Aamir Khan jarang mandi

KEDENGARAN agak pelik tetapi memang benar aktor terkenal Bollywood, Aamir Khan sebenarnya jarang mandi. Malah, itulah satu-satunya sikap Aamir yang tidak disukai oleh isterinya yang juga merupakan seorang pengarah dan penerbit filem Kiran Rao.


"Satu-satunya perkara yang saya tidak suka tentang Aamir adalah dia jarang mandi.

"Percayalah, dia tidak mandi dengan kerap," akui isterinya tentang habit suaminya itu.

Menyedari tabiat buruknya itu didedahkan, Aamir cuba berdalih dengan mengatakan: "Saya mandi setiap kali keluar rumah untuk bekerja.


"Saya cuma tidak mandi jika saya tidak keluar rumah atau dalam percutian."

Filem lakonan terbaru Aamir hasil arahan pertama isterinya yang berjudul Dhobi Ghat bakal ditayangkan di India bermula 21 Januari ini.





source

"Biarlah nak cakap apa pun" - Norman Hakim


KISAH pergolakan antara pelakon Abby Abadi dan bekas suaminya, aktor Norman Hakim tidak habis-habis diperkatakan.

Sejak disahkan bercerai pada 18 Disember 2008, selepas mereka berkahwin pada 8 Januari 2002 dan pernah berpisah buat seketika sekitar Mei 2006, Abby, 33, dan Norman, 35, sering terbabit dengan ‘perang’ yang tidak pernah tamat antara mereka berdua.

Punca utama sudah tentu penglibatan orang ketiga antara mereka iaitu pelakon Suhaiza Suhaimi atau lebih dikenali sebagai Memey, 23, yang ditangkap berkhalwat bersama Norman di sebuah bangunan pejabat di Taman Ukay Perdana, Ampang, Kuala Lumpur pada 30 Oktober 2008.

Norman dan Memey bagaimanapun selamat melangsungkan ikatan pertunangan pada Hari Raya Aidilfitri, September tahun lepas dan dijadual melangsungkan perkahwinan pada 8 Januari tahun ini.

Namun, bukan sahaja perkahwinan itu tidak jadi berlangsung pada hari tersebut, tetapi timbul pula isu baru apabila Abby sebelum itu pada tanggal 3 Januari lalu menerusi laman sosial Facebook, Abby Abadi Lurvly Fanpage telah mendedahkan Norman dan Memey seolah-olah tinggal serumah.

Ia terjadi ekoran Abby telah menelefon Norman yang lambat datang untuk menghantar dua anak mereka, Danish Hakim, lapan tahun dan Marisa Dania, enam tahun, untuk ke sekolah pada hari pertama sesi persekolahan 2011 bermula.

Namun dakwa Abby, Memey yang menjawab panggilan telefon itu sebelum meletakkan ganggang telefon selepas Abby mula menunjukkan kemarahannya kerana mendapati Memey berada bersama Norman di kediamannya ketika itu.


Selepas kira-kira dua minggu berlalu, Norman tidak pernah tampil untuk memberi maklum balas mengenai dakwaan dirinya ‘tinggal serumah’ dengan Memey itu. Begitu juga Memey yang diam seribu bahasa.

Kebetulan Norman hadir pada majlis makan malam anjuran butik terkenal, Lord’s Tailor yang diadakan bersempena meraikan penerimaan anugerah Lord’s Tailor Best Brand in Retail-Custom Made Apparel di Hotel Hilton, Kuala Lumpur, kelmarin, terus sahaja aktor bertubuh sasa itu dihampiri. Memey yang dikatakan turut hadir pada majlis tersebut bagaimanapun tidak hadir.

Sambil menghadiahkan sebuah senyuman yang cukup manis, Norman tidak menyangkal kontroversi terbaru membabitkan Abby, Memey dan dirinya itu dan tenang memberikan jawapan bahawa ketika itu dia dan Memey sedang bersarapan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Berikut sedutan temu bual bersama Norman untuk dihakimi sendiri oleh pembaca mengenai kesahihan dakwaan Abby terhadap Norman dan Memey tersebut:

Kosmo!: Kenapa Norman tak pernah tampil untuk menjelaskan isu tersebut selepas Abby mendakwa Norman dan Memey tinggal serumah?

