Heidi Klum, Seal rasmi cerai


DILABELKAN sebagai antara pasangan Hollywood paling romantik, nampaknya hal itu tidak akan berpanjangan selepas model Heidi Klum dan suaminya, penyanyi Seal rasmi bercerai.

Perkahwinan mereka selama tujuh tahun dan memiliki tiga orang anak iaitu Henry, 6, Johan, 5, dan Lou, 2, serta seorang anak Klum berusia tujuh tahun hasil hubungan terdahulu dan seorang anak angkat Seal, Leni, bagaimanapun diakhiri dengan cara yang baik.

Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan pasangan ini, mereka memberitahu begitu sukar untuk membuat keputusan bercerai. Bagaimanapun ia terpaksa dilakukan kerana mereka kini mempunyai pandangan masa depan yang tidak lagi selari.

"Kami telah menghabiskan masa yang gembira, penuh kasih sayang dan setia sepanjang tujuh tahun berkahwin. Bagaimanapun kami akhirnya membuat keputusan untuk berpisah selepas sudah tidak memiliki persefahaman tentang masa depan kami lagi.

"Walau sudah bercerai, kami tidak akan mengabaikan anak-anak dan cukup menghormati antara satu sama lain. Terima kasih kepada semua yang menyokong dan menghormati privasi kami selama ini," ujar pasangan tersebut melalui kenyataan rasmi yang disiarkan oleh Us Weekly.

Sebelum ini, Heidi dilaporkan telah memfailkan penceraian dengan alasan mereka tidak lagi sehaluan. Malah seorang sumber memberitahu pasangan tersebut kerap bertengkar sejak kebelakangan ini yang berakhir dengan penceraian.

sumber

Daniel Lee mahu bangkit


SEMENJAK muncul sebagai juara rancangan realiti Malaysia Idol 2 pada tahun 2005, penyanyi Daniel Lee Chee Hun, 30, atau Daniel Lee dilihat cukup berpotensi untuk menakluk peminat yang terdiri daripada golongan Melayu.

Entah di mana silapnya, sepanjang tempoh hampir tujuh tahun bergelar anak seni, kehadirannya dalam industri ini seolah-olah tidak disedari biarpun pernah merakamkan beberapa buah lagu Melayu.

Pernah popular menerusi lagu berjudul Pasti serta pernah melahirkan sebuah album mini Melayu yang mengandungi lima buah lagu, namun lagu-lagu nyanyiannya itu agak kurang diputarkan di stesen-stesen radio.

Berkesempatan bertemunya di pejabat Sony Music baru-baru ini, penyanyi yang berasal dari Changlun, Kedah ini mengakui kegagalannya untuk muncul sebagai penyanyi popular adalah berpunca daripada kesilapan yang dilakukannya sebelum ini.

Memandangkan Daniel beragama Kristian, adakah sambutan Tahun Baru Cina semeriah seperti Hari Krismas?

Pada saya kedua-dua sambutan perayaan tersebut sama-sama meriah. Lagipun perayaan Tahun Baru Cina turut disambut oleh semua masyarakat Cina tanpa mengira agama. Seperti ahli keluarga saya, ada yang menganut agama Buddha dan Kristian serta ada yang tidak menganut sebarang agama.

Sudah tujuh tahun Daniel bergelar penyanyi, tetapi tidak ramai yang menyedari kehadiran Daniel dalam industri ini. Apakah puncanya?

Secara jujurnya sebelum ini saya seakan-akan tidak tahu arah tujuan sebagai seorang penyanyi. Walaupun pernah menjuarai rancangan Malaysia Idol 2 dahulu, tetapi saya rasa seolah-olah belum bersedia untuk menjalani kehidupan baharu.

Misalnya, saya rasa kurang selesa untuk berhadapan dengan peminat atau jarang turun padang untuk membuat promosi apabila baru menghasilkan album. Sedangkan sebagai seorang penyanyi, itu adalah perkara paling utama yang harus dilakukan.

Kemudian sekitar tahun 2008 saya mula tidak berminat untuk menjadi penyanyi selepas melihat sambutan lagu-lagu saya kurang memberangsangkan. Malah sekitar tahun 2007 juga, saya pernah cuba untuk memasuki pasaran Taiwan, tetapi ia gagal. Hal itu telah membuat saya berasa putus asa untuk menjadi penyanyi.

Apakah yang membuatkan Daniel bersikap sedemikian?

Sebenarnya saya sendiri keliru kerana beranggapan apabila menjadi penyanyi, maka segala gaya hidup saya juga perlu berubah. Sehingga saya menjadi kecewa serta pernah berputus asa dan mahu mengambil keputusan untuk berhenti menyanyi dan menyambung pelajaran. Pada masa itu juga, saya tidak nampak masa depan dengan muzik, sebaliknya saya merasakan muzik memberi tekanan dalam hidup saya.

Tapi sekarang kenapa anda kembali aktif sedangkan anda pernah berfikiran bahawa muzik tak punya masa depan?

Memang pada mulanya saya mahu membuat keputusan tersebut, tetapi apabila difikirkan semula buat apa saya perlu berputus asa. Sebenarnya dalam waktu saya keliru tentang masa depan saya, saya telah bertemu dengan seorang orang kuat agama yang saya sifatkan sebagai mentor saya yang telah membantu saya untuk memahami erti kehidupan. Selepas mentor saya mengajar saya untuk lebih menghargai kehidupan, saya mula bersemangat semula dan meninggalkan pemikiran kolot saya selama ini.

Akhirnya, saya telah mendapatkan semula kekuatan dan baru-baru ini saya telah berjaya menghasilkan album baharu saya yang berjudul Sincerely Yours, Daniel yang mengandungi 10 buah lagu berbahasa Cina dan Inggeris. Apa yang istimewanya, ada empat buah lagu dalam album ini adalah hasil ciptaan saya sendiri.


Jadi, apakah langkah Daniel untuk dikenali semula di kalangan pendengar Melayu setelah agak tenggelam sebelum ini?

Bagi saya tahun 2012 merupakan zaman kebangkitan saya sebagai seorang penyanyi. Saya menyasarkan untuk menghasilkan sebuah album Melayu pada tahun ini agar dapat menembusi pasaran muzik Melayu.

Bagaimanapun, buat masa ini saya ingin memberi tumpuan untuk mempromosikan album baharu saya terlebih dahulu

sumber

Penanggal naskhah cinta, bukan seram


SEBELUM ini, nama Ellie Suriati lebih sinonim sebagai seorang pelakon drama, filem dan teater yang cukup berkaliber. Malah, dia adalah antara pelakon yang sering dijadikan rujukan oleh ramai pelakon baharu sekarang.

