Perang lawan mayat hidup


PELAKON kacak Andrew Lincoln akui tidak pernah pun membaca komik popular yang diketengahkan menjadi siri televisyen menarik, The Walking Dead.

Malah dia terkejut apabila pengarah siri berkenaan, Frank Darabont memujinya kerana memiliki kemampuan tersendiri untuk memukau penonton.

The Walking Dead sebanyak enam episod akan membuat tayangan perdana mulai 5 November ini menerusi FX HD Saluran Astro 726, jam 12 tengah malam.

Andrew atau nama sebenar, Andrew James Clutterbuck, 37, tampil dalam siri itu melalui enam episod dengan memegang watak utama (Rick) seperti mana dalam komik asal.

Dalam siri itu, Andrew beraksi sebagai timbalan sheriff di daerah berkenaan. Dia perlu menghapuskan ancaman yang melanda bandar terbabit.

Kisah bermula apabila Rick tercedera selepas terbabit dalam kejadian tembak-menembak bersama sekumpulan penjenayah di sebuah lebuh raya.

Akibat pertempuran itu, Rick cedera parah di tengkuk lalu dimasukkan ke hospital dalam keadaan koma.

Sebaik saja tersedar, dia mendapati hospital itu tidak dihuni sesiapa. Apa yang dilihatnya adalah dunia sekelilingnya bertukar menjadi sebuah bandar sepi.
Selepas meninggalkan hospital, dia mencari keluarganya dan menyedari ia sudah dikuasai mayat hidup.

Sewaktu mencari mereka, dia terserempak dengan Morgan dan Duane yang mengajarnya cara-cara meneruskan ‘survival’ dalam keadaan sukar. Rick menggunakan pelbagai cara, antaranya menunggang kuda, kereta kebal dan pelbagai senjata api untuk berdepan serangan mayat hidup terbabit.

Sebelum ini, Andrew dikenali sebagai pelakon siri televisyen popular melalui beberapa siri televisyen seperti This Life, Teachers dan Afterlife.

Dalam satu sesi temu ramah bersama wartawan Malaysia menerusi telefon, baru-baru ini, aktor Inggeris itu berkata dia tidak pernah membaca komik popular The Walking Dead sebelum ini. Komik berkenaan diterbitkan dalam edisi hitam putih hasil karya Robert Kirkman dan Tony Moore.

“Tidak, saya langsung tidak tahu apa-apa mengenai komik The Walking Dead diketengahkan Frank untuk menjadi siri televisyen. Memandangkan sudah mengenali Frank sudah lama, saya bertanya kepadanya mengenai komik itu.



“Lalu mereka membawa saya ke kedai buku dan me�nyuruh saya melihat sebuah dinding besar yang memaparkan lakaran komik itu

di ruangan khas sebagai bukti terhadap populariti komik berkenaan,” katanya.
Ditanya mengenai pujian pengarah, Frank yang menganggap Andrew mampu membawa watak Rick dengan baik termasuk kebolehannya menunggang kuda seperti Gary Cooper (pelakon popular koboi handalan) dia hanya ketawa.

“Saya rasa itulah perkara baik mengenai Frank. Tidak tahu kenapa dia memuji saya ke tahap itu. Saya rasa mendapat pendedahan dan pengalaman baru bekerjasama dengannya.

“Saya hanya mahu tonjolkan lakonan terbaik dalam siri berkenaan. Saya rasa beberapa episod dalam The Walking Dead menimbulkan kesan emosi kepada saya.

“Apapun, saya memberi fokus penuh apatah ia pengalaman pertama membunuh mayat hidup. Segala-galanya cuba mencari jalan mendapat�kan hasil terbaik yang menggabungkan semua terbabit menjayakannya,” katanya.

Antara barisan pelakon siri televisyen berkenaan adalah Shane Walsh (Jon Bernthal) dan Lori Grimes (Sarah Wayne Callies).

Darabont, 51, pengarah kelahiran Perancis-Amerika, pernah mengarah filem seperti The Shawshank Redemption lakonan Tim Robbins dan Morgan Freeman dan The Green Mile iaitu novel adaptasi, Stephen King dibintangi Tom Hanks dan Michael Clarke Duncan.

credit:Esme Johari

Alhijrah bukan mahu bersaing


TAK kenal maka tak cinta. Justeru, bagi memastikan penonton menyedari kemunculan TV Alhijrah (TVAH) di arena penyiaran tanah air, tempoh sebulan bermula 1 November ini dijadikan sesi perkenalan stesen baru itu bagi menarik perhatian penonton.

Manakala penyiaran secara penuhnya pula berkuat kuasa pada 1 Disember depan.

Sehubungan itu, penonton berpeluang menyaksikan bagaimana rencah perjalanan program diketengahkan TVAH yang ditubuhkan atas inspirasi bercirikan Islam.

Apapun, pada peringkat awal, siaran bermula dari jam 3 petang hingga jam 12 tengah malam, setiap Isnin hingga Khamis manakala hujung minggu pula iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad lebih awal dari jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam

Menjadi satu stesen TV percuma yang baru, penyiaran�nya berpusat dari Pusat Islam Kuala Lumpur.

Malah, lima transmisi tersedia untuk memancarkan siaran kepada penonton di Lembah Klang, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak.

Siaran ini mencakupi 55 peratus daripada penonton televisyen tempatan. Bagaimanapun, siaran TVAH bersifat menyeluruh.

Bagi golongan Islam, TVAH menjadi sumber ilmu serta maklumat manakala bukan penganut Islam dapat melihat keindahan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir berkata, TVAH mengutamakan kandungan yang memberi manfaat kepada penonton terutama golongan sasar iaitu kanak-kanak, remaja dan golongan muda dan sehubungan itu, program disiarkan pelbagai.

“Namun, ketetapan kandungan siarannya ialah 60 peratus terbitan tempatan manakala 40 peratus lagi dari luar negara. Biarpun masih baru, 30 peratus daripada keseluruhan kandungan program disiarkan adalah terbitan pihak TVAH sendiri.

“TVAH sebaik mungkin menyediakan program yang terbaik untuk masyarakat. Seiring dengan visi menjadi penyiar yang memainkan peranan mendidik, menghibur dan menyatupadukan ummah. Malah, penonton diajak berubah ke arah kebaikan.

“Penubuhan TVAH juga bukanlah untuk bersaing dengan stesen TV sedia ada. Tetapi, kemunculannya sekadar memberi ruang untuk penonton membuat pilihan. Mereka menonton dan menilai setiap program yang disiarkan mengikut cita rasa sendiri.

“Pihak TVAH hanya berusaha menyediakan paparannya. Berminat atau tidak, ia milik penonton. Apa yang pasti, kandungan siaran dimuatkan dengan program seperti drama, filem, ehwal semasa, dokumentari, berita, animasi dan hiburan,” katanya.

Menyentuh soal dana penubuhan TVAH, beliau berkata kerajaan menyalurkan sumber kewangannya. Memandangkan perancangan sudah dibuat dengan teliti dan mengambil kira pelbagai aspek, dana sebanyak RM60 juta dilaburkan untuk penubuhan TVAH.

Pada majlis pelancaran TVAH baru-baru ini, Jamil Khir turut memaklumkan beliau sangat mengalu-alukan pembabitan lebih banyak rumah produksi tempatan menghasilkan program bermutu untuk TVAH.

TVAH diterajui Bukhari Che Muda sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan beliau bukan nama asing dalam dunia penyiaran kerana pernah berkhidmat dengan TV9 sebagai ketua pegawai operasi.

Bukhari berharap penonton tempatan dapat menerima kemunculan TVAH.

Katanya, setakat ini persediaan rapi dan mantap sudah dilakukan untuk menyertai stesen TV lain menyalurkan pelbagai maklumat serta program ilmiah kepada masyarakat.