NORMAN: Saya tak komen sebab sibuk dengan macam-macam (hal). Dengan anak orientation (orientasi sekolah) lagi. Lagi pun isu tu macam sengaja (diadakan). Dia sengaja nak highlight (tonjolkan) benda ni. Saya tahu pun lepas keluar dalam media. Saya sibuk sangat-sangat. Lepas hal daftar sekolah, anak saya kena chicken pox (demam campak) pula. Lepas tu (sibuk) dengan penggambaran lagi.


Jadi apa komen Norman mengenai isu itu?

Actually (Sebenarnya) kami keluar breakfast (bersarapan) masa tu. Memang lepas makan tu, saya nak pergi ambil anak untuk daftar sekolah. Mula-mula hantar anak perempuan (Marisa Dania ke sekolah tadika) register (daftar) pagi, kemudian yang lelaki (Danish Hakim) pula sesi petang.


Bila Abby telefon, ketika itu Norman sedang bersarapan di mana? Kenapa lambat pergi ambil anak?

Makan di Wangsa Maju, dekat downtown Seri Rampai. Actually (Sebenarnya) bukan lambat pun, saya memang dah plan (rancang) sebab perlu daftar dua orang anak sesi yang pagi dan petang. Jadi saya ingat nak pergi in between (di tengah-tengah tempoh tempoh masa tersebut), untuk lebih mudah.

Selepas mendapat tahu mengenai isu itu kenapa tidak bagi kenyataan balas untuk menjelaskan kepada peminat?

Pada saya, saya tak nak komen sebab benda ni kalau saya cakap apa-apa takut nanti orang salah tafsir. Actually (Sebenarnya) saya tak tahu pun isu ni. Saya tak sempat nak ikuti. Bila dah keluar baru saya tahu. Benda ni sebenarnya personal sangat-sangat. Saya ada juga tahu melalui Facebook anak-anak sebab link (pautan) dengan Abby. Nothing (tiada) yang surpise (mengejutkan). Tak ada yang menggemparkan sebenarnya. Terlalu personal.

Selepas keluar isu itu, ada tak mana-mana pihak yang kecam Norman? Ada sebarang impak terhadap tawaran lakonan atau penggambaran?

Benda ini personal, tak ada kaitan dengan karier. Kerja urusan kerjalah. Tak boleh campur.


Justeru, apa tindakan Norman sekarang?

Bila keluar isu itu, saya sebenarnya tak tahu macam mana nak react (bertindak balas). Kalau saya ambil apa-apa tindakan nanti, takut jadi ibarat meludah ke langit, akhirnya kena kepada saya semula.

Norman tak takut ke anggapan negatif terhadap Norman dan Memey? Peminat boleh anggap isu tinggal serumah itu betul kerana Norman mendiamkan diri sahaja?

Sebenarnya pada hari saya mendapat tahu tentang hal itu, saya berada di lokasi penggambaran, tak sempat nak over look (ambil tahu). Saya pun tak nak ambil kisah pasal benda ni. Biarlah dia orang nak cakap apa pun.

Perancangan perkahwinan dengan Memey? Jadi ke tidak? Sampai bila nak tangguh?

Memang ke arah itulah. Sebenarnya macam-macam nak kena selesaikan. Macam graf la, naik sedikit demi sedikit. Belum ada special date (tarikh khusus) lagi, but in this year (tetapi dalam tahun ini), 2011.

Apa perkembangan terkini Norman?

Saya sekarang sibuk dengan penggambaran drama Ipar Duai. (Juga) Sibuk dengan urusan anak-anak yang baru bersekolah.


source

Sentuh lelaki kerana skrip


AIR muka dan tutur katanya amat lembut jika diteliti secara dekat. Setiap patah bicara yang terpacul dari mulut pelakon jelita itu melambangkan kematangan dan kebijaksanaannya yang tersendiri serta padat dengan isi.

Mudah untuk diajak berbicara, Nur Fathia Abd. Latiff juga tidak lokek berkongsi kisah kerjaya mahupun peribadi, cuma kadangkala dia akan terdiam sejenak sebelum menjawab pertanyaan. Barangkali mahu menyusun ayat agar kata-kata yang diungkapkan tidak disalah ertikan.