Kini, pelakon berkenaan telah melangkah setapak lagi dalam mengembangkan kerjayanya sebagai seorang anak seni apabila bakal muncul dalam filem pertama yang diarahkannya sendiri iaitu Penanggal.

Ditemui ketika menjalani penggambaran filem tersebut baru-baru ini di Kuala Kangsar, Perak, Ellie memberitahu, duduk di kerusi pengarah adalah satu angan-angannya sejak mula berkecimpung sebagai seorang pelakon.

“Apabila mula bertapak dalam bidang lakonan pada tahun 1998, saya sudah memasang angan-angan untuk menjadi seorang pengarah suatu hari nanti dan sentiasa berdoa agar ia dapat direalisasikan.

“Namun, selepas 14 tahun barulah apa yang saya angankan itu akhirnya menjadi kenyataan. Lebih istimewa lagi, saya juga turut bertindak sebagai penulis skrip untuk filem ini,” ujarnya.

Menurut Ellie, dia sudah menghasilkan skrip filem tersebut sejak tahun 2008 dan sudah melakukan banyak rombakan serta perbincangan bersama penerbit bagi menghasilkan jalan cerita yang lebih mantap.

Ujarnya, biarpun sudah banyak perubahan yang telah dilakukan, tetapi asas penceritaan yang ditampilkan dalam filem berkenaan masih lagi dikekalkan daripada skrip asal.

Berlatar belakang pada zaman sekitar 1930-an, Penanggal berkisarkan tentang seorang gadis bernama Murni yang telah mewarisi ilmu penanggal secara tidak sengaja daripada Mak Ajeng sehingga dia terpaksa melarikan diri ke sebuah kampung untuk mencari perlindungan.

Antara barisan pelakon yang membintangi filem tersebut adalah Ummi Nazeera sebagai Murni, Azri Iskandar (Syed Yusof), Fasha Sandha (Sharifah Zaharah) dan Zul Ariffin (Syed Umar).

Ketika ditanya tentang pemilihan genre seram sebagai filem sulung arahannya, pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-16 itu menyatakan ia dipilih berdasarkan minat penonton di negara ini yang gemarkan kisah-kisah mistik.

Jelasnya, kisah seram seperti Penanggal ini dilihat sesuatu yang cukup menarik untuk diterokai, namun menegaskan filemnya itu bukanlah sebuah kisah yang benar-benar seram.

“Apa yang boleh saya katakan, Penanggal yang saya hasilkan ini adalah sebuah filem cinta klasik kerana jalan ceritanya lebih menjurus kepada kisah percintaan di sebalik kisah tentang penanggal,” jelasnya.

Mengenai harapannya terhadap filem arahannya itu, Ellie memberitahu dia sememangnya meletakkan harapan yang tinggi agar ia mendapat sambutan yang hangat daripada penonton.

“Penanggal adalah ujian pertama sebagai seorang pengarah dan sudah tentu saya mahukan yang terbaik untuk filem ini. Biarpun telah berdepan dengan ujian yang lebih berat sebelum ini, saya tetap bekerja keras biarpun telah dinasihatkan oleh doktor supaya berehat.

“Bagaimanapun, saya sangat beruntung kerana mendapat kerjasama yang baik daripada semua tenaga produksi serta para pelakon yang telah memberikan komitmen sepenuhnya agar filem ini dapat disiapkan dengan lancar," jelasnya.

Kerjasama dua syarikat

Apa yang menariknya tentang filem ini adalah ia membabitkan kerjasama dua buah syarikat perfileman iaitu Tayangan Unggul Sdn. Bhd. (TUSB) dan Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB).

Penerbit Eksekutif TUSB, Gayatri Su-Lin Pillai berkata, pihaknya memang sudah lama mahu menjalinkan kerjasama iaitu semenjak Ahmad Puah Onah menjadi Pengurus Besar GBSB.

“Sebenarnya kami sedang mencari skrip dan jalan cerita yang sesuai untuk jalinkan kerjasama tersebut. Kemudian Ellie berjumpa dengan saya dan memberitahu dia berhasrat untuk menghasilkan sebuah filem.

“Setelah beberapa perbincangan dibuat, akhirnya saya bersetuju untuk menerbitkan filem ini. Pada masa yang sama pihak kami turut mengundang GBSB dan ternyata mereka juga turut berminat untuk bekerjasama,” jelasnya.

Menurut Gayatri, antara kerjasama yang akan dijalinkan oleh kedua-dua belah pihak adalah seperti pengagihan kos penerbitan yang sama rata serta promosi yang akan dilakukan nanti.

Memulakan penggambaran sejak 10 Disember lalu, antara lokasi yang menjadi pilihan seperti Kuala Kangsar dan Ipoh, Perak, Pulau Penarik (Terengganu) dan Kemensah di Hulu Klang, Selangor dengan kos sebanyak RM 2.1 juta.

sumber

Tidak lupa doa dapat anak


BARU sahaja balik daripada bercuti menyambut hari jadi di Morocco, Marakesh dan Dubai bersama suami tersayang, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K pada 13 Januari lalu, Siti Nurhaliza Tarudin dikejutkan dengan berita daripada sebuah agensi berita mengenai tawaran berlakon untuknya dalam sebuah produksi filem Indonesia yang berjudul Kekuatan Cinta. Agensi berita tersebut melaporkan sebuah syarikat penerbitan filem Indonesia berminat untuk mengambil Siti berlakon di dalam naskhah terbaharu mereka.

Malah, syarikat berkenaan sangat senang untuk menggandingkan Siti bersama pelakon Nicholas Saputra, Christine Hakim dan Dian Sastrowardoyo di dalam filem itu.

Begitupun, Siti sendiri tidak tahu mengenai tawaran tersebut dan tidak menerima sebarang tawaran rasmi melalui syarikat terbabit. Apatah lagi, menyatakan persetujuan untuk berlakon di dalam filem itu.

"Siti tahu tawaran syarikat itu pun daripada laporan secara atas talian. Siti tidak anggap berita tersebut sebagai tawaran. Mungkin syarikat produksi itu baru berhasrat untuk melamar Siti berlakon dalam filemnya," kata Siti yang anggun dalam busana Marakesh ketika ditemui selepas sidang media majlis sambutan Maulidur Rasul 1433 Hijrah Muhammad Al-Amin Siti Nurhaliza bersama Rabbani di Cyberview Lodge & Spa, Cyberjaya.

Memang sukar untuk Siti menentukan jawapan selagi tawaran rasmi tidak dibuat oleh pihak syarikat terbabit. Tegas Siti, walau bagaimanapun dia tetap memperhalusi tawaran yang diterimanya sebelum memberi persetujuan berlakon di dalam filem itu.