“Bersandarkan ruang dan peluang yang ada, saya akan memastikan penonton mendapat apa yang mereka mahu. TVAH akan berusaha gigih memberikan yang terbaik dan memenuhi kehendak penonton.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada karyawan dan penggiat seni tanah air yang sudi bekerjasama dengan TVAH bagi menyemarakkan industri penyiaran tanah air. TVAH sentiasa membuka peluang kepada karyawan tempatan menghasilkan produk mereka untuk disiarkan,” katanya.

Untuk permulaan ini antara filem terbaik disediakan TVAH seperti Last Queen of The Earth (Iran), Bila Cinta �Bertasbih (Indonesia), The Memories of Tomorrow (Jepun), Half of Confession (Jepun), Leaps & Bounds (Turki) serta Winky Horse (Belanda).


Semua filem itu pernah mendapat rating tertinggi termasuk memenangi pelbagai anugerah. Apapun, antara program tempatan disediakan ialah siri Alauddin yang pertama kali menggabungkan unsur sejarah Kesultanan Melayu serta penyebaran Islam.

Ia dipersembahkan dalam bentuk imej penjanaan komputer (CGI), kesan khas dan serat kostum.

Drama antarabangsa seperti King Farouq dan Saifullah Khaled Ibn Waleed pula adalah dua siri drama Arab terbaik yang pastinya memancing perhatian penonton.
Tidak ketinggalan, TVAH juga menyiarkan berita konprehensif, dokumentari dalam dan luar negara.

Bagi memenuhi kehendak penonton kanak-kanak pula TVAH akan menayangkan animasi terbaik, Pada Zaman Dahulu yang dihasilkan produksi Les Copaque.

credit:yati

Saya keliru, terkejut


KUALA LUMPUR: “Saya menjadi keliru dan terkejut apabila Aidil dilaporkan pergi ke Mahkamah Tinggi Syariah untuk memfailkan permohonan sulh sedangkan sewaktu pulang untuk memulihkan kembali hubungan baru-baru ini, Aidil menyatakan dia menyayangi saya dan anak.

“Bukan itu saja, dia turut berjanji akan menjaga rumah tangga kami dan memastikan kandungan saya yang baru berusia tiga bulan dalam keadaan baik,” kata dramatis popular, Rita Rudaini Mokhtar, 34, yang kini mengandung anak kedua pasangan itu.

Sewaktu dihubungi, Rita menjelaskan dia sangat sedih dengan tindakan Aidil, (pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Razak, 23), kerana hanya mengetahui perkara itu menerusi akhbar, pagi semalam. “Saya sendiri sayangkan rumah tangga ini dan dia pun sayang. Cuma apabila tersiar berita ini, pada pandangan saya orang pergi ke mahkamah kerana sudah tiada lagi jalan penyelesaian. Perkara ini benar-benar menyebabkan saya keliru dan langsung tidak faham.

“Bukankah permohonan dibuat Aidil itu untuk pasangan yang sudah bercerai. Masalahnya kami masih lagi suami isteri. Setahu saya sebelum meminta kebenarannya untuk menetap di rumah adik saya di Taiping, Perak, buat sementara keadaan kami baik,” kata pelakon yang cukup terkenal menerusi drama bersiri Reflesia itu.

Menurut Rita, hubungan mereka sebelum ini tiada masalah. “Malah, sewaktu kami bertemu sebelum ini, Aidil memohon maaf dan mengakui kesilapannya. Begitu juga dengan saya. Malah, dia sendiri datang menjemput saya pulang ke Kuala Lumpur dan mengambil anak di kampung (Perlis). “Hubungan kami baik seperti sebelum ini. Namun pengakuan dibuat Aidil benar-benar membuatkan saya sedih dan kecewa,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan Aidil ke Mahkamah Tinggi Syariah Seremban bersama seorang peguam bagi memfailkan permohonan sulh (perbincangan) dan hak penjagaan anak.

Menjelaskan lebih lanjut, Rita berkata sejak berita itu disiarkan, Aidil langsung tidak menghubunginya bagi memberikan penjelasan atau menerangkan kedudukan sebenar apa yang telah berlaku.

“Saya hanya mengetahui menerusi teman-teman wartawan bahawa Aidil meminta bantuan mereka bagaimana hendak menyelesaikan masalah ini. Saya tak mampu untuk berkata apa lagi. Masalahnya saya sendiri tidak sihat kerana kandungan baru berusia tiga bulan. Saya tidak tahu apa sebenarnya motif suami berbuat begini,” katanya.

Rita menjelaskan sebelum ini Aidil pernah membuat aduan sama, namun selepas berbaik-baik dan berbincang, suaminya mengakui kesilapan yang dibuat. “Saya fikir tindakan itu diambil suami sewaktu sedang marah. Maklumlah waktu orang tengah marah mereka tidak boleh berfikir dengan matang. Bila sudah berbaik, dia cakap dia silap. Hendak diikutkan antara kami sudah tidak ada apa-apa masalah pun.

“Walaupun ada masalah, semuanya boleh dibawa berbincang antara kami. Apatah lagi sebelum ini apabila ada masalah berlaku kami tidak pernah berfikir sehingga hendak bercerai. Katanya, sebelum ini dia meminta kebenaran Aidil untuk pulang ke rumah adiknya berikutan suaminya kini sibuk kerana perlu menumpukan perhatian pada perlawanan bola sepak dan lebih banyak menghabiskan masa di Negeri Sembilan untuk persediaan menghadapi perlawanan. “Saya tak berapa sihat dan apabila tinggal di rumah adik, mereka boleh tengok-tengokkan saya dan Ryyan (anak),” katanya.

Menurutnya, dia masih sayangkan Aidil, apatah lagi suaminya benar-benar menunjukkan kesungguhan mahu memulihkan hubungan mereka selepas perbincangan, baru-baru ini.

“Saya hairan apabila perkara ini berlaku selepas Aidil pulang bertemu keluarganya. Saya tidak mampu hendak berkata apa lagi, kini terpulanglah kepada Aidil untuk membuat keputusan. Sebagai isteri saya tidak mampu berkata apa. Lagipun pada fikiran saya kami tidak berhadapan dengan apa-apa masalah. Hubungan kami baik,” katanya.

credit: Rudy Imran Shamsudin

Bipasha fobia jet peribadi


HARUS kerap berulang-alik ke sesebuah destinasi dengan kadar segera, aktres Bipasha Basu lebih rela menaiki penerbangan biasa dengan duduk di kelas ekonomi berbanding menaiki jet peribadi yang lebih selesa.

"Saya bersumpah tidak akan menaiki jet peribadi lagi. Saya lebih rela menaiki pesawat biasa dan duduk di kelas ekonomi," katanya.

Ini kerana aktres tersebut mempunyai pengalaman ngeri ketika menaiki jet peribadi yang dianggap lebih kecil dan mudah berhadapan risiko bahaya berbanding pesawat biasa yang lebih besar.

Menurutnya, dia pernah berhadapan dengan insiden mencemaskan lebih sembilan tahun lalu sewaktu menaiki jet peribadi apabila pesawat yang dinaikinya itu dilanda ribut dan akibatnya dia sendiri tercampak dari tempat duduk.

Katanya: "Saya memang seorang yang takut mengembara dengan menaiki pesawat. Lebih-lebih lagi pada musim monsun kerana cuaca menjadi begitu buruk."

Justeru, sewaktu turut serta mempromosi Akrosh, filem terbarunya yang turut menggandingkan dirinya dengan Ajay Devgan dan Akshaye Khanna, yang memerlukan dia menaiki jet peribadi daripada Mumbai ke Nagpur dan Jaipur, Bipasha tetap memilih untuk menaiki pesawat biasa.

Biarpun Ajay dan penerbit Kumar Mangat memujuknya untuk menaiki jet peribadi yang disediakan produksi, dia berkeras untuk menaiki pesawat biasa dan tidak kisah untuk duduk di kelas ekonomi.