Memiliki tubuh idaman yang diimpikan oleh setiap kaum Hawa iaitu bertubuh langsing dan tinggi lampai, Nur Fathia dilihat tidak perlu bekerja keras untuk membina nama di persada seni.

Berbekalkan pakej itu, namanya kini semakin dikenali meskipun baru membintangi beberapa buah drama TV3 antaranya Nur Kasih yang bertanggungjawab mengangkat namanya ke satu fasa yang lebih tinggi dan diikuti dengan Musang Berjanggut, Dea Sofea, Laila Asyikin dan yang kini sedang hangat ditayangkan, Hani.

Masih mampu mengekalkan rekod tanpa sebarang gosip hangat, Nur Fathia bagaimanapun pernah dikecam di sebuah laman portal kerana dikatakan sering membawa watak berpeluk-pelukan dan bersentuh-sentuhan dengan pelakon lelaki dalam beberapa drama lakonannya.


Tidak terus melatah, pelakon kelahiran Ayer Itam, Pulau Pinang itu tenang mendengar soalan yang diajukan kepadanya sebelum menghela nafas untuk memberi jawapan.

"Pertamanya, saya minta maaf jika ada yang tersinggung dengan perkara itu. Jujurnya itu adalah kehendak skrip dan tidak lebih daripada itu.

"Jika bawa watak suami isteri atau kekasih, skripnya begitulah, tetapi saya tidak akan sesekali bertindak untuk melakonkan babak aksi di ranjang.

"Saya juga tidak akan melakonkan babak berpeluk atau bersentuhan secara berlebih-lebihan," katanya yang meminta agar peminat mengerti tuntutan kerjayanya sebagai seorang pelakon.


Berasal dari keluarga yang menitikberatkan nilai keagamaan yang tinggi dan juga tegas, minat lakonan yang bertakung dalam diri Nur Fathia pada mulanya mendapat tentangan tatkala hasrat hatinya itu dicurahkan kepada kedua-dua ibu bapanya.

Malah pada awalnya ibu bapanya enggan melayan kehendaknya itu kerana mereka lebih senang dia memberi fokus kepada pelajaran terlebih dahulu.

"Namun, lama-kelamaan mereka izinkan juga saya berlakon walaupun tidak sepenuh hati. Dengan pelepasan itu, saya perlu pastikan setiap keputusan peperiksaan saya mestilah baik dan saya tidak mahu kecewakan mereka.

"Sehingga kini, saya akan tanya pendapat mereka setiap kali saya menerima tawaran berlakon," tuturnya.

Memulakan karier lakonan pada usia 19 tahun, Nur Fathia boleh dikatakan sebagai seorang yang bertuah ekoran tawaran berlakon yang tidak pernah putus diraihnya.

"Selepas Hani, saya ada menerima beberapa lagi tawaran lakonan termasuk tawaran sebagai heroin dalam filem terbitan KRU Production. Malangnya, saya terpaksa menolak tawaran tersebut kerana baru sahaja mula semester.

"Kecewanya tidak dapat nak digambarkan. Apa boleh buat, saya tak mahu tangguhkan pembelajaran dan saya mahu habiskannya terlebih dahulu. Itu janji saya," luahnya.

Untuk pengetahuan umum, sejak awal bulan ini, Nur Fathia merupakan seorang penuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang.

Ekoran itu, dia perlu memperlahankan karier lakonannya untuk memberi laluan kepada kuliah serta tugasan yang perlu dilakukan.

"Kuliah saya empat hari seminggu dari Isnin hingga Khamis, jadi hari Jumaat, Sabtu dan Ahad itulah masa saya untuk selit-selitkan dengan aktiviti seni sama ada sesi fotografi atau apa sahaja.

"Saya masih boleh menerima tawaran berlakon dan membuat (iklan) komersial dalam tempoh belajar, tetapi kalau penggambaran itu mengambil masa terlalu panjang, memang saya tidak boleh beri persetujuan. Tak mahulah nanti orang kata saya pentingkan diri sendiri," luahnya serius.