"Kalau dilihat dari barisan pelakonnya memang cerita itu kelihatan menarik. Siti ada gambaran bahawa filem itu besar kerana ia menggabungkan pelakon Indonesia dan Malaysia. Tetapi, selagi tidak ada sebarang tawaran rasmi daripada syarikat itu Siti tidak berani nak cakap terima atau tidak," ujarnya kelihatan gembira menyambut ulang tahun di negara yang diminati sekali gus percutian tersebut merupakan bulan madu kedua Siti selepas berkahwin.


Mengorek cerita di sebalik percutiannya, Siti mengaku begitu seronok dan teruja melawat ke negara yang belum pernah dikunjunginya. Malah, paling mempesonakan bagi Siti merupakan negara Marakesh.

"Marakesh memang cantik. Walaupun warna bangunan yang digunakan kebanyakannya hijau dan batu-bata sahaja tetapi ukiran dalamnya memang menakjubkan. Siti juga sangat teruja dapat menikmati makan malam di puncak Burj Khalifa pada tanggal 11 Januari," luahnya yang memberitahu, Datuk K turut memberi hadiah lain sempena hari jadinya tetapi enggan mendedahkannya kepada media.

Anak

Siti turut ditanya mengenai cahaya mata memandangkan penyanyi tersohor itu sudah berkahwin selama enam tahun.

"Siti memang merancang untuk memiliki anak sejak awal perkahwinan lagi tetapi sehingga sekarang masih belum ada rezeki menimang cahaya mata. Kita cuma merancang tetapi perancangan Allah itu lagi hebat. Rezeki di tangan Dia. Mungkin satu hari nanti Siti dikurniakan zuriat.

"Mungkin juga ada hikmah Allah melambatkan Siti untuk mendapat anak. Mungkin Dia mahu Siti sesuaikan dulu kehidupan bersama suami dan anak-anak suami atau mungkin Allah mahu Siti melaksanakan kerja-kerja Siti yang masih tertangguh. Jika sudah ada anak nanti perhatian akan beralih kepadanya pula," katanya yang sentiasa berdoa kepada Allah memohon zuriat sendiri selain mengaku turut berusaha untuk memperoleh zuriat.


Tanpa berselindung Siti juga mengaku, biarpun tanpa kehadiran cahaya mata, Datuk K menatangnya bagai minyak yang penuh. Tuturnya, sejak di awal perkahwinan sehingga usia perkahwinannya mencecah enam tahun layanan Datuk K terhadapnya tidak pernah berubah. Siti sentiasa dimanja dan dibelai suami. Selain belaian suami dan kesibukannya dalam menguruskan kerjaya nyanyian mahupun syarikat Siti Nurhaliza Production (SNP) miliknya tidak timbul rasa sunyi dalam hidup Siti.

Dalam perkembangan lain, Siti turut berkongsi mengenai produk terbaharu Simply Siti keluaran syarikatnya.

Selain kosmetik kini Simply Siti juga mengeluarkan produk penjagaan kulit. Produk yang menggunakan pelan endorfin dan mengandungi stem sel serta advance hidrohalogen itu dikeluarkan menerusi lima produk iaitu pelembab, krim mata, serum, skrub dan topeng muka.

"Produk ini sudah dilakukan ujian ke atas beberapa wanita dan ia memang memberi kesan beberapa minggu selepas memakainya. Ia dapat mengurangkan kedutan, mencerahkan kulit dan memberi seri pada wajah," ujarnya yang turut bakal mengeluarkan tiga pewangi jenama Siti Nurhaliza selepas kelima-lima produk penjagaan kulit itu dipasarkan pada bulan Februari ini.

sumber

Ally Iskandar Sah Jadi Suami


Ally Iskandar Mohd Mardzi telah pun selamat dinikahkan dengan pasangannya Nurfarahin Romli pada jam 10.00 pagi tadi. Pasangan ini dinikahkan oleh Jurunikah, Tuan Haji Mohd Abu Bakar dengan mas kahwin RM250.00 tunai di Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu

Pihak lelaki membawa tujuh dulang hantaran, manakala pihak perempuan membalasnya dengan sembilan dulang hantaran



sumber

Bayaran pengiring bintang


UMUM sudah mengetahui tentang nilai tinggi yang dikenakan oleh bintang-bintang terkenal Bollywood tetapi bagaimana pula dengan bayaran yang dikenakan oleh para pengiring mereka kepada penerbit-penerbit filem?

Jawapannya adalah semakin popular bintang Bollywood tersebut, semakin tinggi bayaran yang dikenakan oleh pengiring-pengiringnya.

Menurut sumber kepada TOI, jika penerbit-penerbit menghabiskan sehingga mencecah angka crore untuk para pelakon, mereka perlu mengeluarkan antara Rs 25,000 hingga Rs 70,000 (RM1,500 hingga RM4,500) untuk pengiring pelakon bergantung kepada pelakon mana yang diiringi itu.

"Penata rias rambut terkenal seperti Aalim dan Adhuna Babani mengenakan bayaran sehingga RS 30,000 (RM1,800) sehari," ujar sumber itu.

Tambahnya: "Jika seseorang pelakon perlu menjalani sesi untuk latihan untuk stamina tubuh mereka, penerbit filem perlu mengeluarkan kos antara Rs 8,000 hingga Rs 10,000 (RM500 hingga RM600) sehari bagi bayaran jurulatih peribadi. Bayaran itu tidak termasuk untuk kos penginapan dan perjalanan jurulatih peribadi tersebut.

Pelakon gred A Bollywood seperti Shah Rukh Khan, Aamir Khan dan Akshay Kumar diketahui mengeluarkan duit dari poket sendiri untuk membayar khidmat sekuriti.

Kata sumber itu lagi: "Pengiring Amitabh Bachchan dan Shah Rukh Khan antara yang mengenakan bayaran paling tinggi. Di kalangan pelakon wanita pula, pengiring Kareena Kapoor, Katrina Kaif dan Bipasha Basu antara yang mengenakan bayaran yang tinggi."

"Namun, jika filem-filem yang dibintangi pelakon-pelakon tersebut gagal pecah panggung, pihak yang rugi teruk sudah tentu para penerbit filem."

sumber

Aksi ghairah direstui isteri


"SAYA tidak akan menolak jika ditawarkan untuk berbogel dalam mana-mana filem di masa-masa hadapan dan isteri saya pun tidak kisah jika saya dikehendaki berbogel sekali lagi (dalam filem)." Sekali dengar ia seperti kenyataan 'berani mati' atau 'madah bercili' yang dilontarkan dari mulut pelakon Hollywood, tetapi realitinya itulah kenyataan tulus pelakon Zul Suphian tatkala mengulas mengenai karakter lakonannya dalam dua buah filem seram, Mantra dan Keramat.