Kak Pah mohon maaf


SETELAH beberapa kali melaksanakan umrah sebelum ini, tiada apa yang lebih menggembirakan buat penyanyi tersohor negara, Datuk Sharifah Aini atau Kak Pah apabila berpeluang untuk menunaikan haji pada tahun ini.

Kak Pah ketika ditemui baru-baru ini berkata, dia akan berangkat ke Tanah Suci Mekah bersama jemaah haji yang lain pada 3 November ini. Ujarnya, segala persiapan telah dibuat dan ketika ini dia juga sibuk menghadiri kursus persediaan sebelum melaksanakan rukun Islam yang kelima itu.

“Pada kesempatan ini, saya ingin meminta maaf sekiranya ada berlaku sebarang kesalahan dan kesilapan yang telah dilakukan sebelum ini. Terutama sekali kepada rakan-rakan serta pihak media sekiranya kalau saya pernah melukakan hati anda semua.

“Ini merupakan kali pertama saya melaksanakan ibadah haji dan sudah tentu saya mengharapkan untuk mendapat haji yang mabrur. Semasa berada di sana nanti, saya juga akan ditemani oleh anak saya, Aliff yang sebelum ini sudah empat kali menunaikan haji,” ujarnya.

Ujar Kak Pah lagi, setelah kembali daripada melaksanakan ibadah tersebut, dia juga meminta agar semua pihak tidak menganggap dirinya akan berubah 100 peratus selepas ini. Ujarnya, karier sebagai seorang penyanyi masih akan diteruskan memandangkan ia adalah sumber mata pencariannya.

Bagaimanapun, tiga hari sebelum berangkat ke Tanah Suci Mekah, Kak Pah turut berkesempatan untuk membuat satu persembahan majlis makan malam amal, Malam Juitaku Sayang yang akan diadakan pada 31 Oktober ini. Ia dianjurkan oleh Seri Dewi Production Sdn. Bhd. dan Lima Events Management serta diadakan di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.

Dalam satu sidang media baru-baru ini, Kak Pah memberitahu antara matlamat utama majlis berkenaan dianjurkan adalah untuk mendapatkan sumbangan yang akan diagihkan kepada dua sekolah tahfiz iaitu Madrasah Tahfiz Baitul Mahabbah, Shah Alam dan Darul Uloom Islamiah, Kuala Lumpur.

“Sepatutnya majlis ini diadakan pada 15 Oktober di Dewan Perdana Felda. Namun atas sebab-sebab tertentu, tarikh dah tempat terpaksa diubah. Untuk persembahan tersebut sebanyak 50 buah meja disediakan dengan harga yang berbeza dikenakan iaitu di antara RM350 dan RM450 seorang. Sebarang tempahan, boleh menghubungi talian 019-248 8054 atau 012-933 2373 atau emel ke limeevent@gmail.com.

“Untuk tidak menghampakan peminat yang ingin datang, pihak kami juga turut menawarkan harga serendah RM200 tetapi tidak termasuk makan malam. Alhamdulillah, setakat ini hampir kesemua meja telahpun berjaya dijual dan kebanyakan tempahan bukan sahaja daripada Kuala Lumpur, malah ada juga yang datang dari Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura,” ujarnya.

Menurut Kak Pah, bagi menjayakan majlis tersebut, tetamu juga akan turut dihiburkan dengan penampilan khas artis veteran, Datuk Ahmad Jais dan penyanyi remaja, Syazliana yang akan turut sama-sama membuat persembahan.

“Datuk Ahmad Jais akan menyampaikan lapan buah lagu, manakala Syazliana pula akan menyanyikan enam buah lagu. Sementara itu, saya sendiri akan menyanyikan sebanyak 20 hingga 25 buah lagu pada malam itu.

“Pemilihan lagu-lagu pula dibuat berdasarkan permintaan daripada peminat sendiri. Seboleh-bolehnya saya mahu setiap orang yang hadir pada majlis itu nanti akan berasa puas memandangkan mereka telah mengeluarkan wang yang banyak dan saya tidak mahu mereka rasa tertipu,” jelasnya.

Bagi menjayakan majlis itu nanti, Kak Pah memberitahu dia sendiri telah memperuntukkan kos sebanyak RM150,000 untuk keseluruhan kos majlis amal tersebut. Malah, Kak Pah juga menyasarkan untuk membantu sebanyak 15 buah sekolah yang memerlukan bantuan kewangan dengan

penganjuran majlis-majlis sebegini.

credit: roni.ridwan

Dynas bermasalah hafal skrip


CENGKERANG mutiara yang menghiasi kediaman ibu bapa pelakon jelita, Wan Intan Edrinaz Datuk Wan Mokhtar (Dynas) menjadi tumpuan utama. Bukan sahaja kerana hiasannya yang cantik tetapi bayi kecil yang berada di dalamnya berjaya mencuri perhatian.

Diadakan sempena majlis cukur jambul dan aqiqah puteri sulung milik Dynas dan suaminya, Mohd. Hafizi (Fizy), Khyra Khalyssa kelihatan comel dalam dres kecil labuh berwarna putih. Meriah dengan kedatangan sanak saudara serta sahabat handai, majlis tersebut sepatutnya berlangsung lebih awal.

Namun, disebabkan persediaan yang tidak dapat disiapkan, majlis itu hanya berlangsung pada Sabtu lalu. Kata Dynas: “Sebenarnya majlis ini dirancang pada saat-saat akhir. Jadi, banyak benda yang tidak dapat disiapkan tepat pada masanya. Maka, ia ditunda sehingga minggu ini.”

Dilahirkan pada 24 April lalu, Fizy mengakui anaknya itu memiliki berat yang berlebihan berbanding bayi lain seusianya. Sudah menghampiri usia enam bulan, berat Khyra kini mencecah 6.9 kilogram. Menyukai perasaan menjadi seorang bapa, Fizy memberitahu dia sepatutnya menjadi ayah 10 tahun lalu.

“Kalau saya tahu menjadi ayah begitu menyeronokkan, 10 tahun lalu saya sudah mahu menjadi bapa. Selain belajar menukar lampin, saya juga kini kurang bekerja di luar Kuala Lumpur.

“Saya mahu memastikan saya berada di sisi Khyra sekurang-kurangnya sehingga dia berusia setahun. Lagipun, ibunya sudah mula bekerja sekarang. Jadi saya akan menemani Khyra semasa ibunya sedang bekerja,” kata Fizy.

Pernah keguguran pada tahun lalu, Dynas bagaimanapun menyatakan dia tidak akan memanjakan Khyra disebabkan pengalaman pahit itu. Bagi Dynas, dia seorang yang tegas dalam hal berkaitan kerja atau soal penjagaan keluarga.

“Memang saya lebih berhati-hati kali ini tetapi bukannya dengan memanjakan dia. Ya, dia amat berharga bagi saya dan keluarga tetapi ini tidak bermaksud saya perlu manjakan dia. Saya akan memberikan sepenuh kasih sayang tetapi berpada-pada,” ungkap Dynas.


Sudah bersedia untuk melahirkan anak kedua, Dynas bagaimanapun ingin menunggu Khyra berusia setahun lebih sebelum memulakan perancangan.

Mula bekerja selepas berpantang, Dynas sedang sibuk sebagai pengacara program Si Kecilku Chakk yang bersiaran pada setiap Selasa, pukul 11 pagi di TV3.

Selain daripada itu, dia baru sahaja menghabiskan rakaman drama, Gia yang disiarkan di RTM. Turut terlibat dalam penggambaran siri Awan Dania musim baru, Dynas kini lebih selektif dalam memilih kerjanya.

“Dulu kalau saya bekerja, saya akan pulang sebelum pukul 12 tengah malam. Sekarang, selepas mempunyai anak, saya akan pulang sebelum pukul 10 malam.