Bakal muncul di layar perak buat pertama kalinya dalam filem Hijab, Nur Fathia yang bergandingan dengan pengarah dan juga penerbit filem itu, Pierre Andre mengakui teruja berbaur bimbang untuk menunggu impak penonton kelak

Puas berbicara tentang kerjaya dan pelajaran, topik perbualan diolah menjurus kepada kisah cinta yang mungkin sedang bertandang di dalam taman hatinya.

Menyambut pertanyaan dengan gelak ketawa, Nur Fathia mengakui sedang rapat dengan seseorang, namun masih belum ada ikatan rasmi yang mengikat mereka berdua.

"Kami tak declare (ikrar) apa-apa, cuma rapat sahaja dan masih lagi dalam proses mengenali hati budi masing-masing. Perkenalan kami baru berusia setahun dan dia merupakan pelajar dan pemain bola sepak di UiTM.

"Umur kami sebaya dan dia adalah kawan baik saya, tetapi kami tidak ada apa-apa (ikatan). Dia memang tempat saya mengadu segala masalah dan kami hanya kawan rapat," katanya sambil tergelak.

Pada masa yang sama, Nur Fathia mengakui dia gemar berkawan dengan ramai orang dan dalam masa yang sama, sedang memerhati calon lelaki yang sesuai untuk menjadi suaminya memandangkan usianya sudah menginjak 24 tahun


source

Fasha dianggap tidak profesional


KUALA LUMPUR – Selepas gambar kontroversinya memakai bikini di Bali, Indonesia tersebar di Facebook dan disiarkan Kosmo!, pelakon popular Fasha Sandha bertindak menghilangkan diri sehingga menimbulkan rasa tidak senang beberapa pihak.

Disebabkan tidak mahu membuat penampilan umum, Fasha membatalkan kehadirannya ke Pertunjukan Fesyen Cheongsam Green anjuran gedung beli-belah The Weld di sini pada saat-saat akhir semalam.

Tindakannya itu menyebabkan pereka terkenal, Hazree Wahid, 29, terpaksa menarik diri daripada majlis itu kerana busana Cheongsam yang dicipta khas untuk diperagakan oleh Fasha tidak dapat dipertontonkan.

Dia kecewa dengan sikap tidak profesional Fasha yang dianggapnya mementingkan diri sendiri.

“Dia (Fasha) sepatutnya menggayakan busana saya yang direka khas mengikut ukuran badan dia tetapi malangnya pada pukul 10 pagi tadi (semalam), dia beritahu tidak dapat hadir kerana ada hal lain.

source

Teka-teki 'adik' Wardina


KLISE perjalanan sebuah program realiti televisyen adalah ia berkisarkan penyingkiran peserta yang kurang menyerlah, manakala yang menonjol akan disimpan sebelum dinobat sebagai juara.

Berbeza dengan format yang diketengahkan oleh produk kecantikan Sunsilk, biar berlandaskan program realiti, mereka mengolahnya dalam bentuk drama bersiri.

Melancarkan siri drama realiti, Gadis Semasa Sunsilk sebanyak 13 episod yang mula disiarkan semalam setiap Selasa, di TV3 pada pukul 6 petang, ia merungkai kisah transformasi seorang gadis biasa yang bakatnya dikesan oleh pihak penerbitan melalui laman YouTube.

Menariknya, identiti 'gadis' tersebut menjadi rahsia. Malah, pada hari pelancaran program tersebut, tunjang utama drama bersiri itu tidak hadir.

Pengurus Jenama Kumpulan Perniagaan Produk Isi Rumah dan Penjagaan Diri Unilever (Malaysia) Holdings Sdn. Bhd. Emily Chong berkata, pihaknya sengaja mengambil pendekatan untuk tidak mendedahkan identiti 'gadis' pada pelancaran tersebut.

Namun katanya: "Dia memang wujud dan merupakan seorang pelajar. Beri dia sedikit masa. Selepas berbincang dengan pakar-pakar, kami merasakan dia amat sesuai untuk memberi inspirasi kepada penonton kerana itulah matlamat Sunsilk."

Lina Tan dari Red Communications Sdn. Bhd. diberi kepercayaan untuk menggarap jalan cerita kehidupan 'gadis' ke kaca TV sementara Bernard Chauly diberi penghormatan untuk mengarah drama berkenaan.