Kontroversi atau tidak, itulah pendirian pemilik nama sebenar Nurzul Suphia'an Sa'ban, 38, yang dulunya dikenali sebagai Zul Handy Black. Dia nampaknya cuba mencipta 'jenama'nya yang tersendiri dengan sering muncul dalam babak 'panas' dalam filem-filem lakonannya.

Namakan satu pelakon Malaysia yang pernah muncul berbogel di layar perak dan kemudian kini muncul separuh bogel dalam adegan ghairah bersama pelakon wanita dalam filem terbaharunya kalau tidak Zul Suphian!

"Saya beruntung kerana keluarga dan isteri saya, Fyza memahami tugas saya selaku seorang pelakon. Mereka tahu saya lakukan semua ini untuk tugas saya dan saya juga akan bertindak profesional. Isteri saya tidak kisah, kerana dia tahu saya ramai 'teman wanita' dalam setiap produk lakonan saya," tutur Zul.

"Saya melakukan itu semua bukan untuk mengundang kontroversi tetapi kerana mengikut kehendak pengarah dan supaya penonton dapat gambaran yang lebih jelas," itu ulasan dan alasan pelengkap yang diberikan Zul merangkumi adegan bogelnya dalam filem Mantra pada tahun lepas dan adegan ghairahnya bersama aktres Mon Ryanti untuk filem Keramat yang kini sedang hangat ditayangkan di pawagam.

Kedua-dua filem tersebut seperti mana Santau, filem sulung lakonannya, juga dari genre seram, adalah hasil garapan pengarah, Azhari Mohd. Zain.

Bicara Zul, berbeza dengan Mantra yang memerlukan dia berbogel sendirian, dalam Keramat pula untuk karakter Nazmir lakonannya itu pula dia dikehendaki melakonkan babak ghairah ketika hanya menyarungkan tuala tatkala digoda adik iparnya, Munirah (lakonan Mon Ryanti) yang hanya berkemban dan sebenarnya dirasuk oleh roh Mustika (Diana Amir).

"Apabila babak bergaduh, kita perlu berlawan dengan bersungguh-sungguh. Untuk babak cinta, kita perlu timbulkan mood romantis dan apabila babak ghairah cabarannya adalah kita yang tidak ghairah ini perlu buat-buat ghairah agar lakonan yang diberikan menjadi," jelasnya lagi berbaur sedikit lucu.

Bagi Zul, beraksi ghairah bukanlah cabaran berat baginya, namun baginya, cabaran sebenar adalah apabila untuk filem Keramat dia perlu memerankan dua karakter yang berlainan iaitu watak Nazmir pada era hari ini dan Habib seorang lelaki yang hidup pada tahun 1900.

Ujar Zul, ketika diberi tawaran, Azhari sangat yakin bahawa dia pasti dapat membawakan dua watak tersebut dengan mudah kerana pernah bekerjasama dalam filem Santau dan Mantra sebelum ini.

"Apabila berlakon dalam filem genre sebegini, memang kita perlu buat satu kajian yang lebih kuat, dan mendalam kerana sudah pastinya genre seperti ini memerlukan konsentrasi dan penghayatan dalaman.

"Jadi mungkin tidak menjadi cabaran sangat kepada saya kerana perkara ini saya telah dicabar oleh pengarah yang sama (Azhari).

"Mungkin juga Azhari sudah lihat kemampuan saya dan fikirkan watak sebegini memang sesuai dibawa oleh saya. Watak ini sangat mudah dan saya tahu bagaimana harus membawa karakter ini dan bezanya cuma jalan cerita," jelas Zul lagi.

Namun bagi pelakon yang bernaung di bawah syarikat penerbitan gergasi perfileman Metrowealth Movies Production Sdn. Bhd. itu, dia juga mampu dan pernah berlakon genre filem yang berbeza seperti komedi, aksi dan sebagainya.

"Sebagai seorang pelakon, saya telah menunjukkan kemampuan namun terpulang kepada pihak yang memberi tawaran dan pihak Metrowealth Movies Production sendiri," katanya.

Kerisauan Mon Ryanti

Jika Zul tiada masalah untuk membawa watak ghairah, namun bagi pendatang baharu, Mon Ryanti, perasaan segan untuk berlakon ghairah wujud dalam diri yang baru ingin memulakan karier sebagai seorang aktres.

"Selain cabaran, ini sebenarnya satu tanggungjawab kerana jika sudah diberi kepada saya maka ia menjadi tugas buat diri saya. Watak utama memang tanggungjawab besar dan saya perlu buat kajian yang mendalam kerana perlu memahami untuk menjayakan watak yang diberi itu.

"Antara cabarannya adalah sebagai Munirah, saya perlu menggoda abang ipar saya (Nazmir lakonan Zul) dan saya akui agak risau dan segan apabila ingin melakonkannya. Saya masih baru lagi dalam industri dan melakonkan watak tersebut mungkin akan menjadi perbualan orang kelak," tutur wanita berusia 23 tahun itu.

Namun begitu, ujar gadis manis yang lebih mesra disapa sebagai Mon, ia hanyalah sebuah jalan cerita dan lakonan semata-mata dan bukannya ingin beri pandangan buruk tentang dirinya kepada penonton dan berkata ia merupakan perubahan karakter di dalam filem tersebut.

Berfikiran positif, jelas Mon, sebagai seorang pelakon, harus tabah menerima kritikan dari sesiapa sahaja dan dia mengakui hakikat bahawa dirinya tidak akan dapat memuaskan hati semua pihak. Jadi, perkara ini diambil sebagai cabaran dan reda serta masih memerlukan bimbingan pihak produksi dan semua orang.

Rabecca tidak takut

Bagi aktres Rabecca Nur Al Islam atau lebih mesra disapa sebagai Rabecca pula, pengalamannya selama dua musim bersama program realiti seram Seekers dan berlakon dalam filem seram, Jangan Tegur sebelum ini membuatkan dirinya tiada sebarang masalah untuk berlakon dalam Keramat.

"Menerusi Keramat, saya menjadi Syazura, isteri kepada Nazmir dan bagi watak ini saya perlu mendalami jiwa seorang isteri yang teruja ketika mengandung dan secara tiba-tiba kehilangan anak. Jadi, ketika itu saya perlu membawa dua watak yang berbeza sekali gus.

"Namun, berlakon dalam filem genre seram tidaklah menakutkan, kerana saya sudah biasa terlibat dalam genre seram beberapa kali. Jadi, Alhamdulillah, tiada apa yang buruk berlaku sepanjang penggambaran," jelas Rebecca yang bagaimanapun mengakui penat kerana bukan mudah untuk menjadi seorang pelakon.

