menjelaskan pelawak tersebut mempunyai kekuatan dan tarikan tersendiri untuk membawakan watak sebagai Man Sewel.

“Walaupun baru pertama kali berlakon di layar perak, tetapi saya sangat berpuas hati dengan lakonannya. Cuma sesekali saya ada memberi sedikit teguran apabila melakukan banyak addlip dan terlupa skrip.

“Sebenarnya saya agak kagum dengan lakonan Siti Sarah dalam filem ini. Biarpun dia lebih dikenali sebagai penyanyi, namun dia telah menampilkan lakonan yang bagus dan dapat menjiwai watak dengan baik,” ujarnya.

Merupakan filem bergenre komedi ringan, penerbitan Man Sewel Datang KL yang menelan belanja sebanyak RM1.3 juta itu sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia sejak 31 Mei lalu.

Filem sulung

Selaku watak utama dalam filem sulung lakonannya itu, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Mohammad menganggap peluang berlakon dalam filem tersebut memberi banyak pengalaman tentang lakonan di layar perak.

Menurut Shuib, ketika mula-mula menjalani penggambaran, dia tidak yakin dapat membawakan watak Man Sewel dengan berkesan, tetapi berpuas hati setelah menonton filem lakonannya itu.

“Ini merupakan filem sulung saya dan banyak lagi perkara yang harus saya pelajari. Saya akui pada mulanya sukar untuk menjayakan watak ini, tetapi dengan bantuan pengarah saya mula mendapat keyakinan diri.

“Sekarang saya cuma menanti maklum balas daripada penonton. Segala komen yang diberikan saya anggap ia sebagai sesuatu yang positif untuk peningkatan kerjaya sebagai pelakon dan berharap filem ini akan mendapat sambutan,” ujarnya.

Menurutnya, selepas Man Sewel Datang KL terdapat lima buah filem lagi lakonannya yang bakal ditayangkan di pawagam. Tiga daripadanya, menampilkan dia sebagai teraju utama.

Antara filem-filem tersebut seperti Sepah The Movie, Amir dan Lokman Pergi Ke Laut serta Oh Mak Kau (OMK). Dalam filem Mael Lambung dan Tycoon pula, dia membawakan peranan sebagai pelakon pembantu.

sumber

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)