Menurut Lina, dia memperuntukkan masa hampir sebulan untuk mencari gadis sebenar yang menepati kriteria Gadis Semasa Sunsilk di Internet dan akhirnya watak itu ditemui di laman YouTube.

"Di YouTube, ramai yang letak video mereka baik yang hebat menyanyi atau yang sebaliknya. Tetapi saya perlu memilih gadis yang berpotensi selain turut menyentuh cita rasa gadis semasa.

"Kini saya lihat ramai gadis yang lebih cenderung ke arah kecantikan dan muzik gandingan dua ciri tersebut adalah tunjang dalam drama realiti tersebut kerana kita mahu memaparkan kisah yang sebenar berdasarkan situasi sekarang.

"Sungguh tidak disangka, video 'gadis' yang kami pilih itu merekod ratusan ribu hit walaupun tanpa menunjukkan wajah sebenar beliau," katanya yang ditemui pada pelancaran drama tersebut, baru-baru ini.

Bagi Bernard pula, dia mengharapkan drama tersebut akan mendapat sambutan penonton meskipun ia memaparkan watak yang belum pernah ditonton di mana-mana saluran televisyen.

"Ini adalah kali pertama saya mengarahkan drama yang bercorak realiti dan saya akui gembira untuk mengarah drama yang watak utamanya tidak pernah berlakon atau terdedah kepada mana-mana penerbitan lagi," jelasnya.

Tiga orang kuat industri iaitu Ajai selaku pakar vokal, pelakon Wardina Safiyyah sebagai pakar personaliti dan pakar dandanan rambut tempatan, Bambang Soteto pula diberi tanggungjawab membentuk impian 'gadis' dalam Gadis Semasa Sunsilk.

Bagi Ajai pula, selepas melihat 'gadis' itu, dia berpendapat drama tersebut bertujuan untuk memberi platform selain untuk membantu 'gadis' yang dilihat sangat berbakat.

"Kali pertama saya jumpa dia, saya lihat dia mempunyai potensi yang besar dan saya juga pasti dia akan mampu diterima oleh umum," ujarnya yang terkejut didekati oleh Sunsilk pada peringkat awal sebelum mengetahui khidmatnya diperlukan untuk melancarkan perjalanan drama Gadis Semasa Sunsilk.

Wardina yang menyifatkan dia sebagai kakak dalam drama ini berkata 'gadis' itu pada awalnya tidak mendapat persetujuan keluarganya untuk dikomersialkan sebagai seorang yang ikhlas.

"Namun bagi saya, dia sangat ikhlas dan tidak langsung memperlihatkan sisi dirinya yang mahu menjadi bintang terkenal. Dia sangat berbakat dan saya boleh rasa keikhlasan itu. Dia hanya menjadi dirinya sendiri," ujar Wardina.


source

Seo In Young obses kasut tinggi


PENYANYI terkenal Korea, Seo In Young yang dikenali dengan kegilaannya terhadap kasut tumit tinggi mendedahkan dia memiliki kasut setinggi 30 sentimeter ketika dia muncul dalam episod kelapan program Quiz to Change the World baru-baru ini. Malah, kasut itu turut dibawanya ke situ.

Apabila pengacara program itu menyoal adakah benar dia turut memakai kasut dengan tapak yang tinggi di rumah, In Young menganggukkan kepalanya dan berkata: "Saya pakai kasut tinggi ketika memilih pakaian pada waktu pagi. Kasut paling tinggi pernah saya miliki adalah setinggi 30 sentimeter yang dibuat khas."


Pengacara tersebut yang cuba berjalan menggunakan kasut itu bagaimanapun gagal melakukan sebagaimana In Young yang membuktikan bahawa dia sudah terlalu biasa memakai kasut tumit tinggi.

"Saya suka kasut. Ia umpama anak kesayangan saya yang dijaga penuh cermat dan kasih sayang," katanya sambil diiringi hilai tawa penonton.


source

Syamsul, Liyana saling memuji


KATA Liyana Jasmay dan Syamsul Yusof, mereka tidak bercinta. Namun daripada keintiman yang ditunjukkan pada sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini, ia boleh diklasifikasikan sebagai terbit bunga-bunga cinta antara kedua-dua pelakon utama filem Khurafat itu.