“Itu antara perjanjian dengan pihak produksi sebelum saya menerima mana-mana tawaran kerja. Saya juga tidak akan pergi ke luar negeri atau negara untuk penggambaran,” jelasnya lagi.

Bagaikan pelakon baru

Khyra akan dijaga oleh ibu, ibu mertua dan orang gajinya semasa Dynas sibuk bekerja. Namun, dia juga akan mencuri masa untuk menyusukan anaknya yang masih mengambil susu badan itu.

Merindui Khyra ketika mula kembali bekerja, Dynas juga mempunyai masalah untuk menghafal skrip. Tidak dapat memberikan tumpuan, Dynas juga berasa tertekan.

“Keadaan menjadi begitu teruk sehingga saya bertanya kepada orang-orang di sekeliling adakah situasi yang saya hadapi itu normal. Saya tidak boleh fokus dan tidak tahu apa yang berlaku. Semua skrip tidak dapat dihafal bagaikan saya seperti seorang pelakon baru. Namun, kemudian Daphne Iking memberitahu saya bahawa ia adalah benda biasa yang berlaku kepada setiap wanita yang baru bersalin,” kata pelakon berusia 27 tahun itu.

Terkenal dengan jenama fesyen sendiri, DnA Exclusive, Dynas kini lebih memberi perhatian kepada koleksi pakaian ibu yang sedang menyusu anak.

Malah, dia sendiri juga memakai jenamanya pada majlis cukur jambul anaknya itu. Selain itu, dia masih menjual pakaian kasual serta baju untuk ibu mengandung.

“Pakaian saya dijual secara eksklusif. Hanya ada dua atau tiga helai sahaja untuk satu-satu rekaan. Walaupun masih ada menjual pakaian kasual, pakaian ibu menyusu menjadi titik fokus sekarang,” ujarnya.

Menjual pakaiannya di laman web www.dna. com.my, jenama Dynas bagaimanapun akan dijual di pusat membeli-belah The Curve tidak lama lagi.

“Sekarang saya masih berbincang dengan pihak The Curve mengenai rekaan kedai saya kerana mereka mempunyai garis panduan tersendiri.

“Kedai saya akan berada di tingkat satu dan di bahagian luar. Ia lebih berbentuk kios kaca,” tambahnya yang juga terkenal sebagai model.

credit: jessabell

Cecilia Cheung jadi buruan


AKTRES Cecilia Cheung membuktikan bahawa berkahwin dan kemudian menjadi seorang ibu tiada kena mengena dengan kadar populariti yang jatuh merudum. Dalam kes isteri aktor Nicholas Tse yang baru melahirkan anak kedua mereka, Quintus, pada Mei tahun ini pula adalah sebaliknya apabila namanya menjadi rebutan agensi-agensi pengiklanan, selain para pengarah dan penerbit-penerbit filem untuk berkolaborasi dengan mereka.

Khabarnya bayaran untuk khidmat lakonan Cecilia bertambah dua kali ganda selepas dia berkahwin.

Bayaran yang diperoleh daripada hasil pembabitannya dalam iklan pada tahun ini sahaja sudah mencecah HKD20 juta (RM8 juta) dan ia dijangka meningkat lebih banyak selepas dia kembali aktif berlakon filem.

Anak sulung Cecilia dan Nicolas, Lucas juga telah meraih bayaran lumayan apabila dia dan Cecilia ditawarkan oleh pengarah dan pelakon Stephen Chow untuk berlakon dalam filem, The King of Comedy 2. Lucas yang baru berusia tiga tahun itu dikatakan bakal dibayar sebanyak HKD3 kjuta (RM1.2 juta).

Belum hamil, mengaku hamil



PERKAHWINAN selama setahun lebih yang dibina oleh aktres Emelda Rosmila Abdul Hamid atau Mel, 30, bersama aktor, pengacara dan pengkritik bermulut laser Adlin Aman Ramli, 38, pada 22 Mei tahun lalu nampaknya masih lagi dalam angin berbulan madu.

Hanya hidup berdua tanpa kehadiran cahaya mata, Mel yang ditemui baru-baru ini ketika penggambaran tele filem 7 Lagu tidak dapat menyembunyikan keinginannya untuk memperoleh cahaya mata secepat mungkin.

Namun, baru-baru ini timbul desas-desus yang mengatakan dia sedang berbadan dua kerana sekeping foto yang tersebar luas di Internet menunjukkan badannya sedikit berisi daripada biasa.

Jawabnya: “Tidak saya belum mengandung lagi. Sebenarnya itu gambar lama yang diambil pada bulan Mac awal tahun ini ketika sambutan ulang tahun kakak saya, Emylia. Kebetulan saya pakai baju besar dan gambar itu dirakam dari posisi yang menampakkan saya seperti mengandung.”

Tambahnya, sebagai pasangan yang telah berkahwin, impian untuk mempunyai cahaya mata sendiri sentiasa hadir. Namun sehingga kini dia terpaksa akur pada takdir bahawa ia belum berpihak kepadanya lagi.

Bagaimanapun desas-desus kehamilannya yang bertiup kencang membuatkanya menjadi tumpuan peminat dan keluarga yang bertanyakan perkhabaran tentang kehamilannya.

“Saya nak sangat mengandung kerana umur saya pun bukannya muda lagi. Saya juga tidak mengamalkan sebarang perancang keluarga. Kalau boleh esok juga saya nak mengandung (ketawa).

“Memang ramai orang tanya saya macam mana kandungan, puas saya nak terangkan hal yang sebenar. Sampai satu tahap sebab penat sangat nak menjawab tentang isu ini, saya mengaku sahaja saya mengandung.

“Saya tidak kisah orang nak cakap apa, harap-harap saya benar-benar mengandung bila ramai yang cakap saya mengandung kerana cakap-cakap orang itu merupakan satu doa,” katanya lagi.

Mengaku sudah bersedia untuk bergelar ibu, Mel mengatakan hal anak semuanya diserahkan pada Allah. Mungkin kini belum masanya lagi untuk menimang cahaya mata.

“Saya sudah bersedia untuk menjadi ibu. Walaupun belum lagi berkesempatan berasa pengalaman mengandung sejak setahun lalu, buat masa ini saya tidak pergi melakukan sebarang rawatan untuk mendapatkan anak. Tengoklah macam mana nanti.

“Mungkin disebabkan saya terlalu sibuk. Rakan-rakan saya ramai yang beri pelbagai petua untuk dapat anak, termasuklah Diana Rafar yang sedang mengandung sekarang ini.

“Buat masa ini saya cuma mengambil asid folic yang terbukti baik untuk kehamilan dan mengelak risiko keguguran. Saya malas nak fikir sangat tentang hal ini (hamil) kerana nanti saya akan tertekan, tunggu sahajalah rezeki daripada Allah,” balasnya.

Meskipun hidup berdua, kehidupannya dan suami tidak pernah sunyi kerana mempunyai ramai anak buah ditambah dengan keluarga sebelah Adlin yang sangat besar.

“Saya tidak sunyi kerana saya ada anak-anak buah untuk saya beri kasih sayang. Saya juga tengah seronok dengan kerja yang saya lakukan sekarang ini.

“Orang juga cakap jika terlalu sibuk dan tertekan juga menjadi punca pasangan tidak dapat anak. Mungkin selepas ini saya akan pertimbangkan untuk berehat seketika untuk memberi ruang pada diri tetapi tidak buat masa terdekat ini,” katanya.

Pelajar

Mel yang kini menyambung pelajaran Pengajian Luar Kampus, Sarjana Muda Komunikasi Media, Universiti Utara Malaysia (UUM) masih berehat daripada segala kerja seni.

Ini kerana dia sedang sibuk dengan peperiksaan semester pertama yang sedang berjalan.