Tambahnya: "Sepanjang penggambaran, semua kru termasuk pelakon dan pengarah punyai keserasian dan sebagai pengarah, Azhari adalah seorang yang sangat mudah berkomunikasi dan bekerjasama serta tidak lokek untuk memberi tunjuk ajar."

sumber

Jackie Chan ditemani isteri


BARU-BARU ini aktor terkenal Jackie Chan telah dilihat berada di Taiwan dan turut ditemani isterinya, Joan Lin yang juga seorang aktres yang sudah bersara ketika menjalani penggambaran filem ke-101 lakonannya, 12 Zodiacs.

Cuba untuk mengelak daripada dilihat orang ramai, kedua-duanya terpaksa memakai cermin mata hitam. Lebih menarik lagi, kru penggambaran filem berkenaan terpaksa membina penghadang sepanjang 91 meter supaya tiada wartawan yang dapat memasuki lokasi penggambaran.

Sebelum ini, ramai yang sudah mengetahui tentang tindakan aktor yang sudah mencecah usia 57 tahun itu mengambil langkah tidak mahu mendedahkan isterinya kepada tontonan umum.

Malah, ada khabar angin yang mengatakan Joan turut bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif JC Group dan turut mengawal harta suaminya itu yang dikatakan berjumlah sebanyak RM950 juta

sumber

Aaron cedera angkara Syamsul?


AKTOR paling dikehendaki dalam industri perfileman Malaysia saat ini, Aaron Aziz, 36, yang menjalani penggambaran filem terbaharunya, KL Gangster 2 di Wangsa Maju, Kuala Lumpur dikatakan telah mengalami kecederaan sehingga dimasukkan ke hospital baru-baru ini.

Gosip segera bertiupan membawa perkhabaran kurang enak kononnya berlaku kesilapan teknikal ketika penggambaran babak lagak ngeri yang membabitkan Aaron.

Pengarah filem itu, Syamsul Yusuf pula dipersalahkan dan anak teruna Datuk Yusuf Haslam itu ditohmah sebagai terlalu ghairah mahu menyiapkan filem itu sehingga menyebabkan berlaku kemalangan menyebabkan Aaron tercedera.

Syamsul dalam kenyataannya kepada sebuah akhbar semalam telah menafikan bahawa dia adalah dalang di sebalik kecederaan yang dialami Syamsul itu, namun apa pula cerita di pihak Aaron?

Kosmo! berpeluang bersua dengan Aaron di set penggambaran KL Gangster 2 di Kampung Abdullah Hukum, Kuala Lumpur, kelmarin bagi merungkai segala persoalan yang tercetus daripada kejadian yang tidak sangka-sangka menimpa dirinya itu.

Kosmo!: Dengar cerita Aaron cedera dan dimasukkan ke hospital selepas terbabit dengan penggambaran babak lagak ngeri filem KL Gangster 2 tetapi kenapa anda masih datang ke set penggambaran filem ini?

AARON AZIZ: Boleh dikatakan saya terpaksa datang penggambaran (filem ini) juga. Doktor suruh berehat empat hingga lima hari tetapi saya nak buat juga penggambaran. Cuma buat masa sekarang, saya tak boleh buat lagak ngeri atau aksi terlampau lasak.

Apa yang berlaku sebenarnya sehingga menyebabkan Aaron tercedera?

Selepas penggambaran pada Sabtu 7 Januari lalu, badan saya sakit-sakit. Ingatkan sakit biasa sahaja. Namun, saya tetap teruskan penggambaran. Biasanya selepas itu akan sembuh terus. Tapi kali ini lain pula. Pada pagi Ahad 8 Januari, disebabkan sudah tidak tahan sakit belakang, saya terus pergi ke hospital dan seterusnya tidak dibenarkan pulang, kena tahan di hospital, tetapi sehari sahaja kemudian terus dibenarkan pulang.

Sebenarnya apa yang menyebabkan kesakitan yang dialami Aaron itu?

Doktor beritahu sebab saya terlalu penat. Tapi pada hari penggambaran itu, saya sendiri yang minta kebenaran Syamsul (Yusuf) untuk buat aksi yang lebih lasak. Kalau ikut skrip asal, saya jatuh dan hampir kena langgar kereta, tetapi saya minta ubah iaitu selepas jatuh kereta, saya jatuh lagi di atas sebuah kereta lain, kemudian barulah saya nak kena langgar.

Di hospital manakah Aaron kena tahan dan boleh ceritakan pengalaman ketika itu?

Saya mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Tropicana, Damansara, Petaling Jaya. Mula-mula saya kena sekali suntikan ubat penahan sakit di bahagian punggung tapi kesakitan yang saya alami masih belum hilang, lalu doktor pun memberikan dua lagi suntikan - satu di bahagian bahu dan satu di bahagian tangan saya.

Selepas itu, barulah saya berasa sedikit lega. Selain itu, doktor juga ada buat X-ray bagi memeriksa sama ada ada berlaku keretakan tulang dan pastikan tiada masalah serius berkaitan. Doktor kata, jika masalah kesakitan yang saya alami masih berlarutan kena buat ujian scan MRI, tetapi syukur Alhamdulillah semua sudah okey.

Betul ke gosip yang mendakwa kesakitan yang dialami Aaron itu adalah disebabkan berlaku kesilapan teknikal ketika berlakon babak lagak ngeri KL Gangster 2 angkara Syamsul yang terlalu ghairah mahu menyiapkan filem ini?

Bukan pasal kemalangan semasa babak lagak ngeri filem ini. Saya kepenatan sebenarnya selepas berulang-alik dari lokasi penggambaran KL Gangster 2 di Kuala Lumpur dan lokasi penggambaran lain di Negeri Sembilan, dan macam-macam lagi faktor berkaitan.

Adakah Aaron akan ikut nasihat doktor untuk berehat seketika sebelum kembali ke set penggambaran KL Gangster 2?

Kebetulan saya akan ke Tokyo, Jepun selama seminggu mulai Rabu ini (semalam, 11 Januari 2012) untuk promosi produk minuman tenaga jenama Drive 7 yang telah melantik saya sebagai dutanya. Jadi dalam masa yang sama, saya akan gunakan untuk berehat. Selepas itu barulah saya akan sambung penggambaran KL Gangster 2 sebelum ke set sebuah lagi filem baharu lakonan saya yang berjudul, Kerat 14.

sumber

Rezeki semakin melimpah


KEHEBATAN kumpulan Sepah sebagai sebuah kumpulan pelawak yang disegani sememangnya tidak boleh disangkal lagi. Buktinya, apabila mereka muncul sebagai juara dalam rancangan Maharaja Lawak dengan menewaskan beberapa peserta yang dianggap pilihan seperti Jozan.

Bagaimanapun, semuanya sudah tinggal sejarah apabila Sepah tidak lagi wujud. Siapa sangka selepas menjadi juara, mereka bertiga mengambil keputusan untuk berpecah ketika nama berada di puncak populariti.