Barangkali tempoh penggambaran Khurafat sepanjang 25 hari sudah cukup bagi mereka untuk mencipta kemesraan meskipun ia adalah gandingan pertama mereka.

Tatkala disuakan persoalan kelas hubungan mereka, mereka menafikan sedang menyulam kasih. Apatah lagi menurut gadis 22 tahun itu, dia tidak pernah sekali pun mengenali ‘suaminya’ itu secara rapat sebelum terbabit dengan Khurafat.

“Saya tidak pernah kenal dengan dia (Syamsul) secara rapat dan gandingan pertama bersama dia membuatkan saya berasa kekok. Mungkin sebab sebelum ini kami tidak pernah berkawan dan hanya kenal sebagai rakan artis,” katanya.

Terus-terusan memuji, Liyana turut mengangkat martabat Syamsul sebagai antara bujang terhangat dan pada usia 26 tahun, anak kepada pengarah dan penerbit ternama, Datuk Yusof Haslam itu turut dilihat mempunyai sisi yang matang serta mampu menggalas tanggungjawab dengan baik andai kata bergelar suami kelak.


Bagaimanapun selepas diasak lagi dengan kisah percintaan antara mereka, Liyana sambil ketawa memberitahu, jika boleh, dia ingin berkasih dengan mat saleh.

“Kalau boleh saya nak mat saleh. Apa-apa pun saya kini masih solo. Lainlah kalau sudah ada orang masuk meminang dan pada ketika itu, sudah tentu sudah ada cincin di jari manis saya dan pada waktu itulah saya bukan lagi solo,” sambil menunjukkan jari manisnya.

Tidak mahu lagi mendesak Liyana yang sudah cukup memberikan pengakuan, persoalan cinta dialihkan pula kepada Syamsul untuk pemeriksaan balas.

Ditanya mungkinkah Liyana adalah calon terbaik mengisi hatinya selepas melalui episod duka dengan Diana Danielle, pemuda itu hanya mampu tersenyum sambil memandang si genit yang duduk di sebelah.

“Bagi saya, dia (Liyana) seorang yang gila-gila. Saya seronok bekerja dengan dia, tetapi kami hanya teman biasa.

“Saya juga menginginkan seorang isteri yang tidak tinggal solat serta memahami karier seni saya sekiranya dia bukan dalam bidang yang sama seperti saya,” tutur Syamsul yang kredibilitinya semakin mendapat pengiktirafan banyak pihak.

Kembali kepada realiti ‘hubungan’ mereka dalam Khurafat, Syamsul memberitahu dia gemar untuk bekerja dengan lawan main yang tidak pernah berganding dengannya.

Pertama kali berganding dengan Liyana, Syamsul menyifatkan aktres tersebut sangat komited.

“Dia juga sesuai untuk membawa watak Aishah, iaitu seorang isteri yang bertudung dan saya berpuas hati dengan mutu lakonannya,” katanya yang sudah pernah berganding dengan beberapa pelakon wanita lain seperti Fasha Sandha, Nabila Huda dan Scha Al-Yahya.


Sementara itu, penyandang Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM22), Liyana mengaku gementar pada babak awal membawa watak tersebut apatah lagi ini adalah gandingan pertama kali mereka.

Katanya: “Saya mengambil masa seminggu untuk menyesuaikan diri dengan ‘suami’ saya itu.”

Menurutnya lagi, untuk menjayakan watak sepasang suami isteri, hubungan kimia perlu wujud di antara mereka agar keserasian mudah dicapai.

“Kami berjaya membina kimia semasa di set penggambaran dalam masa seminggu. Namun begitu, saya akui bergelut untuk menyampaikan dialog kerana cara Syamsul berbeza dengan saya, jadi saya perlu berhati-hati sebab takut terikut-ikut dengan cara dia.

source

Nadia nafi seksi

PENAMPILAN wanita berusia 25 tahun ini boleh dikatakan cukup berani kerana tidak kekok mendedahkan sebahagian tubuh badannya. Namun, Nadia Aqilah yang semakin dikenali sebagai seorang pelakon drama dan teater tidak begitu ambil pusing dakwaan itu. Apa yang penting baginya, hasil kerjanya diterima baik oleh umum.