“Sekarang memang saya tengah sibuk dengan pelajaran dan dalam masa yang sama bekerja sebagai pelakon. Syukur kerana saya tidak perlu ke kampus utama di Sintok, Kedah, cuma dua kali seminggu saya akan menghadiri kuliah di Kuala Lumpur.

“Suasana kelas pun seronok kerana kebanyakan pelajarnya adalah teman artis juga seperti Noh Hujan, Yok Bunkface, Zahid dan Zehra Zamri,” katanya tentang pembelajaran luar kampus yang ditawarkan khas buat penggiat industri hiburan oleh UUM itu.

Merancang untuk menghabiskan pengajiannya dalam tempoh tiga tahun, Mel mengakui agak kekok ketika memulakan kuliahnya kerana sudah lama meninggalkan zaman universiti.

“Dulu masa saya habis belajar pada usia 21 tahun. Sekarang umur sudah 30 tahun nak belajar balik memang agak sukar untuk saya menerimanya selain terpaksa membahagikan masa antara kerja dan keluarga.

“Penat itu memang penat, kerana saya kerja bermula awal pagi sehingga awal pagi keesokan harinya. Balik terus kena buat tugasan yang diberi pensyarah. Tetapi dalam masa yang sama saya seronok kerana semua pelajar yang masuk ke kelas saya merupakan mereka yang benar-benar serius untuk belajar,” tuturnya yang mendapat sokongan penuh daripada Adlin.

credit: haryati

Tetap rapat selepas berpisah


HATINYA tidak pernah terusik jika bekas suaminya berkahwin terlebih dulu, malah pelakon yang digelar `hot mama', Nora Danish, 28, sudah lama menerima hakikat perpisahan mereka.

Walaupun apa yang berlaku dulu cukup menyeksakan hidupnya, pelakon utama filem Jangan Pandang Belakang Congkak 2 dan Cuti Cuti Cinta tidak lagi ambil pusing mengenainya, malah terserahlah pada bekas suami, Rizal Ashram Ramli untuk menentukan siapa gadis pilihan hati. Sama ada pilihannya ialah pelakon, Fasha Sandha atau gadis lain, itu hak Rizal atau lebih dikenali dengan Jejai.

Mengenai dirinya, Nora akui belum bertemu dengan jejaka yang mampu membuka pintu hatinya. Bukan tidak berkawan, malah dirinya punya ramai teman lelaki, tetapi mereka sekadar kawan, tiada hubungan istimewa.

Semakin seksi dan jelita, Nora berkata: "Bohonglah kalau saya katakan saya tidak mahu berkahwin lagi, tetapi jodoh nampaknya belum sampai. Selain melayan kerenah anak, Putera Rayqal Rizal Ashram yang sedang membesar, saya juga kembali sibuk di lokasi penggambaran filem dan drama.

"Saya tidak kisah jika Jejai berkahwin dulu, malah saya sentiasa mendoakan kebahagiaannya. Hubungan kami jadi semakin rapat apabila berpisah. Saya selesa berkawan baik tanpa ada apa-apa ikatan dengan Jejai. Saya lebih mengenali `true colour' Jejai apabila kami berpisah.

"Kami sudah lama terima hakikat antara kami memang tiada jodoh. Usahlah diungkit perkara silam, yang berlaku sudah pun berlalu. Jadi, biarlah kami berkawan baik demi Rayqal. Bagaimanapun, saya mengharapkan Jejai memilih gadis yang sesuai dan paling penting, bakal isterinya dapat menerima Rayqal dengan ikhlas. Jika membenci saya, bagaimana nak terima anak kami?
"Jujurnya, saya memang tiada apa-apa perasaan lagi terhadapnya. Semua kenangan sudah lama saya padamkan dalam diari hidup ini. Apa yang lebih penting, kami tidak mengabaikan tanggungjawab dan memisahkan kasih sayang Rayqal. Anak adalah nyawa kami."

Di sebalik itu, Nora berkata jika bertemu jodoh dalam masa yang terdekat, dirinya tidak mungkin menolak. Dia juga seperti wanita lain mahu berkongsi kasih sayang dan kebahagiaan hakiki dengan lelaki yang bernama suami, apatah lagi usia sudah menginjak 28 tahun.

Tanpa berselindung, Nora akui: "Saya tidak pernah serik mahu berkahwin lagi, malah saya terima jika ada lelaki yang mampu membuka pintu hati saya yang terkunci ini. Apa yang berlaku dulu cukup membuatkan saya tabah dan matang dalam menempuh kehidupan.

"Saya tidak pernah kesal, jauh sekali menyesal apabila bergelar ibu tunggal dalam usia yang muda. Hakikatnya, itulah suratan takdir buat diri saya. Cuma, saya tidak mahu pisang berbuah dua kali. Saya akui sudah lama melangkah dari kehidupan lalu, malah sejak bercerai, saya sudah punya haluan hidup baru.

"Bagaimanapun, saya mahu lebih berhati-hati jika memasuki alam perkahwinan buat kali kedua. Dulu, saya berkahwin atas dasar cinta dan tidak sempat mengenali Jejai dengan lebih rapat apabila kami membuat keputusan untuk berkahwin cepat. Tapi kali ini, saya mahu mengenali pasangan hidup dengan lebih mendalam.

"Saya mahu membuat pilihan yang tepat. Tidak dinafikan ramai lelaki datang menghimpit, tetapi belum ada yang sesuai. Saya tidak mahu berkahwin kerana tekanan. Jika Jejai mahu berkahwin dulu, biarlah. Saya masih lagi mencari dan tidak pernah terdesak untuk berkahwin lain."

Akuinya, dia tidak rasa pernah sunyi walaupun hakikatnya tidak bertemankan seorang suami. Kehidupan sehariannya sentiasa sibuk dengan anak dan kerjaya lakonan yang semakin menjadi-jadi.

"Saya bersyukur memiliki keluarga yang sentiasa memberi semangat, malah bekas ibu bapa mentua dan ipar duai sentiasa mengambil berat mengenai saya dan Rayqal. Saya tidak sempat nak rasa sunyi kerana ada saja aktiviti yang dilakukan. Jika tidak sibuk di lokasi penggambaran, saya sibuk menjaga Rayqal.

"Sudah menjadi kemestian saya akan menghantar Rayqal di rumah datuk dan neneknya setiap hari. Mereka akan kesunyian jika Rayqal tiada. Jika saya sibuk, mereka sendiri akan datang menjemput cucunya.

"Hubungan Rayqal dengan Jejai memang rapat, malah setiap kali melihat Jejai, Rayqal akan mengucapkan kata `sayang daddy' sambil membelai wajah Jejai banyak kali. Kami sentiasa tergelak melihat keletah Rayqal yang kini sudah pandai bercakap.

“Keluarga Jejai terutama ibu bapanya tidak boleh berpisah langsung dengan Rayqal. Mereka seronok melayan Rayqal yang semakin bijak dan aktif," katanya yang kini terpaksa berpisah dengan Rayqal kerana terbabit dengan penggambaran drama bersiri, Putera Katak arahan Adam Hamid di Kuala Terengganu selama enam hari.

Menyentuh mengenai kerjayanya, Nora berkata dia kembali berlakon filem selepas sekian lama tidak muncul di layar perak. Kali terakhir lakonanya dalam filem Gila-Gila Pengantin Popular dan Senario - Pemburu Emas Yamashita kira-kira enam tahun lalu.

"Diam tak diam sudah hampir 10 tahun saya menikmati hidup sebagai anak seni. Saya memulakan kerjaya sebagai model ketika berusia 18 tahun dan detik permulaan sebagai pelakon dalam drama bersiri Puteri selama lima musim.