Memberikan alasan tidak dapat memberikan komitmen kepada kumpulan sehingga mengambil tindakan drastik untuk berpecah sebagai langkah terakhir, ternyata keputusan yang dibuat itu tetap mengejutkan ramai pihak terutamanya peminat.

Tidak lama selepas itu, Shuib dan Jep membentuk pula sebuah kumpulan iaitu Sepahtu tanpa disertai Mamat. Namun, kini ramai yang mula tertanya-tanya tentang perjalanan seni Sepahtu setelah beberapa bulan diwujudkan.

“Kami tidak nafikan kebanyakan tawaran yang diperoleh sekarang ini lebih banyak kepada individu, tetapi tidak bermakna kami meminggirkan kumpulan yang kami sendiri tubuhkan. Kalau ada tawaran untuk Sepahtu, kami akan terima sekiranya masing-masing tidak terikat dengan sebarang kerja lain.

“Lagipun kami rasa tidak adil untuk menyekat rezeki sesama sendiri masing-masing bebas untuk terima apa sahaja tawaran yang diberikan, manakala untuk Sepahtu pula sudah ada beberapa projek yang sedang dan bakal kami jalankan," ujar Jep ketika ditemui baru-baru ini.

Jelas Jep, salah satu projek yang kini sedang dilakukan oleh Sepahtu ialah menghasilkan album sulung yang diterbitkan oleh syarikat milik Mawi iaitu MW Entertainment dan Sheikh Qalam Records.

Ujarnya, album berkenaan bakal mengandungi tujuh buah lagu dan sekarang ini mereka baru sahaja selesai merakamkan dua buah lagu yang berjudul Siapa Dapat Lisa ciptaan Datuk M. Nasir dan Tidur Mati yang dihasilkan oleh Azmeer.

“Kalau kami jarang mengadakan persembahan atau berlakon bersama-sama, tidak bermakna Sepahtu semakin tenggelam atau bakal berkubur. Malah, kami sangat bersyukur kerana rezeki yang diperoleh juga semakin melimpah sejak bergabung berdua.

“Selain sedang dalam proses menghasilkan album sulung, kami turut ditawarkan untuk berlakon dalam sebuah filem dengan menjadikan Sepahtu sebagai watak utama. Namun, ia masih lagi dalam peringkat perbincangan dan sekiranya tiada masalah, penggambaran akan bermula pada Mac ini,” jelasnya.

Mengenai hubungan mereka dengan Mamat selepas berpecah dan kemudiannya mewujudkan Sepahtu, Shuib secara terus terang menyatakan sehingga kini hubungan mereka dan Mamat masih lagi baik seperti biasa.

Akui Shuib, adakalanya dia dan Jep pernah berasa rindu untuk membuat persembahan dengan Mamat memandangkan mereka bertiga sudah lama berkawan serta berjuang bersama-sama ketika berada di rancangan Raja Lawak dan Maharaja Lawak suatu ketika dahulu.

“Secara jujurnya memang ramai peminat yang mahukan kami bertiga kembali bergabung bersama dan melahirkan semula Sepah. Namun, buat masa ini kami sudah pun ada jalan sendiri untuk meneruskan kerjaya masing-masing.

“Mengenai permintaan yang dibuat oleh peminat, kami memang sukar memberikan jawapan. Kalau kami berkata ya, itu bermakna kami memberikan harapan yang tinggi kepada peminat, sedangkan hakikatnya tidak pernah terlintas langsung untuk bergabung semula,” tegas Shuib.

Walaupun sudah tidak lagi berada dalam satu kumpulan yang sama, tetapi mereka bertiga masih terus bekerjasama dan baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Sepah The Movie beberapa bulan lalu.

Utamakan keluarga

Tanggal 4 Disember 2011 pasti memberi erti yang cukup bermakna dalam kehidupan Shuib apabila isterinya, Siti Sarah yang juga seorang penyanyi telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki bernama Uwais Alqarni.

Ditanya tentang perjalanan kehidupan sehariannya setelah lebih sebulan bergelar seorang ayah, pelawak yang sudah berusia 27 tahun itu merasakan kehidupannya lebih sempurna dengan kehadiran cahaya mata.

“Selain berusaha keras untuk berjaya dalam kerjaya yang saya ceburi, fokus utama saya adalah keluarga. Bagi saya keluarga adalah segala-galanya, apatah lagi setelah bergelar seorang ayah.

“Sekiranya tidak terlibat dalam membuat persembahan atau menjalani penggambaran, saya lebih suka menghabiskan masa di rumah dan membantu isteri menjaga anak serta melakukan kerja-kerja rumah,” jelasnya.

Menurutnya lagi, disebabkan kesibukannya dalam menguruskan rumah tangga memandangkan isterinya masih lagi dalam pantang telah menyebabkan ada beberapa tawaran yang diperoleh terpaksa ditolak.

“Memandangkan ini merupakan cahaya mata pertama, sudah tentu saya sangat teruja untuk melihat dia membesar. Adakalanya saya sendiri seperti tidak percaya sudah memiliki anak dan semakin seronok menjadi seorang ayah,” ujarnya.

Putus cinta


Jika Shuib melalui fasa kehidupan yang lebih sempurna setelah mendirikan rumah tangga dengan Siti Sarah dan kini memperoleh cahaya mata, ternyata lain pula yang terpaksa dilalui oleh seorang lagi anggota Sepahtu iaitu Jep.

Menurut pelawak berkenaan, hasrat untuk bercinta dan menjalinkan hubungan yang serius dengan seorang gadis ternyata tidak kesampaian apabila hubungan mereka berdua telah putus baru-baru ini.

“Sebenarnya saya tidak mahu mengulas lebih panjang tentang perkara itu kerana sudah ditakdirkan memang tiada jodoh kami. Apa yang boleh saya katakan dia adalah gadis biasa dan hubungan kami putus ketika saya sedang sibuk menjalani penggambaran filem Sepah The Movie.

“Saya sendiri tidak tahu apa yang menyebabkan hubungan kami putus, namun kami tetap berpisah dengan cara baik. Jadi, sekarang ini saya memang sudah solo dan tidak mahu memikirkan sangat tentang cinta," jelasnya yang terus merahsiakan tentang identiti gadis yang pernah bertakhta di hatinya dahulu.

Ujarnya, buat masa ini dia belum merancang untuk mencari pengganti kerana kekecewaan terhadap kegagalan dalam percintaan yang lalu masih lagi dirasai. Buat masa ini hanya kerjaya yang menjadi keutamaan dan dia lebih seronok dengan

sumber

Shahid tolak filem cinta


SETELAH cemerlang membintangi filem cinta iaitu Mausam yang mendapat sambutan hangat serta mencatat kutipan pecah panggung, kini aktor Shahid Kapoor telah ditawarkan untuk berlakon dalam sebuah filem yang mengisahkan tentang cinta tiga segi berjudul Chitthiyan.