Jika diteliti, sudah banyak produk televisyen yang menampilkan dirinya sebagai pelakon. Antaranya ialah Emil Emelda, Sindarella, Merah Putih dan Tari Tirana.

Selain itu, dia juga pernah bergiat dalam teater Puteri Gunung Ledang The Musical pada tahun 2005 dan P. Ramlee The Musical pada tahun 2008.


Ditemui pada majlis pelancaran album sulungnya, D.I.V.A di Studio Bentley, Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini, Nadia menegaskan bahawa penampilannya tidak begitu seksi seperti dakwaan sesetengah pihak.

“Saya masih menjaga penampilan agar tidak keterlaluan,” tegasnya.

Selanjutnya dia lebih teruja berbicara perihal album sulungnya itu.

Bercita-cita untuk mengadakan konsert solo, penyanyi yang berasal dari Subang Jaya, Selangor ini berasa puas kerana dapat menghasilkan album sulung setelah sekian lama menanti.

Membataskan diri

Hakikatnya, Nadia telah mula melibatkan diri dalam dunia nyanyian sejak berusia 14 tahun lagi.


Ujarnya, dunia lakonan dan persembahan teater juga sedikit sebanyak membataskan dirinya untuk tampil dengan album solo.

“Sebenarnya, saya mula melibatkan diri dengan nyanyian sejak bersekolah lagi. Kini, Lakefront Record selaku label syarikat rakaman yang telah merealisasikan cita-cita saya untuk menghasilkan album.

“Album D.I.V.A menampilkan 10 lagu baru dan lirik hasil karya saya sendiri termasuk bekerjasama dengan komposer Daniel Veerapan.

“Saya berterima kasih kepada pihak label kerana memberi peluang menghasilkan album dan ini merupakan sebuah peluang yang amat saya nantikan,” katanya.

Album itu menampilkan dua buah single iaitu D.I.V.A yang dinyanyikan dalam bahasa Melayu, manakala Free dalam bahasa Inggeris.

Ia mempunyai tujuh lagu dalam bahasa Inggeris dan tiga lagu Melayu termasuk Percaya dan Teman.

“Ramai bertanya kenapa saya tidak menghasilkan lagu dalam bahasa Melayu sepenuhnya. Jujurnya, saya percaya peminat tempatan juga menyukai lagu-lagu bahasa Inggeris

“Selain itu, lagu bahasa Inggeris dalam album saya merupakan idea pihak label dengan harapan supaya dapat menembusi pasaran luar,” katanya yang turut berterima kasih kerana pihak Lakefront Record yang memberi peluang untuk dirinya berkarya melalui penulisan lirik dan penciptaan lagu.

Duet dengan Chrome Cats

Khusus untuk lagu bertajuk Free, Nadia berpeluang berduet dengan penyanyi rap antarabangsa dari Los Angeles,Amerika Syarikat iaitu Chrome Cats. Uniknya, syarikat rakaman naungan Nadio itu turut mempunyai cawangan di Los Angeles.

“Kolaborasi dengan Chrome Cats menerusi lagu Free secara tidak langsung memberi peluang untuk saya memasarkan lagu ke Amerika Syarikat. Realitinya, seni muzik tiada sempadan dan jurang tanpa mengira budaya, bahasa dan negara,” katanya yang yakin dengan pemasaran betul, lagunya bakal berpotensi untuk diminati pendengar dari luar negara.

Berbicara mengenai bidang lakonan pula, Nadia memberitahu dia ingin berehat buat sementara kerana ingin untuk memberikan fokus kepada album. Namun dengan minat berlakon yang semakin menebal dalam dirinya, dia tidak menolak untuk kembali berlakon pada tahun 2011 ini.

“Saya ingin fokus menyanyi dahulu. Selain itu, saya ingin juga menghabiskan pengajian peringkat diploma lanjutan dalam bidang perniagaan di sebuah universiti awam.

“Kebiasaannya pada umur 25 tahun, ramai yang telah memperolehi diploma atau ijazah. Namun tahun depan saya yakin dapat memperolehi diploma,” ujarnya yang menyusun satu persatu hala tuju hidupnya untuk berjaya dalam bidang seni dan pendidikan.


source

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)