Waktu kejar kualiti


SIFAT sopan dan lemah lembutnya masih menebal. Namun dalam banyak sifat yang ditonjolkan oleh pelakon Diana Danielle sebelum ini, hal yang paling mengesankan, dia kini tampak lebih matang dan tahu diri. Diana yang mesra disapa sebagai D, telah jauh menanggalkan 'pakaian' ala keanak-anakkan.

Dia tersenyum sewaktu ditegur tentang perubahan sifat itu sebelum menjawab: "Setiap orang mempunyai fasa kehidupan tersendiri dan saya telah melalui fasa tersebut sebelum ini.

"Saya akui, jika bercakap dari segi kematangan dalam bekerja, saya mula menjadi matang selepas terbabit dalam filem Magika. Selepas terlibat dengan filem tersebut, saya mahu keluar daripada zon selesa dengan memilih kerja yang lebih mencabar..

"Ia termasuk mengambil kira soal persekitaran dan pergaulan. Semua itu telah membuat saya menjadi matang," ujar D.

Tambah D, dia juga sudah tidak mengejar populariti. Atas alasan tersebut juga, dia tidak kisah jika media massa tidak memainkan cerita tentangnya. Ujarnya, selama beberapa tahun menjadi anak seni, dia juga belajar untuk tidak perlu menonjol diri tanpa sebab atau bercakap tentang perkara yang sama berulang-ulang hanya kerana takut dilupakan khalayak.

Katanya: "Saya sedar saya bukan makin muda. Jadi, saya kena kerja keras dan fokus terhadap apa yang saya lakukan. Sebab itu, saya ambil tawaran seperti berlakon dalam filem Anu Dalam Botol.

"Orang kata kenapa saya perlu terbabit dengan filem kontroversi, tapi saya anggap saya terbabit dalam filem tersebut bukan sebab komersial, tetapi kerana saya mahu mencuba satu karakter yang serius, yang boleh menjadikan saya pelakon lebih baik daripada sebelum ini."

Sebenarnya, gadis berusia 20 tahun itu telah mula terbabit dengan dunia seni seawal usia sembilan tahun sebelum benar-benar tersangkut sebagai pelakon pada usia 14 tahun.

Selama tiga tahun pertama menjadi pelakon, dia mengaku tidak memilih atau menolak watak yang datang. Semua diambil sebagai satu proses pembelajaran, malah akuinya, pada waktu itu juga, ia dianggap sebagai zon selesa.

Namun kini, setiap tawaran yang datang dinilai dengan baik. Dia memilih untuk menjadi selektif bagi meningkatkan kredibiliti selain memberi fokus terhadap filem berbanding drama.

Justeru, saat dia muncul dengan naskhah terkini, Jiwa Taiko yang bakal ditayangkan pada 14 Jun ini, D menampilkan sisi lain terhadap bakat lakonannya.

Memegang watak Trisya, D banyak bermain dengan emosi sehingga lakonan intimnya dengan Remy Ishak sebagai Firman menjadi perbualan hangat selain harus arif tentang seni mempertahankan diri iaitu bersilat.

Mengulas tentang watak Trisya, D memberitahu: "Saya menjalani latihan seni mempertahankan diri selama sebulan, yang saya anggap tidak cukup bagi saya yang tidak mempunyai asas langsung. Tetapi, ia tetap satu pengalaman yang bagus buat saya.

"Tentang aksi lakonan dengan Remy, saya rasa jika orang yang memahami tentang teknik kamera, mereka akan tahu bahawa babak cium saya dengan Remy bukan dilakukan betul-betul. Ia hanya permainan kamera," ujar D yang mengaku lebih senang melakonkan watak romantik berbanding watak aksi.

Selain Jiwa Taiko, tahun ini, D turut menantikan beberapa buah filem untuk ditayangkan termasuklah Hantu Gangster. Untuk tahun hadapan pula, dua naskhah yang benar-benar menguji kredibilitinya, Hanyut dan Azazil bakal ditayangkan.

Ditanya bagaimana dia melihat dirinya dalam bidang seni, D memberitahu dia mempunyai impian yang besar untuk bermain dalam 'padang' lai dunia perfileman.

"Kalau boleh saya mahu terbabit dengan produksi filem luar, untuk filem indie juga tidak mengapa.

"Saya bukan mahu menjadi bintang antarabangsa, tapi mahu mengutip pengalaman yang berbeza kerana saya mengaku, saya cepat bosan dan tidak suka melakukan hal yang sama. Jadi, saya harap saya dapat mencuba benda baharu sebelum orang melupakan saya sebab saya melakukan hal yang sama," ujarnya bersungguh-sungguh.

Menyanyi

Selesa dengan corak kerja yang tidak terlalu padat, kata D, sebab itu dia mahu melunaskan juga impiannya bergelar seorang penyanyi. Bagaimanapun, hal tersebut tidak akan direalisasi dengan segera kerana bimbang hasilnya mengecewakan.

Mengaku dia tidak arif tentang dunia muzik selain mampu menyanyi, D kini memburu barisan komposer yang mampu membimbingnya menjadi penyanyi yang baik selain menghasilkan lagu yang bermutu.

"Saya tak mahu buat lagu asal boleh sebab saya nak sangat jadi penyanyi. Saya boleh tangguhkan hasrat untuk jadi penyanyi sehingga saya dapat material yang berkualiti. Kini saya sedang bekerjasama dengan Anas untuk sebuah single," ujarnya.

Memilih jalur soul, jazz dan blues, kata D dia tidak takut tentang penerimaan yang diketahuinya tidak luas terhadap muzik sebegini. Dia mahu melakukan apa yang disukai dan tidak punya niat untuk bersaing dengan penyanyi sedia ada.

"Cukup sekadar dapat mengisi kebosanan saya yang mungkin tidak bekerja untuk tiga atau empat bulan selepas selesai satu filem. Jika mendapat undangan menyanyi dalam apa-apa majlis pun sudah okey buat saya," katanya lagi.

sumber

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)