"Saya akui dulu saya tidak banyak ruang untuk bekerja dengan pengarah lain, melainkan Aziz M Osman kerana terikat dengan drama Puteri dalam jangka masa yang panjang. Selepas berkahwin pula, saya terpaksa mengurangkan aktiviti seni kerana menumpukan perhatian pada rumah tangga. Kini, saya baru terasa dapat menikmati hidup sebagai anak seni apabila kembali aktif, itupun selepas Rayqal semakin membesar,” katanya.

Penat berlakon babak dirasuk

MENGULAS lakonannya dalam filem terbaru, Jangan Pandang Belakang Congkak 2 (JPBC2) yang kini sedang ditayangkan dan seelpas ini pula bakal muncul menerusi filem Cuti Cuti Cinta arahan Ahmad Idham terbitan MIG Production Sdn Bhd, Nora Danish akui seronok berlakon bersama anggota Senario.

“Dua filem itu memberi pengertian buat kerjaya saya. Dua genre yang berbeza, tetapi saya seronok melakonkannya. Dalam filem JPBC2, saya bergandingan dengan Mazlan Pet Pet, Azlee Jaafar, Cat Farish dan Lisa Surihani.

"Mungkin orang lain sukar nak mengikut rentak Mazlan dan Azlee yang dianggap agresif, tetapi saya sudah punya pengalaman bekerja dengan mereka ketika filem Senario - Pemburu Emas Yamashita. Mereka bukan saja berbakat besar, malah layak dianggap penghibur. Ketika pelakon lain semakin layu dek kepenatan sehingga jauh pagi berada di lokasi penggambaran, mereka pula sebaliknya sentiasa menceriakan keadaan.

"Bagaimanapun, saya agak kepenatan apabila melakonkan babak kena rasuk. Saya tidak pernah kena rasuk, jadi saya terpaksa melakukan kajian dalam filem-filem barat, cuma bezanya ia dilakonkan dengan genre komedi. Untuk melaksanakan babak ini, solekan saja mengambil masa hampir dua jam. Saya hampir hilang suara kerana babak rasuk memerlukan suara serak. Ketika proses memasukkan suara, saya hilang suara sekali lagi," katanya.

Selain Nora, Mazlan, Azlee, Lisa Surihani dan Cat Farish, filem JPBC2 yang menemui penonton di pawagam pada 7 Oktober lalu turut menampilkan Bob Kuman, Pie, Ruminah Sidek dan Ebby Yus.

Ia mengisahkan usaha Pak Mor (Azlee) dan Mustika (Lisa) yang cuba membolot harta dan saka peninggalan Pak Sudir (Pie) daripada Punai (Mazlan) serta Asmat (Cat) hingga mendorong mereka menggunakan ilmu hitam. Punai dan Asmat mendapatkan bantuan Wak Ketari (Bob Kuman) bagi menghalang cubaan jahat dan pada masa sama mereka menyimpan perasaan terhadap anak gadis guru mereka, Seha (Nora).

Info Nora

NAMA: Nora Mohd Danish Hanif
NAMA KOMERSIAL: Nora Danish
TARIKH LAHIR: 7 Mac 1982
UMUR: 28 tahun
ZODIAK: Aries
ASAL: Kajang, Selangor
KERJAYA: Model dan pelakon
ANAK: Putera Rayqal Ramli
KOMERSIAL: Sunsilk, Esso, Intimate, Walls Cornetto, Hotlink
DRAMA/TELEMOVIE: Puteri, Arjuna, Celak Pak Andam, Pendekar Lima, Bunian, Gadis Cuci, Salon & Putera Katak
FILEM: Gila-Gila Pengantin Popular, Senario - Pemburu Emas Yamashita, Jangan Pandang Belakang Congkak 2, Cuti Cuti Cinta & Seru
PROGRAM: Bolly 10 (Astro B4U) dan I-Glam (TV9)

credit: Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

Rindu, sunyi dan kehilangan


TIDAK menjadi rahsia lagi mengenai berita penceraian pelakon dan penyampai radio, Raja Azura dengan Adzmin Tan Sri Osman kerana ia sudah dilaporkan oleh semua media utama

Dan kini, selepas hampir tiga minggu bercerai, Raja Azura yang juga dikenali dengan nama di pentas sebagai Kak Engku mengakui betapa hidupnya kini dibelenggu rasa sunyi, rindu dan terasa ‘kehilangan’ selepas bercerai pada 28 September lalu.

Tanpa berselindung, Raja Azura yang lebih dikenali dengan nama pentas sebagai Kak Engku, menegaskan dia bersedia rujuk kalau Adzmin jujur untuk berbuat demikian.

"Ia (penceraian) sekali gus menilai perasaan kami. Adakah perkahwinannya seharusnya diteruskan atau perlu meletakkan titik noktah? Nyata, perceraian ini mematangkan kami. Saya yakin jika jodoh kami panjang, ruang dan harapan memulih serta menyelamatkan rumah tangga masih terbentang luas.

"Peluang rujuk atau berkahwin semula masih terbuka kerana perceraian bukanlah penamat kehidupan. Selagi nyawa dikandung badan, segala-galanya belum selesai. Saya akui jika saya sayangkan seseorang, saya akan menyayanginya sampai mati. Terserah pada Adzmin, saya sentiasa menunggunya,” katanya.

Menurutnya, walaupun sudah tidak ada lagi ikatan suami isteri, hubungan dengan Adzmin masih rapat dan mereka kekal menjadi sahabat yang baik demi anak-anak kami yang masih kecil dan memerlukan perhatian ibu bapa.
"Saya tidak sanggup melihat anak-anak terabai disebabkan perceraian. Mereka tidak pernah tahu apa yang berlaku, malah hingga hari ini mereka tidak pernah diberitahu saya dan Adzmin sudah berpisah. Adzmin melaksanakan tanggungjawabnya sebagai bapa seperti biasa, cuma tidak tinggal sebumbung dengan kami selepas melafazkan talak pada saya.

"Adzmin pulang ke rumah selepas saya keluar bekerja kira-kira jam 5 pagi. Dia masih menidurkan anak-anak sebelum pulang ke rumahnya. Jadi, anak-anak tidak pernah sedar kami sudah berpisah. Kami bukan berlakon, tetapi apa yang dilakukan demi tidak mahu mengganggu dan melukakan perasaan anak-anak. Atas permintaan Adzmin, dia juga mahu ikut serta dalam apa saja majlis keluarga atau percutian," katanya.

Mengakui sangat kecewa dengan apa yang berlaku tetapi keputusan amat berat terpaksa dilakukan kerana dia tidak sanggup untuk berkongsi kasih dengan ‘orang ketiga’.

Kak Engku, 38, dan Adzmin Tan Sri Osman, 37, yang dikurniakan tiga cahaya mata, Megat Muhammad Raziq, 7, Megat Luqman Hakim, 6, dan Puteri Mia Maizura, 4, bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, Selangor pada 28 September lalu. Ia dilakukan dalam prosiding tertutup atas permintaan mereka.

"Saya buntu seketika. Rumah tangga kami sudah bergolak sejak tujuh tahun lalu tetapi saya masih berusaha mempertahankannya. Bagaimanapun, saya hanya manusia biasa, tahap kesabaran saya ada batasannya. Apabila bekas suami tidak mampu bersikap jujur, saya tekad memfailkan perceraian. Ruang sudah diberikan, tetapi perselisihan antara kami tidak mampu diselesaikan.

"Tidak guna memaksa hati dan perasaannya. Saya punya perasaan, saya tidak rela berkongsi apa yang dimiliki dengan orang lain. Bagaimanapun, saya sentiasa memaafkannya walaupun hati dan perasaan saya terluka dalam.

“Apapun yang dilakukan pintu hati saya sentiasa terbuka untuknya, tetapi Adzmin perlu berubah. Kembalikan kepercayaan saya. Ambillah masa selama manapun, saya dan anak-anak sentiasa menanti kehadirannya dalam hidup kami,” katanya.