Namun begitu, aktor yang berusia 30 tahun itu menafikan akan membintangi filem yang diarahkan oleh Vidhu Vinod Chopra, sebaliknya dia memberitahu sehingga kini dia belum mendapat sebarang tawaran berlakon kecuali daripada pengarah Maneesh Sharma.

"Secara terus terang tiada sebarang tawaran yang diberikan kepada saya untuk membintangi Chitthiyan dan tidak mahu mengulas mengenainya. Malah, untuk tahun ini seboleh-bolehnya saya akan tolak sebarang tawaran untuk berlakon filem berunsur cinta," jelasnya.

Biarpun menyatakan kesediaannya untuk berlakon dalam filem yang diarahkan oleh Vidhu, tetapi bukan filem yang bertemakan cinta sepenuhnya. Buat masa ini, dia lebih tertarik untuk berlakon dalam filem aksi.

sumber

Ada saya kisah! - Chef Wan


SEMENJAK dilantik menjadi salah seorang juri untuk rancangan Maharaja Lawak Mega, ternyata nama Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan, 50, kerap menjadi sebutan ramai.

Ternyata kelantangannya ketika memberikan komen dan kritikan kepada peserta yang bertanding dalam rancangan tersebut mendapat pelbagai reaksi terutamanya daripada peminat Maharaja Lawak Mega dan peserta sendiri.

Menariknya, laman sosial Facebook miliknya iaitu Chef Wan Fan Club yang telah berjaya mengumpul 80,000 ahli itu telah menjadi medium utama oleh segelintir pihak yang meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kelantangan chef yang sudah mencipta nama di seluruh dunia itu.

Setelah tidak tahan lagi melihatkan kerenah yang ditunjukkan oleh pihak yang menggunakan laman Facebooknya untuk mencaci dan menghina dirinya, Chef Wan telah membuat keputusan nekad untuk terus menutup akaun Facebooknya itu.

Namun selepas kenyataan medianya yang mahu menutup akuan facebook miliknya itu ‘panas’ menjadi tajuk berita di akhbar, Chef Wan tiba-tiba menukar fikiran tidak jadi melakukannya.

Apa sudah jadi? Kenapa pendirian Chef Wan tidak tetap? Apakah motif pakar masakan selebriti terkenal ini?

Ikuti apa alasan yang dikemukakan bapa kepada Serina dan Mohd. Nazri atau Chef Riz ini dalam temu bual terkini bersama Kosmo!, semalam.

Kosmo!: Sebelum ini apa yang membuatkan Chef Wan mahu menutup terus fanpage Facebook Chef Wan Fan Club?

CHEF WAN: Mulanya saya memang saya nak tutup sebab rasa kecewa dengan segelintir pihak yang saya anggap suka menjaga tepi kain orang.

Mereka masuk dalam akaun fanpage Facebook saya dengan membuat andaian yang bukan-bukan dan saya anggap mereka ini tak ubah seperti langau.

Kemudian semasa berlangsungnya Maharaja Lawak Mega, saya lihat keadaan ini bertambah teruk apabila fanpage saya ini dijadikan medan untuk bertelagah sehingga ada yang menjadi batu api dan suka melaga-lagakan sesama sendiri termasuk menghina dan memaki hamun saya.

Kenapa pula Chef Wan tiba-tiba menarik semula keputusan yang dibuat?

Semua ini adalah disebabkan permintaan para peminat sendiri yang berharap supaya saya tidak menutup akaun Facebook tersebut.

Malah, ada yang memberi pandangan kalau saya terus dengan keputusan yang dibuat sebelum ini, bermakna saya sudah kalah dengan mereka yang tidak suka dan membenci saya.

Jadi, akhirnya saya buat keputusan untuk tidak menutup fanpage saya itu kerana merasakan saya tidak perlu tunduk atau mengalah kepada beberapa langau yang suka membuat kacau.

Kalau mereka berterusan memaki hamun dan menghina saya akan terus padam komen yang diberikan atau sekat daripada masuk dalam fanpage saya itu.

Bagaimana kalau ada yang anggap Chef Wan seperti cakap tidak serupa bikin atau sengaja mencari publisiti murahan?

Cuma satu yang ingin saya katakan, ada saya kisah apa yang orang nak cakap!

Lagipun fanpage itu adalah akaun Facebook peribadi saya, jadi saya ada hak untuk buat apa sahaja sama ada nak tutup atau pun tidak. Kini, saya telah buat keputusan untuk tidak menutupnya sampai bila-bila.

Apa komen Chef Wan tentang salah seorang peserta Maharaja Lawak Mega, Adlin Aman Ramli yang mengisytiharkan ‘perang’ terhadap Chef Wan menerusi akaun Facebooknya?

Bagi saya itu adalah satu tindakan yang memang tidak bijak sama sekali. Ia jelas menunjukkan yang dirinya langsung tidak boleh menerima kritikan orang lain. Kenapa dia perlu menyalahkan juri seperti saya, sedangkan dia juga pernah menjadi juri dahulu.

Tentang pengisytiharan perang yang diperkatakannya itu, rasanya langkah terbaik yang boleh dilakukan adalah dengan tidak mempedulikan langsung perkara tersebut.

Adakah Chef Wan bersetuju sekiranya ditawarkan untuk menjadi juri dalam mana-mana rancangan selepas ini?

Entahlah, saya sendiri pun belum terfikir untuk terima atau tolak sekiranya ada tawaran yang diberikan kepada saya. Mungkin saya akan pertimbangkan terlebih dahulu.

Bagaimana Chef Wan menilai rancangan Maharaja Lawak Mega ini secara keseluruhannya?

Gagal! Saya berkata demikian setelah melihat persembahan yang ditampilkan oleh majoriti peserta yang bertanding dalam Maharaja Lawak Mega sepanjang 10 minggu rata-ratanya sangat mengecewakan.

Apa yang membuatkan saya lebih hairan, kebanyakan peserta yang memilih berlakon menjadi perempuan akan berjaya dan disukai penonton termasuklah kumpulan Osbon dan Boboi. Namun, saya akui Osbon memang layak menang kerana mereka telah persembahkan apa yang penonton mahukan.

sumber

Kekok pertama kali


PERNAH digandingkan bersama namun bukan sebagai pasangan kekasih atau suami isteri yang mungkin ada antara babak perlukan mereka memadu cinta.

Namun, kali ini menerusi drama bersiri Gemersik Kalbu, Aqasha, 28, dan Ayu Raudhah, 27, terpaksa bercinta dan menelan bulat-bulat setiap aksi intim yang akui mereka sedikit kekok pada mulanya.

