Sengketa Anzalna, Neelofa selesai cara baik


PETALING JAYA - Kontroversi yang membabitkan dua pelakon jelita, Nur Anzalna Md. Nasir dan Noor Neelofa Mohd. Noor akhirnya menemui titik noktah apabila Anzalna secara terbuka membuat permohonan maaf kepada Neelofa.

Anzalna, 24, memberitahu, dia mengambil keputusan untuk membuat permohonan maaf terhadap kenyataan yang dibuatnya sebelum ini kerana tidak mahu memanjangkan kontroversi dengan Neelofa, 23.

"Saya minta maaf kepada Neelofa kerana mengeluarkan kenyataan di akhbar pada 10 Jun lalu yang telah menjejaskan diri dan keluarganya. Saya tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk menyokong kenyataan yang dibuat di akhbar tersebut.

"Keputusan ini dibuat setelah mendapat nasihat daripada Seniman dan saya juga tidak mahu permasalahan yang timbul ini terus berpanjangan kerana ia akan mengaibkan lebih ramai orang," katanya pada sidang akhbar yang diatur olah Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) untuk membolehkan kedua-dua pelakon itu bersemuka di sini semalam.

Perbalahan kedua-dua pelakon yang dilahirkan menerusi pertandingan Dewi Remaja 2010/2011 itu bermula apabila Anzalna mendakwa Neelofa pernah membuat ugutan serta menghina keluarganya menerusi laman sosial Facebook atas sebab yang tidak diketahui melalui laporan akhbar berkenaan.

Ekoran laporan akhbar tersebut, Neelofa telah mengambil tindakan undang-undang dengan melantik dua orang peguam bagi mengendalikan kes berkenaan serta menghantar notis tuntutan kepada Anzalna yang meminta pelakon itu memberikan bukti serta penjelasan dalam tempoh tujuh hari mengenai dakwaan tersebut.

sumber

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)