Kak Engku juga menegaskan, kasih dan sayang serta kesetiaan pada suaminya memang tidak berbelah bagi kerana selama sembilan tahun mendirikan rumah tangga, hanya Adzmin saja lelaki yang sentiasa bertakhta di hatinya.

Mungkin lama memendam rasa, Kak Engku kelihatan cengkung tetapi masih mampu berlawak, satu sifat semula jadi yang ada pada dirinya.

Kak Engku berkata, bekas suami memang ada memintanya memberikan ruang untuknya memperbaiki kekurangan diri tetapi dia tidak mahu pisang berbuah dua kali apabila perkara sama berulang.

"Kami tidak bersengketa malah sepanjang perkahwinan Adzmin tidak pernah bergaduh, meninggikan suara dan mengangkat tangannya pada saya. Cuma perselisahan antara kami tiada mampu diselesaikan melainkan dipulihkan dengan perceraian. Rumah tangga mana tidak bergelora, tetapi kami bercerai secara aman, selain berusaha mencari jalan penyelesaian selama tiga bulan tempoh edah.

“Saya tahu Adzmin sendiri pun memang sangat berat hati mahu melafazkan talak tetapi terpaksa mengikut permintaan. Saya percaya perceraian bukan bermakna rumah tangga kami tidak dapat diselamatkan lagi. Pemimpin, ulamak, orang kenamaan dan artis juga bercerai,” katanya

credit: rajamawar

Luaran saja dingin



Zulhuzaimy memang bijak berkata-kata kalau kena gaya

SUKAR didekati, sombong dan dingin serta bersikap acuh tak acuh. Itulah karektor Zulhuzaimy Marzuki yang menimbulkan rungutan kepada peminat, mahupun orang media yang hendak menemubualnya

Dari hujung talian, Zul seperti tidak berminat menjawab soalan yang diajukan. Sepuluh patah perkataan yang ditanya, hanya sepatah dua yang dijawab. Ini sedikit sebanyak mempengaruhi pertemuan di majlis pengumuman 12 pasangan finalis Mari Menari serta pengumuman tenaga penasihat yang terdiri daripada Erra Fazira, Lisdawati, Ferhad dan dirinya.

Kesempatan untuk mendekati Zul dan menemuramah lelaki berusia 32 tahun tidak dilepaskan kerana bukan mudah melihat dia muncul di khalayak ramai. Lebih-lebih lagi kalau acara atau majlis itu tidak berkaitan dengannya.

Soalan pertama yang diajukan sebaik saja pelakon itu melabuhkan punggung di kerusi empuk di sebuah kelab di tengah-tengah segi tiga emas Kuala Lumpur tentu sekali mengenai sikapnya yang dikatakan ‘kekwat’ atau sombong.

Namun Zul bertanya kembali apa maksud perkataan ‘kekwat’, seraya mengeluarkan falsafah berbahasa Inggeris, katanya, untuk mengenali seseorang itu, kita perlu masuk ke dalam kasutnya.
Tutur itu bagaikan salam perkenalan selepas beberapa ketika berbual dengannya. Ternyata pelakon yang pernah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem, Anugerah Skrin 2009 itu bukanlah sukar untuk didekati.

Cuma perlu kena cara dan gayanya. Malah, dia yang lebih banyak bercerita sehingga terleka mendengar celotehnya.

Kehebatannya beraksi di depan kamera dan kelincahan bergerak di pentas teater menyebabkan bapa kepada seorang cahaya mata Awal Haziq yang berusia empat tahun itu mendapat kepercayaan menjadi seorang daripada empat tenaga penasihat program terbaru Mari Menari yang akan mula disiarkan pada 16 Oktober ini.

Segala persiapan berdepan tiga pasangan yang bakal berada di bawah jagaannya kini sedang dipersiapkan. Mendengar dia bercerita, menyerlahkan kesungguhan dan keikhlasan pelakon itu terhadap kerjanya.

Sebaik dilamar untuk memikul tanggungjawab dalam program itu, Zul mula membuat persediaan seperti mencari kembali nota yang pernah dipelajari sewaktu menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang sebelum ini dikenali Akademi Seni Kebangsaan atau ASK.

“Jangan kecewa mendapat saya atau penasihat lain hanya disebabkan kami pelakon. Janganlah meletakkan harapan orang setanding Michael Jackson atau Britney Spears untuk membimbing mereka, kerana kami juga ada pengalaman lain yang boleh dikongsikan bersama.

“Saya mahu melihat peserta di bawah bimbingan saya kelak mempunyai jiwa dan raga ketika membuat persembahan. Salah langkah ketika menari bagi saya tidak mengapa, asalkan penonton dapat merasakan gerak tubuh mereka,” kata pelakon itu yang sememangnya berkebolehan menari.

Wawasan Zulhuzaimy untuk program ini cukup besar. Dia mahu menurunkan segala ilmu yang pernah dipelajari ketika menuntut kepada pelajarnya nanti. Sebelum pelajarnya mempelajari lebih lanjut mengenai ilmu tarian, kata Zul, mereka terlebih dulu perlu tahu sejarah dan asal usul tarian. Tidak hanya di dalam negara, tetapi mereka juga perlu tahu sejarah tarian di seluruh dunia.

“Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menari tetapi mereka perlu tahu sejarah. Mereka tak boleh sibuk menghafal langkah tarian tetapi mereka perlu ada jiwa ketika menari.

“Saya akan mengajar mereka bagaimana untuk mengatasi rasa gementar ketika membuat persembahan di hadapan penonton. Juga bagaimana menonjolkan apa yang ada dalam diri mereka. Selain itu mengenai pergerakan, pengurusan pentas dan ruang serta pencahayaan dan juga pergerakan kamera.

“Sejak diundang untuk menjayakan program ini, saya mula buat persiapan rapi. Segala nota yang pernah saya belajar dulu semuanya dikeluarkan balik, saya memang tidak membuang nota yang dipelajari kerana mengikut pesanan pensyarah. Katanya, apa yang kita pelajari jangan dibuang, sebaliknya di simpan kerana kita tak tahu satu hari mungkin kita akan mencarinya kembali,” kata Zul.
Memang ketika menyertai Mari Menari, Zul sendiri bertanya kenapa dia? Sedangkan masih ramai lagi insan lebih berbakat.

Bagaimanapun hatinya terpanggil menerima pelawaan itu kerana berasa tanggungjawab untuk berkongsi ilmu yang dimiliki dengan peserta program realiti baru itu.

Ini bermakna, selepas ini saban minggu wajah Zul akan kelihatan muncul di kaca televisyen. Zul memberitahu, selama ini bukan dia tidak suka tampil ke depan tetapi peluang tidak banyak yang datang kepadanya.

“Bukan saya mengelakkan diri atau tidak suka ke depan. Saya juga memerlukan publisiti tetapi peluang tidak datang kepada saya untuk menonjolkan diri,” katanya

credit:serima

Aaron dijangkiti air kencing tikus


Keadaan terkini semakin baik tetapi masih tidak bermaya

PADA Julai lalu, rakyat negara ini cemas seketika apabila beberapa individu yang terbabit dalam misi mencari mangsa lemas di Hutan Lipur Lubuk Yu, Maran, Pahang, meninggal dunia akibat penyakit Leptospirosis (jangkitan air kencing tikus).

Lalu, apabila pelakon popular, Aaron Aziz, 33, dimasukkan ke Pusat Perubatan Tropicana pada Khamis lalu, tentu sekali peminat aktor dari Singapura ini disalut kebimbangan. Aaron disahkan terkena jangkitan air kencing kucing dan dimasukkan ke hospital berkenaan selama dua malam.

Menurut isterinya, Diyana Halik, pada minggu lalu, Aaron terbabit dalam penggambaran sebuah filem Inggeris di Singapura.