Gemersik Kalbu mengisahkan Raihana (lakonan Ayu Raudhah) yang terjerat dengan rancangan Sufian (Aqasha) untuk satu ikatan perkahwinan.

Tanpa sudi dan kerana paksaan, Raihana membiarkan perkahwinan itu sepi tanpa cinta dan mesra akibat telah berjanji untuk setia sehidup semati untuk cinta Wan Ariffin (Fazreen Rafi), iaitu bekas kekasihnya yang terbunuh ketika diragut. Raihana bagai terpukul, keliru dan terperangkap dalam kesengsaraan sendiri.

Gugur sebab penat

Pemilik nama penuh Ayu Raudhah Che Wan itu mengakui dia agak lambat untuk 'masuk' ke dalam babak-babak romantis bersama Aqasha yang baru menimang cahaya mata bersama isteri, Noor Baizura Mohd. Sabri itu.

"Ada beberapa babak intim antara saya dan Aqasha, saya akui susah sikit untuk melakonkan watak itu tapi mujur Aqasha yang banyak membantu membuatkan kami selesa," katanya yang mengakui perkara itu disebabkan statusnya sebagai seorang isteri.

Malah tambahnya sebelum memulakan penggambaran, dia harus berlatih dengan pasangannya agar tidak terlalu kaku. Isteri pemain bola sepak Negeri Sembilan, Zaquan Adha Abdul Razak itu menegaskan suaminya lebih bertoleransi terutama perkara yang membabitkan kariernya.

"Dia seorang yang profesional, ini kerja saya dan dia tidak akan marah saya. Kalau dia tak mahu tengok adegan sedemikian maka dia sendiri yang akan tutup televisyen, tambahan intim yang dilakonkan bukan keterlaluan," ujar Ayu yang akan berehat sebulan selepas tamat penggambaran drama itu.

Dalam pada itu, Ayu menafikan beberapa dakwaan bahawa rumah tangga yang dibina bersama Zaquan berantakan. Kata Ayu mereka masih bahagia dan sentiasa memahami tugas masing-masing.

"Perkahwinan kami masih bahagia dan tiada sebarang masalah yang berlaku, mengenai keguguran sebelum ini saya serah pada takdir. Apa yang terjadi ada hikmah dan mungkin kami belum dikurniakan rezeki buat masa sekarang," getus Ayu yang mengalami keguguran ketika awal penggambaran drama Gemersik Kalbu akibat terlalu penat.

Ujarnya lagi: "Saya sudah bersedia kalau dikurniakan cahaya mata, lagi cepat lagi bagus."

Sementara itu, Ayu mengakui dia belum pernah bertemu dengan birasnya, Rita Rudaini apatah lagi untuk digandingkan bersama dalam drama.

"Saya tidak punyai sebarang masalah jika kami berdua digandingkan bersama, pernah juga saya dapat tawaran untuk berlakon dengan dia tapi mungkin pihak dia yang tidak bersetuju akhirnya ia senyap begitu saja," tutur adik kepada pelakon jelita, Rozita Che Wan.

Kurus jaga anak

Firdee Aqasha Rosli atau nama komersialnya Aqasha menilai Ayu Raudhah seorang pelakon yang berbakat dan punyai rupa paras yang cantik.

"Saya selesa berlakon dengan Ayu, dia seorang aktres yang bagus dan berbakat besar. Kalau ingin membina hubungan kimia dengan dia tidak menjadi hal besar sebab dia pun seorang yang profesional," ucapnya yang ditemui bersama Ayu ketika sesi ramah mesra pelakon Gemersik Kalbu di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambah Aqasha, bukan masalah besar untuk melakonkan babak romantik bersama Ayu kerana watak Sufian yang lebih romantik dan sentiasa punyai helah untuk memujuk Raihana.

Agak berbeza pegangan Aqasha, kalau Ayu pernah membaca novel Gemersik Kalbu sebelum ini namun Aqasha enggan membaca novel itu kerana mahu mencipta stail lakonannya sendiri.

"Novel itu ada dalam simpanan saya tapi saya yang tak mahu baca. Syariat seorang pelakon adalah skrip, jadi saya tak ingin dipengaruhi oleh watak dalam novel dan membawakan dengan cara saya sendiri," ujarnya yang mendedikasikan sebuah lagu berjudul Obsesiku untuk lagu tema drama itu.

Seronok menjadi bapa kepada Alehandra Ahmad, tiga bulan, Aqasha mengakui dia dapat melihat dirinya sendiri menerusi anak sulungnya itu.

"Ada anak macam mengenali diri sendiri, setiap hari adalah pengalaman baharu bagi kami sekeluarga," katanya yang ingin berdampingan dengan anaknya itu sehingga ke usia enam bulan.

Lebih fokus menjaga anak berbanding diri sendiri, Aqasha tidak menolak faktor itu menyebabkan berat badannya semakin susut.

"Kadangkala saya bangun tengah-tengah malam untuk buat susu, tukar lampin anak dan saya lebih gemar ambil bahagian berbanding menyerahkan segala tugas kepada isteri saya," tuturnya

sumber

Ash, Dira runding hak penjagaan anak


KUALA LUMPUR – Hos program sensasi Melodi, Dira Abu Zahar, 28, mengakui dia kini dalam proses perbicaraan di mahkamah untuk menuntut hak penjagaan terhadap anaknya, Tengku Anggun Deandra Tengku Shafiz-Rullah, 4, yang masih dijaganya hingga kini.

Dira yang merupakan bekas isteri kepada penyanyi kumpulan popular Gabba Gabba, Ash atau nama sebenarnya Tengku Shafiz-Rullah As Syafiee Tengku Mohd. Shahidd, 28, bercerai pada tahun 2007.

Dira atau nama sebenarnya Khaidhirah Abu Zahar yang berkahwin dengan pengarah fotografi, Mohd. Helmi Mohd. Yusof pada 11 November tahun lepas, memberitahu, segala urusan masih dalam proses perbicaraan di mahkamah.

“Seelok-eloknya biar mahkamah yang putuskan, saya tidak berhak memberikan sebarang komen mengenai isu ini,” ujarnya ketika dihubungi di sini semalam.

Selepas Dira dan Ash bercerai, tiada sebarang perjanjian dibuat mengenai hak penjagaan anak sebaliknya Dira mengambil alih menjaga anaknya atas dasar tanggungjawab sebagai seorang ibu.

“Sepanjang saya menjadi ibu tunggal, saya yang menjaga anak saya dan suami saya sekarang pun tidak kisah,” katanya yang enggan mendedahkan kisah peribadinya.

Bagaimanapun, menurut beliau, sekiranya mahkamah memutuskan hak penjagaan anaknya jatuh ke tangan bekas suami yang melangsungkan pernikahan bersama pelakon Sherie Merlis kelmarin, dia tidak terkilan.

sumber

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)