"Dalam filem terbabit, dia beraksi sebagai lelaki harimau yang sudah pastinya membabitkan babak aksi dan lasak di dalam hutan. Ketika dia melakukan babak berkenaan, hujan turun di kawasan penggambaran.

"Apabila pulang ke Kuala Lumpur minggu lalu, badannya panas sehingga mencecah 40 darjah. Pada mulanya kami bimbang dia dijangkiti demam denggi.

"Badannya panas, matanya berair dan sendi-sendinya lemah. Malah, ketika saya membawanya ke hospital, Aaron terpaksa diletakkan di atas kerusi roda kerana badannya memang tidak bermaya," cerita Diyana ketika dihubungi, Selasa lalu.
Doktor kemudian mengesahkan pelakon itu dijangkiti Leptospirosis setelah ujian ke atasnya dijalankan.

Namun wanita itu cukup bersyukur apabila tindakan membawa suaminya segera ke pusat rawatan mengelakkan keadaan lebih buruk berlaku ke atasnya.

"Di hospital, Aaron menerima suntikan antibiotik, sampel darah dan air kencingnya diambil, malah badannya dimasukkan air. Selama dua malam Aaron diletakkan di bawah pengawasan doktor di pusat rawatan berkenaan," ujar Diyana.

Ketika dihubungi, Diyana turut memaklumkan keadaan suaminya bertambah baik, bagaimanapun dia masih lagi perlu mengambil antibiotik.

"Saya minta maaf sebab Aaron masih lagi tidur. Dia juga dinasihatkan banyak berehat.

“Maklumlah, sejak akhir-akhir ini, dia bekerja tidak tentu masa. Apabila kejadian seperti ini berlaku, inilah juga masanya untuk dia berehat," katanya.

Sejak beberapa minggu lalu, Aaron berulang alik antara Singapura dan Kuala Lumpur untuk menjalani penggambaran filem berkenaan. Dia ialah satu-satunya pelakon Melayu dalam filem cereka yang dikatakan diterbitkan sebuah syarikat antarabangsa.

Akibat jangkitan berkenaan, pelakon Habil Qabil kini direhatkan seketika daripada projek terbabit, sebelum dia benar-benar sembuh untuk menyambung baki dua hari lagi penggambaran

credit:nurul

Shahz Jaszle Tak Minat Wanita Melayu


"Bukan saya tak suka tapi susah bila bercinta dengan wanita Melayu. Pengalaman sebelum ini buatkan saya takut dekati mereka.

"Saya pernah ada teman wanita Melayu tapi saya kena control sampai susah untuk saya libatkan diri dengan industri kerana cemburu yang melampau. Saya baru 21 tahun tapi dia asyik paksa untuk berkahwin," ujar pelakon baru, Shahz Jaszle yang dikenali melalui Tari Tirana.

Kini Shahz bahagia dengan teman wanita berbangsa Ukraine yang juga seorang model dari United Kingdom. Dikenali melalui kenalannya enam bulan lepas, namun Shahz mengakui tidak tahu ke mana arah tuju hubungan selepas gadis tersebut pulang ke negara asalnya.

"Dia tak berapa fasih berbahasa Inggeris so saya banyak ajar dia berkomunikasi. Sekarang dia sudah balik ke Ukraine tapi sebelum pulang dia suruh saya cari orang lain kerana dia akan menetap terus di sana," ujarnya pasrah.

Cantas Ashraf Muslim?

Biarpun masih mentah dalam industri hiburan, namun Shahz diberi kepercayaan memegang watak utama dalam drama Dari Mata ke Hati walaupun terdapat nama besar seperti Ashraf Muslim yang turut terlibat. Ia menimbulkan persoalan sejauh manakah bakat yang ada dalam diri pelakon ini sehingga berjaya mencantas bakat pelakon yang lebih hebat?

"Pada saya semuanya rezeki. Saya kenal dengan pengarah drama ini dari Tari Tirana lagi. Mungkin dia melihat bakat saya dari situ dan terus menawarkan kepada saya. Dari drama ini juga saya terus mendapat tawaran menjadi duta produk InnerShine Pati Beri," ujar anak kelima daripada tujuh beradik ini.

Dari Mata Ke Hati

Shahz akan muncul dalam drama Dari Mata ke Hati terbitan TV3 yang mengisahkan seorang pengarah muda, Farid, yang sedang mencari sebuah skrip hebat untuk projek seterusnya. Ketika itulah dia ternampak sepasang mata yang telah menawan hatinya. Berjayakah Farid menemui empunya mata tersebut?

Menariknya drama 15 minit ini adalah untuk mencari pemilik mata tersebut melalui Pencarian InnerShine Berry Beautiful Eyes. Drama ini turut membarisi pelakon muda lain seperti Intan Ladyana, Ashraf Muslim dan Sari Yanti.

Bagi mereka yang berminat boleh menghantar penyertaan Pencarian InnerShine "Berry Beautiful Eyes" 2009 yang menawarkan hadiah set barangan kemas berlian tajaan Diamond & Platinum selain berpeluang berlakon bersama Shahz Jaszle, pelakon utama Dari Mata Ke Hati. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web di www.innershinebeauty.com.my atau di talian 1800-88-6226.

Kahwin: Bienda masih berahsia


Penyanyi Bienda mengadakan majlis persandingan perkahwinannya dengan penerbit kanan di Media Prima Berhad, Kamarul Zariman Abdul Rahman di Selayang, Selangor pada Jumaat, 8 Oktober 2010.

Namun penyanyi itu masih ingin berahsia pasal tarikh sebenar dia dan suaminya disatukan. Mengapa Bienda masih tak mahu dedahkan tarikh pernikahan yang dijalankan secara tertutup itu? Adakah benar Bienda sebenarnya sudah lebih setahun bergelar isteri?

"Saya masih belum bersedia untuk memberitahu bilakah saya bernikah. Saya akan mengumumkan apabila tiba masa yang sesuai nanti," kata Bienda kepada media ketika ditemui selepas majlis persandingannya.

Keputusan enggan memberitahu umum pasal tarikh pernikahan membuatkan ada pihak yang tertanya-tanya apa alasan yang bermain di minda pasangan itu. Apatah lagi mereka kini sudah sah sebagai suami isteri dan wajah suaminya juga sudah dikenali.

Si kacak pilihan hati Bienda
Bienda yang berasal dari Tumpat, Kelantan, sebuah daerah yang dipisahkan oleh sungai dengan Selatan Thailand bagaimanapun memberitahu dia bernikah di kampungnya.

Adakah gosip pasal pernikahan rahsia Bienda yang pernah diperkatakan sekitar setahun lalu benar belaka? Bienda mungkin belum sedia menjelaskannya kerana semasa gosip itu diperkatakan dulu, Bienda bersungguh-sungguh menafikannya. Dia perlukan masa untuk memberitahu kebenaran.

Susuk badan Bienda yang dilihat sedikit berisi sejak akhir-akhir ini membuatkan banyak yang membuat andaian Bienda sudah lama bernikah. Namun apa-apapun kena tunggu pengakuan Bienda sendiri. Dia mungkin ada alasan mengapa masih mahu berahsia tarikh pernikahannya.

Pertemuan di lokasi

Bienda atau nama sebenarnya Nur Razlinda Razli, 26, mengenali Zariman atau lebih mesra dipanggil Boy sekitar tiga tahun lalu semasa terlibat dalam penggambaran drama. Pada masa itu boy bekerja sebagai krew filem dengan Skop Productions.

Dalam pertemuan itu Boy memberanikan diri meminta nombor telefon Bienda untuk perbincangan pasal satu produk penjagaan mata.

"Pada 15 April 2007 Boy melamar saya... dia bukan melamar untuk menjadikan saya kekasih dia, sebaliknya mahu menjadikan saya isteri dia," kata anak kepada penyanyi dangdut Sheeda itu lagi.


credit:manggaonline

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)